29 Februari 2012

Sindiket curi kereta mewah tumpas

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Kegiatan curi kereta mewah oleh sindiket Wong Sifoo terbongkar apabila tiga ahli kumpulan itu diberkas, manakala 18 kereta pacuan empat roda bernilai kira-kira RM2.2 juta yang dipercayai dalam proses diseludup ke negara jiran, Thailand turut dirampas.

Tangkapan dilakukan, susulan laporan polis oleh seorang pengadu berhubung kehilangan kereta jenis Toyota Hilux milik sebuah syarikat, yang diletakkan di kawasan parkir Pusat Perubatan Universiti Malaya, 19 Februari lalu.

Siasatan yang dijalankan, mengenalpasti seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu. Suspek kemudiannya ditahan di hadapan Pusat Perubatan Bandar Sunway jam 4.30 petang, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, hasil soal siasat ke atas suspek itu membawa kepada tangkapan dua lagi ahli kumpulan terbabit, masing-masing berusia 28 dan 33 tahun di sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew, Cheras pada jam 1.30 petang keesokan harinya.

Beliau berkata, selain tangkapan, pihak­nya menemui pelbagai peralatan memecah dan mencuri kereta seperti satu unit alat pemati penggera kereta, dua bilah hex key, 11 ellen key, 12 pemutar skru, tujuh playar, alat pengikir termasuk buku catatan tentang kereta yang dicuri.

“Kita juga merampas 13 kereta jenis Toyota Hilux, dua Toyota Fortuner, dua Toyota Wish dan sebuah Naza Sorento. Baki 92 kereta lagi dipercayai sudah dijual.

“Kesemua kereta terbabit ditukar nombor pendaftaran dan diletakkan sementara waktu di tempat letak kereta awam di kawasan perumahan, pasar raya serta hotel-hotel sekitar ibu negara,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, semalam.
Mohmad berkata, semua kenderaan itu dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang antaranya di Jinjang, Sungai Buloh, Kepong, Puchong dan Kajang.

Katanya, siasatan awal turut mendedahkan bahawa ketiga-tiga suspek ditahan terlibat mencuri hampir 100 kenderaan sejak awal tahun lalu untuk diseludup. “Semua kenderaan itu dijual pada harga serendah RM8,000 sehingga RM20,000 kepada rakan sejenayah,” katanya.

Mohmad berkata, ketiga-tiga suspek itu akan disambung reman, selepas reman terdahulu tamat semalam dan siasatan dijalankan menjurus pelbagai aspek termasuk mengesan kereta dicuri dan mengenal pasti rakan sejenayah yang terlibat dalam penyeludupan kereta curi terbabit.

Sinar Harian

Bapa ditembak ketika tunggu anak

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA - Seorang bapa yang sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah, nyaris maut apabila cedera rusuk kiri kerana ditembak beberapa lelaki di luar premis sebuah sekolah di Jalan Gasing, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisoner Arjunaidi Mohamed berkata, semasa kejadian jam 12.30 te­ngah hari semalam, mangsa dihampiri beberapa lelaki bermotosikal, kemudian melepaskan enam das tembakan.

“Dua daripada tembakan itu mengenai mangsa. Mangsa yang cedera kemudian melarikan diri sejauh enam kilometer sebelum melanggar tiang lampu dan sebuah Mitsubishi Pajero, di hadapan rumah di Jalan 6/5 di sini,” katanya.

Menurutnya, mangsa diselamatkan orang ramai dan dibawa ke Hospital Assunta untuk menerima rawatan.

“Kita belum peroleh identiti mangsa dan menunggu laporan perubatan hospital.

“Kita tidak menolak ke­mungkinan, suspek yang menyerang mangsa lebih daripada seorang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan menemui lima kesan temba­kan di bahagian cermin dan bonet depan kereta mangsa.

Katanya, motif sebenar sedang dikenal pasti dan kes disia­sat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

Arjunaidi berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian, diminta tampil ke balai polis terdekat atau terus menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Erykah Badu: Bagaimana kalau tak bantah?

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Feb: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mempersoal tindakan kerajaan yang hanya membatalkan konsert artis bertatoo Erykah Badu selepas dibantah umum.

Ketua Penerangannya Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, biarpun menyambut baik pembatalan konsert yang sepatutnya berlangsung malam ini di KLCC itu, namun pembatalan hanya selepas bantahan itu memperlihatkan sikap kerajaan yang 'tidak sensitif'.

"Dalam isu ini, PAS WP menganggap kerajaan seperti bersikap talam dua muka. Konsert Erykah Badu dibatalkan hanya kerana adanya bantahan awam.

"Bagaimana sekiranya tiada bantahan dibuat? Adakah kerajaan tetap mahu membatalkannya atau membiarkan ia diteruskan," soalnya sambil menambah sampai bila kerajaan boleh bersikap proaktif terhadap artis dalam atau luar negara yang menimbulkan kontroversi.

Kesal dengan tindakan itu juga, beliau turut mempersoal agensi kerajaan seperti Pusat Permohonan Pengambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), di bawah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (Kebudayaan) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) yang lambat bertindak sehingga konsert itu dibatalkan di saat-saat akhir.

Apatah lagi katanya, artis menjadi pujaan masyarakat, namun imej bertatoo Erykah Badu hanya membawa kesan negatif kepada masyarakat khususnya golongan belia.

"Sepatutnya setiap permohonan untuk membawa masuk artis luar negara perlu ditapis terlebih dahulu dengan melihat latar belakang mereka.

"Tidak timbul artis tersebut mendapat bantahan awam atau tidak kerana kerajaan lebih awal menyekat sebarang imej yang boleh menimbulkan polemik di kalangan masyarakat," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerajaan benar-benar bertegas dalam memastikan akhlak dan akidah umat Islam di negara ini terpelihara.

"Tidak ada gunanya melaungkan slogan hebat dalam memperjuangkan Islam di negara ini, sedang aqidah dan akhlak ramai umat Islam di negara ini tergadai," katanya.

Harakah Daily

Polis buru suspek kes bakar remaja

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis masih mencari suspek kes bakar remaja hidup-hidup yang berlaku pada Ahad lalu dan menunggu perkembangan mangsa yang kini masih kritikal di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan menunggu mangsa untuk membantu dengan memberitahu suspek yang dipercayai dikenali mangsa.

Menurutnya, keadaan mangsa masih lagi kritikal dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, cuba membunuh.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Shauki Dahlan, 51, keadaan anaknya masih dalam keadaan kritikal dan belum ada perkembangan terbaru.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa Mohd Syahirudin, 19 dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan lelaki di di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sepakat, Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Keadaan Syahiruddin disahkan doktor 80 peratus terbakar dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital Sungai Buloh.

Sinar Harian

Taktik kotor penjual telefon

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Taktik kotor peniaga yang menjual telefon bimbit tiruan di sebuah kompleks beli-belah di Ibu negara terbongkar, apabila 13 individu ditahan termasuk seorang penyelia premis yang cuba memberi suapan kepada polis.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.30 petang pada Sabtu lalu, sebanyak 15 premis diperiksa oleh polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur dan bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pemeriksaan awal mendapati premis terbabit dikesan menjual telefon bimbit tiruan kepada pengunjung kompleks terutamanya pelancong asing.

“Kita tahan 12 penjual telefon berusia antara 27 hingga 30 tahun untuk proses dokumentasi dan membantu siasatan mengikut Seksyen 8(B) Akta Perihal Dagangan 2011.

“Turut dirampas sebanyak 114 telefon bimbit pelbagai jenama yang disyaki tiruan,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Menurutnya, dalam operasi sama, seorang penyelia sebuah daripada premis diperiksa, cuba memberi suapan kepada seorang pegawai dan tiga anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

“Penyelia berusia 27 tahun itu kemudiannya meletakkan sampul putih berisi wang tunai RM1,500 atas rak cermin berhadapan anggota dan pegawai saya yang bertugas.

“Tindakan suspek mengundang padah kepada dirinya kerana kita terus tahan dia untuk siasatan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana cuba menawarkan rasuah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohmad berkata, sebanyak 150 laporan polis diterima bagi tempoh tahun 2010 sehingga awal tahun ini berhubung kegiatan peniaga-peniaga di kompleks terbabit yang menjual telefon bimbit tiruan.

Beliau berkata, 97 laporan itu diterima daripada pelancong asing, manakala 53 lagi daripada orang tempatan.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan peniaga-peniaga terbabit menyasarkan pelancong dan pengunjung asing kerana mereka lebih mudah dimanipulasi berbanding pengunjung tempatan.

Sinar Harian

Skandal Sarawak: PKR mahu 'kontrak' MP disiasat

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PKR menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan didakwa menerima kontrak bernilai RM63 juta melalui firma yang dimiliki keluarganya.

Ketua PKR Sarawak, Baru Bian (kanan) berkata Sagan yang juga ahli parlimen Baram mesti disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan pecah amanah.

Ini berikutan pendedahan oleh kumpulan NGO berpangkalan di Switzerland, Dana Bruno Manser (BMF) bahawa syarikat ahli keluarganya menerima konsesi balak dan kontrak-kontrak lumayan.

Menurut BMF, Sagan adalah benefisiari syarikat-syarikat berkenaan yang dipegang oleh isterinya dan keluarganya sebagai "proksi".

Antara syarikat itu, Dema Tega Sdn Bhd yang dimiliki oleh isterinya Winnie Jolly, adiknya Peter Usang Sagan dan adik iparnya, Roseline Andrew Gayu - menerima kontrak kerajaan bernilai lebih RM63 juta dalam tempoh lima tahun yang lalu, kata NGO berkenaan.

BMF dalam satu kenyataannya semalam mendakwa bahawa kontrak awam adalah sumber pendapatan utama syarikat yang mempunyai saham berbayar RM750,100 itu.

Petik kenyataan itu lagi, lebih separuh daripada kontrak yang diperolehinya ada kaitan dengan pembekalan air kepada penduduk luar bandar yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan dan ditauliahkan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak.

Selain itu, laman web Sarawak Report pula minggu lalu, mendedahkan dua syarikat lain yang dipegang oleh isteri Sagan dan anak perempuan mereka Sharon Sagan - Milisha Holdings Sdn Bhd dan Winjac Sdn Bhd - didakwa menerima lesen daripada kerajaan Sarawak bagi menebang kayu balak Belian.

Belian adalah sejenis kayu keras hutan tropika yang dikatakan semakin terancam dan telah diklasifikasikan oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar sebagai spesies semakin pupus dan dilarang untuk eksport dari Sarawak dan Indonesia.

malaysiakini/-

Tabah lancar himpunan 123 Bangkit

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 29 Feb: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) dengan gabungan beberapa NGO lain akan mengadakan satu perhimpunan aman pada 12 Mac hadapan bagi mendesak kerajaan negeri menyelesaikan masalah tanah adat yang semakin meruncing kini.

Setiusahanya, Lahirul Latigu berkata, perhimpunan tersebut adalah susulan penyerahan memorandum berhubung perkara berkaitan pada 18 November tahun lalu.

“Kita lancarkan sekali lagi gerakan ini, dengan satu perhimpunan aman besar-besaran di hadapan pusat pentadbiran kerajaan negeri akan dilakukan sebelum penyerahan memorandum dibuat.

“Tindakan ini tidak bermotifkan politik tetapi berdasarkan momentum dan ketumbukan oleh empunya tanah. Sudah cukup rasanya dengan penderitaan, keluhan dan janji demi janji dibuat. Sudah lama rakyat bersabar, dan ini kali lah... rakyat sudah hilang sabar,” katanya.

Menurutnya, himpunan aman dengan akronim 123 Bangkit itu merupakan Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat juga akan digerakkan di seluruh pelosok Sabah.

“Himpunan 123 Bangkit ini adalah di ambil sempena himpunan tersebut yang akan diadakan pada 12 Mac ini dengan kebangkitan rakyat Sabah secara besar-besaran,” ujarnya ketika mengadakan sidang media pelancaran 123 Bangkit di Pejabat PAS Kota Kinabalu, kelmarin.

Katanya, kerajaan negeri seolah-olah tidak mempedulikan nasib rakyat terutama dalam masalah tanah sedangkan puluhan janji dan memorandum dihantar bagi mengatasi masalah ini.

Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 2005-2010 turut mencatatkan masalah itu sudah terlalu kritikal. Tindakan kerajaan yang terus berdiam diri dan banyak berjanji ini terus mengundang rasa tidak puas hati dan tanda tanya banyak pihak selain menggambarkan keangkuhan kerajaan itu yang tidak menerima pandangan serta pendapat orang lain.

“Banyak tanah-tanah yang dirampas, yang masih tidak terbela... ini tidak pernah ada penyelesaian yang begitu konkrit yang menunjukkan Sabah, kerajaan yang begitu prihatin kepada rakyat.

“Sebab itulah, kita mahu lihat rakyat bangkit dalam himpunan kali ini. Kita mahu pihak kerajaan pandang serius isu ini,” ujar Lahirul.

Lahirul berkata, perhimpunan yang bakal diadakan berhampiran Wisma Innoprise dekat sini akan melibatkan beberapa NGO negeri termasuklah wakil-wakil parti politik.

Beliau turut menjangkakan 5,000 rakyat akan keluar pada hari tersebut bagi menyatakan pendirian terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang dilihat gagal melaksanakan amanah rakyat terutama dalam isu tanah.

sianr harian/-

Apartmen runtuh kerana paip gas meletup

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MOSCOW - Beberapa pegawai menyatakan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan 12 lagi cedera selepas satu bahagian bangunan apartmen setinggi sembilan tingkat di Rusia runtuh berpunca daripada satu letupan paip gas.

Letupan dan runtuhan yang berlaku di bandar Astrakhan yang terletak 1,300 kilometer dari tenggara bandar raya Moscow itu turut menyebabkan lima mangsa hilang.

Beratus-ratus anggota penyelamat mencari mangsa yang hilang di celah runtuhan semalam.

Perdana Menteri, Vladimir Putin telah mengarahkan tugas beberapa pegawai syarikat gas tempatan digantung sehingga siasatan letupan tersebut selesai dilakukan.

Letupan disebabkan oleh paip bocor di bangunan apartmen di Rusia yang kerap berlaku.

Putin turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan supaya mencari apartmen baharu untuk semua penduduk di sekitar bangunan tersebut. - Agensi

Desak Najib jelas kenapa ketepikan Felda

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Petaling Jaya - PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjelaskan sebab Felda Farm Products Sdn Bhd tidak dilantik menerajui Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Sebaliknya, ia mendakwa kontrak tersebut diberikan kepada dua syarikat, iaitu Agroscience Industries Sdn Bhd milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Lambert Agriculture Trade (M) Sdn Bhd.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli mendakwa sebagai individu yang menganugerahkan kontrak tersebut, Najib perlu membuat penjelasan tersebut dan tidak boleh mencuci tangan serta berdiam diri sahaja.

Difahamkan, Perdana Menteri adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju NFC.

“Kini terbukti kontrak dianugerahkan kepada syarikat milik keluarga menteri ini tidak berjaya memenuhi sasaran dan menyelewengkan wang bagi tujuan lain.

“Beliau (Najib) wajib memikul tanggungjawab dan tindakan menolak isu ini kepada Shahrizat semata-mata membayangkan beliau seorang ahli politik Umno yang pentingkan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini semalam.

Menurutnya, jika dilihat daripada segi perbandingan saiz kapital dan perolehan, jelas Felda Farm Products Sdn Bhd lebih layak berbanding lima syarikat lain yang dikatakan mengemukakan kertas cadangan bagi projek NFC itu.

Katanya, agak menghairankan bagaimana kedua-dua syarikat tersebut yang baru setahun ditubuhkan sebelum kontrak, mendapat peluang itu berbanding Felda Farm Products yang jelas mempunyai pengalaman sejak sedekad lalu di dalam industri penternakan berskala besar.

“Kenapa beliau (Najib) mengetepikan warga Felda sedangkan mereka lebih layak dan berpengalaman, berbanding keluarga menteri (Shahrizat)?

“Apa kriteria digunakan sehingga Felda Farm Products Sdn Bhd diketepikan berbanding Agroscience Industries Sdn bhd yang tidak mempunyai pengalaman?,” katanya.

Mohd Rafizi berkata, PKR mendesak supaya semua minit mesyuarat jawatankuasa NFC itu didedahkan serta-merta supaya ratusan ribu warga Felda boleh mendapat penjelasan sewajarnya.

sinar harian/-

Pelancong Rusia maut dalam nahas bas di Kemboja

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PHNOM PENH 29 Feb. - Seorang pelancong Rusia maut dan berpuluh penumpang lain cedera apabila bas yang mereka naiki terbalik selepas salah sebuah tayar bas itu pecah dalam perjalanan dari Kemboja ke sempadan Thailand, semalam.

Ketua polis trafik wilayah Koh Kong, Ouk Sopha berkata, bas itu membawa 46 penumpang termasuk 40 pelancong asing dari pantai pelabuhan Sihanoukville menuju ke sempadan Thailand.

“Seorang gadis berusia 23 tahun yang cedera, meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital,” kata Sopha.

Jelasnya, pemandu bas yang dipercayai memandu pada kelajuan tinggi, melarikan diri selepas kejadian. - AFP

Ceramah Hasan Ali sudah mula tiada sambutan

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Gambar di bawah adalah kehadiran ceramah Hasan Ali di Kampung Melayu Subang malam tadi.

Memang pada mula Hasan Ali memulakan "tour" beliau, kelihatan ceramah beliau mendapat sambutan.

Mengikut laporan yang Tulang Besi dapat dari ceramah beliau di Paya Jaras tempohari, majoriti yang hadir dalam ceramah di Paya Jaras tempohari adalah terdiri dari penyokong dan pendokong PAS.

Tujuan mereka hadzir adalah semata-mata mahu mendengar sendiri manusia bernama Hasan Ali mengutuk dan menista PAS.

Inilah budaya dalam PAS. Apabila PAS dikhianati samada oleh bekas pemimpin ataupun parti kawan, maka ahli2 mahu pergi melihat dan mendengar sendiri orang yang mengkhianati PAS tersebut.

Tulang Besi berpengalaman waktu Semangat 46 dibubarkan serta Tengku Razaleigh mula menghentam PAS serta Tok Guru Nik Aziz.

Waktu itu Ku Li buat road show seluruh negara. Dan Tulang Besi hadzir salah satu ceramah Ku LI tersebut.

Tulang Besi lihat sendiri majoriti yang hadzir dalam ceramah itu adalah penyokong dan pendokong PAS.

Perkara yang sama berlaku kepada Hasan Ali.

Namun, di dalam pusingan kedua siri ceramah Hasan Ali ini, kehendak mahu melihat sendiri ini sudah habis.

Maka, tinggalah beberapa kerat penyokong sebenar Hasan Ali yg masih mahu mendengar ceramah beliau seperti di bawah.

Tak lama lagi, ceramah Hasan Ali akan sama ramai pendengarnya macam ceramah Zul Nordin.

Allah Maha Kaya.

Tulang Besi

'Pertemuan dengan 2 Exco Kedah positif'

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Pertemuan antara Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dengan dua pemimpin Pas Kedah semalam membuahkan hasil positif dan dijangka boleh membantu menyelesaikan kemelut pelantikan semula sebagai Exco.

Salahuddin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau sudah bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi di rumah masing-masing.

"Pertemuan hari ini (semalam), membuahkan cadangan, buah fikiran dan pendapat yang positif ke arah penyelesaian isu di Kedah.

"Selaku perantara, saya akan membawa semua cadangan, pemikiran dan pendapat ini dalam mesyuarat khas Pas Pusat yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur malam esok (hari ini)," katanya.

Beliau berharap isu itu dapat segera diselesaikan dengan baik bagi melancarkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

"Saya nampak ada harapan yang positif ke arah penyelesaian isu ini. Bagaimanapun sebarang keputusan akan dimaklumkan selepas mesyuarat," katanya.

Ditanya sama ada pertemuan turut melibatkan seorang lagi Exco yang didakwa menolak untuk dilantik semula, Dr Ismail Salleh, beliau berkata, pertemuan dengan Azizan dan Phahrolrazi sudah memadai.

Kehadiran Salahuddin ke negeri ini bertujuan menjadi perantara bagi menyelesaikan kemelut itu setelah Pas Pusat memutuskan untuk campur tangan agar tidak berlarutan.

Lapan daripada 10 Exco semasa menerima tawaran dikekalkan jawatan. Majlis angkat sumpah berlangsung pagi semalam.

sinar harian/-

Saham Lynas menjunam selepas Himpunan Hijau

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Feb: Harga saham operator kilang rare-earth Lynas yang berpusat di Australia menjunam Isnin lalu akibat Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan dan bandar-bandar lain yang berkempen untuk kilangnya di Gebeng ditutup serta saman mencabar keputusan pemberian lesen operasi sementara (TOL) kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd.

Saham Lynas, yang disenaraikan di Australian Securities Exchange ditutup 4.65 peratus lebih rendah pada A$1.23 Isnin lalu selepas berita saman oleh 10 penduduk Gebeng mencabar keputusan pemberian lesen operasi sementara kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd.

Dalam permohonan itu, mereka memohon satu perintah certiorari supaya mahkamah membatalkan keputusan lembaga itu pada 30 Jan lalu, memberikan lesen operasi sementara kepada Lynas Malaysia untuk menjalankan operasi di tapak Loji Lynas Advanced, di Gebeng.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) iaitu yang mengawal dan menyelia produksi, aplikasi dan penggunaan bahan tenaga atom dan radioaktif, Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan Lynas Malaysia Sdn Bhd telah dinamakan sebagai responden.

Awal bulan ini, AELB telah memberikan lesen operasi sementara kepada Lynas untuk beroperasi di Gebeng walaupun dibantah keras oleh rakyat Malaysia. Akibat itu, harga saham naik mendadak ke A$1.59.

Walaupun ditentang hebat daripada penduduk sekitar dan rakyat Malaysia yang bimbang terhadap sisa radioaktif yang bakal ditinggalkannya, Lynas tetap yakin bahawa kilangnya di Malaysia tidak akan ditutup.

“Walaupun Lynas menghormati kebimbangan penduduk dan masyarakat tempatan, namun ia tidak percaya kepada dakwaan yang tidak berasas dalam saman tersebut. Lynas akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mempertahankan haknya seperti yang dituntut dalam saman tersebut,” kata syarikat itu yang dipetik daripada The Australian.

Tindakan kerajaan Malaysia untuk mengemukakan bantahan awal terhadap saman 10 wakil dari Gebeng semalam telah memberikan signal bahawa kerajaan Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak akan mempertahankan Lynas.

Sejurus selepas Himpunan Hijau Ahad lalu, Najib bertegas mempertahankan Lynas dengan menyatakan bahawa “dari segi fakta, dari segi scientific evidence projek Lynas ini tidak akan membawa kemudaratan kepada masyarakat.”

Ekoran bantahan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tertinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini menetapkan 20 Mac untuk 10 penduduk Gebeng menjawab hujahan bantahan awal yang dikemukakan oleh kerajaan Najib.

Cara pelupusan bahan sisa radioaktif telah menjadi isu utama dalam bantahan kepada projek Lynas. Bulan lepas, Lynas telah membuat iklan di akhbar-akhbar tempatan untuk menyakinkan penduduk tempatan terhadap keselamatan kilangnya.

harakahdaily/-

Dua maut ditembak polis dalam rusuhan di Xinjiang

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEIJING 29 Feb. - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam rusuhan di wilayah Xinjiang semalam, pergolakan terbaru yang menggemparkan negara ini.

Menurut agensi berita Xinhua, pasukan polis menembak mati dua orang yang disyaki terbabit dalam rusuhan itu yang berlaku di daerah Yecheng di Kashgar.

Katanya, kumpulan perusuh melakukan keganasan dengan melancarkan beberapa serangan pada kira-kira pukul 6 petang (sama waktu dengan Malaysia).

Polis kini sedang memburu mereka terlibat dalam rusuhan itu. - AFP

Perkasa sokong debat Najib-Anwar, Najib bagaimana?

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 29 Feb: NGO Pendesak Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut bersetuju agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyahut cabaran debat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangannya, Ruslan Kasim berkata debat kedua-dua pemimpin itu penting sebagai medan mengemukakan ideologi masing-masing.

“Perkasa menyokong debat antara perdana menteri dan Anwar Ibrahim kerana melalui perbahasan ilmiah berkenaan, kedua-dua pemimpin itu dapat mengemukakan ideologi masing-masing.

“Perkasa juga akan menyokong mana-mana pihak yang selari dengan matlamat dan dasar perjuangan kami,” tegasnya dalam wacana Sinar Harian semalam.

Selain Ruslan Wacana yang bertajuk “Mengapa Undi Melayu Pecah” itu turut menampilkan AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng sebagai panel manakala moderatornya adalah pensyarah UIA Dr Mazlee Malik.

Dalam debat itu, kesemua mereka juga bersetuju debat antara Najib-Anwar direalisasikan dengan segera.

Dr Dzulkefly ketika mengulas perkara sama berkata, debat berkenaan seharusnya dilaksanakan bagi mereka mengutarakan idea-idea, kerana melalui debat, akan berlakunya pencerahan minda rakyat, dan mereka akan membuat keputusan untuk memilih pemimpin.

“Melalui debat, rakyat diberi ruang untuk membuat keputusan ketika pilihan raya,” katanya.

Ong Tee Keat pula berpendapat debat tersebut perlu untuk percambahan idea kepada masyarakat namun tidak harus dijadikan pentas ceramah politik.

“Saya setuju debat itu dijalankan, tetapi harus bezakan antara debat dan ceramah politik.

"Jika sekadar debat tanpa hala tuju dan wawasan ia tak ke mana, kalau dapat, biarlah dikemukakan perkara yang realistik, dan bukannya retorik,” katanya.

harakahdaily/-