17 April 2012

PAS ke BN rampas tanah di Sarawak?

25 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MIRI, 17 April: PAS Sarawak mempersoal kenyataan Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang kononnya menggambarkan bahawa PAS akan merampas tanah penduduk di negeri itu jika diberi peluang memerintah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, semua rakyat Sarawak maklum bahawa yang merampas tanah mereka selama ini adalah BN sendiri bukannya PAS seperti didakwa.

"Bila masa pula PAS pernah merampas tanah dan hak orang Sarawak?

"Semua orang tahu yang paling banyak merampas tanah dan hak orang Sarawak adalah pemimpin BN dan mereka yang sekutu dengan mereka bukannya PAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Miri, tidak menolak kemungkinan kenyataan seperti itu adalah hasil ketakutan PBB dan BN Sabah terhadap penerimaan rakyat negeri itu kepada PAS.

Ahmad Lai Bujang sebelum ini dilaporkan berkata; “Ini tanah kita dan hak kita, oleh itu tiada sesiapa yang boleh merampasnya daripada kita semua,”.

Selain itu beliau juga dilaporkan berkata ; “Adakah rakyat negeri ini mahu melihat Sarawak dirampas dalam PRU13 nanti terutama oleh PAS?”

Beliau didakwa berkata demikian pada satu Majlis Muzakarah dan Penjelasan Isu-isu Semasa di Dewan Masyarakat Bekenu Ahad lalu.

"Janganlah kerana terlalu takut dengan PAS sehingga bercakap pun tidak
tentu arah.

"Mengapa mesti takut dengan PAS. Ini negara demokrasi, sesiapa pun berhak untuk memilih pemimpin atau pemerintah yang mereka yakini benar, jujur dan adil," kata Jofri lagi.

Menurutnya, biarlah rakyat yang menentukan nasib masa depan mereka bukannya pemimpin BN.

Walaubagaimanapun ujar jofri, jika ditakdirkan PAS memerintah Sarawak suatu hari nanti, Insyallah rakyat Sarawak akan hidup aman dan maju
kehadapan berbanding dengan negeri lain dalam Malaysia.

Segala hasil galian dan sumber kekayaan negeri Sarawak akan dapat dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, kalau PAS diberi peluang, mentadbirkan negeri Sarawak, katanya.

"Biar apa pun pandangan buruk pemimpin BN terhadap PAS, kita akan tetap meneruskan perjuangan kita membebaskan rakyat dari terus terkongkong dalam minda yang sempit akibat terlalu lama diperintah oleh kerajaan BN sehingga rakyat sukar menerima pembaharuan," tegasnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: