15 Mac 2012

Soalan jawab lisan ahli Parlimen PAS 15 Mac

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Berikut adalah soalan-soalan bagi jawab lisan ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini, 15 Mac 2012.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan sumbangan besar kepada Negara dari Kajian Kutub.

Dr. Siti Mariah Binti Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan perancangan pihak Kerajaan untuk membangunkan dan memperbaiki imej Pasar Chow Kit dan kawasan di sekelilingnya.

Dr. Mujahid bin Haji Yusof Rawa [Parit Buntar] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan berapakah kos yang dibelanjakan oleh Kerajaan dalam menjayakan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat kebangsaan yang diadakan di Parit Buntar, Perak pada 13 hingga 16 Januari 2012 yang lalu.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik jenayah rogol yang berlaku di Malaysia dari tahun 2003 hingga 2011.

Puan Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan kedudukan terkini nasib anak-anak luar nikah di seluruh negara kerana angkanya yang semakin meningkat dan apakah jalan penyelesaiannya.

harakahdaily/-

[Bergambar & Video] 28 Maut, 24 Cedera Bas Langgar Terowong

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Geneva: Sebuah bas membawa pulang pelajar Belgium dari pusat percutian ski terbabas dan melanggar dinding terowong di lebuh raya Switzerland, mengakibatkan 22 pelajar berusia 12 tahun dan 6 orang dewasa terbunuh, kata polis, semalam.

Seramai 24 lagi pelajar dikejarkan ke hospital kerana kecederaan, kata jurucakap polis negeri Valais, Jean-Marie Bornet memberitahu agensi berita.

Bas yang membawa 52 orang termasuk pelajar berusia 12 tahun dari dua sekolah berbeza terbabit dalam pelanggaran jam 9 malam waktu tempatan kelmarin di terowong di Sierre, Switzerland, berdekatan kawasan ski popular di Banjaran Alps.

Polis berkata, bas itu terbabas dan melanggar selekoh sebelum menghentam dinding konkrit terowong.

Bahagian depan bas rosak teruk dan menyukarkan penumpang keluar dari kenderaan itu. Punca kemalangan belum diketahui.

Ketua Polis Valais, Christian Varone, memberitahu anggota penyelamat yang tiba menyifatkan tempat kejadian seperti keadaan perang.

“Kemalangan di Valais memang ada yang teruk sebelum ini tetapi tidaklah sehingga membabitkan begitu ramai mangsa kanak-kanak,” katanya.

Lebuh raya ditutup di kedua-dua arah bagi operasi menyelamat. Sebanyak lapan helikopter dan puluhan ambulans dikejarkan untuk membantu menghantar mangsa ke hospital.

Selain itu, berpuluh-puluh anggota bomba, polis, 15 doktor dan tiga pakar psikologi turut berada di tempat kejadian.

Jurucakap kerajaan berkata, pusat krisis ditubuhkan dan nombor kecemasan disediakan untuk keluarga.

Polis berkata, semua mangsa dipercayai warga Belgium yang tinggal di Flanders. Media Belgium melaporkan tiga kanak-kanak itu dari dua pekan iaitu Lommel, timur Antwerp dan Heverlee, berdekatan Leuven.

Duta Belgium, Jan Luykx turut bergegas ke tempat kejadian. Menteri Luar Belgium, Didier Reynders, berkata pihak berkuasa masih mengenal pasti mangsa.

“Ada tiga bas dan hanya satu yang terbabit dalam kemalangan ngeri itu.

“Ia melanggar dinding di terowong,” katanya yang dipetik dalam laman web, La Capitale.

Tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan bas berkenaan di terowong menetapkan had kelajuan 100 kilometer sejam.

“Kami akan teliti apa yang berlaku,” kata pendakwa raya Valais, Olivier Elsig. – AP

greenbox/-

Sambutan Hari Jadi Super Mewah, Najib Permainkan "Wasatiyyah" Lagi

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Kenapa Pejabat PM tempah hari jadi Najib RM79,053?

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Belum reda dengan pendedahan kos pertunangan anak Perdana Menteri, PKR hari ini pula mempersoalkan kenapa tempahan majlis sambutan hari jadi Datuk Seri Najib Razak yang bernilai RM79,053 dibuat atas nama Pejabat Perdana Menteri.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, ianya berdasarkan Banquet Event Order oleh Hotel Shangri-La yang secara jelas menunjukkan ianya ditempah atas nama akaun Pejabat Perdana Menteri.

Majlis sambutan hari jadi itu dakwanya berlangsung di Sri Perdana pada hari Ahad, 24 Julai tahun lalu.

"Tempahan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri.

"Berbeza dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini secara jelas menyatakan ianya majlis peribadi. Ini menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan itu tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya 'majlis Pejabat Perdana Menteri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Majlis itu, menurut Rafizi, turut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.

Kos RM79,053 itu antara lain merangkumi Buffet untuk 100 tetamu dengan kadar RM207 satu kepala (RM20,700), Band Syed Sobri (RM7,738), Band Batak (RM5,300), minuman 5 gallons (RM795), gubahan bunga (RM31,800) dan caj pengendalian (RM12,720).

"Wajarkan perdana menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini?

"Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat," katanya.

Berikut adalah soalan-soalan Rafizi yang menuntut jawapan ikhlas daripada Najib berhubung kos majlis pertunangan anak (RM409,767) dan kos sambutan hari jadi beliau (RM79,053).

Saya ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia

1- Bilakah beliau (Datuk Seri Najib Razak) akan mengemukakan lapan bukti yang disyorkan KEADILAN agar nama beliau dapat dibersihkan?

2- Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri membelanjakan setengan juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri Perdana. Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri, bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?

3- Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa keputusan beliau selama ini?

4- Wajarkan perdana menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat.

Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini, tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar pelbagai penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan dana awam NFC sehingga BN terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.

Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan Datuk Seri Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti sebegini diajukan kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang, wajarkah beliau juga membuat 'pengorbanan' seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas dan telus, demi menjaga integriti kerajaan. -HD

Anggota Polis Maut Dalam Kemalangan Selepas Motosikal Terbabas

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Pinang, di sini pada pukul 12.40 tengah hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata mangsa Kpl R. Govindaraju, 57, yang bertugas sebagai anggota Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

"Kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa telah bergesel dengan sebuah motosikal lain dari arah sama sebelum dia terbabas ke arah bertentangan dan dirempuh sebuah lori.

"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Adik-beradik Trump dikecam

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ANAK Trump dengan harimau bintang yang berjaya dibunuh mereka di Zimbabwe.

LOS ANGELES: Anak lelaki bilionair hartanah, Donald Trump, mencetuskan kemarahan orang ramai ekoran tindakan mereka memburu haiwan liar dan dengan megah bergambar bersama bangkai haiwan berkenaan.

Aktivis hak asasi haiwan menyelar Donald Trump Jr, 34, serta adiknya, Eric, 28, yang membunuh pelbagai binatang liar, termasuk seekor gajah, buaya, musang dan rusa.


Mereka berburu di Zimbabwe, tahun lalu, dan gambar itu dipaparkan syarikat pengendali aktiviti berkenaan, Hunting Legends.

Satu daripada imej itu menunjukkan Eric memegang bangkai seekor harimau bintang sambil berdiri di sebelah abangnya.


Gambar lain memaparkan Trump Jr menunjukkan ekor gajah yang dipotong pada satu tangan, manakala tangannya yang lagi satu memegang pisau.


Kumpulan pencinta haiwan menganggap aktiviti berburu sebagai kejam dan tidak sensitif.

Bagaimanapun, adik-beradik itu mempertahankan tindakan itu dengan mendakwa, daging haiwan berkenaan diberi kepada penduduk setempat untuk dijadikan makanan mereka.


Melalui Twitter, Trump Jr berkata, dia tidak rasa bersalah langsung atas tindakannya itu.

“Ia adalah aktiviti memburu dan memberi makan. Saya seorang pemburu dan tidak perlu saya meminta maaf,” katanya.


Menurut Trump Jr, semua hasil buruan itu tidak dibuang begitu saja.


“Penduduk kampung sangat gembira kerana dapat makan daging yang jarang-jarang diperoleh.


“Tambahan pula, buruan kami bukan haiwan diancam kepupusan,” katanya.


Sebagai pemburu, katanya, dia juga menyayangi hidupan liar, tetapi yakin bayaran yang dikenakan untuk mendapat lesen berburu memberi banyak manfaat.


“Sumbangan kami jauh lebih besar berbanding apa diberikan aktivis hak asasi haiwan,” katanya. - TS

63 Peratus Rakyat India Miliki Telefon Berbanding Tandas

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

NEW DELHI: Satu bancian di India menunjukkan kebanyakan penduduk negara ini memiliki telefon berbanding sebuah tandas di rumah masing-masing.

Bancian yang dibuat pada tahun lalu itu sekali gus membuktikan revolusi komunikasi yang berkembang pesat di kalangan 1.2 bilion penduduk negara ini berbanding keperluan asas seperti tandas.

Data tersebut juga mendedahkan 47 peratus daripada 330 juta isi rumah mempunyai tandas namun 63 peratus lagi memiliki talian telefon, kebanyakannya telefon bimbit. - AFP

Selepas SBPA, tarik balik gabung MAS dan AirAsia?

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Selepas menarik balik Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), apakah mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa menarik balik pula pegangan silang saham MAS dan AirAsia?

Ini ekoran janji Najib mahu mengkaji balik pegangan silang yang disifatkan merugikan MAS ini.

Akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini menyiarkan di muka depan kegusaran kakitangan MAS ekoran pegangan silang yang dikatakan membentuk kuasa monopoli dalam industri penerbangan negara itu.

Walaupun MAS lebih besar, tindakan yang diumumkan Najib sebelum ini juga melahirkan suasana kelas dua kepada kakitangan MAS.

Ini kerana, kakitangan AirAsia menjadi pegawai kanan baru MAS ekoran pergabungan melalui pegangan silang saham kedua-dua syarikat pernerbangan itu.

Baru-baru ini, Najib telah menarik balik SBPA dan menggunakan semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) ekoran bantahan kakitangan kerajaan.

Kini, kakitangan MAS melalui kesatuan mereka membuat bantahan itu akibat dari kesan langsung yang mereka terima ekoran pergabungan itu.

Di bawah perjanjian yang diumumkan Ogos tahun lalu itu, Tune Air Sdn Bhd, pemegang saham terbesar dalam AirAsia, akan mengambil-alih 20.5 peratus saham dalam MAS.

Kazanah Nasional Berhad pula akan memiliki pegangan 10 peratus saham AirAsia dan terus menjadi pemegang saham utama dan tunggal terbesar MAS.

Kesatuan Pekerja Sustem Penerbangan MAS (Maseu) semalam menggesa kerajaan agar mengkaji semula pertukaran saham antara MAS dan AirAsia.

Pengerusinya, Alias Aziz berkata, tindakan ini perlu kerana pergabungan secara tidak langsung itu menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu AirAsia.

Ia langsung tidak memberikan kelebihan kepada MAS, bahkan kakitangan pengurusan atasan MAS kini dikuasai oleh bekas kakitangan AiAsia.

Baru-baru ini, MAS dilaporkan mengalami kerugian besar dalam sejarahnya iaitu sebanyak sebanyak RM2.52 bilion untuk tahun 2011.

Bagi Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Idris telah memulihkan MAS sebelum ini tetapi semua usahanya sudah sia-sia sekarang.

harakahdaily/-

IRI HATI YANG DIBENARKAN

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Dari Ibnu Mas’ud R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud: “Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan kepada dua keadaan: Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah S.W.T. harta benda, serta menjadikannya menguasai dirinya menghabiskan hartanya itu pada perkara kebajikan yang sebenar-sebenarnya, dan kedua, keadaan orang yang dikurniakan Allah S.W.T. ilmu pengetahuan agama, lalu dia beramal dengannya dan mengajarkannya.” Hadith riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi.

Pelajaran yang kita dapati dari hadith ini ialah, kita TIDAK boleh mempunyai sikap iri hati kepada seseorang apabila melihat orang itu memiliki sesuatu kelebihan yang tidak ada pada diri kita. Sebagai contoh kita tidak boleh beriri hati jika seseorang itu memilikki harta yang banyak, atau seseorang itu berjawatan tinggi atau seseorang itu mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang sedangkan kita tidak memilikki semuanya itu. Begitu juga dengan perkara-perkara yang lain.

Kita hendaklah bersyukur dengan apa yang ada pada kita dan berikhtiar untuk mencari yang selebihnya. Jangan sekali-kali kita bersikap iri hati kerana semuanya itu datang dari Allah S.W.T. Tetapi kita boleh beriri hati jika melihat:

a. Seorang kaya yang tidak membazir dengan hartanya, tidak kedekut, tidak tamak dan tidak mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menghabiskan hartanya untuk membantu orang yang memerlukan bantuan dan ianya membelanjakan hartanya hanya kepada jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T.

b. Seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan agama dan manghabiskan masanya melakukan amal ibadah dengan sebaiknya, menghindari perbuatan yang dilarang Allah S.W.T. dan sanggup menyampaikan ilmu pengetahuan agamanya demi untuk menegakkan syiar Islam.
Kita hendaklah beriri hati terhadap sifat dua kumpulan hamba Allah yang disebutkan di atas dan berdoa memohon taufik dan hidayah dari Allah S.W.T. agar kita memiliki sifat yang demikian demi untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.

sumber: lamantokbah.blogspot.

Serdang Bandar Biomass Pertama

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Dalam usaha menyokong usaha kerajaan untuk mengurus sisa buangan domestik daripada penempatan penduduk dan kawasan pusat komersial khususnya di sekitar Serdang, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tampil menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama di negara ini dalam perlaksanan ‘Bandar Biomass’ yang akan dilancarkan pada Mac ini.

Perlaksanan Bandar Biomass yang memilih Bandar Serdang itu mendapat kerjasama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penyelidik daripada Kementerian Perikanan dan Perhutanan negara Jepun.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata inisiatif itu dilakukan dalam usaha untuk menangani sisa buangan seperti makanan atau organik yang perlu dirawat kerana jika tidak, ia akan memberi impak kepada pencemaran alam sekitar dan pemanasan sejagat.

Katanya, ianya juga selaras dengan tagline baru MPSJ iaitu ‘Vibrant City’ yang mana mahu menjadikan MPSJ sebagai sebuah perbandaran yang mampan.

” Program ini bukan sahaja melibatkan MPSJ tetapi juga melibatkan jabatan-jabatan kerajaan di Persekutuan, berdasarkan daripada kerjasama ini, kita akan menjadi salah satu PBT yang terawal melaksanakan bandar biomass.

” Saya harap program ini akan dapat menjadikan bandar Serdang bukan saja sebgai bandar Biomass tapi juga akan dipertandingkan di peringkat negeri sebagai bandar zon bersih MPSJ untuk tahun 2012,” katanya selepas Majlis Melafaz Ikrar dan menandatangani Pengakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis MPSJ.

Majlis Perlancaran itu akan diadakan pada 17 Mac ini di Taman Tasik Sri Serdang bermula 7.30 pagi hingga 5 petang.

Pelbagai aktiviti serta pameran dirancang bagi memeriahkan majlis itu antaranya, aktiviti konvoi berbasikal, demonstrasi pengasingan sisa bagi Medan Selera Awam dan Pasar Awam dan pameran pelbagai daripada agensi kerajaan.

selangorku/-

Jeneral Perang PAS

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Kolum Kesatuan Fikrah adalah wadah untuk rakyat memperlihatkan kepelbagaian idea daripada lapisan-lapisan pemimpin PAS, dari yang veteran ke pemuda dalam isu-isu hangat yang membelungi negara kini.

Mewakili PAS Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, suara ulama diwakili oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh manakala suara pemuda diwakili Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Jika anda mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada Abang Mat, Ustaz Tuan, Ustaz Nik Zawawi dan Ustaz Nasrudin, sila email kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini, mereka berempat berbicara dengan soalan berikut:

Andai anda seorang Jeneral Perang PAS untuk PRU-13, apakah yang anda lakukan untuk menyiap-rapikan persediaan pasukan menghadapi perang. Apakah nilai yang terpenting untuk seorang jeneral?

Abang Mat

Sebagai jeneral perang PRU13, saya akan pastikan di sudut jiwa, persediaan berada pada keyakinan paling tinggi dan juga segala peralatan yang secukupnya dapat dibekalkan.

Saya juga akan pastikan strategi dan taktik yang tepat digunakan untuk hadapi lawan. Selain itu, saya akan pastikan sumber kewangan yang cukup sebagai enjin penggerak, bukan punca membawa permasalahan dan meniup semangat nilai jihad yang tinggi di kalangan petugas.

Nilai terpenting seorang general ialah beliau mesti yakin terhadap diri sendiri dan yakin dengan dasar dan matlamat perjuangan parti atau kumpulannya.

Ustaz Tuan

Pilihanraya adalah peperangan di era kita. Ketentuan kemenangan dalam medan perang ialah kemenangan mengalahkan musuh, sedang kemenangan PRU diukur sejauh mana rakyat (pengundi) menyokong parti yang kita sertai.

Sebagai jeneral perang kita perlu melakukan serangan maklumat bagi membina dan mengubah rakyat untuk menyokong parti yang kita dokong.

Sebagai jeneral, penyusunan jentera perang mesti bersifat menyerang musuh, strategi bertahan atau sekadar menjawab serangan musuh tidak akan mencapai kejayaan yang dihasratkan.

Pada zaman dulu, strategi yang baik dan tepat tidak akan dimanfaatkan sekiranya general tidak dapat memastikan sumber makanan dan bekalan senjata yang mencukupi untuk menghadapi tempoh peperangan.

Pada zaman ini, peperangan di PRU13 memerlukan dana. Seseorang jeneral harus berikhtiar mencari dana secukupnya senantiasa untuk memastikan kelicinan fungsi mesin perangnya.

Jeneral perlu juga memastikan seluruh sayap parti mesti memberi fokus kepada sasaran utama, bergerak dengan selari dalam satu arah. Dalam mencapai kemenangan asas utama ialah meletakkan sasaran yang perlu dicapai dengan kemampuan yang ada, dan memanfaatkan kelemahan musuh.

Segala kelemahan unit yang ada perlu dikenalpasti dan diperkemaskan segera oleh jeneral agar tidak ditembusi oleh musuh.

Seseorang jeneral tidak harus buntu bilamana menghadapi sebarang kekurangan. Segalanya – cuaca, masa, tempat, media lawan, lawan kita – boleh dimanfaatkan sebagai senjata perang menggunakan kebijaksaan.

Ustaz Nasrudin

Dalam konteks negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi berpilihanraya, maka istilah "perang" boleh saya takwilkan sebagai pertarungan atau persaingan mendepani lawan politik untuk memenangi pilihanraya.

Tentu sahaja apabila kita bertarung atau ber"perang" maka kita mendambakan kemenangan. Bertolak dari premis inilah kita mesti terlebih dahulu mempersiapkan pasukan kita dengan pra syarat kemenangan dalam 2 kategori kekuatan dan persediaan.

Kategori pertama ialah kekuatan dan persediaan dalaman.

a] Justeru kemenangan adalah keputusan dan anugerah mutlak daripada Allah swt. , selayaknya bagi setiap anggota pasukan bermula dari saff kepimpinannya hinggalah kepada ahli biasa membina hubungan baik dan erat dengan Allah swt Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Bijak. [Taqarrub Ilallah]

b] Motivasi untuk memiliki jiwa yang optimis dan minda yang positif terhadap pahit getir perjuangan serta cabaran dan rintangan yang bakal ditempuh agar tidak putus asa, kecewa, resah dan gelisah.

c] Pemantapan Ilmu dan penguasaan manhaj perjuangan. Memahami dan menghayati matlamat, objektif dan hala tuju perjuangan yang didokong. Juga berupaya memiliki maklumat mengenai strategi dan gerak operasi pihak lawan.

Kategori kedua ialah kekuatan dan persediaan luaran.

a] Keupayaan fizikal [jumlah tenaga siap bertugas] dan material (jumlah dana terkumpul) yang munasabah berbanding saiz medan pertarungan dan persaingan yang bakal ditempuh.

b] Penyatuan saff perjuangan berteraskan semangat ukhuwwah fillah dan Pengukuhan organisasinya yang menepati standard piawaian sebuah pengurusan, pentadbiran dan disiplin atau akhlak berjamaah yang baik.

c] Memiliki jaringan kerja rasmi atau tidak dalam lapangan yang berbagai dengan semua pihak dan hubungan baik dengan pelbagai saluran untuk menerima maklumat dan menghantarnya pula kepada pihak yang memerlukan iaitu ahli dan pengundi atau masyarakat awam.

d] Merakyatkan pasukan [parti] , kepimpinan, ahli dan aktivitinya agar perjuangan ini rasa dimiliki oleh semua.

e] Membina minda negarawan pada anggota parti [pemimpin dan ahli ] lantas keluar dari kepompong fikir sebagai pembangkang. Sebaliknya persiapkan mental , fizikal dan spiritual sebagai kerajaan menanti [government in waiting]

Sementara nilai terpenting bagi seorang jeneral yang mengepalai pasukan atau parti ini ialah Kepimpinan Yang Terarah iaitu kepimpinan yang bukan sahaja mampu mencipta gelombang perubahan tetapi berkeupayaan memimpin dan mengarah perubahan tersebut agar menepati matlamat, objektif dan road map perjuangan.

Ustaz Nik Zawawi

Sebagai jeneral, saya akan fokus kepada persiapan terpenting iaitu jentera kempen yang hebat dan berwibawa untuk menarik simpati pengundi.

Pada masa yang sama, saya akan memastikan pasukan saya mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membiayai perang PRU13.

Saya juga akan mengeluarkan pelan taktik menyerang terakhir yang bijak dan memastikan maklumat rahsia terakhir digunakan secara bijak secara tepat dari segi masanya untuk menumbangkan musuh.

Nilai terpenting yang perlu ada pada seseorang jeneral pada PRU- 13 ialah kebijaksaannya untuk menarik musuh dan bukan semata-matanya menyerang musuh.

harakahdaily

Wasatiyyah Najib tak sama dengan cara Rasulullah

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Konsep wasatiyyah yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya menjadi gagasan kerajaan disifatkan sebagai kosmetik semata-mata.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar) berkata, kaedah wasatiyyah yang diperkenalkan oleh Najib adalah wasatiyyah ciptaannya sendiri.

Katanya, Perdana Menteri tidak boleh menggunakan perkataan wasatiyyah ketika mengemukakan dasar-dasar dalam negara kerana ia terikat dengan dasar Islam.

"Kaedah wasatiyyah yang sebenar adalah daripada agama Islam itu sendiri, jadi semua prinsip atau pendekatan yang diguna pakai bercanggah dengan Islam tidak dikira sebagai wasatiyyah.

"Jadi PM kena faham bila sebut wasatiyyah mesti rujuk apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, wasatiyyah adalah kaedah yang digunakan Rasulullah yang diterjemahkan oleh baginda di Mekah dan Madinah.

Tegasnya, wasatiyyah yang pernah dilaksanakan oleh masyarakat sehingga kiamat mesti berpaksi pada kaedah yang ditetapkan dalam Islam.

Wasatiyyah yang ditetapkan dalam Islam, katanya terdapat perkara yang boleh dibincangkan dan ada perkara tidak boleh dirunding iaitu yang membabitkan dasar-dasar Islam.

"Jadi kalau kita lihat dua kaedah ini yang dibawa oleh Rasulullah, perkara ini tidak wujud langsung dalam pentadbiran Umno BN hari ini, barangkali ada hanya segelintir sahaja," katanya.

Misalnya, kata beliau, wasatiyyah yang diamalkan oleh Rasulullah membabitkan peraturan, perundangan negara atau dasar yang diamalkan dalam negara.

Justeru katanya, dasar Islam adalah dasar wasatiyyah yang memberi keadilan kepada semua kaum dan agama, jadi apa yang berlaku dalam negara pada hari ini memperlihatkan dasar ini ditolak oleh Umno dengan mengambil dasar lain.

Terdahulu, Najib dalam jawapan kepada Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 12 Mac, menegaskan kerajaan memperkenalkan konsep wasatiyyah sebagai pemangkin kepada Gagasan 1Malaysia.

Ekoran itu, kerajaan telah mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah yang akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri manakala kerusi wasatiyyah diwujudkan di Universiti Malaya yang akan menjadi pemangkin kepada gerakan kesederhanaan di Malaysia.

harakahdaily/-

Pencabul Mabuk Dibelasah Sehingga Cedera Teruk

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Pencabul dibelasah

SUNGAI PETANI - Sebuah kafe di Taman Tunku Haminah di sini kecoh semalam apabila seorang lelaki yang dipercayai mabuk bertindak memegang dan meraba punggung seorang wanita yang sedang mengambil makanan di kafe itu.

Gambar: KEADAAN lelaki yang cedera dibelasah selepas didakwa mencabul seorang wanita di sebuah kafe di Taman Tunku Haminah, Sungai Petani semalam.

Semasa kejadian pada pukul 1 pagi, seorang wanita Cina berusia 30-an pergi ke kafe itu bersama teman lelakinya untuk makan tengah malam.

Namun, semasa leka memilih makanan, mangsa terkejut dan berasa amat malu apabila punggungnya didakwa dipegang dan diraba oleh seorang lelaki bertubuh besar.

Sebelum mencabul mangsa, lelaki itu didakwa asyik memerhatikan wanita itu yang berdiri ketika memilih makanan.

Wanita berkenaan yang terkejut dengan kejadian itu membatalkan hajatnya mengambil makanan dan pergi ke meja sebelum mengadu kepada kekasihnya mengenai insiden tersebut.

Kekasih mangsa yang geram dengan tindakan lelaki Cina itu terus membelasahnya sebelum pelanggan lain di restoran tersebut turut memukul lelaki yang didakwa mencabul itu.

Ada antara pelanggan membelasah lelaki itu menggunakan topi keledar.

Selepas kira-kira lima minit menjadi mangsa belasahan, lelaki yang berusia 30-an itu cedera teruk di kepala, muka bengkak dan berdarah beberapa anggota badan. Dia diselamatkan oleh beberapa orang awam lain yang melihat kejadian itu.

Dia yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini dengan ambulans.

Difahamkan, wanita itu mengenali lelaki berkenaan. Semasa kejadian wanita itu dan lelaki tersebut yang dipercayai tinggal di kawasan sama datang secara berasingan. -kosmo

Nik Aziz produk istimewa Kelantan - Aziz Desa

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 15 Mac: Ketua Pegawai Operasi Kelantan Trade Cantre (KTC) Aziz Desa menyifatkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah produk istimewa di negeri itu.

Katanya, kerana keistimewaan yang ada pada Tuan Guru, masyarakat di negara ini termasuk luar negara datang khusus ke negeri Tadahan Wahyu itu semata-mata untuk bertemu dengan Tuan Guru dari dekat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program ceramah keibubapaan ‘Zuriat Kita Tanggungjawab Kita’ anjuran Kelantan Trade Cantre (KTC) dan Buraqoil, di sini malam tadi.

Aziz Desa, personaliti TV adalah bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid ketika Kedah diperintah oleh BN sebelum ini.

Pada masa yang sama beliau berkata, hasrat kerajaan Kelantan untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK@12) seramai 6 juta orang akan berjaya.

Jelasnya, ini kerana pelbagai keunikan yang tersendiri dapat dinikmati oleh pelancong termasuk mengikuti kuliah seorang Menteri Besar di Dataran Ilmu, Kota Bharu.

“KTC akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjayakan hasrat itu dan insyaallah, esok seramai 40 orang rombongan para guru dari Kedah akan menginap di sini dalam rangka lawatan mereka selama dua hari,”ujarnya.

harakahdaily/-

Tatih sampai lemas

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Seorang bayi berusia 15 bulan yang baru belajar berjalan, mati lemas di Sungai Kuala Besar, berhampiran rumah keluarganya Kampung Pantai Mek Mas, di sini, selepas keluar dari rumah seorang diri tanpa disedari ibunya yang sibuk membasuh pakaian, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Nik Mohamad Iqbal Hazim Nik Roslan yang baru boleh berjalan sejak dua bulan lalu, dikatakan keluar melalui pintu depan rumah sebelum mayatnya ditemui terapung di sungai yang terletak kira-kira lima meter dari rumah.

Ibunya, Lini Abdullah, 27, berkata ketika kejadian, dia membasuh pakaian di bilik air, anak kedua, Nik Mohamad Ikram Amir, 9, turut berada di dalam rumah manakala anak sulung, Nik Nadia Izzati, 10, bermain di luar.

“Apabila selesai membasuh, baru saya sedar kehilangan Iqbal dan segera mencarinya di sekitar kawasan rumah hingga ke rumah sepupu, tetapi gagal menemuinya.

“Selepas 15 minit mencari, saya ke sungai dan terkejut apabila mendapati mayat bayi terapung di permukaan air. Saya terus meluru dan mengangkat mayat itu. Luluhnya hati saya apabila mendapati ia memang jasad anak saya,” katanya.

metro/-

Loji rawat air kembali beroperasi

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LOJI Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 di Ijok, Kuala Selangor, kembali beroperasi seperti biasa pukul 8 malam tadi setelah ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan selama 12 jam semalam.

KUALA LUMPUR - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) kembali beroperasi seperti biasa pada pukul 8 malam tadi setelah operasinya dihentikan selama 12 jam bermula pukul 8 pagi semalam ekoran kerja-kerja penyelenggaraan loji berkenaan.

Bagaimanapun, bekalan air bersih di 153 kawasan yang diramal terjejas iaitu di daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Langat tidak mengalami sebarang gangguan ekoran kerja-kerja penyelenggaraan tersebut.

Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Abdul Halem Mat Sombagaimanapun berkata, gangguan bekalan air hanya akan berlaku pada hari ini sebelum bekalan kembali pulih secara berperingkat-peringkat.

Katanya, sebahagian kawasan yang jauh atau berada di tempat tinggi dijangka mendapat bekalan paling akhir disebabkan faktor tekanan air yang rendah.

kosmo/-