08 Mei 2012

Mat Skodeng kena siram

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SARIKEI: Tabiat jelik seorang lelaki warga Bangladesh yang gemar mengintai wanita dalam tandas di sebuah ladang berdekatan Jalan Bintangor, di sini, menerima padah apabila dia melecur disimbah air panas oleh mangsa intipannya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki terbabit yang berusia 20-an dikatakan menggelupur kesakitan akibat melecur di muka, dada, bahu kiri dan lengan akibat terkena air panas selepas disimbah seorang pekerja wanita di ladang berkenaan.

Sumber berkata, lelaki terbabit dikatakan sering mengintai pekerja wanita yang menggunakan tandas berkenaan dengan menebuk beberapa lubang pada dindingnya. Menurutnya, perbuatan lelaki yang juga pekerja ladang itu dikatakan sudah lama berlarutan menyebabkan beberapa pekerja wanita berang dan memasang perangkap.

“Tengah hari tadi (semalam), lelaki terbabit dikatakan mengulangi perbuatan sama apabila mengintai seorang pekerja wanita yang memasuki tandas itu.

“Rupa-rupanya wanita itu hanya berpura-pura menggunakan tandas kerana dia sebenarnya mahu memerangkap lelaki warga asing itu. Malah, wanita berkenaan dipercayai sudah berpakat dengan rakan lain untuk ‘mengenakan’ lelaki itu.

“Ketika asyik mengintai, seorang daripada rakan wanita menyimbah air panas ke arah lelaki itu menyebabkan dia melarikan diri sambil menjerit kesakitan,” katanya.

Sumber itu berkata, lelaki terbabit bernasib baik kerana segera dihantar beberapa pekerja ladang untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei.

“Bagaimanapun, berikutan kecederaan parah dialaminya, lelaki terbabit dirujuk ke Hospital Sibu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan memaklumkan, keadaan lelaki terbabit dilaporkan stabil.

METRO/-

Adakah kerajaan haram tipu dalam pilihan raya?

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD]-

KUALA LUMPUR, 8 Mei: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar) terpanggil untuk mencari penjelasan daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia mengenai fatwa ‘adalah haram buat umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik.'

Pertama, katanya perhimpunan Bersih 3.0 untuk pilihanraya bebas dan adil telah mendapat kebenaran serta kelulusan di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman dan memenuhi syarat 'bertujuan baik' kerana tentunya tuntutan pilihanraya bebas dan adil tidak haram.

Kedua, arahan mahkamah melarang perhimpunan ke ruangan Dataran Merdeka adalah menafikan hak asasi rakyat dalam sebuah negara demokratik, oleh itu ia 'bertujuan tidak baik' dan menimbulkan 'suasana konfrontasi'. Justeru, adakah tindakan ini haram?

Ketiga, tindakan berlebihan pihak berkuasa mengepung dan menghalang orang ramai bersurai secara teratur dan aman serta tindakan menggunakan kekerasan berlebihan seperti gas pemedih mata, pancutan air kimia, pukulan dengan cota dan kekerasan yang diperlakukan segelintir anggota polis secara am -adakah semuanya haram?

Keempat, Pengerusi Jawatankuasa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin juga menyebut: "Tindakan merusuh, mewujudkan kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama."

"Oleh demikian bagaimana fatwa tindakan umat Islam di Tunisia, Mesir, Libya dan kini Syria ke atas kerajaan masing-masing yang sah di sisi undang-undang juga haram?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Kelima, apakah fatwa untuk menipu di pilihanraya dengan berbagai kaedah seperti menghalang rayuan mahkamah dibuat di atas kesahihan Daftar Pemilih (Akta Pilihanraya - Seksyen 9A), menghalang wakil-wakil parti dan bukan parti menyaksikan dan menyemak kad pengenalan pengundi dengan Daftar Pemilih pada hari mengundi (Akta Kesalahan Pilihanraya - Seksyen 26A (2) dan (3)),

persempadanan kawasan pilihanraya tidak adil melalui pindaan Artikel 116 Perlembagaan Persekutuan mengenai nisbah perbezaan jumlah pengundi tidak melebihi 15% setiap kawasan, penyalahgunaan undi pos, akses media terhad untuk semua parti politik, pengunaan politik wang merasuah pengundi dan pengunaan pengundi hantu - adakah ia haram?

Keenam, apakah fatwa mengenai sebuah kerajaan yang dibentuk berdasarkan pilihan raya yang tidak bebas dan tidak adil - adakah ia kerajaan haram?

Sebagai makluman, beliau telah membuat pertanyaan rasmi di sidang Parlimen pada 22 Mac yang lepas kepada Perdana Menteri merujuk soalan berikut:

Puan Nurul Izzah Binti Anwar [Lembah Pantai] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan Fatwa tentang amalan penipuan pelbagai bentuk dan cara dalam pilihan raya dan penganugerahan status kewarganegaraan kepada warga asing sebagai balasan sokongan kepada Kerajaan Pusat.

Menteri di Jabaran Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil KHir Baharom menjwaab soalan itu sebagaimana beriukut:

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berpandangan tidak ada keperluan untuk berbincang dan memberikan fatwa berkaitan penipuan dalam pilihanraya. Ini kerana, dalam Islam, hukum bagi sebarang bentuk penipuan adalah jelas iaitu tidak dibenarkan.

"Suruhanjaya Pilihanraya juga telah mempunyai undang-undang dan peraturan yang boleh mengawal dan mengendalikan proses serta perjalanan pilihanraya di Negara ini agar berlangsung dengan telus dan adil." katanya.

Malangnya, kata Nurul Izzah jawapan yang diberikan oleh wakil PM iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah bahawa Majlis Fatwa tidak perlu membuat fatwa di atas perkara yang ditanya walaupun semua bentuk penipuan adalah tidak dibenarkan agama Islam.

"Akhir sekali, saya berharap Majlis Fatwa Kebangsaan akan dengan segera memberikan jawapan kepada kesemua persoalan diatas agar kesucian Islam terpelihara," ujarnya yang juga Naib Presiden PKR.

HARAKAHDAILY/-

Kalau menjerit sakit, dipukul lebih teruk lagi

16 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 8 Mei: "Sepanjang 300 meter perjalanan saya ke Kelab Diraja Selangor, saya dipukul oleh pihak polis tanpa ada perasaan belas kasihan, jelas mangsa kekejaman polis pada Himpunan Bersih 3.0, Nour Islam Niamat, 30.

Nour Islam yang juga merupakan aktivis NGO, Jingga 13 memberitahu beliau ditahan oleh pihak polis ketika berada hampir dengan pengadang jalan di Dataran Merdeka dan ketika itu beliau hanya meninjau keadaan di sana tanpa melakukan apa-apa provokasi.

"Ketika saya hampir di Dataran Merdeka lebih kurang pukul 5 petang, saya tidak mendengar pun arahan pihak polis meminta peserta Bersih bersurai malah mereka terus bertindak dengan menyembur air serta menembak gas pemedih mata.

"Dalam keadaan saya berada di barisan paling hadapan maka menyenangkan pihak polis menahan saya dan dalam keadaan saya baru ditahan tiba-tiba datang sembilan hingga sepuluh orang anggota polis ke arah saya dan telah bertindak memukul, menendang serta menumbuk saya," jelasnya.

Nour Islam yang menceritakan peristiwa tersebut memberitahu beliau telah berjalan hampir 300 meter dan melalui trak-trak polis yang dipenuhi anggota polis untuk ke Kelab Diraja Selangor

"Saya telah dibawa melalui trak-trak polis dan ketika melalui trak tersebut terdapat lebih kurang 200 orang anggota polis yang berbaris di situ, saya telah dipukul dan ditendang oleh polis-polis yang berada berhampiran trak itu.

"Setiap seorang dari mereka tidak melepaskan peluang memukul saya, saya terpaksa tempuhi mereka sikap kejam mereka tanpa boleh dielak langsung malah mereka terus tumbuk serta terajang saya tidak kira di muka mahupun di perut," sambung beliau lagi.

Menurutnya lagi setiap kali beliau dipukul polis mengarahkan beliau senyum dan jangan menjerit kesakitan, jika beliau menjerit sakit polis mengatakan beliau melawan dan akan dipukul dengan lebih teruk lagi.

"Apabila saya sampai di tempat tahanan tidak ada Ambulan mahupun pegawai kesihatan yang menunggu, apabila saya bertanya di mana pihak kesihatan mahupun Ambulan.

"Pihak polis cuba mengelak untuk menjawab dan mereka melengah-lengahkan untuk memanggil ambulans walaupun terdapat peserta yang cedera teruk sehinggakan ada mereka yang hampir pengsan," cerita beliau lagi.

Beliau yang mendapat tiga jahitan di dahi akibat ditendang oleh polis itu menjelaskan ketika dipukul pihak polis mengarahkan beliau tunduk serta tidak boleh melihat polis-polis yang memukulnya.

"Saya langsung tidak boleh melihat muka-muka polis yang memukul saya kerana anggota polis memegang kepala saya kebawah tanpa memberi peluang saya mengangkat kepala saya.

"Ketika saya jatuh pun polis meminta saya tundukan kepala dan jangan sesekali cuba melihat siapa yang memukul saya, namum saya perasaan setiap anggota polis yang bersikap kejam itu tidak mempunyai nombor polis dan yang ada hanyalah nama. Saya tak pasti siapa sebenarnya mereka," tegasnya.

Beliau yang mengalami cedera yang teruk itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas sejam beliau dipukul untuk mendapat rawatan.

"Pihak hospital telah membuat pemeriksaan keatas saya termasuk menjahit luka di kepala saya, mereka juga turut melakukan pemeriksaan x-ray bagi mengetahui kecederaan dalaman akibat tendangan yang kuat dari pihak polis.

"Setelah selesai melakukan pemeriksaan saya telah membuat laporan polis di Balai Polis yang berada di HKL termasuk menyerahkan laporan perubatan dari pihak hospital," tambahnya lagi.

Namum beliau bersyukur apa yang dialami olehnya direstui oleh Ibunya dengan menyifat ia adalah maruah diri dalam memperjuangkan kebaikan.

HARAKAHDAILY/-

07 Mei 2012

Bersih 3 : Apakah undang-undang yang diguna pakai.

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
KENYATAAN MEDIA

Saya melihat rakyat telah masak dengan reaksi yang bakal dilakukan oleh pimpinan BN dalam isu memberi akses terhadap sebarang acara yang berbentuk himpunan untuk menyuarakan sebarang bantahan lebih-lebih lagi dalam isu menuntut proses pilihan raya yang adil dan bersih.

Najib berbicara mengenai undang-undang tetapi dalam isu BERSIH 3.0 para peserta ditembak dengan gas pemedih mata dan air berasid tanpa alasan dan apakah undang-undang yang diguna pakai ketika itu?

Apalagi tindakan memukul dan memyepak mereka yang berhimpun secara aman adalah sesuatu yang saya anggap diluar tabie dan kemanusian.

Anehnya bila Jawatankuasa Fatwa menghukum hadir himpunan Bersih haram namun tidak adapun fatwa mengenai hukum memukul orang tanpa sebab dan alasan yang kukuh.

Datuk A Samad Said dan Pengerusi bersama yang lain telah pun mengemukakan permit tetapi alasan pihak berkuasa tidak masuk akal walhal jelas bersih cuma mahu duduk dan bantah tidak lebih dari itu.

Saya ingin persoal adakah duduk itu juga dalam ketegori membahayakan ketenteraman orang awam.

Maka di sini jelas bahawa Najib Razak tidak mengetahui apakah itu demokrasi dan lebih menyedihkan lagi beliau sendiri tidak menghormati hak rakyat yang sudah tentu ada hak ke atas Dataran Merdeka yang menjadi lokasi bersejarah tersebut bagi mengadakan sebarang acara termasuklah duduk dan bantah.

Jika ada setengah juta warga Malaysia turun ke Kuala Lumpur bayangkan betapa untungnya perniagaan warga kota kerana peningkatan jumlah mengunjung pada hari tersebut, tetapi disebabkan pimpinan BN terlalu jumudlah hakikat ini gagal digambarkan dek kerana pentingkan kuasa secara salah.

Ulasan Najib Razak berkenaan perhimpunan bersih 28 april mendahului keputusan siasatan dimana dakwa beliau mengatakan perserta melancarkan serangan terhadap polis walhal kita tahu wujud SB yang terlibat sebagai ejen provokasi dalam perhimpunan terbabit yang telah menyebabakan huru-hara berlaku.

Realiti sokongan rakyat terhadap usaha penolakan rejim BN yang telah berkuasa selama 54 tahun ini semakin jelas, rata-rata rakyat sedang mahukan perubahan, kita juga boleh lihat betapa ramai rakyat bahkan suku juta yang turun pada 28 April untuk cuma menyatakan bantahan terhadap BN yang telah menzalimi maksud sebenar keadilan.

Rakyat tidak memerlukan lagi seorang pemimpin yang sering flip flop seperti Najib Razak, sikap sebegini bukan sahaja mengambarkan beliau tiada kredibiliti kepimpinan adil malah merugikan masa hadapan negara, PRU 13 adalah masa untuk ubah bagi menyelamatkan Malaysia.
Drs. Khalil Idham Lim
Parit Buntar, 7 Mei 2012

Tuan Guru Nik Aziz, hero saya - Tan Sri Kadir

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Bekas menteri Kabinet yang juga veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, hari ini mengunjungi Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau mengambil waktu lebih sejam beramah mesra dengan Tuan Guru di Pejabat Menteri Besar bermula 11.25 pagi tadi.

Turut bersamanya, Anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Kadir dilihat begitu gembira dapat bertemu dengan Tuan Guru, malah sebaik sahaja bersalam dengan Tuan Guru terus bertanya; “Apa khabar Tuan Guru…hero saya ni,” ujarnya sambil menoleh kepada media.

Kadir ketika ditemui selepas itu memberitahu setiap pemimpin di negara ini perlu menghormati mana-mana pemimpin negeri yang mereka hadiri.

Malah, katanya sebagai seorang tetamu mereka perlu bertemu dengan pemimpin berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Menteri Besar sebelum ini terhadap pemimpin pusat termasuk menteri kabinet yang tidak mengunjungi Pejabat Menteri Besar ketika membuat program di negeri ini.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Tuan Guru dan memang itu yang sepatutnya. Saya sebelum ini lebih tiga kali bertemu Tuan Guru datang ke pejabatnya, makan nasi tengahari lagi,” ujarnya.

Sebelum ini, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita terhadap menteri-menteri dan timbalannya yang datang ke negeri ini tetapi tidak pernah mengunjungi pejabat beliau.

Katanya, Kelantan adalah sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang menteri besar, yang seharusnya menteri atau timbalannya mengunjunginya selaku ketua kerajaan di negeri yang mereka lawati.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan awal Mei ini Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Mengulas aktiviti politiknya kini, Kadir turut memberitahu jadualnya begitu padat sekarang kerana mendapat jemputan ceramah oleh pimpinan PAS hampir seluruh negara.
Kadir yang juga bekas menteri penerangan kini kembali aktif dalam politik bersama pembangkang selepas mengumumkan keluar dari Umno awal April lalu.

“Ada di antaranya saya tidak dapat nak penuhi sebab jadual saya begitu penuh,”ujarnya sambil ketawa.

Malam ini beliau dijangka menyampaikan ceramahnya bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di Pejabat PAS Kawasan Bachok.

Harakah Daily

Warga Nepal dipercayai mabuk ‘kongsi’ katil keluarga polis

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu berdepan mimpi ‘ngeri’ apabila berkongsi ‘katil’ dengan seorang pekerja warga Nepal, di kediamannya di Flat Awam, Jalan Hiliran di sini, awal pagi semalam.

Mangsa hanya menyedari kehadiran warga Nepal itu apabila anaknya menangis kerana dihimpit oleh warga asing yang berusia 31 tahun itu iaitu kira-kira jam 4.15 pagi.

Terkejut selepas mendapati mereka bertiga tidur sekatil dengan ‘tetamu asing’ itu, mangsa terus bertindak menahan suspek.

Bagaimanapun suspek yang dalam keadaan mabuk itu berjaya meloloskan diri.

Geram dengan perbuatan suspek yang menceroboh rumahnya, mangsa terus menghubungi anggota Rakan Cegah Jenayah (RCJ) Terengganu untuk mendapatkan bantuan dan akhirnya suspek berjaya dicekup.

Suspek yang bekerja di sebuah pasar raya di sini, dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga di sini, untuk tindakan susulan.

Dia kini direman empat hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Jelasnya, lelaki warga Nepal itu bekerja sebagai pembantu jurujual di sebuah pasar raya di sini dan dikatakan tersilap masuk kediaman mangsa semasa pulang selepas ‘pekena’ minuman keras.

“Siasatan awal mendapati suspek telah memasuki rumah anggota ini melalui pintu utama dan terus masuk bilik tidur, bagaimanapun tiada kehilangan harta benda dilaporkan,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Gurauan terakhir abang

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI – Seorang adik tidak tidak menyangka kehadiran abangnya ke rumah di Taman Bersatu, Sungai Petani kelmarin adalah pertemuan terakhir mereka apabila abangnya itu maut berikutan terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Kuala Ketil-Sungai Petani kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

A Ananthan, 54, berkata, abangnya, A Subramaniam, 62, sering ke rumahnya pada waktu terluang dan kelmarin Subramaniam datang menjemput kedua anak perempuan pulang ke rumah setelah menghabiskan masa bersama anaknya sempena hujung minggu.

“Dia sering berjenaka ketika bersembang dengan keluarga dan anak-anak saya.

“Tak sangka semalam adalah gurauan terakhir yang akan menjadi kenangan buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Menurutnya, sikap Subramaniam kelmarin tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik malah dia kelihatan tegap dan bergaya seperti biasa.

Ananthan berkata, abangnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan datang ke rumah petang kelmarin dengan berpakaian kemas dan tidak ketinggalan memakai cermin mata hitam yang menjadi kesukaannya.

“Dia memang kerap datang ke rumah saya memandangkan lokasi rumahnya di Taman Sri Wang adalah berdekatan antara satu sama lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, jurucakap polis berkata, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Ketil menuju ke Pekan Sungai Petani bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil yang masuk ke laluan bertentangan.

“Kejadian berlaku di hadapan Pejabat Pos Kampung Raja. Mangsa cedera parah di bahagian kepala dan maut di lokasi kejadian,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSAH untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk upacara pengebumian yang akan dijalankan hari ini sementara pemandu dan penumpang yang cedera turut dibawa menerima rawatan lanjut di HSAH.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian

Isteri penoreh mati kena renjatan petir

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang isteri penoreh getah tidak sempat membawa pulang hasil torehannya apabila dia terkena renjatan petir ketika hujan lebat di ladang getah Rembia, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, N. Danarachame, 56, sedang mengutip baki getah sekerap yang hampir selesai sambil bersiap sedia untuk pulang bersama suaminya, C.Mogan, 59, berikutan keadaan hujan lebat.

Mogan berkata, secara tiba-tiba isterinya rebah ke tanah.

“Ketika itu tangan sebelah kanan saya juga terasa seperti digeser sesuatu. Sebaik saja saya melihat sebelah, saya lihat isteri sudah rebah atas tanah tidak sedarkan diri dalam keadaan bekas getah segerap masih terikat di pinggangnya,” katanya.

Menurutnya, dia menjerit memanggil nama isterinya beberapa kali sambil menepuk serta menggoncangkan badannya, namun tiada tindak balas.

“Saya tidak pasti sama ada ketika itu isteri sudah meninggal dunia atau tidak. Melihat keadaan dia, saya terus meninggalkannya sendirian dan keluar menaiki motosikal meminta bantuan seorang rakan untuk membawanya ke hospital,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mogan berkata, dia dan isterinya keluar menoreh kira-kira 5.30 pagi dan ketika kejadian, mereka berdua sudah hampir selesai kerja dan mahu pulang ke rumah.

Malah, katanya, dia ada mengajak mangsa untuk pulang saja berikutan cuaca tidak baik.

“Saya berkata pada isteri, cuaca tidak elok, lebih baik bercuti saja. Namun, isteri cuma ketawa dan meneruskan juga kutip getah segerap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Sinar Harian

Imej polis makin buruk angkara media, blog Umno

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan polis menjadikan Khalid Mohd Ismath sebagai orang yang disyaki hanya berdasarkan tuduhan blog-blog Umno memburukkan lagi imej pasukan keselamatan itu, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Pasukan polis mempunyai segala kelengkapan yang canggih untuk membuat penyiasatan bagi mengenal pasti siapakah lelaki berbaju belang yang menendang polis itu.

"Amat tidak professional dan zalim jika polis menjadikan Khalid sebagai orang yang disyaki hanya berdasarkan tuduhan blog-blog Umno yang sebelum itu memfitnahkan pelajar itu sebagai lelaki berkenaan.

"Dengan tindakan itu, polis meletakkan dirinya sama taraf dengan Utusan Malaysia dan memburukkan lagi imejnya," kata beliau.

Utusan Malaysia semalam menyiarkan di muka hadapan gambar Khalid dan gambar lelaki yang menendang polis itu untuk memberikan gambaran bahawa Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) itulah yang menendang polis ketika perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Malah, di bawah gambar lelaki yang menendang polis itu, akhbar tersebut dengan jelas menulis "Khalid Mohd. Ismath menendang anggota polis trafik sewaktu perhimpunan Bersih 3.0".

Mahfuz berkata, polis tidak sepatutnya meletakkan pihaknya sama taraf dengan Utusan dan blog-blog Umno yang sebelum itu menuduh Khalid adalah lelaki berkenaan.

"Polis tidak sepatutnya melakukan perbuatan yang menyebabkan masyarakat semakin hilang kepercayaan terhadapnya dan tidak lagi meyakininya.

"Tindakan polis menahan Khalid hanya berdasarkan gambar itu bukan sahaja menyebabkan masyarakat tidak mempercayainya malah ia dibimbangi boleh mengakibatkan polis menjadi bahan cacian dan ejekan yang dimaki-maki," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mengenai tindakan polis yang mahu menangkap lagi Khalid berikutan tulisannya di dalam laman Facebook, Mahfuz berkata perkara itu berlaku kerana Khalid sangat tertekan setelah ibunya, Faridah Abdul, cedera teruk akibat tindakan polis semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

"Perlu juga diambilkira apa yang menyebabkan Khalid menulis luahan kemarahan sedemikian.

"Jangan ketepikan hakikat bahawa ibunya sendiri cedera parah akibat tindakan polis menyerang mereka yang berhimpun," katanya.

Harakah Daily

Ahli PAS perlu tonjol kebaikan Islam

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: "Inilah tanggungjawab kita, kita tonjolkan PAS lah yang berjuang menyeru kepada kebaikan dan beriman kepada Allah. PAS harus dilihat penaung untuk semua manusia sama ada Islam atau bukan Islam," demikian seru Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Ketika memberi ucapan penutup pada Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan, beliau berkata, gerak kerja sukarelawan oleh ahli-ahli PAS sudah mula dihormati semua pihak.

Beliau merujuk dalam insiden perhimpunan Bersih 3.0, di mana sukarelawan Unit Amal PAS sudah menjadi buah mulut semua orang apabila anggota ini memperlihatkan keprihatinan mereka dalam menjaga keselamatan peserta himpunan tempoh hari.

"Dalam siri perhimpunan Bersih 3.0, 2.0 sebelum ini, peserta himpunan yang jatuh longkang, pengsan, sesak nafas kena gas, mereka inilah (Unit Amal) orang pertama yang memberi bantuan. Sukarelawan kita sudah dihati orang ramai.

"Malah, wanita berbangsa Cina yang terkena gas pada himpunan lepas di mana beliau dipapah oleh muslimat kita. Wanita itu menangis bukan kerana gas tetapi terharu apabila ada wanita beragama Islam bertindak memberi kasih sayang disaat dia menghadapi kecemasan," katanya kepada lebih 400 peserta konvensyen yang berlangsung di KUIZM semalam.

Tambahnya, kerja-kerja amal ini dituntut dan dipelopori dalam kerajaan Islam selain mempertahankan prinsip-prinsip istiqmah, sabar , ikhlas dalam perjuangan bersama Islam.

"Kita berlawan dengan Umno BN dalam masa yang sama kita sedang bersaing dengan DAP, dan PKR. Kita perlu tonjolkan prinsip dan perjuangan yang kita pegang," katanya.

Melihat fenomena artis dan selebriti yang berani mendekati PAS, Mohamad Sabu berkata, golongan ini membantu dan menggilap PAS di mata masyarakat tetapi teras kepada perubahan dan 'road map' ke Putrajaya adalah ahli-ahli PAS.

"Terasnya adalah tuan-tuan. Kitalah yang meneruskan perjuangan ini. Insyallah prinsip yang kita pegang ini membolehkan kita ke Putrajaya," katanya yang diikuti laungan 'Allahuakbar' oleh peserta yang hadir.

Turut bersama Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohammad Nor Mohd yang menyampaikan panji-panji kepada beberapa pimpinan kawasan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Harakah Daily

Saya dibelasah teruk kerana dituduh pukul polis

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Seorang anggota Unit Amal PAS, Mohd Fahmi Mohd Noor mendakwa beliau dipukul ketika ditahan pihak polis dan sepanjang perjalanan ke Dataran Merdeka sebelum dibawa menaiki trak polis.

Fahmi mendakwa beliau ditahan kira-kira jam 4.30 petang di persimpangan lampu isyarat di hadapan bangunan Sime Darby di Jalan Raja Laut ketika sedang mengarahkan peserta Bersih 3.0 beredar dan tidak menimbulkan sebarang tindakan yang boleh menaikkan kemarahan pihak polis.

Menurut Fahmi, beliau ketika itu dalam posisi membelakangi polis menyebabkan beliau tidak sedar bahawa polis sudah menghampiri beliau menyebabkan beliau ditangkap walaupun pada waktu itu beliau sedang mengarahkan peserta bertenang serta beredar.

"Saya sedang mengarahkan agar peserta tidak melakukan provokasi saya pula ditangkap.

"Dalam perjalanan ke Dataran Merdeka ketika melalui kaki lima saya telah dipukul oleh pihak polis termasuk ditendang malah terdapat di antara mereka mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Menceritakan insiden itu lebih lanjut, Fahmi berkata, ketika ditahan beliau sempat bertanya kepada polis samada beliau sedang melakukan provokasi ataupun mengawal keadaan.

Namun salah seorang anggota polis itu ada mengatakan memang tiada provokasi dilakukan oleh beliau tetapi beliau harus juga ditangkap.

Beliau kemudian dibawa ke Dataran Merdeka bersama kumpulan lain yang lebih awal ditangkap.

"Jarak perjalanan agak jauh dan saya sendiri tidak pasti berapa kali dipukul, malah ketika sudah hampir di Kelab Di Raja Selangor saya sekali lagi dipukul oleh empat orang polis, disepak dan menyebabkan saya jatuh," ceritanya lagi.

Fahmi memberitahu setelah dipukul, beliau diletakkan bersama-sama dengan tahanan yang lain termasuk dengan bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Abdul Aziz Bari.

"Ketika saya duduk bersama-sama tahanan yang lain, terdapat seorang anggota polis menjerit dan mengatakan saya telah memukul anggota polis, tindakan tersebut menyebabkan saya sekali lagi ditarik dan dibawa ke belakang trak polis sebelum dibelasah teruk oleh sembilan orang anggota polis.

"Ketika itu saya dipukul dengan teruk termasuk dipijak di perut, ditendang di bahagian dada dan belakang. Saya telah ditumbuk menyebabkan cermin mata saya telah jatuh.

"Dalam keadaan samar akibat kehilangan cermin mata saya cuba mengambil semula cermin mata tersebut tetapi salah seorang anggota polis telah memijak cermin mata saya sehingga pecah, saya dipukul dengan teruk tanpa ada belas kasihan langsung oleh pihak polis," sambung beliau lagi.

Sewaktu dipukul, beliau juga mendakwa ada mendengar Aziz Bari merayu meminta polis berhenti memukul beliau.

Akibat dibelasah beramai-ramai itu, Fahmi mengalami kecederaan di bahagian muka, dada dan belakang.

Tidak lama kemudian, beliau bersama tahanan yang lain dibawa ke Pulapol untuk diambil keterangan.

Ketika memberi keterangan pula, Fahmi mendakwa polis hanya mengambil maklumat peribadi sahaja tanpa bertanya apa yang berlaku terhadapnya sebenarnya.

Beliau yang baru enam bulan menyertai Unit Amal Shah Alam itu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada hari Isnin 30 April sebelum membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang juga pada hari yang sama.

"Biarlah apa yang polis lakukan terhadap saya itu diadili oleh Allah dan saya tidak mempunyai apa-apa dendam dengan mereka.

