29 Februari 2012

Jumpa mayat lelaki dalam rumah

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Seorang wanita tidak menyangka bau busuk dihidunya ketika sedang berjoging rupanya bau mayat reput dalam sebuah rumah, petang kelmarin.

Wanita berusia lingkungan 30-an itu terhidu bau busuk semasa berjoging di lorong belakang sebuah rumah di Taman Tan Chee Hoe, di sini, kira-kira 6.15 petang.

Menurut sumber, ketika melalui lorong itu, wanita pelik dengan bau busuk berkenaan sebelum mencarinya.

“Wanita berkenaan kemudiannya mengikut arah bau busuk itu untuk mendapatkan kepastian. Selepas tiba di sebuah rumah, dia cuba memanggil beberapa kali, namun tiada sahutan dari dalam rumah,”. katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan mulai rasa curiga dan bertindak memaklumkan kepada polis sejurus selepas itu.

“Sebaik sahaja polis sampai ke lokasi kejadian, anggota masuk serta membuat pemeriksaan dalam rumah berkenaan sebelum menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik.

“Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati mayat berkenaan adalah seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dan mengalami masalah mental.

“Mangsa merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan tinggal berasingan daripada keluarga sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata, polis masih menyiasat kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: