29 Februari 2012

Untuk apa Isa belanja RM352,687?

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Feb: Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak) mencabar Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menjelaskan perbelanjaan berjumlah kira-kira RM352,687 untuk tiga programnya awal tahun lalu.

Menurut Presiden Anak, Mazlan Aliman, ketiga-tiga program iaitu di Felda dalam Dun Tenang, Johor, Felda Lawin Selatan, Lenggong, Perak dan Felda Jengka 22, Pahang melibatkan pemberian buku "Najib Perdana Menteri Malaysia ke-6" kepada peserta.

Program di Dun Tenang melibatkan kos RM118,750, di Felda Lawin Selatan sebanyak RM91,437 dan Felda Jengka 22 sebanyak RM142, 500.

"Di Felda Lawin Selatan merupakan program Gerakan Persatuan Wanita (GPW) dan di Felda Jengka 22 merupakan program pengerusi Felda dengan GPW dan Feldawati.

"Bayangkan buku 'Najib Perdana Menteri Malaysia ke-6' diberi dengan belanja yang begitu besar. Kita persoalkan kewajaran kos ini.

"Kita cabar Tan Sri Isa Samad buat penjelasan program ini menggunakan duit siapa," kata Mazlan pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Selain itu, Mazlan turut mempersoal tindakan Yayasan Felda memberikan projek secara runding terus kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) CCM Pharmaceuticals untuk program pemberian multivitamin kepada jemaah haji Malaysia tahun lalu.

CCM Berhad merupakan peneraju utama kepada pembangunan produk halal dalam industri farmaseutikal di Malaysia.

Syarikat ini juga adalah salah satu daripada anak syarikat di bawah naungan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pemberian multivitamin "proviton" dan vitamin C "flavettes suger free 500mg melibatkan 27, 900 orang bakal jemaah haji Malaysia berjumlah RM1,590,300.


"Kita mohon penjelasan daripada Tan Sri Isa Samad sebab projek ini adalah projek di bawah Yayasan Felda dan Isa Samad sebagai pengerusinya.

"Isunya kenapa projek ini diberi secara runding terus dan siapakah mereka di sebalik projek ini?" soalnya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Harakah Daily

Tiada ulasan: