29 Februari 2012

Suami tak faham undang-undang

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan suami yang mencuri cap jari isteri seperti filem ‘Madu Tiga’ lakonan Tan Sri P Ramlee jelas menunjukkan lelaki itu tidak faham undang-undang.

Ini kerana sejak tahun 80-an, Enakmen Undang-Undang Islam sudah dipinda yang membolehkan suami berkahwin lain tanpa keizinan isteri sedia ada dengan kebenaran mahkamah syariah.

Perunding Keluarga Islam, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain berkata, jika masih ada suami yang cuba mencuri cap jari isteri ketika tidur perkara itu menunjukkan dia tidak tahu undang-undang.

“Kalau dia tidak tahu undang-undang, macam mana dia boleh memasang niat mahu kahwin seorang lagi,” katanya yang dihubungi semalam.

Harian Metro semalam melaporkan pada Seminar Kesedaran Hak dan Perundangan anjuran Persatuan Peguam Syarie Malaysia cawangan Perak, Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Malaysia dan Lembaga Kebajikan Perempuan lslam Hilir Perak di dewan kuliah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak, Teluk Intan kelmarin, seorang isteri memberitahu suaminya bersusah payah mendapatkan cap ibu jarinya ketika dia tidur beberapa bulan lalu dalam usahanya untuk berkahwin dua.

Wanita itu berkata, tindakan pelik suaminya itu bagaimanapun disedari sebelum suaminya mengaku mahu berkahwin lagi dengan seorang gadis.

Mohd Zaidi berkata, menerusi pindaan undang-undang itu, antara syarat yang dikenakan mahkamah syariah ialah kemampuan suami zahir dan batin, perkahwinan itu tidak memudaratkan isteri pertama atau isteri-isteri sedia ada serta ia tidak mengurangkan apa yang dinikmati isteri sedia ada.

metro/-

1 ulasan:

kampong lad berkata...

setakat ini berapa permohonan & berapa yg dibenarkan?