12 Mac 2012

Shahrizat: Parti reput tiada tempat di sisi rakyat

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang melepaskan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkuatkuasa 8 April nanti sebagai suatu kemenangan rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran tertegak di negara ini.

Bagi DPPM, tindakan Shahrizat mengumumkan peletakan jawatan beliau adalah hasil daripada tekanan pemimpin Pakatan Rakyat yang berterusan mendedahkan penyelewengan beliau.

“Ia juga menunjukkan bahawa Perdana Menteri telah tertekan untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 sehingga terpaksa tunduk kepada desakan pelbagai pihak,” kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar).

Sememangnya, kata beliau kes skandal NFC mempunyai asas yang begitu kukuh berlakunya penyelewengan sehingga sukar bagi Shahrizat menepis dan sukar pula Perdana Menteri menjawab dengan rakyat.

Menurutnya, meskipun Shahrizat akan melepaskan jawatannya, ini tidak bermaksud penyiasatan dan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhenti setakat itu sahaja.

Sebaliknya, ujar beliau SPRM perlu meneruskan tugasnya menyiasat penglibatan suami Shahrizat dalam Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC) serta pengaruh Shahrizat sebagai Menteri Kabinet sehingga suaminya mendapat projek tersebut.

Tambahnya, rakyat masih menunggu dengan penuh sabar apakah kesudahan kes itu sehinggalah kebenaran tersingkap dan mereka yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan.

DPPM juga, katanya mendesak SPRM bersikap telus dengan mengheret sama pemimpin lain yang terlibat dalam meluluskan projek ini.

“Jangan hanya ‘mengkambing hitamkan’ seorang pemimpin dengan membiarkan ramai pemimpin lain terlepas.

“Semua pemimpin lain yang terbabit dalam projek ini mesti disiasat dan diambil tindakan sama,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, apa yang terjadi kepada Shahrizat menjadi bukti bahawa Umno adalah sebuah parti yang korup.

Bahkan, tambah beliau pengekalan Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno menunjukkan bahawa mereka masih pelihara pemimpin yang korup.

Sebelum ini, katanya bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo telah dijatuhkan hukuman atas kesalahan rasuah.

Malah sehingga kini, ujarnya masih banyak lagi kes pemimpin-pemimpin Umno menanti masa akan didedahkan penyelewengan mereka satu persatu.

“Sudah tidak ada tempat lagi buat parti yang reput dan bergelumang dengan skandal yang memalukan, juga tidak ada nilainya permohonan maaf dan rayuan Perdana Menteri terhadap rakyat,” ujarnya lagi.

Undur kerana Umno, bukan rakyat

Keputusan Shahrizat tidak menyambung khidmatnya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada bulan hadapan demi kepentingan Umno dan bukan kerana rakyat Malaysia.

Demikian persoalan yang dibangkitkan oleh Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas laporan salah sebuah akhbar media perdana hari ini yang di antaranya bertajuk ‘Keputusan Demi Kepentingan Umno, BN’.

“Nampaknya kepentingan Umno, BN diutamakan dan kepentingan rakyat dikemudiankan,” tegas beliau.

Menurut beliau lagi, laporan media perdana tersebut menyerlahkan lagi warna sebenar Umno BN dalam menangani isu-isu yang berkaitan kepentingan rakyat.

Katanya, bagi mereka rakyat bukan keutamaan, yang penting Umno BN terus berkuasa walaupun terpaksa berdiri dan berpijak diatas keringat rakyat.

“Kalau beginilah sikap Umno yang hanya meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan rakyat, maka tidak ada guna bagi rakyat Malaysia untuk terus memberikan undi kepada Umno BN dalam pilihan raya umum yang akan datang,” ujarnya.

Ini, katanya adalah kerana apa sahaja isu yang berkaitan dengan rakyat hanya dilihat melalui kacamata kepentingan Umno BN dan bukan untuk kepentingan agama dan negara.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: