9 Rejab 1433H. [MOD] -
SEREMBAN – Wang bantuan kebajikan sebanyak RM500 yang diterima seorang warga emas di sini, lesap selepas dia diragut dua lelaki di sebuah lorong berhampiran Jalan Pasar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Mahidin, 68, sedang berjalan kaki sendirian di lorong itu selepas selesai sarapan pagi di sebuah restoran berhampiran.
Muhammad yang mahu menuju ke sebuah pasaraya di pusat bandar menyedari sebuah motosikal mengekorinya dengan perlahan.
“Motosikal yang dinaiki dua lelaki bertopi keledar berusia awal 20-an menghampiri saya dan meminta wang.
“Saya memberitahu saya tiada wang dan lelaki itu terus menyeluk poket baju saya.
Saya cuba melawan dan memegang motosikalnya, namun mereka menolak saya sehingga saya terjatuh ke atas jalan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.
Muhammad berkata, wang miliknya bernilai RM500 yang baru dikeluarkan dari sebuah bank di sini, tiga hari lalu akhirnya dilarikan lelaki terbabit.
“Wang itu merupakan wang bantuan kebajikan yang diberikan kerajaan.
Saya keluarkannya dari bank untuk urusan perbelanjaan seharian memandangkan saya tidak bekerja,” katanya.
Muhammad yang cedera di bahagian mata, mulut dan muka itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini oleh orang ramai dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Berikutan kejadian itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Jalan Campbell, di sini semalam.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan