07 Mac 2012

Rompak: Pelajar harap kedutaan ambil tindakan

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Pelajar Malaysia yang dirompak dan ditetak kepalanya baru-baru ini tidak dipeduli oleh polis Mesir, malah polis Mesir tidak mengambil sebarang tindakan terhadap perompak yang berjaya ditangkap.

Muhammad Afnan Elias (gambar) dirompak dan ditetak kepalanya sebanyak empat kali oleh tiga pemuda Mesir.

Kejadian itu berlaku pada jam 8 malam sewaktu beliau bersama seorang kawan dalam perjalanan pulang ke Asrama Pelajar-pelajar Melayu di Hayyu Sabek, Kaherah.

Sudah tiga minggu tidak ada tindakan dari pihak polis Mesir berkenaan kes ini, malah polis Mesir sengaja membebaskan perompak tersebut, walaupun perompak tersebut tertangkap bersama dengan bahan bukti iaitu sebilah parang, hanset dan dompetnya.

Perompak itu dibebaskan oleh polis tanpa pengetahuan Kedutaan Malaysia.

Lebih menyedihkan lagi, apabila mengetahui perompak tersebut dibebaskan, tiada tindakan serius daripada pihak Kedutaan Malaysia berkenaan kes itu, seolah-olah pihak Kedutaan Malaysia yang dilantik tidak mampu memberi kebajikan kepada rakyat Malaysia di Mesir dan membiarkan rakyat Malaysia berada dalam keadaan takut.

Justeru, para pelajar Malaysia di Mesir berharap agar pihak Kedutaan Malaysia dan Kerajaan Malaysia menjalankan tanggungjawab terhadap kes rompakan yang sering berlaku kepada pelajar-pelajar Malaysia kebelakangan ini.

“Kami mendesak pihak Kedutaan Malaysia di Mesir mengambil tindakan yang serius supaya kes ini dapat dibawa ke muka pengadilan,” tulis seorang pelajar di dalam emel kepada Harakahdaily.

Isu itu pernah disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia pada 18 Februari lalu bahagian jenayah.

Harakah Daily

Tiada ulasan: