9 Rejab 1433H. [MOD] -
PENGKALAN HULU - “Api terlalu marak, saya tak dapat berbuat apa-apa,” kata Visai Naisucik, 70, ayah saudara mangsa yang terbabit dalam kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, kira-kira jam 6 pagi, semalam.
Mangsa, Songkran Chen Sin, 26, rentung sepenuhnya manakala ibunya, Cheong Meng Chee, 47, melecur teruk di bahagian kaki dan badan.
Visai berkata, ketika kejadian, dia bersama keluarganya berada di rumah yang hanya beberapa meter dari rumah mangsa.
“Saya terkejut apabila mendengar jeritan penduduk kampung mengenai kejadian kebakaran. Kemudian, saya bergegas keluar dan tergamam setelah melihat rumah anak saudara sedang dijilat api.
“Namun, saya tidak mampu berbuat apa-apa berikutan keadaan api sedang marak.Saya cuba masuk ke dalam rumah, tetapi dihalang oleh jiranjiran,” katanya.
Menurutnya, dia dan penduduk lain cuba memadamkan kebakaran itu dengan air, tetapi tidak berhasil.
Mangsa, yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta di Kuala Kangsar, Perak dikatakan pulang bercuti di rumahnya sejak beberapa hari lalu.
Pemegang Diploma Perakaunan di sebuah kolej swasta di Ipoh itu merupakan anak tunggal dalam keluarganya.
Visai berkata, mangsa seorang anak yang baik dan sering membantu ibunya setelah ibu dan ayahnya bercerai sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Pengkalan Hulu, Mohd Zaki Zainol berkata, seramai 10 anggota dikerahkan ke tempat kejadian.
“Pihak bomba menerima panggilan jam 5.57 pagi dan berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya setengah jam kemudian,” katanya.
Menurutnya, mangsa dijumpai dalam keadaan rentung di tingkat bawah berdekatan tangga, manakala ibu mangsa sempat dikeluarkan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan