07 Mac 2012

Penyamun bengkok jeriji besi

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LUNAS - Sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Cekur Manis dipecah masuk selepas cermin di bahagian dapurnya dibuka manakala jeriji besinya dibengkokkan, kira-kira jam 7.30 petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa tidak berada di rumah kerana menziarahi keluarga di Kuala Lumpur.

Kejadian hanya disedari orang ramai yang lalu-lalang di sekitar kawasan rumah mangsa sebelum memaklumkan kepada unit polis peronda (MPV) Balai Polis Lunas.

Ketika pemeriksaan dijalankan mendapati beberapa peralatan elektrik termasuk televisyen yang baru dibeli turut dicuri.

Siasatan awal mendapati suspek masuk ke rumah mangsa melalui tingkap dan melarikan diri dengan menggunakan pintu belakang.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim, Khor Eng Khim berkata, beliau mendapat maklumat dan mengarah ahli PPKM untuk membuat rondaan di sekitar rumah mangsa.

Eng Khim berkata, ia merupakan antara kejadian pecah rumah yang berlaku sepanjang minggu ini. Beliau meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika meninggalkan rumah mereka terutama menjelang cuti sekolah.

“Rumah jangan sesekali dibiarkan dalam keadaan gelap. Kita harus memaklumkan kepada jiran ke mana kita akan pergi dan meminta jasa baik jiran untuk memerhatikan keselamatan rumah sepanjang percutian.

“Mereka yang ada membuat langganan surat khabar seharusnya menghentikan penghantaran untuk sementara waktu bagi memastikan tidak berlaku lambakan surat khabar di halaman rumah, “ katanya.

Menurutnya, dari pemerhatian PPKM rumah mangsa mempunyai banyak pokok dan ini membolehkan penjenayah berselindung sebelum melakukan jenayah pecah rumah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: