07 Mac 2012

Kecederaan pemain tidak jejas Kelantan

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PENDAHULU Liga Super, Kelantan bakal turun tanpa beberapa tonggak utama menjelang perlawa­nan Piala Konfederasi Asia (AFC) Kumpulan H menentang wakil Vietnam, Navibank Saigon di Stadi­um Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Ketiadaan penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan pertahanan kental, S Subramaniam (Subra) yang masih cedera memberi gambaran The Red Warriors bakal berdepan laluan berliku dalam misi mengutip mata maksimum.

Bagaimanapun bagi pengendali baru pasukan Kelantan, Bojan Hodak tetap tenang sambil menegaskan betapa beliau mempunyai senarai pemain yang boleh menggalas tugasan ditinggalkan Mat Yo dan Subra.

“Saya ada pemain import (Mohammed Ghaddar, Nwoha Onyekachi dan Dennis Antwi) yang boleh ganti Mat Yo. Apa pun, saya masih belum buat sebarang keputusan muktamad.

“Mungkin ada sedikit rombakan terhadap pasukan selepas melalui jadual perlawanan yang padat di Liga Super,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Pertama kali menyertai AFC, Hodak tetap optimis berdasarkan kedudukan Kelantan yang menerajui Liga Super berbanding Navibank di kedudukan sembilan Liga Vietnam.

“Kita tidak meletak harapan tinggi cuma berharap dapat bermain dengan tenang dan tanpa tekanan kerana jika dilihat, dua pasukan ini mampu ke saingan seterusnya berbanding dua lagi pasukan dalam kumpulan, Arema (Indonesia) dan Ayeyawady United (Myanmar).

Sementara itu, pengendali Navibank, Pham Cong Loc tetap tetap yakin untuk melakar kemenangan malam ini.

“Kelantan antara pasukan terkuat di Malaysia tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik bagi memastikan tiga mata penuh dalam genggaman,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: