30 Mei 2012

Selangor edar borang survey jejak pengundi baru

9 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Sebanyak 94,474 borang Kaji Selidik Daftar Pengundi akan diserahkan kepada tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjalankan proses mengenalpasti pengundi baharu yang didaftarkan di DUN berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tujuh DUN terbabit ialah Pandamaran, Pelabuhan Klang, Selat Klang, Sri Serdang, Kota Anggerik, Batu Tiga, Sri Muda dan Sri Andalas.

"Borang Kaji Selidik Daftar Pengundi ini akan diserahkan kepada ADUN masing-masing yang kemudiannya diserahkan kepada ketua kampung untuk menjalankan tugas mengenalpasti pengundi baharu yang berdaftar," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan ini adalah kesinambungan dari Program Selangorku Bersih yang dilancarkan kerajaan negeri bagi membersihkan daftar pengundi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Program Selangorku Bersih telah memasuki Fasa Kedua yang mana Fasa Satu telah dijalankan di DUN Batang Kali. Sebanyak 13,034 borang Kaji Selidik Daftar Pengundi telah dikeluarkan di Batang Kali pada 19 Mei lalu. Setakat Isnin lalu, sebanyak 1,116 borang telah dikembalikan.

"Kerajaan Negeri bertanggungjawab membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan senarai daftar pengundi di Selangor dibersihkan bagi menjadikan PRU akan datang diadakan secara adil dan bersih.

"Kita juga mahu membuktikan kepada SPR bahawa peningkatan luar biasa pengundi baharu di Selangor adalah disebabkan wujudnya nama-nama yang meragukan atau pengundi hantu," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: