29 Februari 2012

Pindah minyak haram

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SENAI – Agensi Penguat­kuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menggagalkan cubaan pemindahan sejumlah 443,747 liter minyak secara haram oleh dua kapal tangki di perairan Pengerang, Kota Tinggi, kira-kira jam 11 malam, Ahad lalu.

Ketua Penguatkuasanya, Laksamana Pertama Maritim, Adon Shalan berkata, kegiatan berkenaan dikesan kira-kira 2.4 batu nautika berhampiran selatan Tanjung Kapal.

"Hasil pemeriksaan men­dapati kira-kira 95,762 liter minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) dipindahkan selepas anggota Maritim menahan kedua-dua kapal terbabit ketika melakukan rondaan rutin Operasi Perkasa Selatan menggunakan KM Manjung.

"Dalam operasi diketuai Leftenan Maritim, Boon Chin Chau bersama dua pegawai dan 17 anggota mengesan dua kapal berkenaan berhimpit antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan serta disyaki melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Pihak Maritim turut menahan kesemua kapal itu iaitu 27 anak kapal membabitkan 17 warga Indonesia, lapan (Myanmar) dan dua (Singapura) berumur antara 23 hingga 56 tahun.

Beliau berkata, kapten dan ketua jurutera kedua-dua kapal itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Wilayah Selatan untuk siasatan lanjut.

"Kesemua kapal juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran atau permit daripada Pengarah Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak selain gagal memaklumkan ketibaan kapal dalam perairan Malaysia dan membayar Dius Api.

Kedua-dua kapal ditahan kira-kira jam 11.30 pagi keesokan harinya selepas Maritim dimaklumkan oleh Jabatan Laut tiada permohonan sebarang permit atau kelulusan untuk melakukan aktiviti pemindahan pada hari berkenaan.

Adon berkata, pemilik kapal terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran.

Jika sabit kesalahan, pemilik kapal boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Tiada ulasan: