9 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU- Anak derhaka! Seorang anak bukan sahaja sanggup mencuri barang kemas dan duit milik ibu kandungnya sendiri malah lebih melampau, dia dengan rasa tidak bersalah sanggup mengugut akan membakar kediaman yang dihuni mereka di Kampung Kubang Ikan, disini.
Bagaimanapun, sikap kurang ajar si anak, Khairul Azri Kamaruzaman, 25, menerima pembalasan setelah Mahkamah Majistret, di sini, menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM2,500 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Hukuman berkenaan dijatuhkan oleh Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh mengaku salah mencuri barang kemas bersama tunai RM500 milik ibunya, Rus Abu Bakar, 53, pada 25 Mei lalu antara jam 4 petang sehingga jam 4.30 petang.
Khairul Azri mengaku mencuri barang kemas serta wang yang disimpan ibunya di dalam beg tangan dan diletakkan di dalam almari bilik tidur ibunya di kediaman mereka di Kampung Kubang Ikan, di sini.
Dengan itu, Khairul Azri dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu melakukan curi dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman milik ibunya itu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Berdasarkan fakta kes, ibu malang yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir Kanan itu menyedari barang kemas serta wangnya hilang kira-kira jam 4 petang.
Dia terus mengesyaki anaknya yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu memandangkan sebelum ini, anaknya sering kali mencuri dan secara kebetulan pada hari kejadian, suaminya lupa mengunci pintu bilik berkenaan.
Selain itu, hatinya kuat menyatakan anaknya yang melakukan semua itu kerana sebelum ini, anaknya pernah mengugut akan membakar rumah me-reka sekiranya dia tidak memberikan wang kepadanya.
Disebabkan rasa takut dan ingin memberikan pengajaran terhadap anaknya itu, dia mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Chendering, di sini, selepas kejadian.
Berikutan laporan dibuat, Khairul Azri ditahan di kediaman mereka pada 28 Mei lalu kira-kira jam 10.30 pagi dan dia turut didapati positif pil methampethamine.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan