12 Mac 2012

Air zamzam: Jangan cemar kesucian

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan penjualan air zamzam di negara ini adalah dibenarkan, selagi ia tidak mencemarkan kesucian air berkenaan.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustafa berkata, keputusan itu dibuat Fatwa Kebangsaan ke-77 pada 12 April 2007, berdasarkan hukum Syarak membenarkan penjualan, perdagangan atau urus niaganya.

Katanya, bagaimanapun, kerajaan berhak mengenakan sekatan sekiranya terdapat pihak mencemarkan kesucian air itu.

Othman berkata, ia berikutan teguran Kerajaan Arab Saudi berhubung penjualan air zamzam kerana mereka menekankan kemuliaannya perlu dijaga.

“Tiada masalah jika air zamzam dijual kerana ia dibenarkan berdasarkan keputusan fatwa.

“Cuma apa yang penting kesuciannya perlu dijaga kerana kerajaan Arab Saudi pernah melihat di beberapa tempat menjual air tersebut dan menegurnya,” katanya.

Menurutnya, apa yang ditekankan oleh Kerajaan Arab Saudi adalah mereka meminta supaya penjual-penjual memperoleh air zamzam tersebut hanya daripada satu sumber.

Ketika ditanya sama ada air zamzam boleh dicampur atau tidak, Othman berkata, sekiranya ianya dicampur, maka ia bukan lagi air zamzam.

Menurutnya, perkara seperti itulah yang kerajaan Arab Saudi tidak mahu ia berlaku.

“Sekiranya penjual mencampurkan air zamzam tersebut dengan air biasa maka ia bukan lagi air zamzam dan mereka perlu memaklumkan perkara itu kepada pengguna,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: