30 Mei 2012

Buang tenggiling dalam laut

9 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Panik dikejar Agensi Penguat kuasaan Maritim Malaysia (APMM), dua orang penyeludup haiwan esotik dipercayai membuang beberapa ekor tenggiling dalam laut.

Kejadian berlaku di perairan Pulau Hanyut, Sungai Duyung, di sini, kira-kira 8.15 malam kelmarin.

Mereka bertindak demikian bagi mengurangkan jumlah rampasan selepas kegiatan mereka itu berjaya dikesan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah, Kapten Maritim Abu Bakar Idris berkata, anggotanya bertindak selepas menerima maklumat berhubung pergerakan sebuah bot mencurigakan bergerak laju dari arah sempadan perairan Malaysia - Indonesia.

“Hasil maklumat, kita dapati sebuah bot gentian kaca tidak bernombor bergerak laju dalam keadaan mencurigakan.

Seramai enam anggota APMM menggunakan bot laju mengekori bot dinaiki dua lelaki berkenaan," katanya.

Katanya, ketika dikejar, lelaki tempatan berusia 40 dan 41 tahun itu enggan memberhentikan bot dan aksi mengejar kira-kira 15 minit di tengah laut, sebelum bot terbabit berjaya dipintas pasukan APMM pada jarak kira-kira lima batu nautika dari Pulau Hanyut.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 26 guni setiap satu berisi seekor tenggiling. Dua lelaki itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan haiwan dibawa itu," katanya di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Operasi Daerah APMM DM5 Kuala Linggi, Komander Maritim V.Pannir Selvan dan Pegawai Staf Operasi, Ketua Leftenan Komander Mohd Suhairy Hussin.

Abu Bakar berkata, kesemua 26 tenggiling itu seberat 100 kilogram dianggarkan bernilai RM50,000 dan dipercayai untuk dieksport ke negara luar menerusi jalan laut.

"Kita percaya lelaki terbabit bertindak membuang beberapa ekor lagi tenggiling ke dalam laut semasa kita melakukan operasi ini," katanya.

Beliau berkata, kesemua haiwan berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), sementara kedua-dua lelaki ditahan untuk siasatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: