08 Mac 2012

Liga Juara: 5 gol Messi, Barcelona menang 10-2

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LIONEL Messi mencipta sejarah dengan menjaringkan lima gol bagi membolehkan Barcelona 'menyapu bersih' Bayer Leverkusen 7-1 di Barcelona, sekali gus memberi amaran ia pasukan yang mantap untuk mara sehingga ke peringkat akhir kejohanan Liga Juara-juara.

Dengan jaringan besar daripada Messi, Barcelona menempah tiket suku akhir dengan mudah.

Messi menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dan disusuli dengan tiga lagi gol pada separuh masa kedua. Messi setakat ini telah menjaringkan 53 gol dalam 49 perlawanan bagi kelabnya.

Barcelona yang turun pusingan kedua, yang berlangsung awal pagi tadi dengan kelebihan 3-0 ke atas Bayer Leverkusen, menang dengan agregat 10-2.

Sinar Harian

All England: Beregu Zakry-Fairuzizuan mara peringkat ke-2

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEREGU lelaki negara, Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton All England selepas menewaskan lawan mereka dari Jerman, Michael Fuchs/Oliver Roth di Birmingham, England semalam.

Gandingan Mohd Zakry/Mohd Fairuzizuan mudah menewaskan Fuchs/Roth, 21-19 21-11 pada pusingan pertama kejohanan itu dalam masa 30 minit.

Mereka dijadualkan bertemu pilihan ketujuh dari Indonesia, Mohammad Ahsan/Bona Septano atau beregu dari Amerika Syarikat, Howard Bach/Tony Gunawan pada pusingan kedua kejohanan itu hari ini.

Sementara itu, beregu campuran nombor sembilan dunia dari Malaysia, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying nyata cemerlang apabila menumpaskan lawan mereka dari
India, V. Diju/Jwala Gutta dengan mata 21-14 dan 21-12 dalam masa 26 minit.

Kempen tiga beregu wanita negara pada kejohanan itu berakhir apabila masing-masing tersingkir pada pusingan pertama kejohanan berprestij itu.

Beregu utama Chin Eei Hui/Wong Pei Tty kalah kepada beregu nombor dua dunia dari China, Tian Qing/Zhao Yunlei, 17-21 dan 14-21 manakala beregu kedua negara Vivian Hoo Kah/Woon Khe Wei turut mengalami nasib sama kepada beregu Hong Kong, Poon Lok Yan/Tse Ying Suet, 21-16, 19-21, 18-21.

Satu lagi beregu negara, Goh Liu Ying/Lim Yin Loo yang berjaya melepasi pusingan kelayakan semalam, bagaimanapun gagal memberi aksi cemerlang apabila tumpas di tangan beregu nombor tujuh dunia dari Denmark, Christinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl, 16-21 dan 16-21.

Sementara itu, pasangan adik-beradik Ng Hui Ern/Ng Hui Lin dijadualkan bertemu beregu wanita dari Jepun, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi, awal pagi ini (waktu Malaysia). - Bernama

Sinar Harian

PBSM Syria masuki Baba Amr

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GENEVA 8 Mac – Pasukan Bulan Sabit Merah Syria semalam memasuki daerah Baba Amr di bandar Homs, kawasan pemberontak yang teruk dibedil oleh tentera kerajaan minggu lalu.

Jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, Carla Haddad memberitahu AFP, pasukan itu memasuki Baba Amr petang semalam.

Sebanyak tujuh trak bantuan telah menunggu sejak Jumaat lalu untuk memasuki Baba Amr, daerah yang didakwa oleh penduduk yang melarikan diri berdepan dengan krisis kemanusiaan selepas serangan tentera kerajaan Khamis lalu. – AFP

NFC: PKR Akan Heret Ramai Pemimpin BN Ke Mahkamah

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli akan mengemukakan pembelaan terhadap tuntutan saman berjumlah RM100 juta yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil pada hari Jumaat ini, 9 Mac 2012 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Menurut Zuraidah, beliau dan Rafizi telah membincangkan secara mendalam mengenai strategi pembelaan sekiranya tuntutan saman ini diteruskan juga oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil, selepas mahkamah mendengar pembelaan yang akan dikemukakan Jumaat ini.

“Antara lain, saya dan Saudara Rafizi bercadang untuk memanggil kesemua pimpinan kanan negara yang pernah terlibat di dalam membuat keputusan berhubung NFC atau pernah memberikan komen mengenai NFC untuk dipanggil sebagai saksi memberikan keterangan.

“Saya juga yakin bahawa apabila Dato’ Seri Shahrizat Jalil dipanggil menjadi saksi dan disoalsiasat, beliau terpaksa mengaku bahawa beliau sendiri pernah menghabiskan masa di kondominium mewah yang dimiliki oleh keluarga mereka dan dibeli menggunakan dana awam.

” Itu menimbulkan persoalan besar sama ada beliau betul-betul tidak tahu menahu bahawa keluarga beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk membeli harta peribadi, seperti keterangan beliau di dalam tuntutan saman.” kata beliau melalui kenyataan media yang di keluarkan petang ini.

Menurut Zuraidah, pihaknya yakin rakyat Malaysia begitu teruja agar kes saman ini dapat dibicarakan secepat mungkin, supaya kesemua pimpinan kanan Barisan Nasional dapat diheret untuk memberikan keterangan.

selangorku/-

Khutbah Jumaat : Rancangan jahat kaum kufar membakar al-Quran

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Rancangan jahat kaum kufar membakar al-Quran

الْحَمْدُلِلَّهِ الْقَائِلْ،

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ ٱلْيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

bermaksud: “ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu).

أَشْهَدُ أَنْ لَّآإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ, وَرَسُوْلُهُ

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! آتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَاتَمُوْتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,


Saya berwasiat kepada diri saya sendiri dan tuan-tuan sekelian agar kita gunakan kesempatan bertemunya kita dengan Hari Jumaat ini, penghulu segala hari, untuk kita memperbaharui tekad kita menempatkan diri kita masuk dalam sof orang-orang yang bertaqwa dengan kita membuktikannya dengan kesungguhan kita melaksanakan segala perintah yang wajib-wajib dan menambahkan lagi amalan dengan mengerjakan yang sunat-sunat serentak dengan kita menjauhi perkara yang makruh untuk kita merasa jijik dengan perkara-perkara yang diharamkan Allah.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,


Umat Islam di seluruh dunia sekali lagi di gamatkan dengan berita pembakaran kitab suci al-Quran yang turut melibatkan tentera NATO di Afghanistan. Walaupun pihak NATO mengatakan bahawa tenteranya terbabit secara tidak sengaja dan berjanji akan menjalankan penyiasatan terhadap pelakunya, namun ianya tidak mungkin dapat mengubat hati Umat Islam yang bukan sekali dua dihina sebegitu.

Sebelum ini, peristiwa sama pernah terjadi di Florida, Amerika Syarikat di mana pendeta Terry Jones membakar al-Quran kononnya sempena memperingati peristiwa 11 September 2001 di New York dengan menjadikannya sebagai ‘International Burn a Koran Day (Hari membakar al-Quran Antarabangsa). Lebih menyayat hati apabila hari tersebut bertepatan dengan Hari Raya Aidil Fitri 1431 hijrah yang diraikan oleh Umat Islam di seluruh dunia. Kita juga digemparkan pula dengan rakaman tentera NATO yang kencing ke atas mayat orang Islam yang menjadi mangsa serangan mereka di medan peperangan.



Penghinaan demi penghinaan seperti ini akan berterusan selama mana Umat Islam tidak mampu untuk menguasai dunia dan menundukkan dunia dengan peraturan dan cara hidup Islam yang membawa kesejahteraan kepada semua manusia. Firman Allah:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ ٱلْيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم بَعْدَ ٱلَّذِى جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠﴾

bermaksud: “ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi pengetahuan kepadamu (mengenai kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120).

Walaupun Rasulullah SAW sentiasa menghormati di antara sesama manusia, kejahatan dan pengkhianatan Yahudi terhadap Umat Islam pernah menyebabkan Baginda mengusir Bani Qainuqa’ dan Bani Nadir akibat sikap mereka yang melampaui batas.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,


Al-Quran menceritakan dengan jelas mengenai sikap dan pegangan jahat Yahudi dan Nasrani terhadap Umat Islam, sejak zaman Rasulullah SAW hingga ke hari ini. Mereka akan terus berusaha dengan segala cara, memusuhi Umat Islam dan kemuncaknya sehingga memurtadkan Umat Islam dari masa ke semasa. Antaranya mereka menggunakan pendekatan yang disebut ‘Gold, Gospel dan Gloryus’ iaitu menguasai ekonomi, menyebarkan agama dan seterusnya menjajah.

Sidang Jumaat Sekelian,

Seterusnya Allah SWT memberikan amaran kepada Umat Islam agar tidak menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman kepercayaan. Firman Allah swt :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَكُمْ هُزُوًۭا وَلَعِبًۭا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَٱلْكُفَّارَ أَوْلِيَآءَ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿٥٧﴾

bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang yang diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu, menjadi penolong-penolong, dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 57).

Malagnya masih ada di kalangan Umat Islam yang masih menyatakan sokongan terhadap Yahudi dan Nasrani, masih berusaha menjalinkan hubungan diplomatik dengan Negara mereka, menjalankan perniagaan secara bebas dengan mereka dan tidak berusaha untuk mengutamakan Negara-negara Islam berbanding Negara-negara mereka.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمْ رَ‌ٰكِعُونَ ﴿٥٥﴾

bermaksud : “Sesungguhnya penolong bagi kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).” (Surah al-Ma'idah, ayat 55).

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Allah telah membongkar kejahatan mereka bagi menyelamatkan Umat Islam dari menjadi mangsa dan terpedaya dengan tipu helah mereka. Namun Umat Islam adanya terlalu berani mengambil risiko untuk terus mengharapkan keuntungan dunia dengan menjadikan mereka sebagai rakan kerjasama selama-lamanya. Marilah kita mengubah nasib kita sendiri dengan mengutamakan Umat Islam sendiri dalam segala urusan kehidupan kita, samada dalam urusan perniagaan, sukan, pendidikan dan sebagainya. Berusahalah untuk beralih daripada kebergantungan kepada mereka dan Negara-negara yang dikuasai oleh mereka kepada bekerjasama di antara Negara-negara Islam. Jika ini dapat kita lakukan pasti mereka tidak akan mampu menakut-nakutkan kita, tidak akan sewenang-wenangnya menghina dan mempersendakan agama kita, dan akhirnya dunia akan menjadi lebih tenang daripada kejahatan mereka.

Firman Allah:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ بِطَانَةًۭ مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًۭا وَدُّوا۟ مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ ٱلْبَغْضَآءُ مِنْ أَفْوَ‌ٰهِهِمْ وَمَا تُخْفِى صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلْءَايَـٰتِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ ﴿١١٨﴾

yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi ‘orang dalam’ (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Sudah nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya Kami jelaskan kepada kamu keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (Surah al-Imran, ayat 118)

*AMARAN!!! Pihak JAIPk tidak bertanggungjawab ke atas sebarang penambahan ayat selain dari kandungan khutbah yang dikeluarkan.

Dana NFC untuk beli 8 lot kedai di Bangsar ?

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
Harakahdaily/-
KUALA LUMPUR, 7 Mac: PKR hari ini mendedahkan bahawa Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menggunakan dana awam sebagai jaminan pinjaman peribadi untuk membeli lapan unit hartanah mewah di KL Eco City, Bangsar.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli menampilkan bukti bercetak carian kredit rasmi beberapa bank-bank yang berurusan dengan Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Mohamad Salleh untuk membuat pembelian tersebut.

Mohamad Salleh didakwa mendepositkan sejumlah besar dana NFC ke bank-bank tertentu sebagai cagaran untuk membuat pembelian tersebut bernilai RM9.69 juta.

Rafizi berkata, harga pasaran semasa unit-unit tersebut boleh mencecah RM12 juta.

"Kaedah menyalahgunakan dana awam untuk mendapatkan pinjaman peribadi seperti ini adalah menyalahi mandat yang diberikan kepada NFC untuk membangunkan projek berkepentingan nasional," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Tropicana, hari ini.

Apa yang lebih membimbangkan kata beliau, apabila melihat rekod pembayaran pinjaman yang buruk, termasuklah tidak membayar bayaran pinjaman dalam bulan Julai dan Ogos 2011 dan berulang pada bulan Disember tahun yang sama.

Beliau berkata, pihak pengurusan NFC perlu memberi jaminan bahawa sebarang masalah pembayaran membabitkan pinjaman peribadi mereka tidak akan memberi apa-apa kesan kepda dana awam yang disimpan di bank yang sama.

"Ini kerana simpanan tetap NFC sebanyak RM71.4 juta berkait rapat dengan pembelian harta-harta peribadi ini," katanya.

PKR juga tegasnya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan janji beliau untuk membekukan semua aset NFC, termasuklah simpanan tetap berjumlah RM71.4 juta.

Pembangunan KL Eco City ketepi nasib rakyat miskin

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah meminta Menteri Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat, datuk Seri Shahrizat Abd jalil membuat penjelasan mengenai pemindahan penduduk berpendapatan rendah di Kampung Abdullah Hukum akibat projek di KL Eco City.

"Dalam pendedahan terkini, Shahrizat wajar menerangkan kepda rakyat sama ada beliau memainkan apa-apa peranan yang mempengaruhi keputusan sehingga menyebabkan pemindahan penduduk berpendapatan rendah di Kampung Abdullah Hukum.

Katanya, jika Shahrizat mengambil sikap sambil lewa dalam membela nasib penduduk yang terlibat sejak sebuah syarikat usahasama diwujudkan dalam tahun 2007, ia juga menimbulkan pertanyaan sama ada ada kena mengena dengan kepentingan keluarga beliau yang berhasrat membeli hartanah di KL Eco City.

Beliau turut mengecam ketidakpedulian pimpinan pemuda Umno yang mendapat durian runtuh berjumlah RM75 juta daripada projek KL Eco City terhadap nasib rakyat yang terpaksa dipindahkan di Kampung Abdullah Hukum.

Beliau berkata, kepimpinan pemuda Umno terlibat secara langsung dalam pembangunan KL Eco city dan tindakan pemindahan penduduk melalui syarikat YGP Holdings Sdn Bhd, yang merupakan rakan kongsi awal KL Eco City Sdn Bhd.

Pengarah-pengarah YGP holdings Sdn Bhd termasuklah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan pimpinan Pemuda Umno seperti Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Megat Firdouz Megat Junid.

Kemelut politik Kedah cemar maruah PAS ?

15 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
Abdul Rahman Malik /Malaysiakini

Pada permukaannya PAS nampak berjaya mengendurkan polemik di antara Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan dua timbalannya, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh dengan aman. Hal ini pernah diramalkan beberapa pemimpin PAS sebelum ini bahawa PAS mampu menangani kemelut itu melalui semangat ukhuwah dan mahabbah.

NONE

Malah sehingga tengah hari Isnin lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kelihatan gesit mengumumkan keputusan “menang-menang” di antara dua pihak yang bertelingkah itu. Phahrolrazi dan Ismail bersetuju menerima pelantikan semula sebagai exco negeri. Azizan pula kekal sebagai menteri besar dan pesuruhjaya PAS negeri itu.

Namun inti persoalan yang mendorong perbalahan itu berlaku rupanya masih belum padam. Ibarat api dalam sekam sedikit hembusan bayu politik boleh menyemarakkan kembali pertikaian itu. Kemelut politik Kedah ini nampaknya benar-benar menguji keampuhan dan keberkesanan sistem tarbiyah PAS.

Apakah benar semangat ukhuwah dan tarbiyah dalam pelbagai bentuk yang dikendalikan PAS untuk pemimpin dan ahlinya selama ini akan membantu mereda dan mengelak isu itu menjalar menjadi bom jangka bagi cita-cita politik PAS?

NONE

Tidakkah Jawatankuasa Pemandu PAS yang akan menyelia keputusan dan tindak tanduk Azizan (kanan) dan barisan exconya boleh disimpulkan sebagai satu campurtangan “Kerajaan Pusat” PAS?

Bolehkah dibaca pengwujudan jawatankuasa itu membayangkan bahawa PAS mengakui memang menteri besar dan exconya selama ini memang mendokong sebuah kerajaan negeri PAS yang lemah hingga perlu campurtangan PAS Pusat?

Atau, apakah sebenarnya perselisihan pandangan dan cara kepemimpinan Azizan dengan timbalan-timbalannya begitu luas lompongnya hingga perlu jawatankuasa pemandu mendisiplinkan mereka agar pertikaian tidak melimpah menjadi pergeseran antara “tok-tok demang” atau “warlordism” di Kedah?

Lebih menggusarkan ialah, jika benar dakwaan sesetengah pihak bahawa Phahrolrazi dan Ismail bertindak mempamerkan “undi tidak percaya” terhadap kepemimpinan Azizan dengan menolak tawaran pelantikan menjadi exco bukan atas sebab isu peribadi tetapi bersandarkan prinsip perjuangan PAS sendiri, khalayak umum pasti akan terkilan dengan cara kepemimpinan PAS Pusat menangani krisis ini.

NONE

Kini hembusan bayu politik mula membuak menjadi badai yang membawa khabar Phahrolrazi dan Ismail sebenarnya bertindak “degil dan nekad” menentang budibicara Azizan “menganugerahkan” projek satu ribu juta ringgit kepada “kroni”nya. Jika itu benar, memang buruk padahnya pada nama baik dan maruah PAS.

Kini adalah semakin ketara bahawa soal ukhuwah dan tarbiyah tidak dapat menyorokkan punca perbalahan. Malah secara langsung desas desus politik mengisyaratkan bahawa PAS Pusat sebenarnya gagal mereda apatah lagi menyelesaikan kemelut itu. Lebih menyedihkan PAS Pusat seolah-olah bertindak mahu menyembunyikan “salah laku” pemimpinnya di Kedah!

PAS mesti cepat dan tangkas menangani isu ini. Atas nama kebenaran, PAS harus berhenti bermain silap mata politik. Ini soal prinsip. Tugas utama Jawatankuasa Pemandu yang akan ditubuhkan mestilah menyiasat laporan salah laku ini. Ini bukan sahaja untuk memelihara nama baik perjuangan PAS tetapi membersihkan strategi politik PAS.

NONE

PAS harus telus. Tidakkah ahli dan penyokong PAS rasa tertipu jika benar projek sebesar satu ribu juta diberikan kepada kroni menteri besar yang didakwa sebenarnya adalah ahli Umno, musuh politik PAS!

Bukankah itu pengkhianatan namanya? Jika dibandingkan dengan projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC), kepetualangan ini lebih zalim dan menghiris jiwa penyokong PAS.

Jika masih ada ruhul Islam dalam perjuangannya, PAS harus menggantung khidmat Azizan sehingga Jawatankuasa Pemandu membersihkan namanya. Atau, jika ada kebenaran terhadap tuduhan ini, PAS sendiri harus melaporkan salah laku itu kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sejarah politik Islam banyak teladan untuk pemimpin-pemimpin PAS. Selesai sahaja mengkebumikan Khalifah Sulaiman, Umar bin Abdul Aziz terus mengambil kertas dan tinta untuk mengeluarkan tiga perintah kepada umat Islam di bawah jagaannya.

kaabah mekah islam holycity 080307 satellite image

Pertama, Umar membatalkan perintah almarhum Khalifah Sulaiman. Beliau mengarahkan Maslamah, jeneral tentera Islam untuk mengundurkan balatentera dari menyerang Konstantinopel. Ini kerana setelah berbulan mengasak kota itu dari laut dan darat soldadu Islam masih gagal mencapai kemenangan malah semakin lemah peralatan perang dan kurang bekalan makanan mereka.

Khalifah Sulaiman ketika hayatnya mahu misi menawan Konstantinopel diteruskan kerana didorong oleh ego mahu meluaskan jajahannya. Tidak banyak pertimbangan diberikan kepada keadaan dan kebajikan tentera Islam. Sebagai khalifah baru, Umar tidak mahu nafsu berkuasa dan kekuasaan menandai pemerintahannya.

Kedua, Umar memerintahkan Usamah bin Zaid at Tanukhi yang memegang bidang pajakan Mesir dipecat dan dipenjarakan kerana bertindak zalim dan menghukum rakyat tanpa mengikuti peraturan yang ditetapkan Allah.

Ketiga, Umar mengeluarkan surat untuk memecat Yazid bin Abi Muslim dari Afrika yang sering tidak menghiraukan perintah Sultan. Lantaran sikap bengis dan sering menzalimi rakyat jelata, Umar segera bertindak melucutkan pangkatnya.

NONE

Buat masa ini, PAS harus mengetepikan impian menakluki Putrajaya. Yang lebih penting ia harus membersihkan wadah perjuangannya. Ulat dan musuh pemerintahan Islam ialah rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan juga ego pemimpin.

Kawallah iklim politik Kedah supaya jangan ia membuat hati rakyat beku dan sinis terhadap apa yang dinamakan daulah Islamiah jika ia tidak banyak bebeza dengan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Abdul Rahman Malik adalah bekas kakitangan awam dan kini cenderung memperjuangkan nasib politik orang-orang Melayu.

07 Mac 2012

Feri Terbakar di Filipina: 25 Penumpang Terselamat

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MANILA: Seramai 25 penumpang terselamat apabila feri membawa pelancong terbakar sebaik meninggalkan pelabuhan pada Khamis.

Pengawal pantai berkata, Feri MV Cebu 1 membuat panggilan kecemasan selepas meninggalkan Pelabuhan Batangas kira-kira 100 kilometer selatan Manila. "Pengawal pantai menghantar dua bot untuk membantu manakala kapal dagang yang berada di kawasan itu turut membantu," katanya.

Beliau berkata, jumlah penumpang sudah dikira dan kebakaran berjaya dipadamkan. - AFP

NGO Anti-Lynas Kutuk Adnan Yaakub

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 7 MAC : Gabungan Hentikan Lynas (SLC) dan Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas (SMSL) hari ini mengeluarkan kenyataan mengutuk cadangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub untuk membuang sisa radioaktif Lynas di Sungai Lembing.

“Cadangan Menteri Besar itu akan menyebabkan pencemaran di sungai tersebut. Lebih-lebih lagi kawasan terbabit kini merupakan kawasan pelancongan yang semakin berkembang.

“Ribuan pelancong yang sebelum ini berkunjung ke sini pasti akan bertukar lokasi persinggahan kerana kehadiran sisa radioaktif. Bayangkanlah berapa banyak penduduk setempat bakal kehilangan sumber pendapatan,” jelas Pengerusi SMSL, Tan Bun Teet.

Lebih merunsingkan sehingga kini tiada lagi tempat untuk pembuangan sisa radioaktif diumumkan secara rasmi walhal ia merupakan salah satu daripada lima syarat yang dikenakan ke atas Lynas ketika menerima Lesen Kendalian Sementara (TOL).

“Jika lokasi tetap sisa pembuangan ditemui pun, bagaimana dengan 500 tan pemancaran dan 100,000 meter padu sisa gas yang akan dilepaskan ke sungai dan laut kita setiap jam.

“Bagaimana pula dengan nasib penduduk Balok yang tinggal hanya beberapa kilometer daripada loji Lynas? Bagaimana mereka harus hidup jika sumber mereka sudah tercemar,” ujar Pengerusi SLC, Andansura Rabu.

Selain itu, Adnan Yaakub turut mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan terhadap mana-mana ahli politik yang terlibat dalam sebarang Kempen Hentikan Lynas.

“Kami sangat terkejut dan pada masa sama lucu dengan cadangan MB. Australia memperoleh keuntungan RM55 juta hasil pengecualian cukai setiap tahun. Tapi apa yang kita dapat di Pahang ini adalah sisa toksik dan pencemaran semata.

“Datuk Seri Adnan Yaakub tidak sesuai menjadi Menteri Besar Pahang jika beliau meletakkan kepentingan perusahaan asing yang tidak membayar cukai lebih tinggi daripada kesihatan dan kebajikan rakyat negara ini,” kata Bun Teet sambil mendesak rakyat teruskan usaha mendesak kerajaan menghentikan Projek Lynas demi masa depan yang lebih bersih dan selamat.

Sementara itu Lynas semalam memaklumkan sudah mengemukakan akurjanji untuk mengantar sisa radioaktif dari lojinya di Gebeng ke luar negara.

selangorku/-

Polis ambil keterangan dua pemandu bas pelancong

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis telah mengambil keterangan dua pemandu bas persiaran yang terlibat dalam satu kemalangan sehingga menyebabkan dua pelancong rakyat India terbunuh pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis mengambil keterengan daripada kedua-dua pemandu G. Sugumaran, 26, dan A. Moothy, 45, semalam bagi membantu siasatan polis berhubung kemalangan tersebut.

"Kedua-dua mereka telah keluar dari HKL (Hospital Kuala Lumpur) dan buat masa sekarang mereka mendapatkan rawatan di klinik swasta. Mereka masih lagi dalam pemerhatian kita," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Dua pelancong rakyat India terbunuh manakala 24 lagi termasuk kedua-dua pemandu itu cedera apabila bas yang mereka naiki hilang kawalan ketika menuruni bukit lalu terbabas dan terbalik di bahu jalan di kilometer 4.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini ketika dalam perjalanan ke ibu negara dari Genting Highlands.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Selayang Dr Mohd Suhaimi Abd Majid berkata sembilan mangsa kemalangan masih dirawat di Hospital dengan empat berada dalam keadaan kritikal manakala lima lagi stabil.

"Saya tidak rasa mereka boleh dibenar keluar dalam waktu terdekat kerana daripada kesan kecederaan itu mereka masih memerlukan rawatan. Dua mangsa masih berada dalam unit kecemasan dengan bantuan alat pernafasan kerana mengalami kecedeaan di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jurucakap HKL mengesahkan dua rakyat India yang dirawat di HKL telah dibenar keluar dari hospital dan diuruskan pegawai pejabat Pesuruhjaya Tinggi India pada Isnin.

"Dua mangsa yang dibenarkan keluar ialah Rajeev, 27, dan Sharma Kamlesh 23.

Setakat ini, 11 lagi masih dirawat dan berada dalam keadaan stabil," kata jurucakap itu. - Bernama

RM10 juta bagi pendidikan anak syarikat Selangor

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 7 Mac: Kerajaan Negeri Selangor menyediakan Tabung Pendidikan anak-anak syarikat dan badan-badan berkanun negeri untuk memberi biasiswa, dermasiswa dan sebarang bentuk bantuan serta sumbangan kepada warga kerja anak-anak syarikat kerajaan negeri dan anak-anak mereka yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat Negeri Selangor ini adalah salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) selaras dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor merakyatkan ekonomi dan menjadi sebuah negeri maju, sejahtera dan berkebajikan,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, dana permulaan tabung itu berjumlah RM10 juta yang disumbangkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad/Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS).

Beliau berkata, Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat Negeri Selangor yang berkuatkuasa pada November tahun lalu dan akan dirasmikan Sultan Selangor pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

harakahdaily/-

Najib diminta pulangkan hak rakyat dizalimi

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta memulangkan semula semua hak rakyat yang dizalimi selama ini jika benar-benar ikhlas hendak bertaubat kerana perkara itu merupakan salah satu syarat taubat dalam Islam.

Jika tidak, permohonan maaf Najib ternyata hanyalah sandiwara politik kerana tidak disusuli dengan tindakan sepatutnya seperti yang dituntut oleh Allah ke atas hamba-Nya yang telah melakukan kesalahan dan ingin bertaubat.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan, dalam kaedah Islam khususnya dalam perkara yang melibatkan hak manusia, seperti yang disebut oleh tokoh ulama terkenal abad ke-7, Imam Nawawi, taubat mesti mempunyai 4 syarat.

Menurutnya, syarat pertamanya, menyesali perlakuan dosa dan kezaliman, keduanya, meninggalkan dosa dan kezaliman yang dilakukan, ketiganya, berazam untuk tidak kembali melakukan dosa dan kezaliman dan keempat, mengembalikan hak kepada yang berhak.

Katanya, dalam konteks Barisan Nasional (BN) dan Umno yang menjadi pemerintah negara, mereka perlu mengembalikan semula hak-hak rakyat yang dirampas oleh mereka selama ini.

"Antaranya, hak wakil-wakil rakyat PAS yang dinafikan peruntukan kerajaan, hak kerajaan negeri pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat yang dinafikan peruntukan penuh, hak kerajaan PAS Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak, hak rakyat yang dizalimi ketika menyatakan perasaan.

"Mereka juga perlu mengembalikan semula hak pegawai-pegawai kerajaan untuk menyokong pembangkang secara terbuka seperti diperuntukkan oleh perlembagaan, hak parti pembangkang di peringkat negara untuk mendapat layanan adil dalam berpilihanraya seperti hak menggunakan media rasmi dan lain-lainnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Perdana Menteri pada satu program di Kedah baru-baru ini memohon maaf secara terbuka terutama kepada rakyat Kedah di atas segala kesalahan pihak Umno BN kepada mereka selama ini, sehingga menyebabkan parti mereka mengalami kekalahan teruk di negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 tahun 2008 lalu.

Menurut Khairuddin, ternyata permohonan maaf Najib tanpa menunaikan hak-hak tersebut hanyalah satu sandiwara politik.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mohd Khairuddin At-Takiri turut menggesa rakyat di seluruh negara agar jangan terperangkap dengan sandiwara politik Barisan Nasional untuk berubah.

"Perubahan politik ke arah keadilan yang sebenar hanya mampu dilaksanakan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat yang meletakkan prinsip-prinsip keadilan yang jelas dengan wajah kepimpinan yang beramanah," katanya.

Sebagai bukti, tegasnya, cukuplah dengan kejayaan kerajaan PAS Kelantan memerintah selama 22 tahun yang tidak mencatatkan sebarang salah guna kuasa berbanding BN dan Umno.

"Begitu juga dengan kejayaan kerajaan PAS Kedah menguruskan kewangan negeri Kedah yang bermasalah ketika ditinggalkan oleh Umno dan BN," ujar beliau.

harakahdaily/-

Jangan abai pengundi wanita

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

HAMPIR separuh (lebih 49 peratus) pengundi di Malaysia adalah wanita oleh itu sumbangan golongan ini adalah besar bagi kejayaan mana-mana pihak dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Sehubungan itu, kita meminta semua pihak memikirkan hal ini dan melakukan tindakan segera bagi memenangi hati wanita kerana mereka mungkin menjadi penentu kemenangan pilihan raya

Isu-isu wanita perlu diketengahkan dan ditangani secara bijaksana kerana sebarang kelemahan di pihak kita akan memungkinkan musuh meraih sebanyak mungkin undi daripada golongan ini.

Kita mungkin sudah bergerak ke depan dengan mengemukakan sejumlah calon Muslimat pada pilihan raya umum lalu dan juga pilihan raya kecil Dun Tenang (calonnya Normala Sudirman) tetapi masih banyak lompang yang perlu diperbaiki. Sekalipun kita mengemukakan lebih ramai calon Muslimat, pihak musuh akan tetap menuduh kita sebagai hanya mahu memancing undi golongan wanita.

Sebenarnya, apa saja yang kita buat (termasuk memartabatkan golongan wanita) akan dipandang sinis oleh pihak ini; oleh itu tabahkan semangat untuk terus memberikan yang terbaik kepada golongan wanita sejajar dengan ketetapan Allah SWT melalui Kitab dan Rasul-Nya. Namun pelaksanaan hal ini tidak mudah kerana wanita sebagai golongan lemah yang dijadikan daripada tulang rusuk Nabi Adam s.a.w.; sebahagiannya mudah terpengaruh dengan manis dunia termasuklah hiburan dan laranya. Kelemahan inilah yang dieksploitasi oleh pihak lawan kita yang terus berjanji memberikan yang muluk-muluk kepada wanita penyokong atau pengundinya.

Di sini kita lihat betapa pentingnya golongan lelaki sebagai pemimpin (termasuklah sebagai suami dan bapa) berperanan untuk mendidik orang di bawah mereka. Bukanlah Allah SWT telah berfirman melalui ayat 6 Surah At-Tahrin yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka, yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala).”

Insya-Allah apabila kebanyakan wanita sudah dirapati dan dipasakkan ilmu agama dalam diri masing-masing, mereka akan tahu menilai mana intan dan mana kaca; pihak mana yang berjuang untuk keselamatan mereka di dunia dan akhirat dan pihak mana yang hanya menjanjikan kemanisan dunia yang bersifat sangat sementara. Ya berusaha keras dan berdoalah agar wanita-wanita kita diberi taufik dan hidayah untuk memilih antara kaca dan permata.

Namun memasakkan ilmu ke dada-dada wanita kita bukan proses mudah atau boleh dilakukan menjelang pilihan raya saja. Pendidikan bermula daripada bayi dalam kandungan lagi, berterusan di alam bayi, alam kanak-kanak, remaja, dewasa, tua sehinggalah seseorang itu masuk ke alam kubur. Ertinya pendidikan adalah proses seumur hidup. Persoalannya adakah kita bersedia dan cukup prasarananya untuk menjayakan cita-cita mendidik seluruh masyarakat ini?

Sekalipun kelihatan berat, tetapi usaha perlu dilakukan dengan doa tanpa putus-putus. Insya-Allah apabila wanita kita terurus matlamatnya, kita akan sentiasa mendapat sokongan mereka termasuk ketika pilihan raya.

detikdaily/-

STPM: 46,712 lulus, 12 calon dapat 5A

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seramai 46,712 atau 92.19 peratus calon telah lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 berbanding 46,795 (92.5) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata 12 calon telah mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding lapan calon pada tahun sebelumnya.

Pada umumnya, prestasi calon tahun 2011 adalah sama dengan tahun 2010, di mana Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) adalah sama, iaitu 2.22, katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2011 di sini hari ini.

Pada tahun 2011, seramai 298 calon (0.59 peratus) mendapat PGNK 4.00 berbanding 343 calon (0.68) pada tahun sebelumnya.

Seramai 50,669 calon menduduki peperiksaan itu tahun lepas.

Mohd Noh berkata jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara apabila prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada calon luar bandar. Katanya bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 948 orang atau 12.64 peratus berbanding hanya 93 (6.14) pelajar luar bandar.

Katanya bilangan calon bandar aliran Sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah 357 orang (14.2) berbanding hanya 11 (12.64) luar bandar manakala bilangan calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah 591 (11.85) berbanding hanya 82 (5.75) luar bandar.

Daripada segi prestasi sekolah, beliau berkata sekolah kerajaan menunjukkan penurunan berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu PNGK sekolah kerajaan pada tahun lalu ialah 2.29 berbanding 2.32 pada tahun sebelumnya.

Pada tahun 2011, sebanyak 52 buah sekolah mencapai PNGK 2.8 atau lebih tinggi berbanding 47 sekolah pada tahun sebelumnya dan 55 sekolah pada 2009. Mohd Noh berkata daripada 12 calon yang mendapat Gred A dalam lima mata pelajaran, lima mencapai Gred A dalam semua kertas peperiksaan yang diambil.

Katanya terdapat tiga calon istimewa, iaitu kategori cacat penglihatan yang memperoleh 1A, 1A- dan 2B, rabun (3A dan 1A-) dan spastik (3A dan 1A-), cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seorang pelajar terbaik dari luar bandar yang mendapat keputusan 4A dan 1A-.

Mohd Noh berkata berdasarkan prestasi calon mengikut mata pelajaran, didapati tiga mata pelajaran meningkat prestasinya iaitu Bahasa Arab (4.1 peratus), Sejarah (3.8) dan Perakaunan (3.68) berbanding pada tahun sebelumnya manakala empat mata pelajaran menurun prestasinya iaitu Syariah (-2.02), Pengajian Am (-3.4), Pengajian Perniagaan (-4.06) dan Further Mathematics T (-12.73) berbanding pada tahun sebelumnya.

Sebanyak 16 mata pelajaran yang lain pula dianggap tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang lulus penuh antara tahun 2011 dan tahun sebelumnya kurang daripada dua peratus. Daripada segi penggunaan bahasa Inggeris dalam jawapan calon bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, Mohd Noh berkata 98.1 peratus calon telah menjawab soalan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya pada tahun lalu berbanding 97.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata prestasi calon Malaysian University English Test (MUET) Akhir Tahun 2011 meningkat, iaitu sebanyak 46.8 peratus calon telah mendapat Band 3 atau lebih baik, berbanding 41.81 peratus pada MUET Pertengahan Tahun 2011.

Mulai tahun ini, MPM menawarkan ujian MUET sebanyak tiga kali setahun iaitu sesi Mac, Julai dan November. Pada majlis itu, Mohd Noh menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak kepada dua calon cemerlang MUET bagi tahun 2011, masing-masing bagi MUET Pertengahan Tahun 2011 dan MUET Akhir Tahun 2011. Mereka ialah Nicholas Tan Ooi Kiat dari SMK Cochrane, Kuala Lumpur dan Joy Lee Xing Pei dari SMK Tinggi Kluang, Johor, kedua-duanya memperoleh Band 6. - BERNAMA

Polis siasat pekebun OKU berhubung surat Mong

14 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Selepas bantuan kebajikan dan subsidi pertaniannya dihentikan kerana didakwa menyokong pembangkang, pekebun kurang upaya Frusis Lebi, hari ini disoal siasat oleh polis.

Beliau dipanggil ke balai polis Sri Aman pada jam 10.30 pagi berhubung laporan polis yang dibuatnya yang mendakwa Menteri Muda Pertanian Sarawak Datuk Mong Dagang mengarahkan bantuannya dihentikan.

Ketika dihubungi Frusis berkata polis ingin tahu siapa yang mendedahkan surat itu dan bagaimana arahan mengenai pemberhentian bantuan itu disampaikan kepadanya.

"Mereka juga tanya sama ada saya tahu mengapa bantuan saya dihentikan dan mengapa saya membuat laporan polis.

"Saya jelaskan kepada mereka bahawa Mong salah gunakan kuasa dan saya sekarang sangat tertekan kerana dia melanggar hak saya sebagai rakyat Malaysia," kata Frusis.

Mong pada Isnin, ketika dihubungi akhbar harian Inggeris The Sun mengakui mengeluarkan arahan menghentikan bantuan kepada pekebun itu dan mendakwa Frusis tidak layak ditolong kerana "beliau mampu menanam padi dan menunggang motosikal seperti manusia normal."

"Doktor sahkan bahawa saya cacat tapi tindakan Mong ini telah menyusahkan saya," keluh lelaki yang dilahirkan dengan kecacatan jari di tangan dan kakinya itu.

Ditanya sama ada beliau akan berusaha untuk mendapatkan bantuan berkenaan semula, Frusis berkata: "Saya tidak tahu hendak buat macam mana?"

Sementara itu, ketua DAP cawangan Sri Aman Leon Jimat Donald (kiri)yang membantu Frusis, berkata polis tidak merakamkan kenyataan Frusis tetapi semata-mata hanya mahu melakukan laporan susulan.

"Tiada perubahan yang dibuat kepada laporan polis asal... mungkin mereka harap dengan cara halus mereka boleh memaksanya mengubah laporan, "katanya.

Leon juga mendesak Mong yang merupakan ADUN Bukit Begunan supay meletakkan jawatan sebagai menteri muda dan juga wakil rakyat kerana enggan menarik balik arahannya itu.

"Ini menunjukkan betapa angkuh dan bongkaknya... ini adalah diskriminasi dan pencabulan hak untuk berpersatuan Frusis '. "

NONESementara itu, Mong hari ini sekali lagi mempertahankan tindakannya untuk menghentikan bantuan kepada Frusis dengan berkata adalah hak demokrasi bagi beliau berbuat demikian.

"Setiap orang mempunyai hak-hak demokrasi, begitu juga dengannya dan diri saya, oleh itu saya mestilah adil dan memberi bantuan kepada orang kurang upaya yang lebih layak daripada Frusis," katanya yang dipetik oleh Borneo Post.

Mong, dalam laporan itu, berkata beliau akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat bagaimana suratnya itu dibocorkan dan mencadangkan pihak pembangkang untuk memberikan bantuan kepada pekebun itu.

malaysiakini/-