16 Mac 2012

Sinar Automart kembali pamer pelbagai kereta

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Sinar Automart kembali! Selepas seminggu tidak bersama pengunjung.

Pameran dan jualan yang berkonsepkan Iklan, Pamer dan Jual kembali menemui pengunjung di pekarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15 di sini, dari jam 9 pagi hingga 2 petang, Ahad ini.

Penasihat Eksekutif Pengiklanan dan Pemasaran Sinar Harian, Zulkhafle Jalil berkata, pelbagai jenis kereta dipamerkan kali ini dan dimeriahkan lagi dengan auto show dari Kelab Perodua Myvi.

“Pameran ini memberi ruang kepada pengiklan menambah nilai perkhidmatan bagi memasarkan kenderaan, baru mahupun terpakai dengan­ lebih berkesan.

“Kali ini kami akan membawakan kelainan kepada pengunjung berbanding minggu terdahulu,” katanya.

Menurutnya, Sinar Auto­mart bukan sahaja menjual, malah menyediakan kemudahan ruang iklan bagi pemilik kereta yang berminat untuk menjual kereta mereka pada harga iklan serendah RM106 untuk tiga kali keluaran iklan dalam akhbar Sinar Harian.

Zulkhafle berkata, Sinar Automart juga akan memberikan minyak pelincir Hyrax diberikan percuma kepada lima pembeli pertama kenderaan di pameran tersebut serta penyertaan dan sentiasa mengalu-alukan penyertaan daripada orang ramai.

Mereka berminat boleh hubungi Zulkhafle 019-2195877, Azliza 019-2297220 atau Junaidi 019-3037925.

Sinar Harian

Persiapan terakhir Suhaila

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Hampir tiga minggu penderitaan adik Nur Suhaila mendapat perhatian umum, kini Nur Suhaila dan ibunya sibuk membuat persiapan terakhir sebelum berangkat ke Dubai bagi menjalani pembedahan penyakit Congenital Disorder.

Ekoran musim sejuk di sana, Ibunya, Hanita Mohd Tahir terpaksa menyediakan pakaian sesuai bagi Suhaila untuk mengelakkan perkara tidak diingini terjadi.

“Banyak perkara yang perlu saya uruskan sebelum berangkat. Selain pakaian, saya juga perlu membawa semua dokumen perubatan Suhaila di sini untuk rujukan di sana.

“Ini kerana, pemergian kami ke sana adalah di atas usaha sendiri, jadi saya berserah. Saya berharap, dalam perjalanan selama tujuh jam, Suhaila berada dalam keadaan baik.

“Jika Suhaila sakit, jadual pembedahan terpaksa dilanjut­kan. Saya bersyukur kerana masalah pengi­napan sudah selesai,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, Tabung Nur Suhaila menerima sumbangan daripada rakyat Malaysia termasuk daripada pelbagai agensi.

Sinar Harian

‘NFCorp gagal bayar sewa pasar raya’

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mendedahkan kegagalan National Feedlot Corporation (NFCorp) untuk membayar sewa pasar raya yang dimiliki syarikat berkenaan di Singapura.

Menurut Tony, Syarikat Farmhouse Supermarkets didakwa gagal membayar sewa dan sekali gus perjanjian itu di­batalkan.

Tony merujuk akhbar Singapura semalam yang melaporkan pemilik Rochester Mall di Buona Vista telah membatalkan perjanjian pem­binaan rangkaian pasar raya itu kerana syarikat dari Malaysia gagal mematuhi syarat­ yang dimeterai.

Merujuk kepada laporan berkenaan, Tony turut mempersoalkan jumlah pelaburan untuk menubuhkan pasar raya berkenaan.

“Sebelum ini pasar raya itu perlu dilaksanakan untuk mempromosi daging lembu dari NFCorp, sedangkan buat masa ini Singapura tidak bagi import.

“Mengikut maklumat, mereka tidak siapkan pasar raya itu dan membayar sewa yang dikenakan ke atas tempat itu, maka perjanjian tersebut dibatalkan.

“Sekarang pasar raya tidak dapat dibina dan ditendang keluar pula. Saya mahu tanya berapa jumlah pelaburan yang hilang? Siapa yang akan menanggung pembiayaan? Adakah keluarga Datuk Seri Shahrizat ataupun NFCorp?.

“NFCorp datang daripada pembayar cukai. Adakah NFCorp yang perlu tanggung kerugian pasar raya ini? katanya.

Syarikat Farmhouse Super­markets Pte Ltd didakwa­ memiliki Pasar Raya Mewah di Singapura dengan sewa SGD900,000 atau RM2.2 juta sebulan.

Sinar Harian

Liga Europa: MU, Manchester City disingkir

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

DUA kelab gergasi dari England, Manchester City dan Manchester United (MU) tewas dalam pusingan 16 pasukan terakhir kejohanan Liga Europa

MU dikalahkan 2-1 oleh Athletic Bilbao, di mana pertemuan kedua-dua pasukan berakhir dengan kiraan agregat 5-3.

Manchester City walaupun menjaringkan tiga gol berbalas dua dalam persaingan menentang Sporting Lisbon di Eastlands, tetapi kelebihan gol tempat sendiri memberi kemenangan kepada pasukan pelawat.

Pengurus MU, Sir Alex Ferguson berkata, nasib yang dialami pasukannya menunjukkan sudah tidak ada sebarang makna bagi mereka mengejar cabaran Liga Perdana.

"Adalah sesuatu yang mengecewakan apabila kami tidak mara dalam Liga Juara-juara dan kini kami tersingkir dari Liga Europa," katanya lagi.

MU berada di tangga teratas kedudukan kelab Liga Perdana Inggeris dan ia dipisahkan satu mata oleh Manchester City.

Pasukan itu akan bertemu dengan Chelsea pada Rabu depan sebelum menerima kunjungan Manchester City.

Ferguson juga mengakui bahawa pasukanya kini kedua terbaik dalam persaingan Liga Europa.

"Saya tidak fikir kita boleh mengadu," katanya.

"Saya mendapati di separuh masa pertama, kami memberi laluan kepada gol mudah. Itu adalah perkara terakhir kami mahukan dan saya tidak boleh percaya langsung, kami boleh hilang gol macam itu sahaja," kata beliau lagi.

Ferguson menambah, "di peringkat awal separuh masa kedua, mereka bermain dengan baik dan sepatutnya telah menjaringkan dua atau tiga gol."

Pada pusingan pertama Athletic Bilbao menewaskan MU 3-2.

Sinar Harian

Keputusan perlawanan Liga Eropah

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BERIKUT keputusan pusingan 16 pasukan terakhir kejohnan Liga Eropah yang berlangsung hari ini (waktu Malaysia).



Athletic Bilbao 2 - 1 Man Utd (agregat 5-3)

Hannover 96 4 - 0 St'dard Liege (agregat 6-2)

PSV Eind'ven 1 - 1 Valencia (agregat 3-5)

Udinese 2 - 1 AZ Alkmaar (agregat 2-3)

Besiktas 0 - 3 Atl Madrid (agregat 1-6)

Man City 3 - 2 Sporting (agregat 3-3, Sporting menang atas kiraan gol tempat sendiri)

Olympiakos 1 - 2 Met'st Kharkiv (agregat 2-2, Metalist Kharkiv menang atas kiraan gol tempat sendiri)

Schalke 04 4 - 1 FC Twente (agregat 4-2)

Sinar Harian

Jangan salahkan ibu Dirang

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – Mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, tidak pernah bersendirian ke kedai runcit atau ke taman permainan di Flat Seri Delima Bandar Seri Alam, di sini, kecuali pada hari kejadian itu.

Peniaga, Anisah Kalam, 35, berkata, dalam sehari mesti dua atau tiga kali mangsa, yang lebih mesra dipanggil Dirang, pergi ke kedai runcitnya, tetapi bersama abang atau ibu saudaranya.

Anisah yang sudah berniaga di flat itu enam tahun berkata, Dirang juga tidak keseorangan ketika bermain di taman permainan berhampiran rumahnya.

“Saya minta tolong janganlah salahkan ibunya (Roselyn Alan) kerana sepanjang berniaga di sini Dirang tidak pernah (dibiarkan) bersendirian membeli gula-gula atau barang pesanan ibunya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Anisah berkata, Walaupun Dirang baru berumur lima tahun, kanak-kanak itu petah bercakap dan mesra dengan semua orang sehingga keletahnya diingati penduduk flat itu.

Menurutnya, Dirang tidak pergi ke kedainya tiga hari sebelum itu.

“Pada hari itu saya pelik lihat Dirang sendirian ke kedai, malah baki wang 20 sen selepas membeli dua bungkus mi segera dan lima biji telur tidak dibelanjakan untuk membeli gula-gula seperti biasa.

“Keletahnya seperti biasa yang gemar memberi salam sebelum masuk ke kedai. Saya juga suka mengusik dia kerana petah bercakap walaupun baru berusia lima tahun,”

Sinar Harian

15 Mac 2012

Dasar Penswastaan Air Di Malaysia Bebankan Rakyat

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MARSEILLE, PERANCIS,15 MAC : Dasar penswastaan air di Malaysia gagal kerana disalahguna untuk manfaatkan golongan ‘rentier’ menggunakan kos yang ditanggung pengguna, beritahu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa Forum Air Sedunia kali ke enam di sini.

Bercakap pada sesi Pihak Berkuasa Tempatan dan Serantau sempena Forum Air Sedunia kali ke enam di Marseille, Perancis, Abdul Khalid berkata, walaupun terdapat kes kejayaan penswastaan air di peringkat antarabangsa, namun keadaan sedemikian tidak berlaku di Malaysia.

“Ini adalah contoh klasik kegagalan percubaan menswastakan kemudahan awam yang diburukkan dengan dua faktor iaitu pertembungan antara politik dan perniagaan di mana keuntungan kepada individu diutamakan di samping konflik kepentingan politik,” kata Abdul Khalid.

Beliau menegaskan teori penswastaan tidak salah kerana antara lain bertujuan menggurangkan beban kerajaan dan meningkatkan kecekapan sekali gus menambahkan daya saing.

“Namun di Selangor, syarikat konsesi swasta yang dipilih untuk merawat dan menyalurkan air kepada pengguna tidak mahir dan tidak berpengalaman dalam industri perkhidmatan air. Tanpa suntikan kewangan, syarikat-syarikat ini mula berkompromi dengan kualiti air dan penyampaian perkhidmatan air, memaksa tarif air yang tinggi kepada pengguna,” katanya.

“Separuh daripada 13 negeri berdepan kewangan defisit dalam operasi air yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion. Melantik pihak luar untuk menguruskan perkhidmatan industri air bukan saja mengurangkan kecekapan malah soal pembiayaan tidak ditangani sebaiknya,” katanya yang menambah kelemahan syarat perjanjian konsesi juga antara punca kegagalan penswastaan air.

Saran beliau, perjanjian ini sepatutnya memasukkan fasal secara spesifik dan terperinci mengenai denda kepada konsesi yang gagal mematuhi syarat. Dalam kes kita(Malaysia), penjanjian konsesi sangat lemah. Apabila syarikat konsesi berdepan masalah kewangan, Kerajaan Pusat akan menanggung hutang-hutang ini.

Bagi beliau, perjanjian antara negeri dan syarikat swasta sepatutnya mengandungi klausa yang melindungi kedua-dua pihak selain butiran terperinci bahawa perbelanjaan modal oleh kerajaan dengan peraturan jelas serta telus berhubung pemberian kontrak untuk projek-projek utama. Pada masa kini penswastaan perkhidmatan air di Malaysia banyak silapnya.

Sebagai penyelesaian jelasnya, kerajaan negeri berusaha merawat air secara holistik dengan merujuk kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang digubal untuk menggabungkan industri air di mana pembubaran penswastaan merupakan satu kemungkinannya.

“Walaupun akta ini diluluskan peringkat persekutuan, Kerajaan Persekutuan yang dikuasai BN keberatan melaksanakannya ekoran kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya Mac 2008.

“Apabila tiba masa kerajaan negeri membeli saham syarikat konsesi (seperti yang ditetapkan dalam akta), Kerajaan Pusat bertindak balas dengan menunjukkan sikap bermusuhan,” katanya.

Sehingga kini kerajaan negeri telah membuat tawaran rasmi melalui tiga kali rundingan, tetapi syarikat konsesi menuntut pampasan tinggi bagi penjualan saham serta ekuti dan keadaan ini tiada perubahan sehingga kini.

Kerajaan Pusat mendesak kerajaan negeri segera membeli syarikat konsesi air sebagai cara penyelesaian holistik, tetapi pada masa sama melanjutkan tempoh pajakan kepada syarikat konsesi ini.

“Walaupun atas nama Persekutuan, kuasa kerajaan negeri dinafikan sejak sekian lama. Ini kerana Kerajaan Persekutuan di Malaysia mengawal polisi utama dan ini menambah kesukaran kepada kami sebagai sebuah kerajaan negeri untuk membuat keputusan terhadap sumber yang menjadi milik kami,” katanya.

Abdul Khalid antara tujuh ketua negeri yang dijemput menyampaikan ucapan pada sesi itu yang bertemakan ‘Towards Better Water Governance’ yang dihoskan Region United (FOGAR) sempena Forum Air Sedunia.

Ini kali pertama kerajaan negeri membangkitkan isu air di peringkat antarabanga selepas lebih dua tahun berunding untuk mengambil alih industri perkhidmatan air.

Abdul Khalid dijangka berucap mengenai isu yang sama ketika berada di London pada Jumaat ini.

SELANGORKU/-

‘Dia ni bapak hang’, anak pura-pura tak kenal

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - “Kalau hang tak mahu pada orang tua ni, hang bunuh dia. Bagi aku tanam. Dia ni bapak hang,” antara ungkapan kecewa diluahkan penjaga seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun yang merupakan anak saudara kepada mangsa ketika berlaku pertengkaran di hadapan rumah anak perempuan mangsa di sini kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Kejadian berlaku apabila mangsa menyatakan hasrat untuk tinggal di rumah anak perempuan tunggalnya kerana setelah sekian lama dijaga adik-beradiknya.

Waris yang juga anak saudara mangsa buntu dan membawa mangsa ke Balai Polis Kulim apabila mangsa tidak mahu lagi tinggal di rumah mereka.

Seorang waris berkata, mangsa berada bersama keluarganya lebih 30 tahun lalu tetapi berhasrat untuk tinggal bersama anaknya di sebuah taman perumahan di sini dan untuk memenuhi hasratnya, mereka menghantar mangsa ke rumah anak kandungnya.

Menurutnya, sebelum menyerahkan mangsa kepada keluarganya, mereka meminta nasihat polis untuk mengiringi kerana khuatir berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Apabila tiba di rumah anak mangsa, polis terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum pintu rumah dibuka. Malang bagi mangsa apabila anaknya itu berpura-pura tidak mengenalinya.

“Perkara ini menimbulkan tidak puas hati dan kemarahan anak saudara mangsa dan berlaku pertengkaran mulut. Anak mangsa terus mendesak supaya bapanya itu tidak ditinggalkan di rumahnya kerana dia tidak mahu menjaganya,” katanya.

Waris mangsa berkata, sejak dulu lagi anak mangsa tidak pernah menjaga kebajikan bapanya itu sebaliknya segala tanggungjawab itu diberikan kepada keluarganya.

Katanya, memandangkan kasi­han­ dengan nasib menimpa mangsa, mereka setuju untuk menjaganya sejak 30 tahun lalu.

“Tok sudah tidak mahu tinggal bersama kami dan meminta kami menghantarnya ke rumah anak perempuannya. Kami semua sudah berkahwin tetapi masih boleh menjaganya. Seingat saya, sekarang saya sudah berusia 28 tahun. Sebelum itu pun tok sudah tinggal bersama kami. Sejak akhir-akhir ini, tok memberontak mungkin kerana dia nyanyuk.

“Dia sering mencederakan dirinya sendiri. Bagaimanapun kami terus menjaganya walaupun bersikap keanak-anakan. Memandangkan dia mahu tinggal bersama anak perempuannya maka kami setuju untuk menghantarnya ke sana. Malangnya anak tok enggan menerimanya,” katanya.

Sebelum itu, jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah anak mangsa memaklumkan kepada waris berkenaan bahawa bapanya telah meninggal dunia. Waris yang mendengar pengakuan dibuat jiran terpinga-pinga dan memperkenalkan kepada mereka bahawa warga emas itu merupakan bapanya.

Polis yang mengiringi waris mangsa kemudiannya memapah mangsa keluar dari kereta dan menunjukkan kepada anaknya, namun anaknya itu masih tidak membuka pintu pagar dan membenarkan bapanya masuk ke dalam rumah.

Atas sikap prihatin, polis meminta anak mangsa untuk memberikan kerusi kepada bapanya kerana mangsa tidak tahan berdiri lama kerana sudah tua.

Pertengkaran antara keluarga itu berterusan di mana anak mangsa tetap tidak membenarkan bapanya masuk ke rumah. Polis kemudiannya menasihatkan supaya permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan secara aman kerana ini merupakan permasalahan keluarga.

Polis memaklumkan, anak mangsa datang ke Balai Polis Sungai Kob kira-kira jam 9 malam untuk mencari rumah sepupunya bertujuan menghantar mangsa kepada mereka.

Sinar Harian kemudiannya menghubungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dia mengarahkan supaya anak mangsa menyerahkan mangsa ke JKM sebelum dibawa ke mahkamah untuk arahan penempatan tinggal di rumah orang tua.

SINAR HARIAN/-

Kilang Vale: Rakyat Perak bakal bangkit

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LUMUT, 15 Mac: Pada waktu rakyat Malaysia masih berkempen kuat untuk menutup kilang rare earth milik Lynas Corp dari Australia, satu protes besar bakal berlaku di Perak terhadap sebuah kilang pemprosesan bijih besi milik Vale International dari Brazil.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Gabungan Rakyat Perak Prihatin (CCCP) menuntut projek tersebut dihentikan sementara supaya analisa impak terhadap penduduk setempat, terutamanya di Lumut dapat dilakukan.

Pengerusinya, Zainal Abidin Osman berkata CCCP akan melancarkan kempen mengumpul tandatangan bermula 21 Mac ini untuk memaksa kerajaan negeri Perak untuk mengkaji semula projek berkenaan dan meletakkan langkah-langkah pengawasan yang sepatutnya bagi menjamin keselamatan alam sekitar, kehidupan penduduk setempat dan masa depan.

Oleh itu, beliau menggesa penduduk Perak, terutamanya Lumut dan Pangkor untuk menyertai kempen ini.

“Selain itu, kita turut menggesa kerajaan negeri untuk menghalang Valemax, kapal kontainer bijih besi terbesar untuk memasuki Lumut,” kata beliau, sambil menambah Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mesti mengambil langkah sewajarnya untuk meredakan kebimbangan penduduk.

Zainal berkata kemasukan kapal besar tersebut bakal membawa kesan kepada alam sekitar, dan negeri China juga telah bertindak menghalang kapal Vale untuk berlabuh di pelabuhannya atas faktor masalah teknikal kapal dan kesan kepada persekitaran.

Satu perhimpunan rakyat akan diadakan, dan butiran lanjutnya akan didedahkan kepada rakyat pada 29 Mac nanti, tambah Zainal.

“Rakyat Perak tidak boleh ditipu untuk menerima projek ini atas nama membawa keuntungan kepada mereka dan negeri. Kesan daripada projek ini adalah besar dan langkah-langkah segera perlu diambil sebelum projek ini dikaji semula sebelum mengakibatkan kemusnahan yang tidak boleh diselamatkan,” tambah Zainal.

Akhir tahun lepas, Harakahdaily telah melaporkan bantahan rakyat Perak terhadap jeti RM676.8 juta yang diletakkan di bawah syarikat asing.

Mereka menyoal sama ada Zambry berada di pihak mereka ataupun di pihak firma asing.

Menurut blog say no to Vale International, kerajaan Perak tidak seharusnya meletakkan jeti Lumut di bawah syarikat Brazil, Vale International yang bakal menggunakan jeti tersebut untuk menerima dan menghantar keluar jumlah hasil bijih besi yang banyak.

Menyifatkan tindakan tersebut sebagai cuai, blog tersebut mendakwa banyak perkara yang tidak diketahui impaknya sekiranya projek tersebut dilaksanakan.

“Sementara kesan terhadap alam sekitar masih menjadi persoalan, impak kerana jeti ini dipegang warga asing pula menimbul pelbagai persoalan lain. Dan berapa banyakkah spinoff downstream value (aliran tunai ke bawah) kepada rakyat Perak juga masih tidak terjawab.

“Kerajaan Perak di bawah Zambry sedang melakukan sesuatu yang tidak sihat yang tidak pernah dilaksanakan jika ia tetap membenarkan syarikat asing untuk memiliki jeti di satu lokasi yang begitu strategik seperti di Lumut,” blog tersebut memberikan amaran.

Kilang Vale yang terletak di Teluk Rubiah mempunyai kapasiti untuk memproses 60 juta ton bijih besi setiap tahun.

Kilang tersebut mula dibina Julai lepas, dan dijangka akan mula beroperasi pada Jun 2014.

Kerajaan Perak pernah berkata jumlah pelaburan yang bakal diterima daripada Vale adalah antara RM9 bilion ke RM14 bilion.

harakahdaily/-

Kenapa media Umno serang saya - Kadir

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SERDANG, 15 Mac: Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, segala kritikannya terhadap kerajaan Umno BN bukan kerana kecewa tidak diberi jawatan, sebaliknya mahu membetulkan apa yang tidak betul dilakukan pemimpin negara.

Menurutnya, pandangan yang diutarakannya jika dikaji secara terperinci, ianya adalah sesuatu yang baik untuk melengkapkan transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malang katanya, media arus perdana yang dikuasai Umno telah memutar belit kenyataannya dan menyerangnya secara berterusan.

"Saya tidak ada sebarang kekecewaan dalam hidup saya, lebih-lebih lagi sekarang ini, saya bahagia.

"Pandangan saya ini sebagai orang lama dalam Umno. 56 tahun dari hidup saya, saya beri kepada Umno. Buat apa ahli Umno duk bedai (bedal) orang Umno (macam saya)," katanya pada sidang media di pejabatnya di Mines Waterfront di sini.

Pada temubualnya dengan TVPAS dan Harakahdaily Januari lalu, Abdul Kadir mendedahkan jentera BN sekarang sedang masuk ke kampung-kampung mengedarkan wang tunai yang juga disebutnya sebagai strategi "bom" untuk tujuan membeli undi pilihan raya umum.

Dalam isu agenda Bumiputera pula, dalam temubual itu beliau mendakwa kerajaan BN telah gagal meletakkan kedudukan sosio ekonomi bumiputera di tahap sepatutnya sedangkan BN sudah diberi tempoh 50 tahun memerintah.

Mengulas lanjut Abdul Kadir berkata, jika beliau mahukan jawatan mahupun projek, itu bukan sesuatu yang sukar kerana yakin pimpinan parti akan membantunya atas menghargai khidmatnya yang lama.

"Saya tak pernah jumpa mereka nak mintak jawatan atau projek.

"Kalau saya nak jawatan, di kemuncak karier saya sebagai menteri, saya berhenti buat apa, munasabah ke," soalnya.

Nafi beli undi

Dalam pada itu, bekas Menteri Penerangan dan Komunikasi itu juga turut kesal kerana dituduh membeli undi dari pengundi di kawasan parlimennya di Kulim Bandar Baharu.

Sambil menyifatkannya sebagai fitnah, beliau juga menafikan pernah mendakwa penduduk di parlimen itu perlu dibeli untuk mendapat undi.

"Saya sensitif jika ini dikaitkan dengan kawasan parlimen yang saya wakili selama 30 tahun. Bukan sahaja ahli Umno malah seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau fahaman politik ibarat manusia intan permata dan tersangat mulia.

"Kami di Kulim Bandar Baharu tidak pernah dan tidak perlu membayar wang untuk membeli undi sama ada semasa pemilihan parti ataupun pilihan raya umum," tegasnya bersungguh.

harakahdaily/-

Mahmoud nafi silap urus Iran

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TEHERAN - Presiden Mahmoud Ahmadinejad menolak tuduhan anggota-anggota Parlimen Iran yang menyatakan beliau cuai dalam menguruskan ekonomi negara.

Perkembangan itu berlaku ketika inflasi di Iran meningkat lebih 30 peratus, nilai mata wang rial Iran pula merudum susulan sekatan ekonomi oleh Barat manakala dana projek infrastruktur mega seperti pembinaan rangkaian tren bawah tanah di sini turut dibekukan.

Namun, dalam jawapan beliau kepada anggota-anggota Parlimen Iran, Mahmoud tetap mempertahankan dasar ekonominya dengan menyatakan ekonomi Iran masih kukuh.

"Tiada bukti dasar pentadbiran saya melanggar undang-undang negara setakat ini," kata Mahmoud.

Ini adalah kali pertama Presiden Iran disoal oleh 290 anggota Parlimen negara itu berhubung cara beliau mentadbir negara sejak Republik Islam Iran diasaskan pada 1979.

Semasa disoal oleh anggota-anggota Parlimen, Mahmoud kelihatan tenang dan bersahaja dalam memberikan jawapan.

Beliau turut mempersenda peraturan baharu yang mewajibkan wakil rakyat baharu memiliki ijazah sarjana atau kelulusan setaraf dengan menyatakan, draf peraturan tersebut dibuat oleh mereka yang memiliki ijazah sarjana.

Mahmoud berkata, beliau boleh mengusulkan peraturan yang lebih baik.

Bercakap tentang kod berpakaian yang ketat bagi masyarakat Islam Iran, Mahmoud tetap berpegang kepada pendapatnya bahawa peraturan tersebut perlu dilonggarkan.

"Kita perlu menghormati hasrat rakyat," ujarnya.

- AFP

Harap Najib jadi Ketua Pembangkang - Bekas Adun BN

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PEKAN, 15 Mac: Program ceramah umum Pakatan Rakyat di Kampung Batu 9, Sungai Miang dekat sini malam tadi tercemar dengan gelagat penyokong UMNO yang sengaja membuat provokasi di kawasan terbabit.

Tidak cukup dengan mengadakan program "Penerangan & Ramah Mesra Bersama Masyarakat" dijarak begitu hampir (sekitar 100 meter) daripada lokasi ceramah berkenaan, mereka juga turut mengganggu dan mengejek Mohammad Sabu ketika Timbalan Presiden PAS itu menyampaikan ceramahnya semalam.

Ceramah dimulakan oleh Ustaz Abu Kassim Manaf, Yang DiPertua PAS Kawasan Pekan kemudian diikuti oleh Aspan Alias, bekas Blogger UMNO Negeri Sembilan yang kini menyertai DAP.

Selepas itu barulah mantan Ketua Penerangan UMNO Pekan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis iaitu Datuk Ariff Sabri Abd Aziz (gambar) menyampaikan ceramahnya.

Beliau yang juga dikenali sebagai Blogger Sakmongkol itu banyak menyingkap sejarah lama ketika bersama UMNO sehinggalah beliau membuat keputusan untuk bersama Pakatan Rakyat dengan menyertai DAP.

Dalam kenyataannya, Ariff banyak mengulas tentang perangai dan sikap pemimpin UMNO yang tidak mahu berubah dan gemar mengejar duniawi menjadi punca dia meninggalkan parti itu.

Beliau turut menyelar sikap puak-puak UMNO yang sudah tidak mempunyai idea hingga tergamak menganjurkan program mereka pada malam itu semata-mata untuk menganggu ceramah umum Pakatan Rakyat sebenarnya.

"Inilah kerja mereka sejak dari dulu lagi. Sepuluh tahun lalu UMNO tuduh ceramah PAS mencaci dan menghina .. tapi sekarang tuan-tuan lihat, amalan itu sudah terlekat pula pada diri mereka," kata Ariff Sabri.

Beliau turut menegaskan kenapa orang Melayu terpinggir sedangkan sudah lebih 50 tahun UMNO menjadi pemerintah di negara ini.

Kuasa ada pada orang Melayu, namun kehidupan dan ekonomi bangsa sendiri terus merundum katanya.
Mereka yang kaya raya dan menikmati hasilnya ialah puak-puak pencacai yang proksi serta kroni mereka sendiri.

Inilah yang berlaku sejak sekian lama dan amalan ini sukar untuk dibendung lagi dalam UMNO, lantaran itulah beliau akhirnya kini terpaksa meninggalkan parti tersebut.

Sementara itu, Ariff Sabri juga banyak mendedahkan beberapa penyelewengan yang dilakukan oleh UMNO selama mereka memerintah termasuk juga dalam isu Felda yang sedang hangat diperkatakan.

Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa orang bekas pemimpin UMNO yang bertaraf menteri pun mengakui bahawa jangka hayat parti itu kemungkinan akan berakhir pada PRU-13 ini.

Pakatan rakyat katanya akan menang dan bakal menakluki Putrajaya.

"Saya dimaklumkan, BN akan kehilangan hampir 16 kerusi parlimen di Sarawak dan minima 12 kerusi di Sabah.

"Jika dicampur dengan kelemahan mereka di Semenanjung yang hanya bergantung kepada undi masyarakat Felda dan orang kampung maka harapan untuk melihat BN kecundang pasti akan tercapai.

"Apapun, saya harap Datuk Najib menang di Parlimen Pekan kerana kita nak dia jadi Ketua Pembangkang di parlimen selepas ini," katanya.

Sementara itu Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dalam kenyataan awalnya menegaskan apa yang berlaku malam tadi adalah kelemahan tindakan pihak polis.

"Kenapa polis tak halang UMNO buat program dekat tempat kita, sedangkan depa tahu Pakatan Rakyat terlebih awal mahu adakan program ceramah di sini. Polis sengaja biarkan suasana jadi huru hara dan kekecohan tercetus.

"Kenapa polis boleh bersikap begini, sedangkan mereka ditugaskan menjaga keselamatan rakyat. Polis hanya mahu jaga UMNO tapi bukan rakyat!. Mereka berpakat dengan UMNO buat program dekat dengan lokasi kita. Depa nak kita jadi marah ... ," kata Mat Sabu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut berkenaan kutukan dan cacian yang dibuat oleh penceramah UMNO terhadap beliau, Mat Sabu secara sinis berkata penceramah terbabit tidak akan dibenarkan ceramah jika Pakatan Rakyat memerintah.

"Dok caci saya isu khalwat, isu tu dah selesai di mahkamah. Kenapa dok bising. Ini kerja puak-puak UMNO. Depa dah tak ada isu," kata Mat Sabu lagi.

Beliau turut mengingatkan rakyat, supaya bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, Pakatan Rakyat kini berpeluang cerah untuk menakluki Putrajaya. ..PahangDaily.

PAS bawa isu MAS-AirAsia ke Parlimen

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mac: Penggabungan saham antara MAS dan AirAsia perlu ditamatkan segera memandangkan terdapat asas kukuh tekanan ke atas kakitangan MAS itu sendiri.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, menegaskan selain kakitangan MAS, integriti MAS itu sendiri turut tertekan dengan kolaborasi tersebut.

Beliau berkata, tekanan yang dirasai MAS itu ekoran aduan dan rungutan Malaysia Airlines System Employees Union (MASEU) yang mendakwa kebanyakan pengurus atasan di kalangan kakitangan AirAsia.

Salahuddin berkata, PAS pada prinsipnya tidak menolak sebarang kolaborasi sekiranya ia mewujudkan 'suasana menang-menang' bagi mewujudkan perkongsian yang bijak.

"Sayangnya, hasil mesyuarat dengan wakil MASEU yang kami terima hari ini, kita nampak kolaborasi ini lebih banyak menguntungkan AirAsia, berbanding MAS," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, berkata pihaknya akan membawa perkara tersebut ke parlimen dengan menjadikannya satu tajuk yang memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.

"Dengan kesempatan yang ada, perkara ini akan dipanjangkan ketika sesi perbahasan Titah Ucapan Yang Dipertuan Agong kelak. Dan Pakatan Rakyat mengharapkan kerajaan segera campur tangan demi menjaga kepentingan pekerja MAS dan imej syarikat itu sendiri," tegas beliu lagi.

Terdahulu, Salahuddin menerima kunjungan wakil MASEU di parlimen dan menghabiskan masa kira-kira satu jam membincangkan perkara tersebut.

Selain Salahuddin, turut dalam mesyuarat tersebut ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar; yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Dr. Dzulkefly Ahmad (MP Kuala Selangor), Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud (MP Kota Raja); Khalid Samad (MP Shah Alam); Firdaus Jaafar (MP Jerai); Nasir Zakaria (MP Padang Terap) dan Abdullah Sani (MP Kuala Langat).

Di bawah perjanjian yang diumumkan Ogos tahun lalu, Tune Air Sdn Bhd, pemegang saham terbesar dalam AirAsia, akan mengambilalih 20.5 peratus saham dalam MAS.

Kazanah Nasional Berhad pula akan memiliki pegangan 10 peratus saham AirAsia dan terus menjadi pemegang saham utama dan tunggal terbesar MAS.

HARAKAHDAILY/-

Pengebom Berani Mati Serang Kediaman Presiden Somalia

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MOGADISHU: Seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dalam kawasan kediaman Presiden Somalia, Sharif Sheikh Ahmed, semalam, menyebabkan empat orang terbunuh, kata polis.

Jurucakap polis, Abdulahi Hasan Barise berkata, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, termasuk pengebom terbabit, manakala 10 orang lagi cedera.

Militan al-Qaeda di Somalia, al-Shebab mendakwa, mereka bertanggungjawab dalam serangan berani mati itu. - AFP

Isu YBK : PM Cuba Kelirukan Rakyat

22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM,15 MAC : Tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Kerajaan Negeri Selangor menjadi punca Yayasan Basmi Kemiskinan(YBK) gagal melaksanakan Pelan Tranformasi Lima Tahun (2012-2016) amat tidak bertanggungjawab dan cuba menggelirukan rakyat Selangor.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, dalam kenyataan medianya berkata, Perdana Menteri sedia maklum tindakan ini adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil kerajaan negeri selepas banyak peluang diberikan kepada pengurusan YBK kerana tidak membayar cukai tanah dan melanggar syarat-syarat tanah yang ditetapkan.

“Kerajaan negeri perlu bertindak adil kepada semua pihak hatta melibatkan anak syarikat milikan penuh atau agensi di bawahnya. YBK yang diberikan tanah secara percuma sepatutnya melunaskan tunggakan cukai tanah dan menggunakan tanah-tanah yang diberikan itu untuk program kebajikan bukan membangunkan dengan projek pembangunan untuk keuntungan kroni-kroni.

“Inilah sikap jijik pemimpin UMNO yang tidak pernah mengaku salah sebaliknya menuding jari kepada orang lain. Perdana Menteri sepatutnya meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana tindak tanduk YBK yang merugikan harta rakyat,” tegas Faekah.

Tambah Faekah, kerajaan negeri mendedahkan senarai syarikat yang mendapat manfaat daripada projek pembangunan tanah yang diberikan kepada YBK dan akibatnya, kerajaan negeri telah disaman tetapi kemudian ditarik balik oleh YBK. Jika dakwaan ini salah, sudah tentu YBK tiada alasan menarik semula saman ini.

Perdana Menteri sepatutnya menjadi seorang yang jujur seperti mana yang dituntut dalam Islam. Beliau tidak boleh berterusan menggunakan taktik menipu rakyat semata-mata untuk menang pilihanraya.

Menurut Faekah lagi, kerajaan negeri telah membantu banyak badan bukan kerajaan (NGO) dengan mendermakan dana atau bantuan lain dan akan sentiasa menyokong usaha-usaha murni mereka. Banyak NGO ini yang berjaya membantu golongan memerlukan dan mempunyai aset jutaan ringgit walaupun tidak mendapat bantuan kerajaan negeri.

“Ini amat berbeza sekali dengan YBK yang mendapat banyak bantuan termasuk pemberian tanah percuma tetapi tiada impak besar kepada golongan sasar sebaliknya golongan kaya yang mendapat faedah. Inilah natijahnya apabila badan kebajikan diuruskan orang politik yang berselindung disebalik kerja-kerja kebajikan,” ujar beliau.

selangorku/-