17 April 2012

Kereta kalis peluru makin banyak di Brazil

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SEBUAH kereta yang dipasang dengan peralatan kalis peluru mempunyai banyak kesan lubang akibat tembakan selepas diuji di makmal firma Dupont di Paulinia pada Jumaat lalu.

SAO PAULO - Semakin ramai golongan sederhana mengubahsuai kereta mereka supaya menjadi kalis peluru di Brazil.

Ia dilakukan bagi melindungi diri daripada tembakan perompak di persimpangan lampu isyarat di sini dan semasa kesesakan jalan raya di ibu kota Brazil, Brasilia.

Firma bahan kimia, DuPont memperkenalkan fiber kevlar dan kaca SentryGlas yang kalis peluru serta dipasang pada kenderaan untuk golongan sederhana di Brazil pada tahun 2008.

Kit kalis peluru itu boleh dipasang pada kereta Chevrolet, Honda dan Kia.

Selain kenderaan persendirian, kit itu akan dipasang pada teksi bagi memastikan keselamatan penumpang menjelang Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik pada tahun 2016 di Rio de Janeiro.

Seorang pemuda, Alexandre Sarafian, 25, memutuskan untuk membeli peralatan kalis peluru itu untuk sebuah kereta Kia Sportage milik ibunya.

"Ia adalah untuk mengelakkan keganasan," katanya.

Peralatan kalis peluru itu dijual pada harga AS$12,000 (RM45,933) yang seberat 90 kilogram dan mengambil masa hanya 15 hari untuk dipasang. - Reuters

Warga UK diracun kerana ugut isteri pemimpin China

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BEIJING - Pembunuhan seorang ahli perniagaan Britain, yang mencetuskan kontroversi politik di China awal bulan ini, mati kerana diracuni selepas mendiang didakwa mengugut mahu mendedahkan rancangan isteri seorang pemimpin China yang mahu memindahkan keluar wang ke negara lain.

Kematian Neil Heywood pada November lalu telah menyebabkan peluang Bo Xilai untuk memainkan peranan penting dalam lingkungan politik peringkat pusat Parti Komunis China terkubur.

Menurut laporan Reuters, isteri Bo, Gu Kailai telah meminta Heywood akhir tahun lalu agar memindahkan sejumlah wang ke luar negara.

Kailai dikatakan marah apabila Heywood meminta komisen dalam jumlah yang besar berbanding apa yang dia jangkakan mengambil kira jumlah yang hendak dipindah keluar.

Wanita itu mendakwa Heywood sangat tamak dan merangka satu pelan untuk membunuhnya selepas ahli perniagaan berkenaan mengugut akan mendedahkan urusan memindah keluar duit.

Kailai kini berada dalam tahanan polis.

"Heywood telah memberitahu dia bahawa jika dia menganggap dia terlalu tamak, maka dia tidak perlu terlibat sama, tetapi akan mendedahkannya," kata salah seorang daripada dua sumber yang bercakap kepada pegawai polis yang kini menyiasat kes itu.

Menurut sumber itu, ahli perniagaan berusia 41 tahun itu mati kerana diletakkan racun dalam minumannya.

sinar harian/-

Serang Kabul: Karzai Salahkan NATO

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KABUL: Presiden Afghanistan, Hamid Karzai hari ini menyalahkan maklumat perisikan terutama membabitkan tentera NATO yang gagal melicinkan operasi membanteras pejuang Taliban sepanjang 10 tahun peperangan di negara itu.

Tuduhan Karzai itu susulan kegagalan operasi serangan sejak 18 jam lalu yang kononnya memburu pengganas tetapi serangan kebanyakan mangsa membabitkan wanita dan orang awam yang terkorban.

Serangan bersepadu NATO itu menyebabkan kemusnahan kepada bangunan kerajaan, kedutaan dan warga asing serta wilayah jiran yang bersempadan. Serangan itu menyebabkan 51 orang terkorban, termasuk empat orang awam dan 11 anggota pasukan keselamatan Afghanistan dan 36 pejuang Taliban.

“Serangan di Kabul serta wilayah berjiran itu satu kegagalan perisikan terutama kepada NATO dan ia perlu disiasat dengan serius," kata Karzai dalam satu kenyataan. - AFP

Tanam anak hidup-hidup ikut ‘nasihat’ tukang tilik

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

UTTAR PRADESH - Sepasang suami isteri sanggup menanam anak mereka berumur sembilan hari hidup-hidup, gara-gara terlalu percaya dengan ramalan diberikan oleh seorang tukang tilik di Hapur, utara India.

Akhbar tempatan melaporkan, tukang tilik dikenali sebagai Nizaam itu, menyuruh pasangan Kiran Pal, 37, dan isterinya menanam bayi kelima mereka yang ditempatkan di dalam periuk tanah sedalam 0.9 meter di belakang rumah pada Khamis lalu.

Menurut tukang tilik tersebut, tindakan menanam bayi itu kononnya dapat memanjangkan umur memandangkan keempat-empat anak mereka sebelum ini, meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi dan masalah kesihatan.

Hasil daripada maklumat beberapa jiran, bayi malang tersebut ditemui masih hidup oleh pihak berkuasa pada Jumaat lalu, sungguhpun telah tertanam hampir 24 jam.

sinar harian/-

Calon biadap: Nazri Aziz digesa muhasabah diri

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 April: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meminta rakyat supaya menolak bakal calon-calon pilihan raya yang kurang ajar dan biadap daripada menjadi wakil mereka di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

“Ibarat meludah ke langit yang akhirnya tertimpa muka sendiri, Nazri sememangnya dikenali sebagai salah seorang menteri Umno yang paling terkenal dengan sikap biadap, kurang ajar dan tidak bertanggungjawab sama ada dari segi tutur kata ataupun kenyataan-kenyataan yang pernah dikeluarkan,” kata Ketua Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan.

Justeru, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta Nazri muhasabah dan menilai kesilapan serta kekurangan diri sendiri sebelum mahu menyalahkan orang lain.

“Jangan hanya pandai mencari kesalahan dan keburukan orang lain sedangkan diri sendiri dan keluarga tidak terjaga serta menyusahkan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sany berkata, pihaknya merasakan rakyat sememangnya telah mengenali sikap kurang ajar dan biadap pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Antaranya, kata beliau apabila krisis kepimpinan di negeri Terengganu pada tahun 2008, Sultan Terengganu yang ketika itu selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah dilabel sebagai ‘binatang’ oleh puak-puak Umno Terengganu yang bertelagah kerana tidak mengikut hasrat dan kehendak mereka di dalam isu perlantikan Menteri Besar Terengganu waktu itu.

Justeru, ujarnya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Umno dan Barisan Nasional supaya tidak lagi memperbodohkan rakyat dengan kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah dan tidak berasaskan kepada pembuktian yang sah.

“Semakin banyak kenyataan dan serangan menggila yang ditujukan kepada Pakatan Rakyat akhirnya memberi tamparan semula kepada Umno dan Barisan Nasional,” katanya lagi.

Jabatan Pilihan raya DPPM, tambah Mohd Sany merasakan bahawa pemimpin Umno dan Barisan Nasional kini semakin bercelaru dan tidak keruan setelah mengalami ‘tsunami kekalahan’ pada pilihan raya umum yang lepas.

“Segala salah laku dan buruk sikap pemimpin Umno dan Barisan Nasional serta ahli keluarga mereka kini semakin terlondeh di media arus perdana dan menjadi buah bicara rakyat di merata tempat,” ujarnya.

Oleh itu, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan rakyat keseluruhannya bangkit dan menolak calon-calon Umno serta Barisan Nasional secara ‘total’ di dalam pilihanraya umum yang akan datang supaya Negara Malaysia yang tercinta ini akan lebih aman, sejahtera dan harmoni.

harakahdaily/-

Syahrini sewa jet peribadi

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Jadual yang padat mendorong penyanyi Syahrini supaya bijak membahagikan masa. Gara-gara bimbang terlewat pergi ke Jepun, Syahrini memutuskan untuk menyewa sebuah jet peribadi.

Ahad lalu Syahrini berada di Jambi dan dia perlu bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Cangkerang. Sebaik tiba di Jakarta, Syahrini perlu berangkat lagi untuk berlepas ke Jepun.

Disebabkan bimbang ketinggalan kapal terbang, penyanyi lagu ‘Kau yang Memilih Aku’ itu memutuskan menggunakan jet peribadi disewa khas dari Jambi. “Syahrini ada di Jambi dan dia menaiki jet peribadi agar tidak ketinggalan kapal terbang ke Jepun.

Masalahnya jadual Syahrini sangat padat,” kata setiausahanya, Reindhy di Hotel Sheraton Bandara, kelmarin. Menurut Reindhy, Syahrini berlepas ke negara Sakura itu untuk menyanyi. Dia ke sana bersama adiknya yang juga pengurusnya, Aisyahrani.

Adik Syahrini juga dikatakan menjalankan sesi fotografi praperkahwinan di Jepun. “Syahrini berlepas ke Jepun bersama saya dan adiknya, Rani. Di sana dia mahu menyanyi, jalan-jalan dan juga melakukan sesi fotografi pra perkahwinan Rani,” kata Reindhy. - Detikhot

Maklumat 'task force' IC dari orang dalam yang tak tahan

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 17April: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Hanipa Maidin menyifatkan Umno dalam keadaan tersepit untuk menang pilihan raya umum (PRU) sehingga tergamak melibatkan penipuan dan pengkhianatan kepada negara.

Beliau yang mendakwa didedahkan sendiri maklumat berkenaan daripada orang dalam yang ‘dah tak tahan’, bahawa beberapa agensi terlibat memberikan kad pengenalan kepada warga luar atau yang masih belum layak.

“Di Selangor saja dah ratusan ribu kewarganegaraan diberi kepada mereka yang belum layak dan pengkhianatan Umno ini tak boleh dimaafkan langsung, hanya nak menang secara paksa sehingga membahayakan negara sendiri.

“Saudara tahu, ini diakui sendiri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa 45,000 nama tidak dipastikan warganegara jadi tidak dapat dibersihkan daripada Daftar Pemilih.

“Inilah sebabnya itu kita sokong himpunan Bersih 3.0 untuk tuntut PRU yang adil kerana tanpa keadilan mana-mana negara pun boleh jatuh sebagaimana yang terjadi kepada beberapa rejim di Timur Tengah,” katanya ketika berceramah di sini semalam.

Turut berceramah di Bilik Gerakan PAS Taman Sri Semantan itu Adun Kuala Semantan Syed hamid Syed Mohamad, YDP PAS Temerloh Haji Jusoh Darus dan Ketua DAP Temerloh Woo Chee Wan.

Hanipa berkata, dua himpunan Bersih yang lepas telah berjaya membuang rasa takut di kalangan rakyat dan dapat dilihat generasi muda begitu berani keluar walaupun terpaksa bertempur dengan polis.

Dalam pada itu Hanipa berkata, perlunya BN dijatuhkan pada PRU akan datang kerana hampir kesemua institusi di negara ini telah rosak dan dipertikaikan umum.

“Bayangkan, mahkamah pun dah ada orang baling kasut kerana tidak dihormati lagi. Negara pernah digemparkan apabila bekas hakim Syed Ahmad Idid pernah menulis tentang rasuah berlaku di kalangan hakim.

“Bekas Ketua Hakim Tun Mohd Sufian pula pernah berkata beliau malu jadi rakyat Malaysia kerana institusi kehakiman dah jatuh maruah. Itu bukan cakap saja, tengok kes video Linggam ada Suruhanjaya Diraja tetapi apa tindakan terhadap Yusof Chin?,” soalnya.

Hanipa menambah, kini institusi polis kini mulai dipertikaikan apabila bekas ketuanya sendiri didakwa bersekongkol dengan gangster seperti didakwa seorang lagi pegawai tinggi polis Datuk Ramli Yusof.

Hanipa menceritakan, Ramli semasa majlis sambutan hari jadinya yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengulangi dakwaan Datuk Mohd Zin dua orang besar terlibat melindungi penjenayah iaitu Musa Hasan dan Ghani Patail.

“Bayangkan yang ada bukti seperti itu tidak didakwa tetapi yang tiada bukti, seperti tangkapan ISA boleh dipenjarakan. Ini yang saya maksudkan institusi di negara telah dilihat tercemar,” katanya.

Mengenai hujah beberapa pemimpin Umno jika dimansuhkan hutang PTPTN mahasiswa negara boleh bankrap, Hanipa berkata itu hanya alas an sedangkan wang Negara yang dibazirkan jauh lebih banyak daripada itu.

“Ketua Audit Negara sendiri menjelaskan dalam laporannya setiap tahun wang negara ini bocor RM28 bilion. Itu satu, yang kedua RM19 bilion telah diberi kepada IPP iaitu syarikat yang sudah kaya.

“Dua item itu saja dah boleh hapus pinjaman PTPTN. Jadi kenapa kalau hapus RM43 bilion kata bankrap sedangkan itu untuk mahasiswa yang bakal menerajui negara?

“Kalau untuk selamatkan kroni tak timbul langsung hal bankrap. Ingat mereka selamatkan Tajudin Ramli dulu kerajaan ambil alih saham MAS yang berharga RM3 tetapi kerajaan bayar RM8. Baru ni dapat pelepasan hampir setengah bilion lagi. Kalau macam itu caranya memang negara boleh bankrap,” jelasnya.

Tegas Hanipa, sebab itulah BN perlu dijatuhkan, bukan saja negara bankrap wang tetapi bankrap moral.

“Sekarang perempuan yang dedah aurat didenda RM25, sebaliknya orang pandai, pakar dan sebagainya dibuang seperti Profesor Dr Aziz Bari dan Tan Sri Hasan Merican sehingga diambil bertugas oleh negara lain,” ujarnya lagi.

harakahdaily/-

Dua Gempa Bumi Sederhana Landa Sumatera & Sulawesi

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dua gempa bumi sederhana melanda Sumatera dan Sulawesi, Indonesia awal pagi Selasa.

Gempa yang pertama berukuran 5.2 pada skala Richter berlaku di pantai barat Sumatera utara pada pukul 12.05 tengah malam tadi, kata Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini, Selasa.

Gempa itu berpusat di 496km barat daya Simeulue dan 984km barat daya Kampar, Perak.

Sementara itu, satu lagi gempa bumi berukuran 5.3 pada skala Richter melanda Sulawesi pada pukul 2.01 pagi.

Gempa itu berpusat di 149km barat laut Kendari dan 880km tenggara Semporna, Sabah.

Kedua-dua gempa itu tidak membawa ancaman tsunami, kata kenyataan itu. -BERNAMA

Denmark ancaman skuad negara

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

DENMARK bakal menjadi ancaman Malaysia pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas di Wuhan, China bulan depan.

Demikian pengakuan jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock mengenai kemampuan gergasi Eropah itu.

Menurutnya, Denmark memang lebih kuat berbanding skuad badminton negara.

Katanya, berdasarkan prestasi serta barisan pemain yang dimiliki Denmark, jelas kekuatan lebih memihak kepada pasukan itu.

“Atas kertas, Denmark memang lebih kuat berbanding kita (skuad negara).

“Denmark memiliki barisan pemain yang mempunyai kedudukan ranking dunia lebih baik daripada pemain-pemain negara. Malah, peningkatan prestasi yang dipamerkan pemain-pemain mereka juga tidak boleh dipandang mudah.

“Namun, itu tidak bermaksud kita tidak boleh menandingi mereka,” kata Seu Bock ketika ditemui pemberita sejurus tamat latihan skuad badminton negara di Stadium Juara Bukit Kiara semalam.

Seu Bock berkata demikian bagi mengulas undian yang diterima skuad negara menjelang pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2012 di Wuhan, China, Mei depan.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kelmarin, selain Denmark, Malaysia turut diundi bersama-sama Afrika Selatan dalam Kumpulan C.

Bagaimanapun, Seu Bock optimis skuad negara tetap memiliki peluang untuk mencatatkan kemenangan ke atas Denmark.

Jelasnya, jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei yang akan mengetuai cabaran Malaysia di Wuhan nanti, memainkan peranan penting apabila diharapkan dapat menyumbangkan mata pertama.

“Peluang tetap ada. Ini kerana, beraksi dalam kejohanan berpasukan berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan individu.

“Jika Chong Wei berjaya menyumbangkan mata pertama, ia sudah pasti akan meningkatkan lagi semangat pemain-pemain lain untuk turut mengutip mata,” jelas Seu Bock.

Skuad negara dijangka tidak berdepan halangan untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir kerana mereka hanya perlu menewaskan Afrika Selatan bagi mengesahkan slot dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

Pertembungan dengan Denmark lebih dilihat sebagai penentuan pasukan mana yang akan bergelar juara dan naib juara Kumpulan C.

Bagaimanapun, mengikut format kejohanan, lawan yang akan ditentang pada aksi suku akhir tidak ditentukan menerusi kedudukan juara atau naib juara kumpulan.

Sebaliknya, undian baharu akan dijalankan mengikut kedudukan selaku pasukan pilihan berdasarkan ranking dunia pada 17 Mei depan.

Situasi itu menyaksikan Malaysia yang hanya diletakkan sebagai pasukan pilihan keenam berpotensi berdepan lima pasukan pilihan lain yang turut dijangka mudah ke suku akhir iaitu China, Korea Selatan, Denmark, Jepun dan Indonesia.

Pusingan akhir Piala Thomas 2012 akan berlangsung di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China bermula 20 hingga 27 Mei depan.

kosmo/-

Hoslan gagal rayu ringankan hukuman penjara

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan imam Hoslan Hussain untuk meringkankan hukuman penjara yang dijalaninya atas kesalahan menghina mahkamah berkenaan.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum memutuskan bahawa pemohon itu gagal melepasi tahap untuk mahkamah memutuskan bahawa kes tersebut luar biasa.

Dalam penghakiman ringkasnya, Malanjum berkata panel berkenaan tiada pilihan selain menolak permohonan tersebut.

Empat hakim lain dalam panel itu ialah para hakim Mahkamah Persekutuan: Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Zainun Ali danDatuk Sulong Matjeraie.

Imam berusia 46 tahun itu diwakili peguam Karpal Singh.

malaysiakini/-

Komplot anak kurung ibu

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Marah ibu mereka berkahwin lain, dua beradik perempuan bertindak melampau apabila mengurung ibu mereka lebih sebulan dalam sebuah rumah di Sentul, di sini, bagi menghalang wanita berusia 49 tahu itu berjumpa suami barunya.

Dua beradik berusia 19 dan awal 20-an itu bertindak demikian kerana menganggap suami baru ibu mereka yang dikahwini sejak empat bulan lalu tidak sesuai serta mempunyai niat jahat terhadap wanita itu.

Menurut sumber, dua beradik itu merancang tindakan mereka apabila menjemput mangsa ke rumah mereka sebelum ‘mengurung’ wanita berkenaan sejak lebih sebulan lalu.

“Sepanjang tempoh dikurung, mangsa diberi makan oleh anaknya, tapi telefon bimbitnya dirampas dan dia tidak dibenarkan berhubung dengan orang lain,” katanya.

Menurutnya, biarpun bapa tiri mereka datang untuk menjemput isterinya pulang, dua beradik terbabit tidak membenarkannya masuk atau membenarkan ibu mereka keluar berjumpa suami barunya.

metro/-

Lelaki belajar ilmu hitam sembelih anak sendiri

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JAKARTA — Seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai sedang belajar ilmu hitam, telah menyembelih anaknya sendiri yang berusia lima tahun di sebuah kampung di daerah Karawang, Jawa Barat pada Ahad.

Polis bagaimanapun belum dapat memastikan sama ada pembunuhan kanak-kanak perempuan di Desa Pasirkamuning itu ada kaitan dengan ilmu hitam yang dikatakan sedang beliau pelajari itu atau kerana gangguan psikologi.

Mayat kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan mengerikan dalam sebuah bilik di rumahnya, pada Ahad dan bapaknya dipercayai menyembelihnya dengan sebilah pisau pemotong daging ketika ia sedang tidur.

Laporan menyebutkan bahawa sebelum membunuh anak perempuannya, lelaki itu telah pergi ke salah satu daerah di Sukabumi untuk berguru ilmu hitam, namun selepas pulang rumah beliau kelihatan seperti mengalami tekanan mental.

Setelah menghabiskan nyawa anak kandungnya, lelaki itu telah memanggil sejumlah jiran tetangganya dan meminta wang untuk membeli kain kafan.

Pada masa itu, jiran-jiran yang menyahut panggilan lelaki itu telah juga diancam akan dibunuh.

Lelaki itu kemudian menyuruh salah seorang jiran membeli kain kafan di pasar, tetapi jiran itu terus membuat laporan mengenai kejadian itu ke balai polis sehingga beliau ditangkap. — BERNAMA

Bersih 3.0 mahu PRU13 bersih dari penipuan

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak seluruh rakyat untuk turun ke Himpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April bermula jam 2.00 petang bertempat di Dataran Merdeka.

“Perhimpunan ini amat penting bagi memastikan perjalanan pilihan raya ke-13 nanti benar-benar bersih dari sebarang penipuan,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar).

Katanya, sejarah akan mencatatkan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah solidariti rakyat yang mahukan amalan demokrasi benar-benar tertegak di negara ini.

Beliau bekata, rakyat tidak rela diperkotak-katikkan dengan pelbagai penipuan oleh kerajaan Umno BN.

Menurutnya, selama 55 tahun negara ini dirundung kemuraman dan kegelitaan kerana demokrasi yang mati.

“Sistem pilihanraya adalah penentu hidup dan mati demokrasi di negara ini. Sistem pilihanraya yang pincang akan memincangkan seluruh amalan demokrasi negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kebebasan berhimpun, bersuara, berpersatuan, berpolitik, dan lain-lain lagi tidak akan menjadi realiti sekiranya sistem pilihanraya di negara ini masih terkongkong dan dikawal rapi oleh parti pemerintah.

Beliau berkata, kekangan dalam sistem pilihanraya menandakan kerajaan BN tidak rela demokrasi tertegak sepenuhnya.

“Tindakan kerajaan BN berlunak dengan pelbagai pembaharuan adalah kosmetik semata-mata bagi mengabui mata rakyat untuk mendapatkan sokongan,” katanya lagi.

Menurut Riduan lagi, DPPM mengingatkan rakyat jika kehadiran rakyat kurang dari sasarannya, tidak akan ada pembaharuan dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan sistem pilihanraya di negara ini bersih dan adil.

Tambahnya, tuntutan Bersih 2.0 sebelum ini hanya dilayan dan dilaksanakan satu sahaja daripada lapan yang dituntut.

“Jawatankuasa Khas bagi penambah baikan sistem pilihanraya (PSC) pula adalah tempelan bagi menunjukkan seolah-olah kerajaan telah membuat perubahan yang hakikatnya hanya sedikit dari sekian banyak desakan pembaharuan dibuat,” katanya lagi.

Beliau berkata, pendedahan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengenai kewujudan task force pemberian kad pengenalan palsu yang diketuai oleh beberapa kakitangan tinggi kerajaan mengesahkan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 wajib diadakan dan perlu disertai oleh semua rakyat di negara ini.

Justeru, ujarnya DPPM yakin, Bersih 3.0 sebagai usaha menghalang penipuan task force itu.

Beliau menambah, rakyat perlu bangkit menjadi hakim kepada pengkhianat negara yang sanggup menjual kedaulatan negara kepada warga asing.

Katanya lagi, DPPM menganggap Bersih 3.0 sebagai benteng dan harapan terakhir rakyat bagi mengekang ‘grand design’ penipuan terbesar BN dalam PRU13.

“Jika tidak rakyat terpaksa berdepan dengan ribuan pengundi luar negara yang diberikan kad pengenalan dan hak mengundi dalam pilihanraya kali ini,” ujarnya.

Tambahnya, tidak akan ada lagi ruang demokrasi di negara ini jika BN terus memerintah dengan sokongan daripada warga asing yang diberikan hak mengundi.

harakahdaily/-

Siswa di Dataran terima sumbangan khemah

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Pelajar yang menduduki kawasan Dataran Merdeka untuk menuntut pengajian tinggi percuma menerima khemah baru hari ini untuk menggantikan khemah yang didakwa dirosakkan oleh pegawai Majlis Bandaraya Kuala Lumpur.

Selain itu, kumpulan pelajar berkenaan turut menerima sumbangan daripada orang ramai dalam perkhemahan yang masuk hari ketiga hari ini.

Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Haziq Abdul Aziz berkata, kumpulan pelajar berkenaan menerima sekurang-kurangnya empat khemah pada Sabtu, yang didirikan selepas ratusan kumpulan pelajar berkenaan berhimpun dan berarak di pusat bandar Kuala Lumpur.

Lima lagi khemah diterima pada malam tadi kata Haziq yang menambah, kumpulan pelajar itu juga menerima sumbangan makanan, minuman, dan wang tunai beberapa kali sehari.

Malah, mereka menerima begitu banyak makanan sehingga terpaksa didermakan kepada golongan tidak berumah, katanya.

Tiga khemah berkenaan, daripada sekurang-kurangnya 12 khemah yang dimiliki mereka kini didirikan di Dataran Merdeka.

Khemah selebihnya kini disimpan, kata Haziq lagi yang ditemui selepas insiden yang dialami mereka pagi ini di mana salah satu daripada khemah itu didakwa diruntuhkan pegawai DBKL.

malaysiakini/-

Antara Anwar dan Najib bonceng motosikal

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 April: Kalau tak meniru pemimpin PR, bukan Umno BNlah namanya, demikian tajuk coretan di laman web http://naimnikmat.blogspot.com/ berhubung gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membonceng motosikal.

Mengulas gambar itu, penulis blog berkenaan menyatakan bahawa Anwar terpaksa membonceng motosikal kerana keretanya dihalang memasuki kawasan cermah manakala Najib pula mahu diambil gambar.

"DSAI terpaksa membonceng motor kerana keretanya dihalang memasuki cermah dan Najib pula bonceng motor sebab nak kamera ambil gambar kah3........." tulisnya.

harakahdaily/-