07 Mac 2012

Jawatankuasa Pemandu tidak hadkan kuasa MB

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Peranan Jawatankuasa Pemandu PAS Pusat tidak akan menghadkan sebarang kuasa menteri besar berdasarkan pengalaman jawatankuasa ini yang dipraktikkan di Kelantan sebelum ini.

Bendahari PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (gambar), menegaskan peranan jawatankuasa itu hanya memberikan nasihat dan pandangan tentang beberapa perkara berbangkit di negeri terlibat.

Di Kelantan, kata beliau yang pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika itu, jawatankuasa itu pernah memberikan pandangan dan nasihat berhubung hukum hudud yang ingin dilaksanakan di negeri itu pada 1990.

PAS membentuk Jawatankuasa Pemandu untuk membantu pentadbiran negeri Kelantan apabila PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah menang semula di negeri itu pada tahun 1990.

Ketika itu, Presiden PAS adalah Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Nor.

"Apabila terdapat perkara berbangkit mengenai hukum hudud yang ingin dilaksanakan di Kelantan dahulu, jawatankuasa tersebut memberikan pandangan dan nasihat mengenainya. Namun, keputusan tetap di tangan menteri besar dan ahli exconya," jelas Datuk Halim kepada Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Halim yang kini anggota Parlimen Pengkalan Chepa berkata, Jawatankuasa Pemandu hanya berfungsi sebanyak 50 peratus sahaja, manakala selebihnya terletak di bawah kerajaan negeri.

Bagaimanapun, peranan jawatankuasa itu hanya lebih berbentuk nasihat tanpa mencampuri sebarang keputusan kerajaan negeri.

Sebelum ini, PAS Pusat memutuskan agar Jawatankuasa Pemandu ditubuhkan bagi menasihati kerajaan negeri Kedah dan negeri-negeri yang melibatkan PAS untuk membantu pentadbiran negeri itu.

Bagaimanapun media arus perdana memutarbelitkannya sebagai satu usaha untuk menghadkan kuasa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Harakah Daily

Tiada ulasan: