12 Mac 2012

Pemandu kereta api maut berlanggar dengan lori tangki minyak

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BANGKOK: Pemandu kereta api ekspres yang bertembung dengan lori minyak enam roda di lintasan kereta api di Daerah Phun Phin wilayah Surat Thani pagi semalam, meninggal dunia.

Pemandu kereta api itu, Jane Wongseeda, dan seorang jurutera cedera parah, manakala lebih 50 penumpang tercedera dalam kemalangan itu.

Jane meninggal dunia pada jam 1 tengah hari di hospital daerah di mana dia dan mereka yang cedera dihantar untuk mendapatkan rawatan.

Polis telah menahan pemandu trak itu, Suchart Ladsong yang juga cedera dan dirawat di hospital itu.

Dia akan didakwa atas kesalahan cuai ketika memandu dan menyebabkan kematian dan kecederaan. - Bangkok Post

Mascot Upin dan Ipin ceriakan Pekan Kanak-kanak

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 12 Mac: Mascot Upin dan Ipin, dua watak siri kartun kanak-kanak menceriakan program Pekan Kanak-Kanak 2012 anjuran Kelantan Trade Cantre selama tiga hari

Mascot Upin dan Ipin mengambil peluang sejam setengah untuk bersama kanak-kanak sepanjang program berlangsung bermula hari ini.

Kanak-kanak yang mengikuti program mewarna disamping tayangan filem animasi Upin dan Ipin itu mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan mascot berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi KTC, Aziz Desa ketika ditemui memberitahu pelbagai acara menarik disediakan antaranya persembahan Silat Gayung kanak-kanak, senam seni bersama Pak Laden Bingkas Bayan.

Selain itu katanya, diadakan pelbagai program berkaitan kanak-kanak, pertandingan futsal pra sekolah, pemeriksaan kesihatan, sudut bacaan, sukaneka dan lain lain lagi.

“Antara yang menarik lagi, malam aprisiasi seni puisi kanak-kanak bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan KTC,”ujarnya.

Beliau turut memberitahu pihaknya juga turut akan meraikan pengantin baru Datuk Malek Nor dan isterinya Dr Wan Asma Wan Ismail, 52, esok.

Sebelum ini Ana Raffali dan suami Ahmad Naim telah diraikan oleh KTC sebagai tajaan bulan madu pasangan berkenaan.

harakahdaily/-

Muzium pamer legasi Enzo Ferrari

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PEMANDANGAN ruang pameran Muzium Enzo Ferrari semasa lawatan media di Modena, utara Itali Jumaat lalu.

MODENA, Itali - Sebuah muzium dibina di Itali bagi memberi penghormatan kepada Enzo Ferrari yang merupakan pengasas jenama kereta sport terkenal, Ferrari.

Dibuka secara rasmi kelmarin, muzium berharga 18 juta euro (RM71 juta) itu dibina di bandar kelahiran Enzo di sini.

Untuk pameran sulungnya, muzium berkenaan menampilkan 21 buah kenderaan bernilai jutaan euro termasuklah kereta Ferrari, Alfa Romeo, Fiat dan Maserati yang pernah dipandu oleh Enzo dalam pelbagai perlumbaan.

Para pengunjung muzium tersebut akan disambut dengan bunyi ngauman enjin kereta lumba sebelum menjejakkan kaki ke ruang pameran yang dibina menyerupai papan pemuka kereta.

Enzo meninggal dunia pada 1988 di sini ketika berusia 90 tahun. - Reuters

Arab Saudi perlu lantik ejen

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Kerajaan Arab Saudi perlu melantik ejen mereka di setiap negara Islam utama dunia bagi memudahkan air zamzam dijual di pasaran negara itu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, langkah tersebut perlu dilakukan segera kerana tindakan kerajaan Arab Saudi melarang penjualan air zamzam akan menyusahkan pengguna di negara ini.

“Kita faham kebanjiran air zamzam kini diragui keasliannya namun jika kerajaan Arab Saudi memberikan kerjasama ianya akan dapat diselesaikan dengan wujudnya ejen-ejen yang membawa masuk dan memantau air zamzam ini,” katanya.

Menurutnya, pengguna Islam di negara ini memerlukan air zamzam untuk tujuan perubatan, penyembuhan penyakit dan khasiat luar biasa yang ada pada air ini membuatkan ianya sentiasa diburu.

“Kalau mereka larang orang tetap juga jual namun jika mereka (Arab Saudi) lantik ejen ia akan memudahkan semua pihak termasuk penjual dan pembeli terdiri daripada rakyat negara ini.

“PPIM juga menentang keras jika sekiranya ada pihak yang mengambil kesempatan menjual air zamzam tidak asli kerana menipu pengguna,” katanya

Katanya jika betul hendak berniaga, juallah air yang asli, jangan tipu kerana kita perlu ingat hasil yang diperoleh haram dan dan mereka yang terlibat berdosa besar.

sinar harian/-

Mati peluk cucu

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PARIT BUNTAR : Seorang datuk dan cucunya mati berpelukan di bahagian tempat duduk belakang selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki, dirempuh dari belakang oleh sebuah MPV lain dalam kemalangan di kilometer 181.5 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, MPV dinaiki mangsa dipercayai berhenti di lorong kecemasan kerana pemandunya dikatakan mahu membuat panggilan telefon.

Mangsa Tang Ah Tee, 65, dan cucunya Tan Tei Yee, 13, yang duduk di belakang Toyota Estima itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Kemalangan itu itu turut menyebabkan 10 lagi cedera, termasuk pemandu dan penumpang Toyota Alphard.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Fauzi Mat Nayan berkata pemandu MPV itu, Tan Bee Ling, 39, memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon apabila dirempuh sebuah MPV Toyota Alphard dari belakang.

“Kedua-dua MPV berkenaan datang dari arah Selatan dan akibat kemalangan itu, Toyota Alphard serta Toyota Estima melintang di tengah jalan akibat rempuhan kuat itu,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian Toyota Estima berkenaan dinaiki satu keluarga dalam perjalanan dari Pontian, Johor, dipercayai mahu bercuti ke Pulau Pinang manakala Toyota Alphard dari Kuala Lumpur.

“Penumpang Toyota Alphard, Wan Azizah Husin, 62, dipercayai duduk di sebelah pemandu parah di kaki dan dihantar ke Hospital Parit Buntar (HPB) sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

“Pemandunya, Mohsin Amran, 34, isterinya, Wan Fatah Ileyah Ramli, 32 serta tiga anaknya, Nur Isa Wafa, 7, Nur Basira Wafa, 5, dan Mohd Evan Mizari, setahun, cedera ringan,” katanya.

Menurut Fauzi, Tan Ling bersama empat penumpangnya iaitu Tan Bok Tack, 31, Tan Yeok Leng, 30, Tan Foh Siong, 36 dan Tan Bee Ling, 39, hanya cedera ringan dan dimasukkan ke HPB untuk rawatan.

Katanya, polis masih menyiasat punca kejadian.

metro/-

Melayu belum sedar MCA bodohkan Umno?

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Di mana-mana pun sangkaan atau keyakinan seperti ini memang ada. Bunyi sangkaan dan keyakinan itu adalah, "Dalam BN, Umno kuat dan boleh kuasai MCA. Tetapi, adakah dalam gabungan Pakatan Rakyat yang masih rapuh itu, PAS boleh kuasai Dap?"

Selalunya, kata-kata ini lahir dari lidah orang-orang Umno itu sendiri. Namun, isunya di sini bukanlah persoalan benar atau pun tidak. Isu penting di sini - adakah kenyataan ini bertaraf sangkaan atau sebuah keyakinan yang cuba dijelmakan atas nama penyelidikan rambang.

Kalau benar MCA itu dikuasai Umno, maka pernahkah ahli-ahli Umno menyiasat dan membuat penyelidikan, kenapakah MCA masih diperbodohkan Umno jika benar Umno menunggang dan menguasai MCA itu?

Salah satu jawapan yang boleh menjelaskan kenapa MCA boleh dikuasai dan dipengaruhi Umno ialah - kuasa wang! Bagaimana Umno melakukannya ke atas MCA? Iaitu, melalui anugerah projek-projek dan dengan cara itulah MCA akan didiamkan.

Kedudukan ini amat merbahaya kepada Umno dan Melayu sendiri. Ini kerana, negara sedang menuju ke wilayah kemiskinan. Kedudukan perjanjian Umno dan MCA yang semangatnya berteraskan wang, projek dan kuasa ini menyebabkan MCA akan kembali menguasai dan menunggang Umno ketika parti itu semakin lemah lantaran ketiadaan wang lagi. Wang, bagi Umno adalah kekuatan paling tinggi!

Jadi perkara inilah yang paling kerap didengungkan dari telinga ke telinga masyarakat. Polemik 'siapa menunggang siapa' dalam BN atau Pakatan Rakyat adalah antara ramuan fikiran orang-ramai yang tidak kunjung berkesudahan menjadi bahan fikiran mereka.

Perkara ini penting bagi sesetengah orang Melayu sebab mereka mahu menyelamatkan survival Melayu. Jika Umno di dalam BN itu yang dianggap boleh menyelamat kepentingan Melayu, maka seburuk mana pun Umno dalam BN itu, parti itulah juga yang akan diundi Melayu lantaran parti korup itu diyakini dapat menyelamatkan kepentingan Melayu.

Soal sama ada benar atau tidak Umno dapat menyelamatkan kepentingan Melayu itu menjadi menjadi tidak penting lagi. Yang penting adalah kefahaman yang kerap berlegar dalam fikiran Melayu bahawa Umno itulah pembela Melayu di kala susah walaupun parti itu korup.

Jadi dengan mendedahkan keburukan Umno itu bukannya menjadi sebab lagi untuk menang. Yang perlu dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat ialah meyakini Melayu bahawa bangsa Melayu itu dibela terus-menerus di bawah kerajaan baru Pakatan Rakyat ini.

Maka, debat berterusan adalah cara terbaik untuk mencari arah hala tuju antara kedua-dua gabungan parti-parti besar ini. Debat, setidak-tidaknya boleh memudahkan rakyat membuat kesimpulan tentang persoalan ini, "Adakah Umno kuasai MCA atau sebaliknya? Adakah PAS kuasai Dap atau sebaliknya?"

Rakyat mahu tahu, adakah perkara di atas ini masih kekal sebagai suatu sangkaan atau kedudukan kenyataan itu masih lagi tegak berdiri sebagai sebuah tiang keyakinan yang teguh bagi sesetengah orang? Anwar Ibrahim misalnya sudah terlalu bersedia untuk berdebat, tetapi lawan Najib Razak nampaknya masih ragu-ragu, takut dan malu-malu untuk berdepan dengan debat itu.

Syahadan, baru-baru ini, pecahlah jawapan sebenar daripada lidah pemimpin nombor wahid MCA; Chua Soi Lek dalam debatnya bersama Lim Guan Eng.

Chua dengan tegasnya menyatakan: "Kita orang Cina, berani menentang-menentang dan melawan Umno terutama dalam bab hudud, adakah DAP berani dalam hal ini?"

Nampaknya, dalam pusingan ini pun, Umno sudah tewas kerana Chua sudah berani dan jelas menyatakan buah fikirannya yang menentang Hudud, dalam keadaan Umno gugup berdepan dengan pandangan itu. Maka, diketahuilah akan sekalian rakyat jelata bahawa sekalian Umno itu penakut rupa-rupanya.

Maka, terhadap kenyataan itu, Lim pun berkata: "Kita orang Dap, tidak boleh menghalang kepercayaan orang Islam dalam hal agama mereka, begitu juga orang PAS tidak pernah menghalang dalam bab agama kita..."
Lim tidak berkata bahawa beliau mewakili Cina walaupun memang ramai Cina dalam Dap. Tetapi, Lim berkata Dap tidak boleh halang kepercayaan orang Islam dan beliau turut mewakili suara hati PAS dengan berkata, bahawa PAS ini tidak menyekat agama lain juga.

Jadi, sudah jelas dalam pusingan awal ini, Umno memang dikuasai MCA dalam BN. Tetapi dalam Pakatan Rakyat, semangat musyawarah itu hadir. Tiada sesiapa pun yang menguasai sesiapa dalam Pakatan Rakyat ini, manakala debat-debat berlangsung dengan berterusan secara sihat.

harakahdaily/-

Ceramah Anwar terus diganggu

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Siri jelajah dan ceramah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diganggu malam tadi walaupun tidak ada kejadian yang tidak diingini dilaporkan.

Kali ini, penceramah BN yang juga mengadakan ceramah mereka di lokasi yang sama hanya sekadar menjadi pengacau dan mencetuskan provokasi semata-mata.

anwar ceramah at melakaDua lokasi tumpuan semalam adalah di dalam kawasan Parlimen Bukit Katil yang dijalankan di Solok Baroh, Kampung Pasir Puteh, Bachang dan lokasi kedua di Parlimen Jasin iaitu di Kampung Sebatu Sungai Rambai.

Namun, sesi ceramah umpama keadaan di pasar borong apabila pentas kedua-dua pihak iaitu Pakatan Rakyat dan BN yang dipelopori beberapa pemimpin setempat dari Umno cuma dipisahkan dalam jarak kurang 30 meter sahaja.

Perang pembesar suara berlaku apabila masing-masing melontarkan hujah bagi meraih sokongan dan keyakinan penyokong tidak sampai 2,000 orang itu.

Kata-kata kesat

Penceramah Umno yang dilihat banyak menggunakan kata-kata kesat dan tidak profesional itu lebih menyentuh soal isu peribadi Datuk Seri Anwar.

anwar ceramah at melakaKeadaan itu menimbulkan suasana hangat di kalangan hadirin namun mujur kehadiran ratusan anggota polis yang mengawal keadaan, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pada sesi ceramah malam tadi, tiada isu baru yang dibangkitkan selain, sekali lagi mengulangi hasrat mahu rakyat melakukan perubahan dalam pilihan raya umum akan datang dengan menyingkirkan kerajaan BN yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dakwaan lambakan kesilapan dilakukan kerajaan Najib terus menjadi senjata utama pemimpin terbabit yang mahukan rakyat memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara.

anwar ceramah at melakaAntara yang disentuh, isu kerajaan BN mengadakan hubungan dengan rejim Zionis dan isu berkaitan projek lembu oleh NFC.

Dalam pada itu, Anwar turut melahirkan rasa lega, berikutan sokongan di kalangan generasi muda yang dianggap mula sedar dengan kelemahan kerajaan sedia ada kini dan mula beralih arah terhadap perjuangan dibawa Pakatan Rakyat.

Sementara itu, sesi ceramah yang diadakan di Kampung Sebatu Sungai Rambai, berlangsung dengan tenang dan dihadiri kira-kira 2,000 penyokong.

Hadir sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin, Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari dan ADUN Bachang, Goh Leong San.

malaysiakini/-

3 kedai rebah

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KLANG: “Saya baru saja masuk kedai dan sedang tunggu air teh yang dipesan tiba-tiba dengar bunyi rebak sebelum disusuli anjung hadapan senget.

“Saya dan lapan lagi pelanggan lain kemudian terus keluar melarikan diri sebelum melihat kedai itu dan beberapa lagi kedai lain tenggelam sedikit demi sedikit,” kata Kamaruddin Hanim, 31, nelayan Kampung Teluk Gong, di sini.

Dalam kejadian petang semalam, tiga kedai makan, empat stor penyimpanan barangan nelayan, sebuah kedai menjual peralatan nelayan dan sembilan bot nelayan tenggelam dihanyutkan air pasang, di Jeti Kampung Nelayan Telok Gong.

Menceritakan kembali kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, Kamaruddin berkata, dia lega dapat menyelamatkan diri walaupun masih terketar-ketar.

“Petang-petang jika tak turun ke laut atau baru balik menangkap ikan memang saya dan kawan-kawan minum di kedai di jeti.

“Semalam (kelmarin) memang sudah ada rebak sikit tetapi tak sangka kali ini tenggelam membabitkan kedai serta stor nelayan,” katanya.

Seorang pemilik kedai makan tenggelam itu, Rahimah Sameon, 60, berkata kejadian itu dianggapnya dugaan baginya yang dijadualkan ke tanah suci Makkah menunaikan umrah hari ini.

“Apapun, saya tetap akan pergi umrah esok (hari ini). Ini saya anggap sebagai dugaan Tuhan untuk hamba-Nya.

“Saya bersyukur tidak ada sesiapa pun yang cedera dan tiada berlaku kemalangan jiwa dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.16 petang sebelum tujuh jentera bomba bergegas dan tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Sebaik tiba, pihak kami dapati beberapa kedai sudah tenggelam secara perlahan-lahan di muara itu.

“Secara keseluruhan setakat ini tiga kedai makan, empat stor penyimpanan barangan nelayan, satu kedai menjual peralatan nelayan dan sembilan bot nelayan tenggelam dan dihanyutkan.

“Kejadian dipercayai berlaku disebabkan arus air pasang menyebabkan hakisan di tebing tempat premis itu didirikan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

metro/-

NFC: Suami Shahrizat hadapi tuduhan CBT

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Suami Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail dikenakan dua tuduhan pecah amanah berhubung isu NFCorporation.

Tuduhan ke atas beliau dibacakan di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini sebentar tadi.

Semalam, Shahrizat mengumumkan akan berundur sebagai anggota Kabinet apabila tempoh sebagai senator berakhir 8 April ini.

Bulan lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, akan mengesyorkan kepada Peguam Negara agar mendakwa pengarah-pengarah NFCorp atas tuduhan pecah amanah (CBT).

Skandal projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) terdedah susulan Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lalu.

Mohamed Salleh merupakan Pengerusi Eksekutifnya. Dua anak Salleh juga merupakan pengarah syarikat itu termasuk seorang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif.

NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan serta mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

sinar harian/-

Lelaki serigala diminati wanita

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BANGGA...Gomez bersama anak lelakinya Michael yang kini berusia 10 tahun.

LOS ANGELES: Dia mengalami keadaan yang jarang ditemui dan menjadikan dia lelaki paling berbulu di dunia, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengelakkan serigala daripada muncul di pintu rumahnya.

Selepas diketawakan sepanjang hidupnya dan berlakon dalam pertunjukan sarkas, Larry Gomez mula mengukir nama di Hollywood.

Dia muncul dalam filem popular dan menghasilkan rancangan realiti televisyennya sendiri. Dan lelaki serigala, nama yang dikenalinya di kalangan rakan dan peminatnya menikmati kemasyhuran.

Gomez, 35, di mana seluruh tubuh dan wajahnya dipenuhi bulu hitam lebat berkata: “Apabila wanita melihatnya kali pertama, mereka tidak percaya.

“Kemudian apa yang ingin mereka lakukan ialah menyentuhnya. Berapa ramai teman wanita yang saya miliki? Sekurang-kurangnya 35 orang. Wanita mengharapkan saya menjadi lebih daripada seorang lelaki, gagah kerana bulu itu. Saya boleh berhubung dengan wanita dengan baik. Malah, saya mempunyai beberapa peminat setia,” katanya. Gomez mengalami keadaan genetik hypertrichosis yang jarang berlaku atau sindrom serigala.

Hanya 50 orang sejak zaman pertengahan dikesan mengalami sindrom itu hingga ke tahap teruk dan 15 daripadanya adalah anggota keluarganya. Gomez menjelaskan: “Setiap dua minggu saya bersihkan wajah saya. Ia tumbuh di seluruh wajah saya, malah juga di kelopak mata. Saya mempunyai lebih banyak bulu di lengan berbanding di kaki saya. “Adik lelaki dan adik perempuan saya juga mengalami keadaan sama. Dan beberapa sepupu saya. Ia lebih sukar bagi adik perempuan saya, Jamie Maria. Dia baru berusia 20 tahun. Anda perlu kuat apabila menjadi seperti ini.

“Ada seorang lelaki di China, tetapi dia tidak begitu berbulu seperti saya. Dia mencabar saya tetapi dia tidak mempunyai peluang untuk menang,” katanya.

Gomez dilahirkan sebagai Gabriel Ramos Gomez di Mexico tetapi mendapat nama baru daripada filem seram 1941 The Wolf Man, di mana karakter utamanya yang dipenuhi bulu digelar Larry Talbot. Ketika muda, dia dan adik lelakinya Danny, 33, menyertai sarkas dan dikenali sebagai budak serigala.

Gomez pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki, Michael, kini 10 tahun yang tidak mengalami keadaan sama sepertinya.

Bagaimanapun, pada 2007 dia berpisah dengan isterinya, Nadine dan berpindah ke Los Angeles untuk meraih kemasyhuran dalam filem.

metro/-

PKR akan failkan usul tergempar berhubung AG

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Ahli Parlimen Subang R Sivarasa berkata beliau akan memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat bagi membincangkan dakwaan jenayah yang dikatakan dilakukan oleh Peguam Negara Tan Sri Gani Patail seperti yang dinyatakan dalam laporan Malaysiakini.

Sesi kelima Parlimen ke-12 bermula hari ini dengan spekulasi bahawa ia adalah sidang yang terakhir sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membubarkan Dewan Rakyat bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Sivarasa berkata usul itu akan difailkan pada Rabu ini di bawah Perintah Tetap 18 (1) yang membolehkan Parlimen untuk membincangkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam dan bersifat segera dan khusus.

"Pendedahan mengejutkan dalam laporan Malaysiakini memenuhi semua keperluan bagi peraturan tetap yang relevan di mana usul itu akan difailkan," kata Sivarasa.

shahrizat announce to resign as minister 110312Menurut Sivarasa, Parlimen hanya membenarkan satu usul mendesak untuk difailkan dalam sehari.

Seorang lagi pemimpin PKR, Zuraidah Kamaruddin, pula akan memfailkan usul tergempar bagi membincangkan skandal National Feedlot Corporation (NFC) yang telah menggoncangkan pentadbiran Najib sejak Oktober tahun lalu pada Jumaat ini.

malaysiakini/-

Saya ditahan dalam keadaan lapar dan dahaga

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Tindakan Kerajaan BN Sabah yang di dalangi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menghalang saya masuk ke Sabah sebagai angkuh, bongkak dan bacul.

Notis Penolakan Masuk di bawah Seksyen 65(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 yang ditandatangani oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sabah, Addy Rizal bin Jamlidi telah mencabul hak asasi saya sebagai warganegara Malaysia.

Berkali-kali saya mempersoalkan kenapa saya di tahan dan tidak di benarkan masuk ke Sabah?
Apa kesalahan saya; apa jenayah yang saya lakukan? Mereka mengatakan tiada alasan dan sebab melainkan arahan Pihak Berkuasa Negeri!

Saya di kawal ketat, dalam keadaan lapar; bukan sahaja tidak diberi makan; segelas air pun tiada!

Saya telah membuat laporan Polis di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan di hantar balik melalui penerbangan Air Asia ke Kuala Lumpur sekitar jam 11 malam tadi.

Hampir dua tahun yang lalu, regim Taib Mahmod juga telah memperalatkan Imigresen untuk menghalang saya masuk ke Sarawak.

Saya berkeyakinan ini semua berpunca dari kebimbangan dan ketakutan regim Musa Aman dan Taib Mahmod dari kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman Kerajaan BN.

Isu rampasan tanah Adat atau NCR berleluasa dan sangat kritikal. Kuasa Ketua Menteri sangat besar; sewenang-wenangnya tanah yang di duduki dan di usahakan penduduk puluhan tahun di rampas. Kononnya penduduk menceroboh kawasan hutan simpan dan tadahan air.

Ada rumah penduduk yang dibakar, kebun di sodok oleh jentolak, tanaman musnah dicincang lumat oleh anggota penguatkuasa kerajaan negeri seperti Jabatan Hutan dll.

Peliknya; kawasan yang dirampas di beri pula kepada syarikat-syarikat kroni atas nama pembangunan. Rakyat menderita dan hilang pergantungan.

Hatta; menuntut hak di Mahkamah pun di tangkap, dipukul dan di penjarakan seperti yang berlaku di Pensiangan.

Saya mengetuai Lajnah(Biro) Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat bersama rakan-rakan berulang alik ke Sabah Sarawak secara konsisten bertahun lamanya. Turun ke kawasan Pedalaman dan menyaksikan penderitaan rakyat.

Kemiskinan tegar, kemunduran melampau, sangat kurangnya kemudahan asas dan tersiksanya rakyat akibat cengkaman regim BN yang menindas rakyat. 20 tahun ke belakang jika dibandingkan Semenanjung.

Bahkan jika di ukur dengan negeri Kelantan pun seperti langit dengan bumi!
Kelantan jauh lebih maju dan membangun daripada Sabah dan Sarawak.

Saya bawa wakil penduduk ke Parlimen bertemu menteri dan pimpinan BN dan Pakatan Rakyat. Kita iringi mereka membuat aduan di Suhakam. Suhakam mengakui isu tanah Sabah dan Sarawak begitu kritikal dan political will pimpinan BN untuk menyelesaikannya sangat menyedihkan. Laporan Polis, serahan memorandum, bawa kes ke Mahkamah dan apa ruang telah kami lakukan.

Himpunan 123

Pagi ini Himpunan 123 Bangkit di adakan di perkarangan Pejabat Ketua Menteri. Ratusan rakyat yang datang dari Tawau, Keningau, Pensiangan, Kudat, Lahad Datu, Sandakan, Sepanggar dll dengan Bas sewa khas serta pengangkutan awam di layan begitu buruk oleh Musa Aman.

Harapan tinggi rakyat yang sengsara kerana tanah mereka di dirampas untuk mengiringi pimpinan Ngo dan pimpinan etnik kaum menyerah memorandum di anggap remeh Kerajaan BN.

Adakah wajar pegawai rendah di tugaskan menerima memorandum hanya di 'tepi jalan' Wisma Negeri?

Mana pergi Musa Aman atau sekurang2nya Menteri Kanan Sabah? Hina sungguh rakyat jelata diperlaku Kerajaan Bn!

Apa salahnya di bawa masuk wakil2 Ngo dan penduduk sekurang-kurangnya di ruang tamu Wisma Negeri?

Apa salahnya Kerajaan Negeri mendengar dulu isi hati dan derita rakyat?

Ada penduduk menempuh perjalanan selama 12 jam; hanya mampu makan nasi bungkus sepanjang perjalanan, tayar kereta pancit di tengah jalan dan macam-macam kesukaran yang di alami untuk sampai ke Pejabat Ketua Menteri. Begini kesudahan layanan Musa Aman. Mana slogan ' Rakyat di dahulukan, Pencapaian di utamakan?

Perjuangan rakyat akan di teruskan. Seperti slogan penduduk Sabah; 'Tanah adalah nyawa kami, tanah adalah kehidupan kami.'

Kami tidak akan putus harapan dan patah semangat. Regim Musa Aman wajib di tumbangkan!

Penulis, AJK PAS Pusat, telah dihalang memasuki Sabah malam tadi. Beliau ditahan dan dihantar balik kemudiannya ke Semenanjung.

harakahdaily/-

Air zamzam: Jangan cemar kesucian

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan penjualan air zamzam di negara ini adalah dibenarkan, selagi ia tidak mencemarkan kesucian air berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustafa berkata, keputusan itu dibuat Fatwa Kebangsaan ke-77 pada 12 April 2007, berdasarkan hukum Syarak membenarkan penjualan, perdagangan atau urus niaganya.

Katanya, bagaimanapun, kerajaan berhak mengenakan sekatan sekiranya terdapat pihak mencemarkan kesucian air itu.

Othman berkata, ia berikutan teguran Kerajaan Arab Saudi berhubung penjualan air zamzam kerana mereka menekankan kemuliaannya perlu dijaga.

“Tiada masalah jika air zamzam dijual kerana ia dibenarkan berdasarkan keputusan fatwa.

“Cuma apa yang penting kesuciannya perlu dijaga kerana kerajaan Arab Saudi pernah melihat di beberapa tempat menjual air tersebut dan menegurnya,” katanya.

Menurutnya, apa yang ditekankan oleh Kerajaan Arab Saudi adalah mereka meminta supaya penjual-penjual memperoleh air zamzam tersebut hanya daripada satu sumber.

Ketika ditanya sama ada air zamzam boleh dicampur atau tidak, Othman berkata, sekiranya ianya dicampur, maka ia bukan lagi air zamzam.

Menurutnya, perkara seperti itulah yang kerajaan Arab Saudi tidak mahu ia berlaku.

“Sekiranya penjual mencampurkan air zamzam tersebut dengan air biasa maka ia bukan lagi air zamzam dan mereka perlu memaklumkan perkara itu kepada pengguna,” katanya.

sinar harian/-

PAS Kuala Kedah terima semua keputusan Pusat

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR, 12 Mac: Krisis kerajaan negeri Kedah dianggap selesai apabila PAS Kuala Kedah sebulat suara menerima penyelesaian yang diumumkan oleh PAS Pusat baru-baru ini.

Menurut Setiausaha PAS Kawasan Kuala Kedah, Aris Awang (gambar bawah) sebagaimana yang dimuatkan dalam facebooknya, mesyuarat PAS kawasan petang semalam sebulat suara bersetuju dan akur terhadap keputusan serta arahan PAS Pusat.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas PAS Kawasan Kuala Kedah yang bersidang pada 5.30 petang, Ahad, 11 Mac di Markaz PAS Kawasan Kuala Kedah, Kampung Kuala Sungai, Kubang Rotan.

Keputusan tersebut adalah:

a. Penubuhan Jawatankuasa Pemandu.

b. Datuk Seri Hj Azizan Abd Razak kekal sebagai Menteri Besar Kedah.

c. Datuk Phahrolrazi Zawawi menerima semula jawatan sebagai exco negeri Kedah.

"Mesyuarat sebulat suara bersetuju bahawa semua keputusan yang diputuskan sebelum ini dimansuhkan serta merta," kata Aris Awang.

PAS kawasan Kuala Kedah adalah pusat krisis di Kedah apabila kawasan itu memutuskan pimpinan mereka menolak sebarang perlantikan exco dari kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Azizan Razak.

Ketika Phahrolrazi dan Dr Ismail Salleh tidak menyertai exco kerajaan negeri, Datuk Amirudin Hamzah menyertainya.

Ekoran itu, PAS kawasan memutuskan exco kerajaan negeri, Datuk Amiruddin Hamzah memberikan penjelasan.

Dengan keputusan baru ini bermakna keputusan itu dibatalkan.

Mesyuarat juga, kata Aris, memutuskan satu majlis kesyukuran dan ceramah yang melibatkan Datuk Phahrolrazi Zawawi, Datuk Amiruddin Hamzah dan Mohd Nasir Mustafa (Adun Kubang Rotan) akan diadakan dalam jangka masa terdekat ini.

harakahdaily/-

Anak temui mayat bapa yang telah reput

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN — Seorang lelaki menemui mayat bapanya yang telah reput dalam rumah kedai barangan terpakai milik bapanya di Jalan Magazine awal pagi tadi.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Wan itu menemui mayat bapanya Wan Hock Pin, berusia 60-an, pada kira-kira pukul 1 pagi setelah pergi ke rumah bapanya yang tinggal seorang diri.

Katanya, beliau tidak menghubungi bapanya selama tiga minggu lepas kerana beranggapan bapanya pergi ke luar negara setelah tidak menjawap panggilan telefon sebelum itu.

"Saya fikir bapa tiada di rumah kerana ke luar negara (China dan Singapura) untuk melawat saudara mara kerana bapa sering ke sana. Lagipun setahu saya dia sentiasa sihat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Mayat itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan tanpa berpakaian berhampiran tandas dan sebahagian tubuh badannya telah reput.

Beliau yang tinggal berasingan di Seberang Perai berkata, sebelum itu, beliau tidak dapat memasuki rumah kedai bapanya kerana pintu terkunci dari dalam.

"Setelah mengesyaki sesuatu yang tidak kena, saya menghubungi bomba untuk memecah masuk dan kemudiannya terkejut apabila menjumpai mayat bapa saya berhampiran tandas,” katanya.— BERNAMA