"Cuma yang paling menyentuh perasaan saya ketika saya diarahkan menanggalkan beret yang dipakai oleh saya dan saya sendiri tidak mengetahui apa alasan sebenarnya polis suruh saya tanggalkan beret tersebut," katanya.

Harakah Daily

PAS satu kerusi lebih baik daripada 11 Umno

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PULAU PINANG, 7 Mei: Walaupun PAS mempunyai satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang namun berjaya meningkatkan syariat Islam.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Saleh Man, ini berbanding Umno yang ada 11 kerusi tetapi gagal berbuat demikian ketika berada dalam kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Beliau menyatakan demikian sewaktu diminta mengulas dakwaan kononnya PAS tidak berperanan dalam kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
PAS jelasnya, berjaya memikat hati Lim sewaktu Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman menjadi Adun Permatang Pasir lagi tetapi ketika itu Allahyarham berada dalam keadaan uzur dan sukar menumpukan kerja-kerja lain dalam pentadbiran.

"Bohong saya katakan PAS tidak berperanan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebaliknya walaupun satu kerusi kita berjaya membuka ruang untuk syariat Islam berbanding Umno yang ada 11 kerusi tetapi tidak banyak mengubah lanskap politik umat Islam termasuk mendapatkan penambahan peruntukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp)," tegasnya.


Katanya, semasa Umno berkuasa Maipp hanya mampu memperolehi RM12 juta berbanding 2009 dinaikkan RM20 juta dan 2010 pula sebanyak RM24.3 juta, pada 2011 sebanyak RM33.3 juta dan 2012 RM64 juta.


Jewlasnya, urusan hal ehwal Islam menerusi Exco Agama Negeri, Abdul Malek Abul Kasim menyerlah kerana berjaya memperluaskan peranan institusi agama yang selama ini beku ekoran ketidakprihatinan Umno dan BN dalam meningkatkan
pembangunan Islam di negeri ini.


Terbaru, ujarnya pembinaan sebuah surau di Padang Kota Lama dengan kos RM200 ribu yang selama ini Umno tidak pernah terfikir untuk mewujudkan surau khas kepada umat Islam yang bersiar-siar di situ.

Begitu juga dengan Mahkamah Syariah Pulau Pinang setinggi tujuh tingkat akan dibina di Jalan Scotland dengan kos RM5 juta yang mana kerajaan negeri menyediakan tanah 49 ekar bagi tujuan tersebut.
"Sebab itu sampai kini Umno dan konco-konconya terus mainkan isu PAS tidak boleh buat apa walaupun menang satu atau dua kerusi. Mereka tak tahu kalau PAS menang banyak bermakna Umno kurang kerusi dan ini akan memberikan lagi kekuatan PAS di Pulau Pinang khususnya terhadap kerjasama dengan exco agama dan Ketua Menteri," jelas beliau yang juga Adun Permatang Pasir.

Saleh juga menafikan pandangan yang mengatakan Lim bersikap anti Melayu dan Islam kerana sepanjang mengetuai kerajaan negeri banyak peruntukan dan mengiktiraf para huffaz yang selama ini tidak diberikan perhatian oleh Umno dan BN.


Begitu juga, katanya Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan para gurunya tidak pernah kerajaan negeri sekarang pinggirkan berbanding Umno dan BN sanggup membatalkan bantuan perkapita terhadap SAR yang menjadi nadi generasi muda Islam mendapatkan ilmu pengetahuan.


"PAS berusaha sekadar yang termampu dan ia disambut baik oleh Ketua Menteri walaupun beliau bukan beragama Islam namun mudah dibawa berbincang berkaitan hal ehwal Islam.

“Apa yang didakwa oleh segelintir golongan bahawa Lim hanya berlakon untuk mendapatkan pengaruh undi Melayu hanyalah tekaan mereka (Umno) sahaja," katanya lagi.

Menurutnya, Umno sekarang seolah-olah baru tersedar dari mimpi dengan melakukan fitnah kepada PAS dan kerajaan negeri yang tiada berkesudahan.

Harakah Daily

Kejayaan awal, Umno pun sertai himpunan tanah

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Himpunan Tanah Rakyat (Tanah) Mazlan Aliman menyifatkan himpunan yang dihadiri ribuan rakyat di Plaza Angsana Johor Bahru semalam satu kejayaan awal menarik kesedaran rakyat.

Menurutnya, kehadiran ramai itu juga membuktikan isu tanah adalah antara isu besar yang sedang dihadapi rakyat di negara ini.

"Bagi saya ini satu kejayaan awal kepada kita dalam usaha menggesa kerajaan pusat dan negeri menyelesaikan isu tanah rakyat ini.

"Bahkan orang Umno juga datang dan memberi ucapan dalam himpunan itu dengan menyatakan masalah tanah yang dihadapi di tempat mereka," kata Mazlan ketika dihubungi Harakahdaily.

Semalam ribuan rakyat menyertai himpunan Tanah di Plaza Angsana Johor Bahru bagi menyatakan solidariti penduduk negeri Johor yang banyak menghadapi masalah tanah yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Himpunan yamg bermula jam 2 petang itu berlangsung amantanpa sebarang provokasi dari mana-mana pihak.

Mereka turut membuat 10 resolusi sebagai tuntutan kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Johor untuk menyelesaikan masalah tanah.

Tuntutan itu antara lain mahu kerajaan Johor menuntut semula Pulau Batu Puteh, siasat penyerahan tanah KTM Tanjung Pagar, hentikan pengurniaan tanah KPRJ atau kroni, rampas tanah penyeleweng serta selamatkan tanah rizab Melayu.

Selain itu mereka juga mahu kerajaan negeri mewartakan tanah rizab orang asal, memastikan ketelusan pengurniaan tanah, pemilik tanah miliki ekuiti projek mega, selesaikan projek rumah terbengkalai dan hentikan manipulasi dan kurangkan birokrasi.

Sebagai langkah penerusan menurut Mazlan, pihaknya akan mengadakan siri jelajah ke seluruh daerah di negeri Johor.

"Kita juga akan serahkan 10 tuntutan ini kepada pihak yang berautoriti untuk diambil tindakan sewajarnya.

"Kita juga tidak teragak-agak untuk menggerakkan himpunan lebih besar di hadapan pejabat menteri besar jika tiada sebarang respon positif dari mereka terhadap tuntutan rakyat ini," katanya.

Harakah Daily

Umno tidak boleh adakan himpunan tanpa 6T

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Mei: Umno tidak boleh mengadakan himpunan raksasa jika tanpa 6T iaitu T-shirt, topi, tambang, transport (pengangkutan), tapau (makanan) dan token (duit).

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, ia berlainan dengan himpunan yang dianjurkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat, penyokongnya datang tanpa diupah dan dikerah.

Katanya, setiap kali Najib turun ke suatu tempat semua agensi kerajaan dipaksa rela untuk hadir.

“Terbaru Najib di Kelantan pada 4 Mei lepas, kita boleh lihat beratus-ratus biji bas daripada agensi kerajaan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pihak pengajur terpaksa membuat kerahan , jika tidak terpaksa dikira dengan bayang supaya nampak ramai.

“Budaya ini sudah menjadi kelaziman apabila Umno mengalami masalah dalaman parti atau tekanan politik daripada luar,” katanya.

Idris menambah, ia bermula di zaman Dr Mahathir ketika beliau bergaduh dengan Raja-Raja Melayu pada 1983 sewaktu krisis pindaan perlembagaan untuk membuang kekebalan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, ia diikuti pula dengan program Semarak, ketika berlaku krisis team A dan team B Umno.

Katanya, ahli Umno sekarang bukan ahli yang ada ideologi, majoritinya hanya ahli yang mencari makan.

“Ia bukan perjuangan Umno di peringkat mula kelahiran Umno 1946,” ujarnya.

Katanya lagi, walaupun ahlinya 3.3 juta, namun tidak ada jati diri dan komited dengan ideologi perjuangan.

Menurutnya, sebahagian besar menjadi ahli Umno, terutama peringkat muda hanya “Umno projek” sahaja.

“Kita akan lihat himpunan Umno di Stadium Bukit Jalil yang akan berlangsung pada 11 Mei nanti, semuanya akan bergantung kepada 6T,” katanya lagi.

Harakah Daily

Juventus muncul juara Serie A

15 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JUVENTUS muncul juara Serie A buat kali ke-28 dan yang pertama dalam tempoh sembilan tahun selepas menewaskan Cagliari 2-0 di Stadium Nereo Rocco, awal padi tadi (waktu Malaysia).

Dengan kemenangan ini, Juventus sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan musim ini, yang berbaki satu lagi perlawanan.

Jaringan Mirko Vucinic pada minit keenam membuatkan kelab itu mendahului 1-0 didepan sebelum ianya disusuli jaringan oleh Michele Canini Cagliari pada minit-minit terakhir untuk mengesahkan kejuaraan itu milik mereka.

Dalam pada itu, impian kelab AC Milan untuk bergelar juara Seri A akhirnya musnah apabila tewas 2-4 di tangan Inter Milan pada satu lagi persaingan Serie A awal pagi tadi.

Menurut pengurus Juventus, Antonio Conte kejayaan ini sangat bermakna untuk kelab mereka apabila pernah kecewa selepas gelaran sama pada tahun 2005 dan 2006 dilucut sebanyak dua kali ekoran kesalalahan mengatur perlawanan.

“Ini adalah musim yang sensasi. Kami sangat gembira akhirnya kami memperoleh kejuaraan kali ini, dan memang sesuatu yang membanggakan apabila mencapai kejayaan.

“Milan adalah pesaing yang kuat. Saya sedar pasukan ini masih bertenaga walaupun mereka kelihatan kepenatan dan kejayaan menamatkan musim tanpa kalah adalah satu sejarah," kata Antonio Conte.

Sinar Harian