12 Mac 2012

Mayat ditemui di Sungai Kinta

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BATU GAJAH : “Dia sangat manja dengan saya dan rapat dengan adiknya,” kata Mazlinah Rintan, 30, ibu kepada Yushahiriezal Jidun, 9, yang mayatnya ditemui di Sungai Kinta di sini, kelmarin, 40 kilometer dari tempat dia terjatuh ke dalam longkang di kuarters Kem Syed Putra, Jalan Tambun, Ipoh, Rabu lalu.

Murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Wira Jaya itu dihanyutkan ke sungai ketika bermain berhampiran longkang berkenaan.

“Saya reda dengan apa yang berlaku,” kata Mazlinah ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Batu Gajah (HBG). Lebih menyedihkan apabila adiknya, Yusaidatul Adawiyah Jidun, 4, sering bertanya di mana abangnya.

Mazlinah terkilan kerana tidak dapat menunaikan hasrat anaknya itu untuk belajar ilmu mempertahankan diri di sekolah. “Sebelum kejadian, dia memaklumkan hasratnya menyertai kelab tae kwondo di sekolah, tetapi saya minta dia tangguhkan dulu,” kata Mazlinah sebak. Sementara itu, Kapten Mohamad Anas Emran dari Kem Syed Putra yang menyelaras operasi mencari dan menyelamat berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung penemuan mayat mangsa oleh orang awam pada jam 11.30 pagi.

Menurut Anas, seorang penduduk kampung memaklumkan mengenai mayat budak lelaki terapung berhampiran pokok di tebing kiri Sungai Kinta antara sempadan Malim Nawar dan Tanjung Tualang. Mayat Yushahiriezal dimandi dan dikapankan di HBG sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun.

METRO/-

Tiada ulasan: