9 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di peringkat pusat dan negeri akan menyertai Himpunan Hijau Menuju Putrajaya di Alor Setar, Jumaat ini.
Ketua Pemuda DHPP, Balendran Balasubramaniam berkata, pihaknya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mendengar segala amanat yang akan disampaikan pimpinan PAS pada perhimpunan tersebut.
Ini kerana katanya, himpunan ini diangggap sebagai himpunan terakhir sebelum menghadapi pilihan raya umum ke -13 yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
"DHHP menghantar ahli jawatankuasa pusat dan ahli jawatankuasa negeri-negeri, dianggarkan 500 hingga 1,000 untuk ke himpunan hijau.
"Kami sudah menerima jemputan awal dan diberi tentatif program dan sudah sedia maklum pengisian yang akan disampaikan pimpinan PAS," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata, tindakan PAS menangguhkan muktamar tahunan dan digantikan dengan himpunan hijau amat wajar bagi mengukuhkan persiapan setiap dewan menghadapi PRU 13.
"Tindakan PAS menangguhkan muktamar sangat wajar dalam situasi Parlimen akan dibubarkan pada bila-bila masa sahaja.
"Saya yakin himpunan ini dapat mengukuhkan kerjasama DHPP dengan dewan lain menjelang PRU 13," katanya yang juga ketua DHPP Pahang.
Pada perhimpunan yang mensasarkan 1,0000 ahli itu, Ketua DHPP Pusat, Hu Phang Chaw juga akan menyampaikan amanat khas.
Sehubungan itu, Balendran menyeru semua wakil DHPP dapat memberikan komitmen penuh sepanjang himpunan berlangsung.
"Sebelum in idalam muktamar penyertaan DHPP adalah terhad tapi kali ini ramai ahli DHPP dijemput, jadi saya harap mereka dapat menggunakan peluang ini sebaik mungkin," katanya.
Utamakan keselamatan
Sementara itu, Pesuruhajaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad menasihati semua ahli yang akan bertolak petang dan malam esok agar berhati-hati di jalan raya.
"Kita harap semua yang akan bertolak esok terutama yang bertolak malam agar berhati-hati dalam perjalanan, kalau mengantuk berhenti dan berehat sebelum meneruskan perjalanan," katanya yang juga dihubungi Harakahdaily hari ini.
Bagi Wilayah Persekutuan, PAS negeri menempah beberapa buah bas untuk kemudahan ahli bergerak ke sana.
"PAS Wilayah memang ada sediakan bas tapi mereka bayar sendirilah. Kita hanya memudahkan perjalanan sahaja," katanya.
Setakat ini sudah lebih 2,000 ahli mengesahkan kehadiran mereka.
Tambahnya lagi, faktor kerja tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak hadir ke himpunan yang disifatkan sebagai sangat penting.
"Memanglah esok wilayah masih haribekerja tapi kalau boleh ambillah cuti untuk ke himpunan ini," katanya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan