07 Mac 2012

Tiga maut kereta bertembung lori

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KERETA Proton Saga BLM remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Kota Tinggi, Johor, kelmarin hingga mengakibatkan tiga penumpangnya maut.

KOTA TINGGI – Keterujaan seorang wanita untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya pada 14 Mac ini berkecai apabila lelaki tersebut bersama ibu dan kakaknya maut dalam kemalangan ngeri ketika dalam perjalanan pulang selepas membeli barang keperluan majlis itu di ibu negara kelmarin.

Kemalangan pukul 2.40 petang di Kilometer 28.5, Jalan Kulai-Kota Tinggi itu mengakibatkan Muhammad Hazwan Ahmad, 25; Saemah Mantu, 65, dan Fatimah Othman, 35, maut di tempat kejadian apabila kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu Muhammad Hazwan bertembung dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan ikan.

Turut berada dalam kereta itu ialah bakal tunang Muhammad Hazwan, Fazlina Othman, 25, dan anak saudaranya, Ahmad Razim Faizal, 3. Fazlina cedera di tangan kiri manakala kanak-kanak itu cedera di kepala. Pemandu lori berusia 33 tahun itu hanya cedera ringan.

Saemah dan Fatimah merupakan ibu dan kakak Fazlina.

Mengimbau semula kemalangan itu, Fazlina memberitahu, sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke Felda Air Tawar Satu di sini selepas membeli kelengkapan pertunangan di Kuala Lumpur.

kosmo/-

Imej satelit kesan Korea Utara bina reaktor air

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

WASHINGTON: Satu imej satelit menunjukkan bahawa Korea Utara kini sedang membina sebuah reaktor air untuk mengembangkan program nuklearnya.

Imej pada 3 Februari di kompleks nuklear di Yangbyon itu diambil hampir sebulan sebelum Korea Utara bersetuju untuk membekukan aktiviti nuklearnya bagi mendapatkan bantuan makanan dari Amerika Syarikat.

Imej yang dikeluarkan oleh Penganalisis Kanan dari Institut Sains dan Keselamatan Antarabangsa, Paul Brannan menyatakan sebuah bangunan turbin di reaktor yang masih dalam pembinaan pada 20 September tahun lalu itu kini kelihatan hampir siap.

Brannan berkata, kubah reaktor masih belum berada di sana. Jadi, banyak lagi kerja yang perlu dilakukan.

Sementara itu, Korea Utara berkata reaktor berkenaan adalah untuk penjanaan elektrik tetapi beberapa pakar bimbang bahawa ia boleh menghasilkan plutonium untuk bom. - AP

Twitter lancar bahasa Arab, Ibrani, Parsi dan Urdu

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SAN FRANCISCO: Twitter hari ini melancarkan perkhidmatan dalam bahasa Arab, Ibrani, Parsi dan Urdu, sebagai usaha meningkatkan lagi perkhidmatan rangkaian laman sosial yang semakin popular itu.

Sebelum ini, pengguna Twitter hanya boleh mengirimkan mesej yang lebih popular disebut sebagai “Tweet” dalam bahasa berkenaan tetapi kini pengguna boleh melawat lama web Twitter.com dengan arahan dan pelbagai notis dalam bahasa mereka, kata jurucakap Twitter.

"Twitter kini boleh didapati dalam bahasa kanan ke kiri," menurut kenyataan Twitter di laman blognya, sambil memuji pencapaian ribuan penterjemah sukarela yang mula bekerja dalam projek berkenaan pada awal Januari lalu. - AFP

Kesilapan ketika solat - tiada takbirratul-ihram

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Takbirratul-ihram adalah rukun solat.

Rukun solat jika ditinggalkan maka tidak sah solat tersebut.

Takbirratul-ihram adalah antara rukun bacaan iaitu rukun yang perlu di baca atau disebut.

Menggangkat tangan ketika mula solat bukanlah takbirratul-ihram.

Takbirratul-ihram ialah MENYEBUT Allahu Akbar (الله أكبر) semasa permulaan solat.

Jika tidak disebut Allahu-akbar ketika permulaan solat, maka solat itu TIDAK SAH.

tazkirah/-

Mangsa patukan ular sedar dari koma

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MOHD Sabron yang dipatuk ular tedung selar masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, semalam.
KUANTAN: Keadaan penjinak haiwan, Mohd Sabron Jamil Kamaruddin, 24, yang dipatuk ular tedung selar betina, Sabtu lalu, menunjukkan perkembangan positif dan mangsa kini sudah sedar daripada koma tetapi masih diberi sedatif.

Bapa mangsa, Kamaruddin Abdullah, 56, berkata kesan rosak pada tangan kiri anaknya mula mengecut, selain keadaan mukanya semakin kemerahan.
Beliau bersyukur kerana ada perkembangan positif pada anaknya selepas tiga kali pembedahan dilakukan bagi membuang bahagian daging yang rosak akibat bisa patukan ular.

“Dia sudah sedar selepas koma empat hari, namun masih diberi sedatif bagi mengelakkannya terkejut akibat kesan pembedahan, malah mukanya sudah mula kemerahan selain pembuangan najisnya juga agak normal.

“Saya harap keadaannya semakin baik serta pulih beberapa hari lagi walaupun dia mungkin mengalami kecacatan pada tangan kirinya akibat pembedahan membuang daging yang memburuk,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam.

Sabtu lalu, Mohd Sabron yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bertarung maut beberapa jam selepas dipatuk ular tedung selar ketika membersihkan sangkar haiwan berkenaan.

berita harian/-

Gempa bumi sederhana kuat landa Filipina

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MANILA: Satu gempa bumi sederhana kuat menyebabkan bangunan retak dan barang jatuh dari meja, berlaku di bahagian tengah Filipina, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang cedera dan orang ramai bertempiaran lari kerana panik.

Kejadian gempa bumi itu berlaku sebulan selepas kejadian sama yang menyebabkan 58 orang mati di negara itu.

Jurucakap Institut Kajian Gunung Berapi dan Seismologi, Renato Solidum berkata, gegaran 5.2 magnitud itu melanda pagi semalam dan tertumpu di laut kira-kira tiga kilometer di utara Bandar Masbate di Wilayah Masbate.

Gegaran yang disebabkan oleh pergerakan gelinciran tempatan, turut dirasai di wilayah berdekatan.

Datuk Bandar Masbate, Socrates Tuason berkata, tiada laporan kerosakan teruk diterima dan gegaran yang berlaku, tidak menjejaskan bekalan tenaga dan komunikasi di bandar berbukit yang mempunyai 90,000 penduduk itu.

Namun begitu, gegaran itu menyebabkan sebuah bangunan tinggal setinggi tiga tingkat, runtuh dan tingkap kaca di rumah dan bangunan lain pecah. - Manila Post

Dunia hilang RM1.15 trilion

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NERO Blevins (kiri) membantu Earl Deming mengumpul barangan miliknya di bawah runtuhan bangunan dua tingkat di kawasan komuniti Middle Fork, Daerah Johnson, Amerika Syarikat. Kerosakan itu berikutan ribut yang memusnahkan timur Kentucky, Jumaat lalu. - Foto AP

Bencana gempa, tsunami, banjir rekod kerugian tertinggi 2011

NEW YORK: Nilai kerugian akibat bencana pada 2011 adalah yang tertinggi dalam sejarah, ditaksirkan mencapai sekurang-kurangnya AS$380 bilion (RM1.15 trilion), khususnya disebabkan gempa bumi di Jepun dan New Zealand, kata utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

Wakil Khas Bagi Pengurangan Risiko Bencana PBB, Margareta Wahlstrom, berkata angka itu adalah dua pertiga lebih tinggi berbanding rekod sebelumnya pada 2005 apabila Taufan Katrina melanda wilayah selatan Amerika Syarikat.

Selain kerugian disebabkan gempa bumi, Wahlstrom berkata banjir besar di Thailand dan negara lain memburukkan keadaan.

“Mesej utama ialah keadaan ini adalah satu trend yang semakin biasa dan menyebabkan kerugian ekonomi meningkat,” kata Wahlstrom.

Walaupun kerugian semakin besar, kadar kematian akibat bencana menurun kerana negara terbabit mempunyai sistem amaran awal dan mengambil langkah persediaan rapi, katanya.

“Permasalahan ekonomi menjadi satu ancaman besar terhadap sesetengah negara. Pada hari ini, 50 peratus penduduk dunia terdedah kepada risiko bencana kerana mereka tinggal di kawasan yang mudah terdedah,” kata Wahlstrom.
Wahlstrom berkata, Jepun paling terdedah kepada masalah ekonomi dan kedua tertinggi bagi penduduk terhadap potensi bencana.

Beliau memuji Jepun kerana usaha awal menghadapi kesan bencana namun turut berkata ada pengajaran perlu diambil selepas gempa bumi dengan kekuatan 9.0 skala Richter dan tsunami melanda, 11 Mac lalu.

Ketika bangunan secara umumnya bertahan daripada gempa bumi besar itu, tsunami yang menyusul menyerang kawasan timur laut, meranapkan keseluruhan bandar dan menenggelamkan loji jana kuasa nuklear Fukushima, mencetuskan masalah nuklear terburuk sejak Chernobyl pada 1985.

Wahlstrom berkata, risiko bencana meningkat secara global kerana perubahan cuaca, pengurangan sumber semula jadi, penggunaan tanah tidak teratur dan masalah alam sekitar semakin teruk.

Sebagai contoh, katanya menjelang 2050, dunia akan memerlukan 50 peratus lebih banyak makanan, 45 peratus lebih banyak tenaga dan 30 peratus lebih banyak air untuk penduduk yang semakin meningkat sedangkan sumber itu sudah terancam dan menjadi pencetus bencana. – AP

Pesanan Rasulullah saw. kepada Abu Dzar

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Dari Abu Dzar ra. berkata, "Kekasihku, Rasulullah saw. berpesan kepadaku dengan tujuh perkara, (1) supaya aku mencintai orang-orang miskin dan dekati mereka,(2) menyuruh aku melihat kepada orang yang berada di bawahku dan tidak melihat kepada orang yang berada di atasku,

(3) menyuruh aku menjaga silatur-rahim walaupun mereka berlaku kasar kepada ku,(4) banyakkan ucapan LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH,(5) mengatakan kebenaran walaupun pahit,(6) jangan takut celaan orang ketika berdakwah, dan (7) jangan meminta sesuatu apa pun dari manusia”. (HR Imam Ahmad)

tazkirah/-

Lynas tak perlu, cukuplah sisa toksid sedia ada

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Cukuplah industri yang mempunyai sisa toksid yang sedia ada di banyak zon industri di Malaysia merumitkan pihak berkuasa untuk memantaunya.

“Untuk apa kilang yang menambah beban pengendalian alam sekitar dibenarkan masuk di negara ini,” kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Justeru, katanya, Teras mempersoalkan bagaimana kemelut menangani isu Lynas yang nampaknya semakin menunjukkan kerajaan terperangkap dengan komitmennya untuk membenarkan Lynas beroperasi di negara ini.

Menurutnya, persoalan utama yang sepatutnya ditangani ialah apakah keperluan kerajaan meluluskan operasi perlombongan nadir bumi Lynas (M) Sdn Bhd di Malaysia.

“Kenapakah kerajaan menyanggupi untuk menerima segala risiko ‘industri kotor’ seperti ini?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kini, ujarnya kerajaan terpaksa mengambil keputusan damage control yang sebenarnya tidak perlu dari awal lagi, satu demi satu pengumuman diumumkan untuk menyedapkan hati rakyat.

Teras, jelasnya berpendapat memutuskan syarat tambahan untuk melegakan keresahan rakyat tidak akan menyelesaikan masalah pokok dalam isu itu.

Menurutnya, dengan bersetuju untuk menghantar buangan dari kilang memproses Lynas ke luar negara menimbulkan lebih banyak persoalan dari jawapan.

“Jika itu keputusannya, untuk apa Lynas dibenarkan beroperasi di Malaysia?

Dari keputusan awal lagi, kenapa kerajaan menerima permohonan Lynas jika buangannya tidak boleh ada dalam negara?” katanya lagi.

Kini, tambah beliau kerajaan sudahpun mengeluarkan lesen beroperasi sementara dari Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Beliau mempersoalkan adakah itu bermaksud kelulusan buangan Lynas pada awal lagi tidak mengambilkira risiko kepada pendudukan sekitar dan kenapa lesen sementara itu dikeluarkan.

Katanya, kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa kerajaan berpuas hati bahawa tidak akan ada residue (bahan buangan) radioaktif yang dihasilkan oleh Lynas semasa operasi mereka menambahkan kekeliruan.

Ini, katanya kerana jika demikian kenapa pula ditambah syarat untuk sisa buangan dihantar ke luar negara.

Beliau berkata, sekarang rakyat diberitahu pula adanya Kemudahan Pelupusan Tetap (PDF) yang mesti dibina oleh Lynas kerana ia disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Kenapa hal ini timbul sekarang sedangkan sudah beberapakali masyarakat menyuarakan isu risiko sisa buangan sejak dari awal bantahan lagi?” soalnya lagi.

Katanya, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bahawa Lynas akan memindahkan sisa buangan ke kawasan yang jauh dari penempatan penduduk, menunjukkan memang ada sebab kenapa rakyat menolak Lynas beroperasi di Malaysia.

Beliau menambah, hanya dengan alasan mengambil kira soal kelegaan masyarakat setempat daripada segi emosi dan psikologi bukan menyelesaikan masalah itu secara muktamad, ia hanya langkah sementara kerana risiko tidak ada.

“Bila Mustapa berkata Lynas belum memulakan operasinya dan kerajaan belum melantik mana-mana badan bebas pakar bagi menganalisis bacaan radiasi radioaktif yang dikeluarkan oleh kilang berkenaan, pertanyaannya ialah siapa pula yang akan membiaya kos menganalisis bacaan.

“Adakah prinsip polluters pay (beban bayar terletak kepada pencemar alam) akan digunakan?” tanya beliau lagi.

Mengenai maklumat balas daripada masyarakat setempat mengenai isu melibatkan kilang itu, ujarnya Mustapa berkata pihaknya serta agensi-agensi teknikal terlibat seperti AELB dan Jabatan Alam Sekitar telah berjumpa dengan wakil-wakil pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), dewan-dewan perniagaan dan wakil-wakil pelajar bagi menerangkan isu berkenaan.

Katanya, kenyataan daripada Menteri Sumber Australia Barat, Norman Moore pada 29 Februari yang mengesahkan bahawa nadir bumi tersebut terlalu kecil paras radiasinya, menimbulkan persoalan.

Jika begitu, katanya kenapa tidak diproses bumi nadir di Australia sendiri.

“Lebih langsung lagi, jika benar ianya selamat kenapa tidak kilang Lynas didirikan tidak kawasan pemimpin-pemimpin kerajaan sendiri?” ujarnya.

Jelasnya, Teras menimbulkan isu itu kerana nampaknya kerajaan kini cuba mencipta berbagai alasan untuk membenarkan keputusan yang telah dikeluarkan.
Pada hal, kata beliau isu pokok ialah Malaysia tidak perlu kilang itu beroperasi di sini.

Harakah Daily

Kasih penyu bagai anak sendiri

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

RANTAU ABANG - Kasihnya pada penyu tidak dapat digambarkan melalui lukisan atau lua­han kata-kata, namun dari riak pandangan lelaki berusia tiga suku abad ini jelas menggambarkan kekecewaannya terhadap kepupusan reptilia yang menjadi nadi kehidupan masa silamnya itu.

Bagi penduduk tepi pantai di sebuah perkam­pungan nelayan dekat sini, nama Pok Nor atau nama sebenarnya, Mohd Nor Hamid, 70, merupakan seorang tokoh yang sudah tidak asing lagi berikutan penglibatan serta sumba­ngannya terhadap kehidu­pan reptilia laut yang mendapat perlindungan Jabatan Perikanan itu.

Menceritakan penga­lamannya, Pok Nor berkata, peristiwa menyaksikan kemeriahan dengan kehadiran pelancong dan penduduk tempatan pada musim penyu bertelur merupakan satu nostalgia yang masih segar dalam ingatannya, biarpun ia sudah lebih 30 tahun berlalu.

Pok Nor yang mengasihi hidupan laut seperti anaknya sendiri itu berkata, pada penghujung tahun 70-an serta awal 80-an dahulu, Rantau Abang dilimpahi pelancong tidak kira dari dalam atau luar negeri yang ingin menyaksikan peristiwa penyu bertelur.

Namun Pok Nor sangsi entah di mana silapnya, pantai Rantau Abang sepanjang kira-kira lima kilometer yang menjadi lokasi pendaratan penyu bertelur suatu ketika dahulu itu kini lengang.

“Saya sedih melihat penyu tidak lagi mendarat di sini, lebih mendukacitakan apabila sejak akhir-a­khir ini bangkai penyu sering ditemui terdampar di tepi pantai. Sebagai orang lama yang sentiasa dekat dengan penyu, saya tidak pernah menduga perkara sebegini akan berlaku, kemusnahan baka penyu itu disebabkan oleh tindakan kita sendiri,” kata Pok Nor yang kesal dengan apa yang berlaku.

Ketika diminta menceritakan pengalaman pahit yang sukar dilupakan sepanjang lebih 30 tahun bergiat sebagai pemajak telur penyu, warga emas yang sudah mempunyai lima cicit itu meluahkan, pernah suatu ketika hatinya benar-benar sayu tatkala menyaksikan kesuka­ran seekor penyu belimbing menetaskan telurnya.

Pok Nor berkata, ketika itu dia terpandang satu gumpalan plastik di bahagian dubur penyu tersebut lalu cuba menariknya keluar.

“Apabila saya tarik keluar, alangkah terkejutnya saya apabila mendapati ia adalah sisa plastik, ia mungkin menjadi makanan penyu ketika berada di laut. Keadaan ini menggambarkan bahawa pantai kita sudah tercemar dan tidak mustahil kenapa penyu semakin pupus di perairan kita,” kata Pok Nor.

Menurut Pok Nor, aktiviti penangkapan ikan secara rakus menggunakan pukat pari juga dipercayai menjadi punca kenapa banyak bangkai penyu ditemui terdampar di tepi pantai.

“Nelayan ini hanya ingin mengaut keuntungan tanpa mempunyai perasaan cinta terhadap penyu yang menjadi khazanah berharga untuk generasi mereka sendiri.

“Selagi tidak timbul kesedaran dalam hati kita untuk menyelamatkan penyu, selagi itulah usaha untuk memelihara binatang ini daripada lenyap di bumi Dungun tidak akan berhasil,” kata Pok Nor lagi yang kini banyak terlibat dengan kerja sosial bersama Jabatan Perikanan dalam usahanya menyelamatkan kepupusan penyu.

Sinar Harian

Penyamun bengkok jeriji besi

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LUNAS - Sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Cekur Manis dipecah masuk selepas cermin di bahagian dapurnya dibuka manakala jeriji besinya dibengkokkan, kira-kira jam 7.30 petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa tidak berada di rumah kerana menziarahi keluarga di Kuala Lumpur.

Kejadian hanya disedari orang ramai yang lalu-lalang di sekitar kawasan rumah mangsa sebelum memaklumkan kepada unit polis peronda (MPV) Balai Polis Lunas.

Ketika pemeriksaan dijalankan mendapati beberapa peralatan elektrik termasuk televisyen yang baru dibeli turut dicuri.

Siasatan awal mendapati suspek masuk ke rumah mangsa melalui tingkap dan melarikan diri dengan menggunakan pintu belakang.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim, Khor Eng Khim berkata, beliau mendapat maklumat dan mengarah ahli PPKM untuk membuat rondaan di sekitar rumah mangsa.

Eng Khim berkata, ia merupakan antara kejadian pecah rumah yang berlaku sepanjang minggu ini. Beliau meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika meninggalkan rumah mereka terutama menjelang cuti sekolah.

“Rumah jangan sesekali dibiarkan dalam keadaan gelap. Kita harus memaklumkan kepada jiran ke mana kita akan pergi dan meminta jasa baik jiran untuk memerhatikan keselamatan rumah sepanjang percutian.

“Mereka yang ada membuat langganan surat khabar seharusnya menghentikan penghantaran untuk sementara waktu bagi memastikan tidak berlaku lambakan surat khabar di halaman rumah, “ katanya.

Menurutnya, dari pemerhatian PPKM rumah mangsa mempunyai banyak pokok dan ini membolehkan penjenayah berselindung sebelum melakukan jenayah pecah rumah.

Sinar Harian

Bukan 4 tapi 6 isteri

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BUKTI...Hani menunjukkan dua salinan sijil perkahwinan isteri kelima dan keenam yang dinikahi saudaranya.

KOTA BHARU: Bermodalkan air liur dan putar belit, seorang lelaki berusia 50-an di sini, dikatakan licik menipu empat isterinya untuk bertindak gila dengan menambah dua lagi ‘cawangan’ menjadikan jumlah keseluruhan isterinya enam.

Lelaki itu didakwa mengahwini isteri kelima di negara jiran pada Mac tahun lalu dan selang sebulan selepas itu mengahwini pula seorang wanita berstatus janda di tempat sama.

Dakwaan mengejutkan itu didedahkan seorang ahli keluarga terdekat lelaki terbabit yang tidak sanggup melihat saudaranya itu bergelumang dengan dosa.

Waris yang hanya mahu dikenali sebagai Hani, 40, berkata, dia terkejut kerana saudaranya itu berani melanggar hukum Islam apabila memiliki enam isteri serentak.

“Saya hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana ini kesalahan serius. Mempunyai lebih daripada empat isteri melanggar hukum agama dan perkahwinannya dengan isteri kelima dan keenam sepatutnya tidak sah,” katanya ketika ditemui, semalam.

metro

Pemandu lori putus tangan

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MARAN - Tindakan nekad seorang kelindan terjun dari tingkap pintu lori berjaya menyelamatkan nyawanya sementara pemandu lori berkenaan maut dalam satu kemalangan di Kilometer 104.7 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat simpang Chenor, semalam.

Mokhsin Mat Sobri, 25, berkata, lori yang membawa muatan ayam segar dari Kuantan menuju ke Temerloh itu hilang kawalan ketika melalui jalan yang tidak rata sebelum terbabas dan melanggar bahagian tengah sebuah lori balak tanpa muatan dari arah bertentangan.

Menurutnya, menyedari akan melanggar dengan lori balak berkenaan, dia secara spontan bertindak terjun dari lori tersebut.

“Ketika menuruni bukit di jalan raya yang tidak rata dan rosak ini, lori kami tidak stabil. Pada mulanya hampir terbabas ke kiri jalan sebelum pemandu cuba mengilas kembali ke laluan asal. Ketika ini saya sedar yang kami akan melanggar lori balak berkenaan lalu tanpa berfikir panjang, saya terus terjun ikut tingkap pintu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mokhsin berkata, tergamam dengan kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu, dia tidak menyangka akan kehilangan seorang rakan baik.


Hentaman kuat

Pemandu lori balak terbabit, V Mahendran, 53, berkata, jalan lurus di lokasi kejadian membolehkan dia melihat pergerakan tidak stabil lori membawa muatan ayam segar itu.

Menurutnya, pergerakan terhuyung-hayang itu dipercayai kerana tindakan pemandu mahu mengelak laluan tidak rata.

“Saya mulanya agak lori ini akan terbabas ke bahu jalan dan terkejut apabila ia melanggar bahagian tengah lori yang saya pandu.

“Hentaman kuat menyebabkan lori saya terbalik ke hadapan namun bagi mengelak kecederaan teruk, saya memegang kuat stereng lori. Selama 32 tahun memandu lori balak, ini kali pertama saya terlibat dalam kemalangan ngeri,” katanya.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Rahmat berkata, dia memandu kereta mengekori belakang lori membawa ayam segar itu dengan jarak sebuah lagi kereta di hadapannya.
Menurutnya, ketika menuruni bukit, lori tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum bergerak ke kiri dan kanan.

“Tiba-tiba saya terkejut melihat lori ini melanggar badan sebuah lori balak dan menyebabkan satu dentuman kuat. Kedua-dua lori seakan tercampak dan terheret ke hadapan secara bertentangan di laluan masing-masing. Saya berhentikan kereta dan dapati pemandu lori membawa muatan ayam tersepit dengan sebelah tangan terputus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, De­puti Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, hentaman kuat menyebabkan pemandu lori membawa muatan ayam segar itu tersepit sebelum dikeluarkan dengan bantuan Bomba dan Penyelamat Maran.

Menurutnya, mangsa yang beralamat di Kuantan, Karim Mohd Baki meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.

“Mayat mangsa di ba­wa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya.

Sinar Harian

Banjir di Perlis dijangka diatasi selepas 2014

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KANGAR — Masalah banjir yang kerap melanda Perlis dijangka dapat diatasi apabila tiga projek tebatan banjir siap menjelang 2014, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata projek itu ialah menaik taraf Sungai Arau, yang dilaksanakan bulan ini, menaik taraf empangan Timah Tasoh serta pembinaan lencongan barat bagi mengalirkan air empangan berkenaan ke Sungai Perlis dan terus ke laut.

"Kalau projek ini berjaya, adalah dianggarkan lebih 100,000 penduduk Perlis yang sebelum ini sering menerima bencana banjir semasa musim hujan, tidak lagi akan menghadapi masalah sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat projek itu daripada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Nishad Mohamed Mohd Shaffy di Empangan Timah Tasoh semalam.

Joseph, yang diiringi Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, kemudian melawat sekitar empangan itu sebelum ke Gua Kelam di Kaki Bukit.

Terdahulu, beliau dibawa meninjau Sungai Perlis yang memainkan peranan penting menerima limpahan air dari empangan sebelum mengalirkannya ke laut. — BERNAMA

Cedera kena serpihan bom

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TUMPAT – “Waktu saya terdengar dentuman yang amat kuat serta asap berkepul di udara saya terpinga-pinga sekejap.

“Tiba-tiba saya rasa kebas di tangan kiri, ada isi daging lengan saya tercabut, darah serta-merta keluar dengan banyaknya terus menitis di atas seluar jeans yang dipakai saya ketika itu.

“Saya hanya mampu menahan darah daripada terus keluar, menekup dengan tapak tangan,” kata Fauzi Awang, 40, menceritakan detik cemas kejadian bom meletup di Pekan Takbai, selatan Thailand, kelmarin.

Fauzi yang bekerja sebagai penambang bot cedera di lengan akibat terkena serpihan bom itu, menerima rawatan di Hospital Takbai.

Menceritakan detik cemas itu, Fauzi berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10.30 pagi (waktu Thailand) dia berada di Pangkalan Perahu sedang membeli buah limau nipis.

“Ketika berbual-bual dengan peniaga tersebut, saya terdengar dentuman yang amat kuat, terasa gegaran letupan tersebut padahal saya ketika itu berada sejauh hampir 20 meter daripada tempat bom dipasang,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan sakit itu, dia cuba menyelamatkan diri khuatir akan berlaku lagi letupan bom dan akhirnya dibawa oleh orang yang tidak dikenali ke Hospital Takbai untuk menerima rawatan.

Letupan bom di Pekan Takbai berhampiran Pangkalan Perahu turut meragut seorang nyawa Rakyat Thailand serta mencederakan empat anggota tentera Thailand serta tiga orang awam termasuk rakyat Malaysia, Fauzi yang berasal dari Pengkalan Kubor.

Saksi kejadian Rakyat Thailand dari Kampung Rumah Lanas, Brahim Ali, 64, berkata, ketika kejadian itu dia bersama rakannya Edy sedang bersandar di tangga Pangkalan Perahu.

“Ketika satu letupan kedengaran, saya terus terduduk, tetapi kawan saya itu, Edy terus rebah di hadapan saya. Muka Edy berlumuran darah sambil mengerang kesakitan terkena serpihan bom yang dipasang di bawah pasu bunga berdekatan dengan tempat kami bersandar di Pangkalan Perahu ini.

“Edy maut terkena letupan bom tersebut dan ini merupakan kejadian pertama berlaku letupan bom di Pekan Takbai,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan, anggota pemisah disyaki meletupkan sebutir bom di sebuah pasar di wilayah selatan Thailand membunuh seorang orang awam Rakyat Thailand dan mencederakan tujuh yang lain termasuk askar Thailand dan seorang rakyat Malaysia.

Agency