12 Mac 2012

Pendidik punya jawapan kepada masalah negara

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Saya menyambut baik hasrat YAB TPM dalam usaha jelajah seluruh negara untuk mengumpul pandangan yang bernas dalam menaik taraf pendidikan. Pendidikan adalah asas kepada pembangunan negara. Kementerian sepatutnya membawa halatuju pendidikan kita ke arah yang memberi manfaat kepada semua pihak. Pendidikan yang murah daripada pra-sekolah sehingga menara gading adalah ciri utama sebuah sistem pendidikan yang merakyat. Kementerian perlu adil dalam pengagihan bantuan kepada sekolah-sekolah samada di bandar atau luar bandar. Bukan sekadar membantu sekolah yang sudah cemerlang tetapi juga berpandangan positif kepada sekolah yang punya rekod buruk. Guru yang mengajar di sekolah juga perlu dianggap sebagai individu yang sangat penting di sekolah, bukan sekadar kakitangan kerajaan. Taraf guru sepatutnya diangkat tinggi dan menjadi inspirasi kepada semua penggerak masyarakat. Kebajikan guru sepatutnya menjadi keutamaan, bukan mengejar bilangan A yang belum tentu menjamin kecemerlangan yang berkekalan. Guru yang tidak stabil emosinya akan memberi natijah yang buruk kepada perkembangan anak murid.

Selain itu, institusi pendidikan sepatutnya dipimpin oleh individu yang dihormati oleh semua guru. Jawatan guru, pengetua malah naib canselor adalah ketua kepada semua pendidik, bukan CEO kepada sesebuah syarikat. Untuk menjadi ketua pendidik, seseorang mesti sudah membuktikan kepakarannya dalam bidang kependidikan. Sukar untuk pelajar menghormati pengetua sekiranya pengetua itu sendiri tidak dihormati para guru. Urusan birokrasi pula sepatutnya dilaksanakan oleh kakitangan bukan akademik, bukan dibebankan kepada para pendidik. Akibat buruk daripada gejala ini akan menyebabkan pendidik melupakan tugas mereka yang hakiki iaitu mendidik anak murid menjadi manusia.

Silibus pelajaran kita juga sepatutnya dirombak supaya pelajar yang keluar daripada institusi pendidikan akan menjadi manusia yang berkhidmat kepada masyarakat, bukan sekadar pekerja kepada industri. Fenomena pengindustrian pendidikan hanya memberi industri lebih kata putus dalam membentuk halatuju sesebuah institusi dan menyebabkan pandangan pendidik tidak diambil kira. Pendidik yang telah berkhidmat berpuluh tahun tentulah lebih arif tentang bidang masing-masing. Malah krisis kewangan yang dihadapi dunia hari ini membuktikan bahawa industri itu sendiri telah tersilap percaturan. Mengapa perlu mendengar kata mereka? Mungkinkah para pendidik kita punya penyelesaian yang lebih tuntas?

Sebagai penutup, kementerian perlu mendengar luahan hati daripada para pendidik. Malah tidak perlu jelajah seluruh negara. Yang penting hala tuju kementerian jelas dan menghormati status pendidik sebagai obor penerang bangsa.

Mohammad Syazwannuddin Shaharuddin ialah Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Tiada ulasan: