07 Mei 2012

Ahli PAS perlu tonjol kebaikan Islam

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: "Inilah tanggungjawab kita, kita tonjolkan PAS lah yang berjuang menyeru kepada kebaikan dan beriman kepada Allah. PAS harus dilihat penaung untuk semua manusia sama ada Islam atau bukan Islam," demikian seru Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Ketika memberi ucapan penutup pada Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan, beliau berkata, gerak kerja sukarelawan oleh ahli-ahli PAS sudah mula dihormati semua pihak.

Beliau merujuk dalam insiden perhimpunan Bersih 3.0, di mana sukarelawan Unit Amal PAS sudah menjadi buah mulut semua orang apabila anggota ini memperlihatkan keprihatinan mereka dalam menjaga keselamatan peserta himpunan tempoh hari.

"Dalam siri perhimpunan Bersih 3.0, 2.0 sebelum ini, peserta himpunan yang jatuh longkang, pengsan, sesak nafas kena gas, mereka inilah (Unit Amal) orang pertama yang memberi bantuan. Sukarelawan kita sudah dihati orang ramai.

"Malah, wanita berbangsa Cina yang terkena gas pada himpunan lepas di mana beliau dipapah oleh muslimat kita. Wanita itu menangis bukan kerana gas tetapi terharu apabila ada wanita beragama Islam bertindak memberi kasih sayang disaat dia menghadapi kecemasan," katanya kepada lebih 400 peserta konvensyen yang berlangsung di KUIZM semalam.

Tambahnya, kerja-kerja amal ini dituntut dan dipelopori dalam kerajaan Islam selain mempertahankan prinsip-prinsip istiqmah, sabar , ikhlas dalam perjuangan bersama Islam.

"Kita berlawan dengan Umno BN dalam masa yang sama kita sedang bersaing dengan DAP, dan PKR. Kita perlu tonjolkan prinsip dan perjuangan yang kita pegang," katanya.

Melihat fenomena artis dan selebriti yang berani mendekati PAS, Mohamad Sabu berkata, golongan ini membantu dan menggilap PAS di mata masyarakat tetapi teras kepada perubahan dan 'road map' ke Putrajaya adalah ahli-ahli PAS.

"Terasnya adalah tuan-tuan. Kitalah yang meneruskan perjuangan ini. Insyallah prinsip yang kita pegang ini membolehkan kita ke Putrajaya," katanya yang diikuti laungan 'Allahuakbar' oleh peserta yang hadir.

Turut bersama Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohammad Nor Mohd yang menyampaikan panji-panji kepada beberapa pimpinan kawasan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Harakah Daily

Saya dibelasah teruk kerana dituduh pukul polis

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Seorang anggota Unit Amal PAS, Mohd Fahmi Mohd Noor mendakwa beliau dipukul ketika ditahan pihak polis dan sepanjang perjalanan ke Dataran Merdeka sebelum dibawa menaiki trak polis.

Fahmi mendakwa beliau ditahan kira-kira jam 4.30 petang di persimpangan lampu isyarat di hadapan bangunan Sime Darby di Jalan Raja Laut ketika sedang mengarahkan peserta Bersih 3.0 beredar dan tidak menimbulkan sebarang tindakan yang boleh menaikkan kemarahan pihak polis.

Menurut Fahmi, beliau ketika itu dalam posisi membelakangi polis menyebabkan beliau tidak sedar bahawa polis sudah menghampiri beliau menyebabkan beliau ditangkap walaupun pada waktu itu beliau sedang mengarahkan peserta bertenang serta beredar.

"Saya sedang mengarahkan agar peserta tidak melakukan provokasi saya pula ditangkap.

"Dalam perjalanan ke Dataran Merdeka ketika melalui kaki lima saya telah dipukul oleh pihak polis termasuk ditendang malah terdapat di antara mereka mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Menceritakan insiden itu lebih lanjut, Fahmi berkata, ketika ditahan beliau sempat bertanya kepada polis samada beliau sedang melakukan provokasi ataupun mengawal keadaan.

Namun salah seorang anggota polis itu ada mengatakan memang tiada provokasi dilakukan oleh beliau tetapi beliau harus juga ditangkap.

Beliau kemudian dibawa ke Dataran Merdeka bersama kumpulan lain yang lebih awal ditangkap.

"Jarak perjalanan agak jauh dan saya sendiri tidak pasti berapa kali dipukul, malah ketika sudah hampir di Kelab Di Raja Selangor saya sekali lagi dipukul oleh empat orang polis, disepak dan menyebabkan saya jatuh," ceritanya lagi.

Fahmi memberitahu setelah dipukul, beliau diletakkan bersama-sama dengan tahanan yang lain termasuk dengan bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Abdul Aziz Bari.

"Ketika saya duduk bersama-sama tahanan yang lain, terdapat seorang anggota polis menjerit dan mengatakan saya telah memukul anggota polis, tindakan tersebut menyebabkan saya sekali lagi ditarik dan dibawa ke belakang trak polis sebelum dibelasah teruk oleh sembilan orang anggota polis.

"Ketika itu saya dipukul dengan teruk termasuk dipijak di perut, ditendang di bahagian dada dan belakang. Saya telah ditumbuk menyebabkan cermin mata saya telah jatuh.

"Dalam keadaan samar akibat kehilangan cermin mata saya cuba mengambil semula cermin mata tersebut tetapi salah seorang anggota polis telah memijak cermin mata saya sehingga pecah, saya dipukul dengan teruk tanpa ada belas kasihan langsung oleh pihak polis," sambung beliau lagi.

Sewaktu dipukul, beliau juga mendakwa ada mendengar Aziz Bari merayu meminta polis berhenti memukul beliau.

Akibat dibelasah beramai-ramai itu, Fahmi mengalami kecederaan di bahagian muka, dada dan belakang.

Tidak lama kemudian, beliau bersama tahanan yang lain dibawa ke Pulapol untuk diambil keterangan.

Ketika memberi keterangan pula, Fahmi mendakwa polis hanya mengambil maklumat peribadi sahaja tanpa bertanya apa yang berlaku terhadapnya sebenarnya.

Beliau yang baru enam bulan menyertai Unit Amal Shah Alam itu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada hari Isnin 30 April sebelum membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang juga pada hari yang sama.

"Biarlah apa yang polis lakukan terhadap saya itu diadili oleh Allah dan saya tidak mempunyai apa-apa dendam dengan mereka.

"Cuma yang paling menyentuh perasaan saya ketika saya diarahkan menanggalkan beret yang dipakai oleh saya dan saya sendiri tidak mengetahui apa alasan sebenarnya polis suruh saya tanggalkan beret tersebut," katanya.

Harakah Daily

PAS satu kerusi lebih baik daripada 11 Umno

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG, 7 Mei: Walaupun PAS mempunyai satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang namun berjaya meningkatkan syariat Islam.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man, ini berbanding Umno yang ada 11 kerusi tetapi gagal berbuat demikian ketika berada dalam kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Beliau menyatakan demikian sewaktu diminta mengulas dakwaan kononnya PAS tidak berperanan dalam kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
PAS jelasnya, berjaya memikat hati Lim sewaktu Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman menjadi Adun Permatang Pasir lagi tetapi ketika itu Allahyarham berada dalam keadaan uzur dan sukar menumpukan kerja-kerja lain dalam pentadbiran.

"Bohong saya katakan PAS tidak berperanan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebaliknya walaupun satu kerusi kita berjaya membuka ruang untuk syariat Islam berbanding Umno yang ada 11 kerusi tetapi tidak banyak mengubah lanskap politik umat Islam termasuk mendapatkan penambahan peruntukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp)," tegasnya.


Katanya, semasa Umno berkuasa Maipp hanya mampu memperolehi RM12 juta berbanding 2009 dinaikkan RM20 juta dan 2010 pula sebanyak RM24.3 juta, pada 2011 sebanyak RM33.3 juta dan 2012 RM64 juta.


Jewlasnya, urusan hal ehwal Islam menerusi Exco Agama Negeri, Abdul Malek Abul Kasim menyerlah kerana berjaya memperluaskan peranan institusi agama yang selama ini beku ekoran ketidakprihatinan Umno dan BN dalam meningkatkan
pembangunan Islam di negeri ini.


Terbaru, ujarnya pembinaan sebuah surau di Padang Kota Lama dengan kos RM200 ribu yang selama ini Umno tidak pernah terfikir untuk mewujudkan surau khas kepada umat Islam yang bersiar-siar di situ.

Begitu juga dengan Mahkamah Syariah Pulau Pinang setinggi tujuh tingkat akan dibina di Jalan Scotland dengan kos RM5 juta yang mana kerajaan negeri menyediakan tanah 49 ekar bagi tujuan tersebut.
"Sebab itu sampai kini Umno dan konco-konconya terus mainkan isu PAS tidak boleh buat apa walaupun menang satu atau dua kerusi. Mereka tak tahu kalau PAS menang banyak bermakna Umno kurang kerusi dan ini akan memberikan lagi kekuatan PAS di Pulau Pinang khususnya terhadap kerjasama dengan exco agama dan Ketua Menteri," jelas beliau yang juga Adun Permatang Pasir.

Saleh juga menafikan pandangan yang mengatakan Lim bersikap anti Melayu dan Islam kerana sepanjang mengetuai kerajaan negeri banyak peruntukan dan mengiktiraf para huffaz yang selama ini tidak diberikan perhatian oleh Umno dan BN.


Begitu juga, katanya Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan para gurunya tidak pernah kerajaan negeri sekarang pinggirkan berbanding Umno dan BN sanggup membatalkan bantuan perkapita terhadap SAR yang menjadi nadi generasi muda Islam mendapatkan ilmu pengetahuan.


"PAS berusaha sekadar yang termampu dan ia disambut baik oleh Ketua Menteri walaupun beliau bukan beragama Islam namun mudah dibawa berbincang berkaitan hal ehwal Islam.

“Apa yang didakwa oleh segelintir golongan bahawa Lim hanya berlakon untuk mendapatkan pengaruh undi Melayu hanyalah tekaan mereka (Umno) sahaja," katanya lagi.

Menurutnya, Umno sekarang seolah-olah baru tersedar dari mimpi dengan melakukan fitnah kepada PAS dan kerajaan negeri yang tiada berkesudahan.

Harakah Daily

Kejayaan awal, Umno pun sertai himpunan tanah

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Himpunan Tanah Rakyat (Tanah) Mazlan Aliman menyifatkan himpunan yang dihadiri ribuan rakyat di Plaza Angsana Johor Bahru semalam satu kejayaan awal menarik kesedaran rakyat.

Menurutnya, kehadiran ramai itu juga membuktikan isu tanah adalah antara isu besar yang sedang dihadapi rakyat di negara ini.

"Bagi saya ini satu kejayaan awal kepada kita dalam usaha menggesa kerajaan pusat dan negeri menyelesaikan isu tanah rakyat ini.

"Bahkan orang Umno juga datang dan memberi ucapan dalam himpunan itu dengan menyatakan masalah tanah yang dihadapi di tempat mereka," kata Mazlan ketika dihubungi Harakahdaily.

Semalam ribuan rakyat menyertai himpunan Tanah di Plaza Angsana Johor Bahru bagi menyatakan solidariti penduduk negeri Johor yang banyak menghadapi masalah tanah yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Himpunan yamg bermula jam 2 petang itu berlangsung amantanpa sebarang provokasi dari mana-mana pihak.

Mereka turut membuat 10 resolusi sebagai tuntutan kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Johor untuk menyelesaikan masalah tanah.

Tuntutan itu antara lain mahu kerajaan Johor menuntut semula Pulau Batu Puteh, siasat penyerahan tanah KTM Tanjung Pagar, hentikan pengurniaan tanah KPRJ atau kroni, rampas tanah penyeleweng serta selamatkan tanah rizab Melayu.

Selain itu mereka juga mahu kerajaan negeri mewartakan tanah rizab orang asal, memastikan ketelusan pengurniaan tanah, pemilik tanah miliki ekuiti projek mega, selesaikan projek rumah terbengkalai dan hentikan manipulasi dan kurangkan birokrasi.

Sebagai langkah penerusan menurut Mazlan, pihaknya akan mengadakan siri jelajah ke seluruh daerah di negeri Johor.

"Kita juga akan serahkan 10 tuntutan ini kepada pihak yang berautoriti untuk diambil tindakan sewajarnya.

"Kita juga tidak teragak-agak untuk menggerakkan himpunan lebih besar di hadapan pejabat menteri besar jika tiada sebarang respon positif dari mereka terhadap tuntutan rakyat ini," katanya.

Harakah Daily

Umno tidak boleh adakan himpunan tanpa 6T

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Mei: Umno tidak boleh mengadakan himpunan raksasa jika tanpa 6T iaitu T-shirt, topi, tambang, transport (pengangkutan), tapau (makanan) dan token (duit).

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, ia berlainan dengan himpunan yang dianjurkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat, penyokongnya datang tanpa diupah dan dikerah.

Katanya, setiap kali Najib turun ke suatu tempat semua agensi kerajaan dipaksa rela untuk hadir.

“Terbaru Najib di Kelantan pada 4 Mei lepas, kita boleh lihat beratus-ratus biji bas daripada agensi kerajaan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pihak pengajur terpaksa membuat kerahan , jika tidak terpaksa dikira dengan bayang supaya nampak ramai.

“Budaya ini sudah menjadi kelaziman apabila Umno mengalami masalah dalaman parti atau tekanan politik daripada luar,” katanya.

Idris menambah, ia bermula di zaman Dr Mahathir ketika beliau bergaduh dengan Raja-Raja Melayu pada 1983 sewaktu krisis pindaan perlembagaan untuk membuang kekebalan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, ia diikuti pula dengan program Semarak, ketika berlaku krisis team A dan team B Umno.

Katanya, ahli Umno sekarang bukan ahli yang ada ideologi, majoritinya hanya ahli yang mencari makan.

“Ia bukan perjuangan Umno di peringkat mula kelahiran Umno 1946,” ujarnya.

Katanya lagi, walaupun ahlinya 3.3 juta, namun tidak ada jati diri dan komited dengan ideologi perjuangan.

Menurutnya, sebahagian besar menjadi ahli Umno, terutama peringkat muda hanya “Umno projek” sahaja.

“Kita akan lihat himpunan Umno di Stadium Bukit Jalil yang akan berlangsung pada 11 Mei nanti, semuanya akan bergantung kepada 6T,” katanya lagi.

Harakah Daily

Juventus muncul juara Serie A

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JUVENTUS muncul juara Serie A buat kali ke-28 dan yang pertama dalam tempoh sembilan tahun selepas menewaskan Cagliari 2-0 di Stadium Nereo Rocco, awal padi tadi (waktu Malaysia).

Dengan kemenangan ini, Juventus sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan musim ini, yang berbaki satu lagi perlawanan.

Jaringan Mirko Vucinic pada minit keenam membuatkan kelab itu mendahului 1-0 didepan sebelum ianya disusuli jaringan oleh Michele Canini Cagliari pada minit-minit terakhir untuk mengesahkan kejuaraan itu milik mereka.

Dalam pada itu, impian kelab AC Milan untuk bergelar juara Seri A akhirnya musnah apabila tewas 2-4 di tangan Inter Milan pada satu lagi persaingan Serie A awal pagi tadi.

Menurut pengurus Juventus, Antonio Conte kejayaan ini sangat bermakna untuk kelab mereka apabila pernah kecewa selepas gelaran sama pada tahun 2005 dan 2006 dilucut sebanyak dua kali ekoran kesalalahan mengatur perlawanan.

“Ini adalah musim yang sensasi. Kami sangat gembira akhirnya kami memperoleh kejuaraan kali ini, dan memang sesuatu yang membanggakan apabila mencapai kejayaan.

“Milan adalah pesaing yang kuat. Saya sedar pasukan ini masih bertenaga walaupun mereka kelihatan kepenatan dan kejayaan menamatkan musim tanpa kalah adalah satu sejarah," kata Antonio Conte.

Sinar Harian

EPL: Ferguson optimis pertahan juara

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PENGURUS Manchester United(MU), Sir Alex Ferguson tetap optimis pemainnya mampu untuk memenangi perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila bertemu dengan Sunderland, Ahadini.

Turun dengan misi mesti menang, Ferguson berharap kelab mereka mampu untuk mempertahankan gelaran Liga EPL buat kali ke-20 sekali gus memusnahkan impian pengurus The Citizens, Roberto Mancini dalam misi menamatkan kemarau 44 tahun tanpa kejuaraan EPL.

Kali terakhir Manchester City memenangi juara EPL adalah pada 1968.

Kini, kedua-dua pasukan terikat dengan mengumpulkan 86 mata. Namun Manchester City yang masih mendahului kedudukan EPL dari segi perbezaan gol semakin hampir akan menjadi juara sekiranya mereka menewaskan Queens Park Rangers (QPR) di Stadium Etihad.

Namun bagi Ferguson, meskipun QPR bukanlah tandingan untuk City, namun beliau berharap ia mampu melakukan sesuatu untuk membenam City seperti mana yang dilakukan ke atas Stoke Ciy 1-0 awal pagi semalam.

Dalam pada itu, Ferguson turut mengesa anak buahnya agar terus mencipta kejayaan menjelang pertemuan terakhir mereka musim ini setelah berjaya menewaskan Swansea 2-0 semalam.

“Saya harap pemain akan turun dengan semangat yang tinggi dan berjuang berhabis-habisan untuk memenangi perlawanan yang penting itu.

“Tanggungjawab kami nanti (minggu depan) adalah untuk mengutip tiga mata di samping berharap QPR mampu tewaskan City nanti," kata Ferguson.

Tambah beliau, “saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberi semangat kepada kami dan berharap perlawanan terakhir musim ini akan memberi satu kejayaan yang besar kepada MU.”

Sinar Harian

Bersih 3.0: Najib jangan merepek

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PERDANA Menteri Najib dalam siri jelajahnya ke Gua Musang menyamakan niat Bersih 3.0 Duduk Bantah di Dataran Merdeka 28 April 2012 lalu dengan unjuk rasa raksasa Dataran Tahrir Mesir yang menggulingkan diktator Hosni Mubarak.

Biar orang lain menyangka begitu, seperti Dr. Mahathir misalnya atau Obama. Pengamatan orang itu adalah haknya bimbang Najib menghadapi cabaran yang sama jika dia tidak mengambil iktibar dari semua perkembangan itu.

Tetapi jika Najib menyangka begitu, dia telah menyamakan dirinya dan cabarannya sudah sama seperti Hosni Mubarak. Apa yang Mubarak terhadap Mesir dan rakyatnya adalah masalah buruknya. Apa yang terjadi kepadanya adalah bala gara-gara sikap takburnya.

Najib jangan menunggu dan mahu nasib yang serupa menimpa kerjaya politik dan perkhidmatannya kepada negara. Benda yang buruk itu jangan diminta dan jangan ditunggu.

Apa yang Najib patut buat itu mengambil pelajaran dari nasib itu dan berdoa supaya bala yang demikian tidak menimpanya, bukan saja jika berlaku celaka baginya tetapi ia azab bagi penyokongnya dan orang yang tumpang dari makan daripadanya.

Sangkaannya orang hendak menjadikan dia begitu adalah perasannya dan menyamakan apa yang terjadi itu adalah merepek. Najib jangan merepek terhadap perkara yang belum difikirkan oleh penganjur dan penyokong Bersih 3.0.

Tindakan Bersih 3.0 adalah mahu Najib melaksanakan tuntutan lapan perkara Bersih 2.0 dulu. Mahu PRU 13 mengikut sistem pilihanraya yang bersih.

Jika tuntutan itu disempurnakan, maka Bersih 3.0 itu tidak ada. Dataran Merdeka tidak jadi satu agenda penting menjelang PRU 13.

Memang semuanya hendak membuang Najib dari tampuk pemerintahan dan mengakhiri monopoli kuasa UMNO sejak tahun 1955. Ia hendak diganti dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Tetapi caranya ialah melalui pilihanraya bersih, bukan pilihanraya tipu dan tidak demokratik.

Najib bukan saja remehkan tuntutan lapan perkara itu tetapi perbodohkan golongan pro demokrasi yang bersih dengan jawatankuasa pilihanraya Parlimen tipu. Najib perbodohkan Parlimen dan sekalian ahli politik seperti dia memperbodoh orang UMNO.

Perumpamaan Melayu mengira memperbodohkan orang seperti menyamakan orang dengan lembu. Dengan contoh skendal lembu kondo suami Shahrizat yang dilindungi Najib, betul Najib telah menjadi sekalian orang seperti lembu dalam semua perkara.

Sekalian yang tidak mahu jadi macam lembu menuntut PRU 13 satu pilihanraya bersih. Ratus ribu orang datang ke Dataran Merdeka atas kehendak sendiri membantah Bersih 2.0 dulu dibakul sampahkan. Semua mentuntut ia ditunaikan.

Tentulah ada tindakan susulan jika ia tidak ditunaikan. Apa? Tunggulah!

Tidak sekali-kali setakat 28 April 2012 itu mereka hendak memulakan kerja seperti rakyat Mesir yang turun ke Dataran Tahrir lebih setahun lalu.

Tetapi apa yang berlaku itu adalah satu amaran dan ingatan kepada Najib, jangan dorong rakyat bertindak seperti apa yang dibuat terhadap Hosni Mubarak. Penyokong Bersih 3.0 khususnya Pakatan Rakyat tidak mahu berlaku seperti yang menimpa Mesir itu kerana kuasa demokrasi itu boleh diperolehi melalui PRU 13 yang bersih.

Revolusi rakyat Mesir terjadi kerana mereka tidak boleh dapat apa-apa dari regim Hosni Mubarak. Tiada pililhan selain dari apa yang mereka lakukan.

Tetapi rakyat Malaysia boleh dapat perubahan melalui pilihan raya tetapi pilihanraya itu mesti bersih. Yang menjadi halangan ialah Najib memperkenal transformasi tipu, enggan menjadikan SPR sebagai satu suruhanjaya yang bersih.

Semua orang kata, SPR kotor. Yang kata ia bersih hanya Najib dan lembu-lembunya.

Pembangkang belum memikirkan untuk menyamakan Najib dengan Mubarak, tetapi Bersih 3.0 itu adalah amaran supaya jangan sampai orang menjadikan Dataran Merdeka itu seperti Dataran Thahrir. Jika kebebalan Najib itu nanti dilihat orang sama saja dengan Mubarak, kita tidak dapat tahan orang Malaysia jadi seperti orang Mesir.

Sebelum ada yang menirunya, Najib mesti elekkan kecelakaan itu dengan mendengar apa orang mahu. Najib jangan minta Dataran Merdeka jadi Dataran Tahrir! Tuhan tidak suruh minta diuji. Jika merepak Najib itu dikira sebagai mencabar supaya ia dilakukan terhadapnya, tunggulah nanti akan Tuhan perkenankan!

Mintalah yang elok dan muluk! Jangan inginkan yang buruk dan yang busuk.

Harakah Daily

Kasih anak: Saya tidak pernah derhaka

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Allahyarham ayahanda saya, Pak Ali senantiasa mendidik saya untuk patuh kepada tuntutan Al-Quran, berakhlak luhur dan tuntas istiqamah kepada prinsip perjuangan. Didikan dari kecil untuk menghormati serta mengasihi kedua ibu-bapa sesuai dengan pesan ajaran agama Islam menjadi pegangan saya.

Saya tidak pernah menderhaka kepada ibu saya. Saya senantiasa kasih dan sayang kepada ibu dan bapa saya. Saya tetap mendoakan semoga ibu saya senantiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan mendapat rahmatNya serta beroleh kesihatan yang baik. Saya turut mendoakan semoga Allahyarham ayahanda saya mendapat husnul khatimah dan ditempatkan ruhnya di syurga yang penuh nikmat.

Saya menyeru kepada media supaya tidak mengganggu ibu saya dan Umno janganlah mengheret ibu saya ke dalam kancah politik Umno yang kotor dan jijik. Institusi keluarga termasuk hubungan kekeluargaan perlu disejahterakan dan bukannya diaibkan di dada media.

Saya tetap sayang dan hormat ibu saya. Saya juga bersyukur dianugerahkan isteri, Shida yang taat dan setia serta anak-anak yang memahami citra perjuangan yang murni ini.

Saya bertekad untuk meneruskan perjuangan menjana perubahan melalui wacana segar yang mengangkat dasar kepedulian rakyat. Saya berazam untuk melawan budaya politik jelek yang disuburkan oleh Umno dan media yang ditunggangi mereka.

Saya berserah segala-galanya kepada Allah SWT dalam menghadapi mehnah ini tetapi saya tidak akan tunduk menyerah kepada tekanan fitnah Umno. Saya akan tumpu kepada usaha dan kerja- kerja Parti selaku Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang dijangkakan pada bulan Jun 2012.

Harakah Daily

Jangan sempitkan fatwa untuk demonstrasi sahaja

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Mei: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diseru tidak mengeluarkan pandangan melibatkan demonstrasi sahaja tetapi mestilah juga mengeluarkan pandangan melibatkan kepincangan pilihan raya yang menjadi sebab kepada berlakunya demonstrasi.

Demikian ditegaskan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) sebagai mengulas pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, semalam berhubung demonstrasi Bersih 3.0.


"Demonstrasi menyatakan pandangan adalah berasaskan kepada kewajipan amar makruf nahi munkar yang dituntut oleh Islam,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, demonstrasi Bersih 3.0 bertujuan menuntut 8 perkara melibatkan penambahbaikan pilihan raya negara yang dilihat pincang.

Jelasnya, ia merupakan sebahagian tugas amar makruf nahi munkar yang mesti dilaksanakan oleh rakyat terutamanya umat Islam.

Beliau yang juga Adun Manir, Terengganu menegaskan lagi bahawa tanpa sebarang provokosi daripada pihak tertentu demonstrasi aman tidak akan mencetuskan huru-hara.


Sementara itu, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali pula menegaskan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diminta jangan menyempitkan pandangan muzakarah melibatkan demonstrasi yang berlaku sahaja.

Tetapi, tambahnya mereka perlu mengeluarkan pandangan terhadap kepincangan pengurusan kewangan negara, amalan rasuah yang berleluasa, pengkhianatan pemberian ic kepada bukan warganegara, pemberian warganegara dengan tujuan politik jahat, rasuah politik kepada pengundi, pengunaan dana kerajaan oleh parti yang bertanding dalam pilihanraya dan kepincangan pengurusan pilihanraya.

“Dengan itu, Jawatankuasa Fatwa akan dilihat berwibawa dan tidak menjadi alat pemerintah semata-mata, malah menjadi suara amar makruf nahi munkar mewakili rakyat," ujarnya.

Harakah Daily

Parlimen dibubar selepas sambutan 66 tahun Umno?

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TEMERLOH, 7 Mei: Ahli jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membubarkan parlimen secara mengejut sejurus selepas sambutan ulang tahun Umno ke 66 minggu hadapan.

Katanya, beliau mendapat maklumat Najib tidak akan menangguhkan lagi pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang dijangka pada bulan Jun ini juga berdasarkan perkembangan semasa.

“Kes skandal rasuah kapal selam Scorpene RM3 bilion yang dikaitkan dengan Najib yang sedang dibicarakan di Peranchis akan memberi kesan jika PRU diadakan lebih lewat.

“Kita jangkakan kerajaan juga sudah menghadapi masalah kewangan setelah pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia yang lebih banyak menimbulkan kontroversi kerana ada yang tidak puas hati tak dapat,” katanya.

Jelasnya, isu himpunan Bersih 3.0 yang diramalkan memberi kesan negatif kepada kerajaan kerana keganasan polis terpaksa dilupakan Najib berikutan beberapa isu mendesak itu menyebabkan tekanan supaya PRU terpaksa diadakan dalam masa terdekat.

Idris menjelaskan demikian semasa berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang Kali Ke-30 di Darul Amin, Sungai Gau dekat sini, semalam.

Tambah Idris, Umno akan mengadakan perhimpunan raksasa di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno pada 11 Mei bagi menunjukkan kekuatan parti itu kepada umum dan kemungkinan parlimen dibubar 14 Mei.

“Jadi dalam masa terdekat ini kita mesti menggembelengkan segenap peluang yang ada untuk menarik sokongan orang Melayu dan kita terangkan bagaimana kita boleh menjaga Melayu lebih daripada Umno,” tegasnya.

Mengenai Pemuda, Idris berkata pentingnya sayap tersebut kepada parti pada masa ini ialah kerana fikrah yang jelas, menguasai teknologi bermaklumat, masih bertenaga untuk dimanfaatkan parti dari segi fizikal dan masih kurang beban untuk komited dengan program.

Jelasnya lagi, menurut kajian majoriti golongan muda pada masa ini bersama Pakatan Rakyat dan ini dibuktikan jumlah yang besar menghadiri himpunan Bersih baru-baru ini.

Sementara itu Idris berkata pengguna facebook di negara ini menjangkau 9 juta orang dan beliau menjangkakan kuasa tersebut mampu mengalahkan BN dalam PRU akan datang sebagaimana kuasa blog menghukum parti itu pada PRU 2008 dulu.

Katanya, dapat diperhatikan dengan jelas laman facebook dapat menyaingi isu-isu yang menjadi propaganda Umno dan kerajaan melalui media tradisional kerana maklumat disampaikan lebih pantas.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Al-Hafiz yang berucap sebelum itu mengarahkan pemuda bersiap siaga menjaga bendera-bendera PAS kerana beliau menerima maklumat bendera yang tergantung di temapat strategik sekitar Jengka akan diturunkan sempena lawatan Najib ke Jengka 8 pada 8 Mei ini untuk mengumumkan durian runtuh kepada peneroka-peneroka Felda.

Dalam majlis yang sama selepas itu, Pemuda PAS Pahang memberi anugerah kepada tokoh Pemuda Amal, pengusaha Pasti yang berjaya dan guru-guru Pasti yang cemerlang di negeri ini.

Harakah Daily

Sokongan buta tuli bekas KPN p’raya tak bersih

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Sokongan membuta-tuli tidak berasas oleh tiga bekas Ketua Polis Negara berasaskan dakwaan Najib Razak bahawa perhimpunan aman “Duduk Bantah” Bersih 3.0 merupakan satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan sekarang adalah bukti terbaru yang menunjukkan bahawa reformasi proses pilihanraya supaya bersih dan adil tidak mungkin akan dijalankan.

Hampir setiap hari, rakyat Malaysia dijamu dengan bukti terbaru bahawa tidak akan wujud suatu platform dimana pilihanraya yang berlandaskan proses yang bebas dan adil di Malaysia boleh berlaku dan kerajaan Barisan Nasional nampaknya telah jauh terpesong daripada menjawab 8 tuntutan Bersih 2.0 dalam perhimpunan aman 9 Julai 2011 untuk pilihanraya yang bebas dan adil. Apatah lagi 3 tuntutan tambahan perhimpunan aman “duduk bantah” Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Lapan Tuntutan Bersih 2.0 adalah:
1. Pembersihan senarai pengundi berdaftar
2. Mereformasikan undi pos
3. Penggunaan dakwat kekal
4. Tempoh berkempen minima 21 hari
5. Akses media yang bebas dan adil bagi media arus perdana
6. Pengukuhan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor

Tiga Tuntutan Tambahan “Duduk-Bantah” Bersih 3.0 adalah :

1. Suruhanjaya Pilihanraya mesti meletak jawatan, terutama sekali atas kegagalannya dalam melaksanakan tanggungjawab dan telah kehilangan kepercayaan umum.
2. Proses pilihanraya mesti dibersihkan sebelum Pilihanraya Umum Ke-13.
3. Menjemput pemerhati antarabangsa untuk meneliti proses Pilihanraya Umum Ke-13.
Bukti terbaru yang menunjukkan bahawa Malaysia masih jauh daripada melaksanakan pilihanraya yang bebas dan adil adalah, pertamanya, tuduhan melulu dan dakwaan Perdana Menteri Najib Tun Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional; dan keduanya, sokongan membuta tuli yang telah diberi oleh tiga bekas Ketua Polis Negara terhadap dakwaan Najib itu.

Muka hadapan hari ini akhbar Berita Harian milik UMNO, telah memaparkan berita tiga bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Musa Hassan turut membantu menguatkan tuduhan melulu Najib bahawa perhimpunan “428” “duduk-bantah” Bersih 3.0 merupakan satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan, dengan menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan keatas dakwaan cubaan merampas kuasa.

Nampaknya, ketiga-tiga bekas Ketua Polis Negara dipergunakan untuk memberi justifikasi kepada tindakan keras yang telah digunakan, yang mengingatkan kita kepada penahanan beramai-ramai dalam Operasi Lalang pada tahun 1987!

Apa wujudkah sekelumit bukti pun yang menunjukkan bahawa perhimpunan aman “duduk-bantah” Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan sepertimana yang didakwa oleh Najib dan disokong oleh tiga bekas Ketua Polis Negara untuk memberi justifikasi kepada tindakan yang bakal diambil polis?

Tidak sama sekali, seperti yang terbukti dalam pengakuan Haniff sendiri. Berikut adalah kenyataan Haniff:

“Perlu ada bukti kerana Perdana Menteri tidak boleh membuat andaian semata-mata. Ianya mungkin berlaku dan pasti ada segolongan yang akan melakukan sedemikian untuk kepentingan masing-masing”

Ini adalah puncak segala yang tidak masuk akal, dan buat pertama dalam sejarah 55 tahun negara ini wujud sebuah dakwaan bahawa sebuah kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri sendiri, tidak kira bagaimana liar dan tidak masuk akal, menjadi bukti sahih yang mencukupi untuk tindakan lanjut pihak kerajaan.

Tidak ada seorang pun dari kalangan lima Perdana Menteri sebelum ini, termasuklah Tun Dr Mahathir sendiri dalam tempoh masa 22 tahun sebagai Perdana Menteri yang keempat, telah membuat dakwaan bahawa kenyataannya tidak boleh diragui.

Ini bukan sahaja percubaan yang berbahaya untuk menjadikan kenyataan Perdana Menteri bertaraf seakan undang-undang malah untuk menjadikannya bukti mutlak dan tidak boleh diragui, tidak kira betapa tidak masuk akal atau tidak munasabah dakwaan yang ditujukan itu.

Dua daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah “akses bebas dan adil bagi media arus perdana” dan “hentikan politik kotor”.

Rakyat Malaysia sedang menyaksikan “politik kotor” yang paling teruk dalam sejarah 55 tahun negara ini dalam rangka menuju Pilihanraya Umum Ke-13, mendapat tempat di dalam media arus perdana dan diberi kebebasan yang dinafikan bagi pihak-pihak lain yang bertanding dan mempunyai kepentingan terhadap pilihanraya yang bebas dan adil.

Telatah yang tidak bertanggungjawab oleh pihak Perdana Menteri dan tiga bekas Ketua Polis Negara merupakan contoh terkini dan contoh yang jelas mengapa Lapan Tuntutan Bersih 2.0 masih relevan, penting dan tidak mungkin ditunaikan, dan merupakan satu sebab kukuh bagi semua rakyat Malaysia yang menghargai kebebasan yang ada untuk mendesak sekeras-kerasnya untuk Pilihanraya Umum Ke-13 dijalankan di atas medan yang adil.

Harakah Daily

Kereta, 13 tong diesel disita

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TAIPING - Hasil maklumat orang ramai mengenai penyelewengan minyak diesel bersubsidi, satu operasi dijalankan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Taiping di pinggir Jalan Kampung Dew, Simpang.

Ketua PPDNKK Cawangan Taiping, Basaruddin Mohiyuddin berkata, operasi berkenaan dijalankan ke atas pemandu-pemandu lori yang menjual minyak diesel bersubsidi kepada individu tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, operasi berkenaan diketuai Penolong Penguatkuasa, Kamarul Anaz bersama beberapa pegawai penguatkuasa yang lain.

“Ketika pemantauan diadakan, kami menemui sebuah kenderaan yang diletakkan di pinggir jalan dalam keadaan bonet belakang terbuka.

“Hasil pemerhatian kami ke atas kenderaan itu, sejumlah 13 tong minyak diesel terdapat dalam kereta tersebut sementara pemilik lari mengelakkan diri daripada ditangkap,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kesemua minyak diesel dan kenderaan itu disita serta dibawa balik ke Pejabat PDNKK.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan pemilik kenderaan tersebut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Satu laporan polis turut dibuat berhubung sitaan tersebut.

“Sehubungan itu, diminta pihak majikan memantau aktiviti pemandu lori syarikat supaya tidak melakukan penyelewengan diesel yang turut merugikan syarikat dan kerajaan,” katanya.

Basaruddin berkata, PPDNKK Taiping akan terus giat membanteras penyelewengan diesel sehingga ke akar umbi.

Sinar Harian

Nyaris maut diamuk seladang

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BALING - Seorang bekas tentera tidak dapat melupakan pengalaman diserang seladang semasa berada di dalam operasi Kota Enco di Sempadan Thailand pada tahun 2002.

Kejadian itu mengakibatkan tangan kiri Mohd Yatim Mustafa, 43, hampir terputus setelah ditanduk seladang jantan setinggi dua meter itu.

Dia yang kini tinggal di Taman Bersatu Baling tidak akan pernah melupakan kejadian yang hampir meragut nyawanya itu.

“Serangan itu membuatkan saya melambung setinggi tiga meter selain senjata M-16 yang dibawa patah dua setelah ditanduk haiwan itu.

“Saiz seladang itu memang besar. Saya cuba mengelak serangan, tetapi Seladang itu terlalu kuat dan bertenaga,” katanya.

Kejadian itu mengakibatkan Mohd Yatim mengalami pendarahan yang banyak di bahagian tangan dan badan.

“Nasib baik rakan-rakan datang membantu. Mereka membawa saya ke kawasan tanah lapang seterusnya dikeluarkan oleh unit udara,” katanya.

Menurutnya, walaupun kejadian itu hampir meragut nyawanya, dia tidak pernah patah semangat dalam memastikan keamanan keselamatan negara.

“Setiap tentera pasti mempunyai pengalaman mereka yang tersendiri terutama mereka yang melakukan operasi di dalam hutan.

“Selain berhati-hati dengan serangan musuh, setiap anggota juga berhadapan dengan serangan haiwan buas dan berbisa yang boleh meragut nyawa,” katanya.

Katanya, kejadian berkenaan akan sentiasa terpahat di dalam ingatannya semasa berkhidmat sebagai seorang anggota tentera.

“Walaupun kejadian itu telah berlalu sejak 10 tahun dulu, kesan serangan itu masih jelas sehingga kini,” katanya.

Sinar Harian

Rempuh asap tebal selamat nenek

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KEPALA BATAS - Keberanian Nur Fazliza Mohd Fauzee, 19, yang sanggup masuk semula ke dalam rumah yang dipenuhi asap tebal untuk menyelamatkan neneknya yang berada di tingkat atas selepas rumah didiami mula terbakar semalam mendapat pujian ahli keluarga dan penduduk Kampung Paya Keladi Hujung di sini.

Ini kerana tindakan pantas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau itu berjaya menyelamatkan nyawa neneknya yang tidak mampu bergerak kerana mengalami sakit tua.

Ketika kejadian pada jam 2.45 petang semalam, anak kedua kepada pasangan Mohd Fauzee Ali, 51 dan Fauziah Jamaluddin, 46, itu berehat di ruang tamu bahagian bawah rumah separuh batu dan kayu itu, manakala neneknya, Halimah Awang ,76, berada dalam bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

Ahli keluarga lain yang terdiri daripada bapa, seorang kakitangan Bernas Paya Keladi, abang dan empat adiknya tiada di rumah, manakala ibunya tinggal berasingan selepas berpisah dengan bapanya.

“Sebaik hendak melelapkan mata saya terdengar letupan seolah-olah seperti bunyi mercun dari arah hujung kepala yang menempatkan kotak fius penyaluran bekalan elektrik.

“Kotak fius berkenaan mula mengeluarkan asap membuatkan saya bingkas bangun dan berlari keluar dengan niat meminta pertolongan jiran,” katanya.

Nur Fazliza berkata, selepas beberapa saat berada di luar rumah dia melihat kepulan asap hitam mula memenuhi ruang tamu dan terkejut apabila mendengar suara neneknya meminta tolong kerana kelemasan akibat asap tebal memenuhi rumah.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus meluru masuk ke dalam rumah dan mendapatkan nenek ditingkat atas sebelum bertindak mendukungnya meredah asap dan berlari keluar sambil menjerit rumah terbakar beberapa kali.

“Syukur alhamdulillah selepas itu beberapa orang jiran lelaki datang dan membantu serta mengarahkan kami berada jauh dari rumah yang telah marak dimakan api,” katanya.

Kebakaran itu membuatkan keluarga Nur Fazliza mengalami kerugian mencecah RM100,000 apabila rumah, semua peralatan dan sebuah kereta musnah terbakar dan gagal diselamatan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba, Pegawai Bomba Kanan 2, Abdul Azizi Ismail, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu pada jam 2.45 petang semalam.

“Bersama dua jentera dan lapan anggota yang turut dibantu lima ahli Bomba Sukarela dari Kepala Batas pihak kita berjaya mengawal api dari mereka selepas lima minit berada di lokasi.

“Namun, disebabkan api marak lebih awal sebelum ketibaan kami, rumah itu musnah terbakar dan pihak kita sedang menjalankan siasatan mengenai puncanya,” katanya.

Semasa ditemui Nur Fazliza berseorangan kerana semua ahli keluarganya menemani neneknya yang mengalami sesak nafas mendapatkan rawatan di sebuah klinik berdekatan.

Sinar Harian