07 Mac 2012

Polis siasat pekebun OKU berhubung surat Mong

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Selepas bantuan kebajikan dan subsidi pertaniannya dihentikan kerana didakwa menyokong pembangkang, pekebun kurang upaya Frusis Lebi, hari ini disoal siasat oleh polis.

Beliau dipanggil ke balai polis Sri Aman pada jam 10.30 pagi berhubung laporan polis yang dibuatnya yang mendakwa Menteri Muda Pertanian Sarawak Datuk Mong Dagang mengarahkan bantuannya dihentikan.

Ketika dihubungi Frusis berkata polis ingin tahu siapa yang mendedahkan surat itu dan bagaimana arahan mengenai pemberhentian bantuan itu disampaikan kepadanya.

"Mereka juga tanya sama ada saya tahu mengapa bantuan saya dihentikan dan mengapa saya membuat laporan polis.

"Saya jelaskan kepada mereka bahawa Mong salah gunakan kuasa dan saya sekarang sangat tertekan kerana dia melanggar hak saya sebagai rakyat Malaysia," kata Frusis.

Mong pada Isnin, ketika dihubungi akhbar harian Inggeris The Sun mengakui mengeluarkan arahan menghentikan bantuan kepada pekebun itu dan mendakwa Frusis tidak layak ditolong kerana "beliau mampu menanam padi dan menunggang motosikal seperti manusia normal."

"Doktor sahkan bahawa saya cacat tapi tindakan Mong ini telah menyusahkan saya," keluh lelaki yang dilahirkan dengan kecacatan jari di tangan dan kakinya itu.

Ditanya sama ada beliau akan berusaha untuk mendapatkan bantuan berkenaan semula, Frusis berkata: "Saya tidak tahu hendak buat macam mana?"

Sementara itu, ketua DAP cawangan Sri Aman Leon Jimat Donald (kiri)yang membantu Frusis, berkata polis tidak merakamkan kenyataan Frusis tetapi semata-mata hanya mahu melakukan laporan susulan.

"Tiada perubahan yang dibuat kepada laporan polis asal... mungkin mereka harap dengan cara halus mereka boleh memaksanya mengubah laporan, "katanya.

Leon juga mendesak Mong yang merupakan ADUN Bukit Begunan supay meletakkan jawatan sebagai menteri muda dan juga wakil rakyat kerana enggan menarik balik arahannya itu.

"Ini menunjukkan betapa angkuh dan bongkaknya... ini adalah diskriminasi dan pencabulan hak untuk berpersatuan Frusis '. "

NONESementara itu, Mong hari ini sekali lagi mempertahankan tindakannya untuk menghentikan bantuan kepada Frusis dengan berkata adalah hak demokrasi bagi beliau berbuat demikian.

"Setiap orang mempunyai hak-hak demokrasi, begitu juga dengannya dan diri saya, oleh itu saya mestilah adil dan memberi bantuan kepada orang kurang upaya yang lebih layak daripada Frusis," katanya yang dipetik oleh Borneo Post.

Mong, dalam laporan itu, berkata beliau akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat bagaimana suratnya itu dibocorkan dan mencadangkan pihak pembangkang untuk memberikan bantuan kepada pekebun itu.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: