30 Mei 2012

Najib hanya berani di gelanggang sendiri

9 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengecam sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya berani berani bercakap melalui medium yang dikuasainya untuk mengutuk Pakatan Rakyat.

Timbalan ketuanya Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, sikap Najib yang mengutuk segala dasar dan tawaran Pakatan Rakyat dari belakang dan enggan berdepan dalam pentas debat untuk mendengar jawapan balas adalah sikap seorang penakut.

"Beliau bebas bercakap apabila tidak ada pihak yang mampu menjawab langsung hujah beliau di atas pentas tersebut manakala media pula dikawal beliau sepenuhnya.

"Beliau hanya lantang bersuara dalam gelanggang miliknya tetapi kecut apabila diajak berdebat satu lawan satu dengan musuh politik beliau," katanya.

Najib sebelum ini mengeluarkan kenyataannya di media mengutuk cadangan ekonomi Pakatan Rakyat (PR) sebagai janji populis yang direka untuk mendapat kuasa.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah mencabar Najib berdebat untuk beliu menjawab segala tuduhan Najib secara berdepan dengan hujah dan fakta.

Tetapi sehingga kini, Najib terus mengelak dan tidak menjawab cabaran berdebat dengan Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu.

"Jika benar tuduhan PM bahawa PR hanya janji populis, DPPWP mencabar PM supaya menerima pelawaan debat antara beliau dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tuduhan beliau perlu dilemparkan di pentas berdebat dan juga peluang mendengar hujah balas daripada PR berkenaan tawaran mereka. Barulah rakyat kenal siapa yang retorik, populis dan siapa pula yang bersikap realistik," kata Suhaimi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: