29 Februari 2012

Sindiket curi kereta mewah tumpas

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Kegiatan curi kereta mewah oleh sindiket Wong Sifoo terbongkar apabila tiga ahli kumpulan itu diberkas, manakala 18 kereta pacuan empat roda bernilai kira-kira RM2.2 juta yang dipercayai dalam proses diseludup ke negara jiran, Thailand turut dirampas.

Tangkapan dilakukan, susulan laporan polis oleh seorang pengadu berhubung kehilangan kereta jenis Toyota Hilux milik sebuah syarikat, yang diletakkan di kawasan parkir Pusat Perubatan Universiti Malaya, 19 Februari lalu.

Siasatan yang dijalankan, mengenalpasti seorang lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu. Suspek kemudiannya ditahan di hadapan Pusat Perubatan Bandar Sunway jam 4.30 petang, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, hasil soal siasat ke atas suspek itu membawa kepada tangkapan dua lagi ahli kumpulan terbabit, masing-masing berusia 28 dan 33 tahun di sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew, Cheras pada jam 1.30 petang keesokan harinya.

Beliau berkata, selain tangkapan, pihak­nya menemui pelbagai peralatan memecah dan mencuri kereta seperti satu unit alat pemati penggera kereta, dua bilah hex key, 11 ellen key, 12 pemutar skru, tujuh playar, alat pengikir termasuk buku catatan tentang kereta yang dicuri.

“Kita juga merampas 13 kereta jenis Toyota Hilux, dua Toyota Fortuner, dua Toyota Wish dan sebuah Naza Sorento. Baki 92 kereta lagi dipercayai sudah dijual.

“Kesemua kereta terbabit ditukar nombor pendaftaran dan diletakkan sementara waktu di tempat letak kereta awam di kawasan perumahan, pasar raya serta hotel-hotel sekitar ibu negara,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, semalam.
Mohmad berkata, semua kenderaan itu dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang antaranya di Jinjang, Sungai Buloh, Kepong, Puchong dan Kajang.

Katanya, siasatan awal turut mendedahkan bahawa ketiga-tiga suspek ditahan terlibat mencuri hampir 100 kenderaan sejak awal tahun lalu untuk diseludup. “Semua kenderaan itu dijual pada harga serendah RM8,000 sehingga RM20,000 kepada rakan sejenayah,” katanya.

Mohmad berkata, ketiga-tiga suspek itu akan disambung reman, selepas reman terdahulu tamat semalam dan siasatan dijalankan menjurus pelbagai aspek termasuk mengesan kereta dicuri dan mengenal pasti rakan sejenayah yang terlibat dalam penyeludupan kereta curi terbabit.

Sinar Harian

Tiada ulasan: