17 April 2012

Denmark ancaman skuad negara

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

DENMARK bakal menjadi ancaman Malaysia pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas di Wuhan, China bulan depan.

Demikian pengakuan jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock mengenai kemampuan gergasi Eropah itu.

Menurutnya, Denmark memang lebih kuat berbanding skuad badminton negara.

Katanya, berdasarkan prestasi serta barisan pemain yang dimiliki Denmark, jelas kekuatan lebih memihak kepada pasukan itu.

“Atas kertas, Denmark memang lebih kuat berbanding kita (skuad negara).

“Denmark memiliki barisan pemain yang mempunyai kedudukan ranking dunia lebih baik daripada pemain-pemain negara. Malah, peningkatan prestasi yang dipamerkan pemain-pemain mereka juga tidak boleh dipandang mudah.

“Namun, itu tidak bermaksud kita tidak boleh menandingi mereka,” kata Seu Bock ketika ditemui pemberita sejurus tamat latihan skuad badminton negara di Stadium Juara Bukit Kiara semalam.

Seu Bock berkata demikian bagi mengulas undian yang diterima skuad negara menjelang pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2012 di Wuhan, China, Mei depan.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kelmarin, selain Denmark, Malaysia turut diundi bersama-sama Afrika Selatan dalam Kumpulan C.

Bagaimanapun, Seu Bock optimis skuad negara tetap memiliki peluang untuk mencatatkan kemenangan ke atas Denmark.

Jelasnya, jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei yang akan mengetuai cabaran Malaysia di Wuhan nanti, memainkan peranan penting apabila diharapkan dapat menyumbangkan mata pertama.

“Peluang tetap ada. Ini kerana, beraksi dalam kejohanan berpasukan berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan individu.

“Jika Chong Wei berjaya menyumbangkan mata pertama, ia sudah pasti akan meningkatkan lagi semangat pemain-pemain lain untuk turut mengutip mata,” jelas Seu Bock.

Skuad negara dijangka tidak berdepan halangan untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir kerana mereka hanya perlu menewaskan Afrika Selatan bagi mengesahkan slot dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

Pertembungan dengan Denmark lebih dilihat sebagai penentuan pasukan mana yang akan bergelar juara dan naib juara Kumpulan C.

Bagaimanapun, mengikut format kejohanan, lawan yang akan ditentang pada aksi suku akhir tidak ditentukan menerusi kedudukan juara atau naib juara kumpulan.

Sebaliknya, undian baharu akan dijalankan mengikut kedudukan selaku pasukan pilihan berdasarkan ranking dunia pada 17 Mei depan.

Situasi itu menyaksikan Malaysia yang hanya diletakkan sebagai pasukan pilihan keenam berpotensi berdepan lima pasukan pilihan lain yang turut dijangka mudah ke suku akhir iaitu China, Korea Selatan, Denmark, Jepun dan Indonesia.

Pusingan akhir Piala Thomas 2012 akan berlangsung di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China bermula 20 hingga 27 Mei depan.

kosmo/-

Tiada ulasan: