30 Mei 2012

Sindiket curi lori terbongkar

9 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Sindiket curi lori yang terlibat lebih 100 kes di Lembah Klang, melibatkan kerugian jutaan ringgit, disekat dalam serbuan di sebuah kilang haram di Jalan Kuala Kangsar, Simpang Empat, Taiping, Perak, baru-baru ini.

Kegiatan kumpulan ini terbongkar selepas seorang mangsa, mengekori penjenayah yang melarikan lorinya dari Taman Rawang, Gombak ke kilang terbabit, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa menyedari enjin lorinya dihidupkan dan terus memaklumkan kejadian tersebut kepada polis.

Beliau berkata, penjenayah meninggalkan lori tiga tan jenis Isuzu itu berhampiran kilang haram terbabit.

Thaiveegan berkata, polis kemudiannya menahan tiga lelaki yang datang untuk mengambil lori berkenaan.

Katanya, suspek membawa polis ke kilang itu dan seorang lagi lelaki warga Bangladesh yang sedang meleraikan komponen lori ditahan.

“Pemeriksaan menemui 16 kereta, 27 lori, 65 pintu lori, 400 pintu kenderaan pelbagai jenis, 80 tangki minyak lori dan 12 bonet kereta.

“Komponen kenderaan ini dipercayai akan dipasarkan semula di dalam dan luar negara pada harga murah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Beliau berkata, siasatan mempercayai kumpulan ini aktif sejak enam bulan lalu.

Suspek ditahan reman sehingga hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Sementara itu katanya, beliau ti-dak menolak kemungkinan sindiket ini mempunyai kaitan dengan sindiket sama yang ditumpaskan barubaru ini.

“Lokasi kilang ini hanya enam kilometer dari gudang simpanan lori curi di Kampung Air Putih. Kita akan siasat penglibatan suspek dalam kes tersebut,” katanya.

Februari lalu, polis menemui 1,101 enjin lori, 1,040 pintu lori, 102 enjin kereta, 128 buah kenderaan keluaran tempatan, 30 kepala lori, tiga buah lori, tiga bahagian hadapan kereta dan beberapa unit kunci lori.

Sinar Harian

Sepanyol usir duta Syria

9 Rejab 1433H. [MOD] -

MADRID 30 Mei - Sepanyol semalam mengusir duta Syria di Madrid sebagai protes menentang kekejaman rejim Presiden Bashar al-Assad.

"Kerajaan membuat keputusan untuk mengusir duta Syria ke Sepanyol, Hussam Edin Ali termasuk empat lagi diplomat negara itu," menurut kenyataan Kementerian Luar Sepanyol.

Britain, Jerman, Perancis, Kanada, Bulgaria dan negara lain turut mengambil langkah yang sama selepas mengkritik serangan tentera Syria pada hujung minggu lalu yang menyebabkan 108 penduduk terbunuh. - AFP

Jika PRU-13 lewat, peluang untuk Pakatan - Husam

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata tempoh pilihanraya yang lewat, memberi peluang kerajaan Pakatan Rakyat termasuk Kelantan mempromosikan program mereka kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan di bawah Pakatan Rakyat termasuk Kelantan tidak menjadi masaalah sekiranya pilihanraya umum lewat diadakan kerana ianya akan memberi peluang kerajaan negeri masing-masing mempromosikan program kebajikan yang diimpikan rakyat.

Ketika memberitahu Harakahdaily, beliau menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-13 mungkin lewat diadakan berikutan masaalah pemimpin negara yang masih belum selesai.

“Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir sendiri yang mendakwa pilihanraya umum akan diadakan mungkin selepas hari raya.

“Pada masa yang sama isu scorpene masih melingkari Perdana Menteri yang belum selesai,”ujarnya.

Katanya, kes ini adalah yang pertama membabitkan ketua kerajaan dan ketua parti disebuah negara, yang akan memberi kesan jika mengadakan pilihan raya ketika isu peribadi masih melingkari hidupnya.

“Besar kemungkinan bila semakin hampir pilihan raya, dokumen-dokumen dan isu yang berkaitan akan terserlah,”ujarnya.

Dengan sendirinya, tambahnya lagi ia mengancam kedudukan parti pemerintah yang telah lama diberi kepercayaan oleh rakyat.

Selain itu, katanya keyakinan rakyat kepada parti pemerintah kini belum mantap apatah lagi banyak isu yang menimbulkan rasa kecewa rakyat seperti NFC dan PTPTN.

Jelasnya, sekiranya pilihanraya umum diadakan khususnya selepas isu debat utama yang membabitkan PTPTN yang banyak memberi masaalah pada rakyat, ianya akan menjerat leher Umno sendiri.

Kerana itu, sambungnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat mempunyai peluang untuk mempromosikan program masing-masing pada rakyat terutama soal kebajikan.

"Kalau pilihan raya ditakdirkan tahun hadapan elok juga, sekurang-kurangnya lebuhraya sepanjang 20 kilometer dapat disiapkan," katanya

Harakah Daily

Memori pilu 28 Mei

9 Rejab 1433H. [MOD] -

LIPIS - “Mak, abah...Kak Ngah nak pergi jauh. Lepas ini Kak Ngah dah tak sakit lagi,” demikian kata-kata terakhir Allahyarhamah Nur Fadhilah Anuar atau lebih mesra dipanggil Kak Ngah, 11 tahun yang lumpuh separuh badan selepas terjatuh dari sofa.

Menurut ibu arwah, Nor Shamsiah Che Pah, 35, anaknya menghembuskan nafas terakhir di rumah kira-kira jam 7.45 malam, Isnin lalu.

“Kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin (Ahad), Kak Ngah dilihat tidak bermaya lalu saya bersama suami, Anuar Mohamed, 38, membawanya ke Klinik Kesihatan Felda Sungai Koyan untuk pemeriksaan.

“Namun pada jam 3 pagi, pihak klinik mengesyorkan kami membawa Kak Ngah ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Nor Shamsiah berkata, ketika di Hospital Lipis, doktor meminta kebenaran untuk menebuk dan mencuci buah pinggang Nur Fadhilah.

“Bagaimanapun, pihak hospital tidak dapat memberi jaminan Kak Ngah akan sihat seperti biasa. Saya bersama suami sepakat untuk tidak membenarkan pembedahan itu dijalankan.

“Kira-kira jam 8 pagi, kami membawa Kak Ngah pulang ke rumah dan membacakan surah Yasin. Namun menjelang petang Kak Ngah sudah nazak sebelum meninggal dunia kira-kira jam 7.45 malam,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, tarikh 28 Mei memberi makna yang besar buat mereka sekeluarga kerana pada tarikh itu juga arwah jatuh dari sofa dan lumpuh separuh badan.

“28 Mei 2008, Kak Ngah jatuh dari sofa hingga mengakibatkan dia lumpuh separuh badan. Kini pada tarikh 28 Mei 2012, Kak Ngah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di samping ahli keluarga terdekat.

“Genap lima tahun Kak Ngah tidak mampu berjalan dan melakukan aktiviti seperti kanak-kanak seusianya yang lain.

Walaupun begitu, sepanjang lima tahun arwah sakit saya sudah menjaganya sebaik mungkin dan saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Penderitaan Nur Fadhilah pernah disiarkan Sinar Harian kelmarin mengenai harapan keluarganya untuk membawanya ke hospital pakar bagi mendapatkan rawatan.

Harapan itu bagaimanapun tidak kesampaian apabila Nur Fadhilah pergi menghadap Ilahi pada hari sama kisahnya tersiar di akhbar ini.

Sinar Harian

Polis Kenya siasat punca letupan terbaru

9 Rejab 1433H. [MOD] -

NAIROBI - Polis Kenya menyiasat satu letupan di sebuah kompleks membeli-belah di kawasan perniagaan Nairobi yang menyebabkan sekurang-kurangnya 28 orang cedera.

Jurucakap polis, Eric Kiraithe memberitahu, pasukan polis anti-keganasan mula melakukan siasatan di kawasan letupan untuk mencari punca kejadian insiden, selain mengesyaki berlaku kerosakan melibatkan pendawaian elektrik di premis berkenaan.

"Kumpulan penyiasat kini mendakwa kemungkinan insiden itu berlaku disebabkan letupan bom yang diubah oleh penjenayah," katanya, semalam.

Sementara itu, seorang saksi yang juga peniaga di sebuah premis terlibat mengakui terlihat seorang lelaki meninggalkan beg di dalam pusat perniagaan itu, sebelum berlakunya letupan.

"Dua kali lelaki itu masuk ke dalam kedai untuk melihat kemeja.

Dia juga memberitahu tidak cukup wang untuk membelinya dan kemudian memberi alasan untuk keluar mengambil wang.

Kemudian dia masuk semula ke dalam premis," kata Irene Wachira.

Sinar Harian

Tony Blair diserang ketika siasatan skandal godam telefon

9 Rejab 1433H. [MOD] -

LONDON - Sesi siasatan lanjut skandal penggodaman telefon membabitkan akhbar News of the World di bawah empayar media, Rupert Murdoch diganggu seorang penunjuk perasaan yang menggelar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair sebagai penjenayah perang.

Sidang penghakiman, diketuai Hakim Brian Leveson terhenti seketika apabila individu berkenaan secara tiba-tiba masuk dan menghamburkan kata-kata kasar kepada bekas ketua negara Britain itu.

Bagaimanapun, Blair yang juga bapa angkat kepada salah seorang anak Murdoch, hanya bertenang sehingga sesi siasatan berakhir.

Semasa siasatan, Blair mengakui hubungan di antara ahli politik dan media tidak dapat dielakkan, tetapi akan menjadi tidak sihat jika kumpulan media itu cuba mengguna akhbar sebagai medium kekuasaan politik.

Sinar Harian

Sanggup curi barang kemas ibu, ugut bakar rumah

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Anak derhaka! Seorang anak bukan sahaja sanggup mencuri barang kemas dan duit milik ibu kandungnya sendiri malah lebih melampau, dia dengan rasa tidak bersalah sanggup mengugut akan membakar kediaman yang dihuni mereka di Kampung Kubang Ikan, disini.

Bagaimanapun, sikap kurang ajar si anak, Khairul Azri Kamaruzaman, 25, menerima pembalasan setelah Mahkamah Majistret, di sini, menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM2,500 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Hukuman berkenaan dijatuhkan oleh Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh mengaku salah mencuri barang kemas bersama tunai RM500 milik ibunya, Rus Abu Bakar, 53, pada 25 Mei lalu antara jam 4 petang sehingga jam 4.30 petang.

Khairul Azri mengaku mencuri barang kemas serta wang yang disimpan ibunya di dalam beg tangan dan diletakkan di dalam almari bilik tidur ibunya di kediaman mereka di Kampung Kubang Ikan, di sini.

Dengan itu, Khairul Azri dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu melakukan curi dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman milik ibunya itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, ibu malang yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir Kanan itu menyedari barang kemas serta wangnya hilang kira-kira jam 4 petang.

Dia terus mengesyaki anaknya yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu memandangkan sebelum ini, anaknya sering kali mencuri dan secara kebetulan pada hari kejadian, suaminya lupa mengunci pintu bilik berkenaan.

Selain itu, hatinya kuat menyatakan anaknya yang melakukan semua itu kerana sebelum ini, anaknya pernah mengugut akan membakar rumah me-reka sekiranya dia tidak memberikan wang kepadanya.

Disebabkan rasa takut dan ingin memberikan pengajaran terhadap anaknya itu, dia mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Chendering, di sini, selepas kejadian.

Berikutan laporan dibuat, Khairul Azri ditahan di kediaman mereka pada 28 Mei lalu kira-kira jam 10.30 pagi dan dia turut didapati positif pil methampethamine.

Sinar Harian

Ahmad Shabery Cheek Harus Minta Maaf dan Mengaku Salah Bukan Berdalih Sehingga Memberi Maklumat Salah

9 Rejab 1433H. [MOD] -

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini mendesak Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek agar mohon maaf, mengakui kesalahan dan bertanggungjawab penuh atas kejadian kemalangan yang menyebabkan 17 orang cedera ketika sambutan Hari Belia, Sabtu lalu.

Bermula dari menyalahkan takdir kononya semua yang berlaku sudah takdir dan kemudian menipu kononya semua mangsa termasuk keluarga menerima kejadian tersebut dan tidak menyalahkan penganjur dengan mengatakan semua mereka redha, sedangkan keluarga mangsa dalam proses menyaman penganjur.

Terbaru pula Menteri terbabit cuba mengalihkan isu dengan memberikan maklumat salah kononya semua berpunca kerana tidak ada badan mengawal selia acara sukan seperti itu dan Kementerian akan mewujudkan badan yang mengawal selia. ini satu maklumat yang salah.

Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) hari ini telah tampil dengan penjelasan kepada menteri belia dan sukan bahawa negara sudahpun mempunyai badan khusus untuk mengawal selia sukan perlumbaan bermotor.

Ketua pengarah eksekutif MAM Datuk Razlan Razali berkata MAM merupakan salah satu daripada badan yang memikul tanggungjawab itu, selain Persatuan Automotif Malaysia, lapor theSun.

"Sebagai pihak berkuasa, kami perlu meluluskan acara tempatan untuk memastikan ia dijalankan dan diuruskan dengan baik, keselamatan adalah perhatian utama kami," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Beliau mengulas kenyataan menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang dilaporkan mahu mengkaji penubuhan badan induk sukan berkenaan dengan alasan, tiada badan khusus bagi mengawal selia sukan itu dengan lebih berkesan.

Mengulas lanjut kenyataan Ahmad Shabery, Razlan berkata perlumbaan pada Sabtu malam anjuran bersama kementerian tersebut juga tidak mendapat kelulusan MAM.

"Penganjur tidak mematuhi apa-apa peraturan keselamatan kami," kata Razlan yang mengulas tindakan penganjur yang hanya menggunakan pokok bunga untuk memisahkan penonton dan kawasan litar.

SAMM melihat semua ini berlaku kerana terlalu ghairah dan terdesak dalam menganjurkan satu acara bagi menarik seramai mungkin anak muda bagi membina persepsi kononya anak muda bersama Umno Barisan Nasional bagi membantu merena membina momentum pru yang terdekat ini.

Dalam kegahirahan tersebut maka hiburan disalahgunakan oleh Bn bagi tujuan memperdaya anak muda berkumpul.

Hiburan tidak salah tetapi disalah guna Bn secara melampau dengan mengenepikan aspek moral termasuk keselamatan bagi tujuan meraih sokongan anak muda. Ternyata kecederaan dan kemalangan sabtu lalu ialah hasil keghairahan dan usaha terdesak tersebut, nyawa anak muda menjadi taruhan untuk meraih sokongan politik.

Penganjuran tanpa aspek keselamatan dan tanpa pemantauan serta kelulusan badan profesional sukan bermotor dalam sambutan hari belia dibawah kementerian, umpama lumba haram dan ia amat memalukan. Justeru itu, pihak yang bertanggungjawab harus diadili.

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Remaja bawah umur dicekup di bilik rahsia

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU-Seorang remaja perempuan bawah umur antara lima warga Thailand yang dicekup dalam sebuah bilik rahsia selepas digeledah selama dua jam oleh anggota Jabatan Imigresen Terengganu dalam satu operasi ‘OPS Sayang’ 8 Mei lalu jam 3 pagi di sebuah rumah urut “Macam-macam ada’ di Jalan Ladang, di sini.

Bagaimanapun, remaja berusia 16 tahun itu yang berasal dari Narathiwat Thailand diarahkan dijaga di bawah pengawasan Rumah Perlindungan Kanak-kanak sementara menunggu siasatan penuh laporan Jabatan Imigresen Terengganu atas pertuduhan Anti Pemerdagangan Orang 2007 oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Majistret Noradila Ab Latif mengeluarkan perintah perlaksanaan dikuatkuasa selama 14 hari manakala empat lagi wanita yang berusia dari 26 tahun hingga 37 tahun itu diperintah dijaga di bawah pengawasan rumah perlindungan wanita.

Terdahulu, laporan Jabatan Imigresen Terengganu mengenal pasti kelima-lima mereka dicekup ketika itu menggunakan pasport lawatan sosial serta tidak mempunyai permit sah bekerja di premis berkenaan.

Mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut yang turut menawarkan khidmat urutan ‘istimewa’ serendah RM50 dengan berpakaian seksi bagi menarik pelanggan.

Sinar Harian

Ibu maut kereta terbabas

9 Rejab 1433H. [MOD] -

MARANG- Seorang ibu maut apabila kereta jenis Proton Wira yang dipandu anak perempuannya hilang kawalan semasa cuba memotong kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dalam satu kejadian kemalangan di Kilometer 11.5, Jalan Kuala Berang-Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa, Samariah Salleh, 50, dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun meninggal dunia dua jam kemudian di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat cedera parah di bahagian tulang belakang.

Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama suaminya, Embong Yusof, 67 dan anaknya, Siti Mazidah Mazlan, 21, dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu anaknya itu yang difahamkan seorang pelatih jururawat gagal mengawal keretanya ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain.

“Pemandu dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum kereta itu melanggar sebuah lampu jalan dan terbalik di laluan bertentangan.

“Kesemua mereka dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya selepas selesai dibedah siasat manakala suami dan anak mangsa hanya cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, yang dihubungi di sini, semalam mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan

Sinar Harian

Dadah dalam lampu suluh

9 Rejab 1433H. [MOD] -

DUNGUN – Tidak serik. Itulah yang digambarkan sifat seorang anak tauke ikan yang masih menjadi pengedar dadah biarpun pernah empat kali ditahan polis.

Kali ini, dia menjadikan rumah rakannya yang sudah berkeluarga sebagai transit aktiviti menjual dadah untuk mengelak daripada dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun tindakan liciknya berjaya dihidu polis dan satu serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya petang kelmarin.

Hasil serbuan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah itu, suspek berusia 31 tahun itu ditahan berikutan penemuan 50 butir pil kemerahan disyaki dadah jenis methampethamine yang disembunyikan dalam lampu suluh, dipercayai miliknya.

Suspek yang berasal dari Gong Pasir sebelum ini pernah ditahan empat kali kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah termasuk kesalahan memiliki dan mengambil dadah.

Dadah yang dirampas dalam serbuan terbabit dipercayai bakal dijual kepada penagih berdekatan dan daripada sumber diperoleh, suspek dikatakan antara dalang yang aktif membekalkan dadah di kawasan berdekatan.

Turut ditahan dalam serbuan berkenaan termasuk rakannya yang didapati positif dadah methampethamine selepas ujian saringan air kencing dilakukan.

Suspek yang merupakan anak lelaki kepada seorang tauke ikan di Dungun itu kini ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) manakala rakannya disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut.

Sinar Harian

Amaran awal England

9 Rejab 1433H. [MOD] -

PENGURUS England, Roy Hodgson semalam mengumumkan senarai lengkap barisan bintang skuad Three Lions bagi mengibarkan cabaran di pentas pusingan akhir Kejohanan Euro 2012 di Poland-Ukraine, bulan depan.

Tidak banyak perubahan dilakukan Hodgson melainkan kemasukan pemain Everton, Phil Jagielka yang menggantikan Gareth Barry akibat mengalami kecederaan.

Sementara itu, Glen Johnson dan Danny Welbeck disahkan cergas dan bakal beraksi pada kejohanan nanti walaupun pada awalnya bakal disisihkan dalam pasukan.

Joe Hart, Robert Green dan Jack Butland berada di posisi penjaga gawang manakala Ashley Cole, Leighton Baines, Joleon Lescott, John Terry, Gary Cahill, Phil Jones dan Phil Jagielka bersedia mempertahankan benteng England daripada bolos.

Bintang muda Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain dan Theo Walcott menyertai Scott Parker, Steven Gerrard, Frank Lampard, Ashley Young, Stewart Downing, dan James Milner di bahagian tengah.

Di barisan hadapan pula memperlihatkan Andy Carroll, Jermain Defoe dan Danny Welbeck bakal berebut sesama sendiri bagi mengisi kekosongan ditinggalkan ayam tambatan Manchester United, Wayne Rooney yang digantung dua perlawanan awal dalam Kumpulan D.

England bakal berdepan Perancis pada aksi pembuka tirai peringkat kumpulan di Arena Donbass, Ukranie pada 12 Jun ini.

Sinar Harian

Remaja menyamar polis ditahan

9 Rejab 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Tindakan seorang remaja yang meminta wang daripada pemandu lori membawa padah apabila dia ditahan jam 1.50 pagi, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 11 malam, Ahad lalu, ketika pemandu berkenaan memunggah minyak ke dalam lori di Pengkalan Haram belakang Klinik Rantau Panjang.

Remaja lelaki berusia 19 tahun itu, memperkenalkan diri sebagai pegawai polis berpangkat inspektor dan meminta wang daripadanya.

Curiga dengan tindakan remaja itu, mangsa segera memaklumkan hal tersebut dengan pihak berkuasa.

Selepas diselidik, pihak berkuasa menjumpai kad pengenalan yang ditampal dengan lambang Polis.

Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit sejurus selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim, mengesahkan ada menerima laporan terbabit.

Menurutnya, siasatan mendapati remaja itu bekerja sebagai pengutip kotak sekitar Rantau Panjang.

“Kita akan menyiasat perkara ini, di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

“Kita mengambil serius mengenai kes ini kerana ia melibatkan kewibawaan anggota polis kerana menyamar malah meminta wang daripada penduduk,” katanya.

Sinar Harian

Gunung Everest alami kesesakan

9 Rejab 1433H. [MOD] -

RATUSAN pendaki dilihat dalam pendakian ke puncak Gunung Everest.
KASHMIR: Satu gambar memaparkan barisan ratusan pendaki yang cuba mendaki Gunung Everest menunjukkan kesesakan teruk pada paras ketinggian 30,000 kaki.

Pakar daki gunung percaya laluan tirus yang sama di Hillary Step, tembok batu 40 kaki pada ketinggian 28,740 kaki, sekurang-kurangnya menjadi sebahagian punca terhadap kematian empat pendaki hujung minggu lalu.

Ha Wenyi, 55, dari China; warga Kanada, Shriya Shah-Klorfine, 32; warga Jerman, Eberhard Schaaf, 61, dan Song Won-bin yang berusia 40 tahun dari Korea Selatan, semuanya berhenti hampir tiga jam di altitud yang memeningkan itu - terpaksa membakar bekalan oksigen berharga milik mereka ketika menunggu sekumpulan 150 pendaki untuk meninggalkan tempat itu.

Foto yang diambil oleh Ralf Dujmovits untuk majalah Outside adalah gambar yang jelas menunjukkan betapa sesaknya puncak tertinggi di dunia itu dipenuhi dengan kebanyakannya pendaki amatur yang membayar sherpa bagi melakukan tugas berat untuk mereka.

Cuaca tidak menentu di gunung itu berkeadaan baik hanya sebentar, memberi peluang tipis untuk pendaki cuba ke puncak.

Kebanyakan lelaki dan wanita ini terdesak meraih pulangan daripada AS$75,000 (RM236,523) yang telah dibayar untuk mendaki Everest.

Ramai daripada 220 orang yang mati di Gunung Everest adalah pendaki amatur yang meneruskan pendakian melanggar nasihat sherpa atau pendaki lain.

Menurut Outside, seorang pendaki wanita, Shah-Klorfine adalah pendaki yang tidak menghiraukan kedua-duanya.

Apabila dua pendaki bertembung dengannya ketika turun dari puncak, mereka menyedari dia berkelakuan pelik. Mereka menggesanya supaya berpatah balik. Dia menggelengkan kepalanya dan memberi isyarat untuk meneruskan pendakian.

Pemandu arah juga menggesanya berpatah balik.

“Tidak, saya perlu teruskan. Saya perlu teruskan,” katanya kepada mereka.

Dia berkeras untuk meneruskan pendakian dan hanya dengan sedikit oksigen yang tersisa, dia berjaya sampai ke puncak.

Dalam perjalanan turun ke bawah, dia kekurangan udara dan sherpa terpaksa mendukungnya hingga dia menemui ajal, lapor Outside. - DM

Nelayan naikkan ikan mirip naga

9 Rejab 1433H. [MOD] -

Kemaman – Nelayan dan pembeli di jeti Kuala Kerteh di sini gempar apabila seorang nelayan membawa pulang seekor ikan aneh menyerupai naga, pagi semalam.

Ikan ganjil itu mempunyai sesungut panjang berwarna merah di kepala dan bawah mulut serta berduri di bahagian bawah badan, dengan ukuran empat meter panjang dengan berat mencecah sembilan kilogram.

"Saya terkejut melihat ikan itu, kepalanya mirip naga, badan berwarna putih dengan kulitnya keras tetapi tidak bersisik, ikan ini juga memiliki sirip berwarna merah," kata pembuat minyak urut, Othman Abu Bakar, 63.

Othman yang berasal dari Kampung Telaga Papan, dekat sini, berkata, dia yang berada di jeti sewaktu nelayan pulang menangkap ikan kira-kira jam 11 pagi terus menyuarakan hasrat untuk membeli ikan itu kerana melihat keunikannya apatah lagi sepanjang hidupnya dia tidak pernah melihat spesies ikan sedemikian.

Othman kemudiannya menyuarakan hasrat membeli ikan aneh itu daripada pemiliknya yang merupakan pemuda dari Kampung Rasau.

"Saya beli kerana ingin tunjukkan kepada penduduk kampung. Sebaik saya membawa pulang ikan ini, ramai jiran tetangga berkunjung ke rumah melihatkan ikan pelik itu.

"Mereka tidak pernah melihat ikan seperti itu walaupun sudah lama tinggal di Kampung Telaga Papan yang terkenal dengan kawasan penangkapan dan pendaratan ikan," katanya.

Ditanya mengenai harga ikan tersebut, Othman enggan memberitahu walaupun dipujuk beberapa kali.

Katanya, walaupun ketika dinaikkan ke darat kepala ikan itu sudah hancur tetapi ciri-ciri pada badannya jelas kelihatan seperti seekor naga.

“Kepala ikan hancur mungkin kerana tersangkut pada pukat digunakan nelayan," katanya.

Othman bagaimanapun tidak berhasrat untuk memakan ikan itu, tetapi akan mengeringkannya untuk dijadikan ramuan bagi menghasilkan minyak urut.

Agency