9 Rejab 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU - Seorang peniaga dijatuhi hukuman 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah memiliki racun yang dilarang dan dadah seberat 0.12 gram, Januari lalu.
Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Yusaini Besar, 40, dari Kampung Lundang di sini.
Mahkamah mengenakan hukuman penjara 10 bulan bagi pertuduhan pertama, penjara lapan bulan bagi pertuduhan kedua dan penjara enam bulan bagi pertuduhan ketiga.
Beliau bagaimanapun memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 8 Januari lalu. Mohd Yusaini yang berada di dalam kandang tertuduh hanya mampu menundukkan wajahnya.
Berdasarkan kertas pertuduhan Yusaini, dia didakwa memiliki 20 biji tablet berwarna merah yang mengandungi Promethazine dan dua tablet berwarna putih mengandungi Pseudoephedrine yang disenaraikan dalam jadual pertama Akta Racun 1952.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Raun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau keduaduanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua dia didakwa memiliki lapan biji tablet berwarna biru yang mengandungi Diazepam yang didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, Yusaini didakwa memiliki dadah jenis Dihydrocodeine seberat 0.12 gram yang didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.
Kesemua kesalahan dilakukan di rumah Lot 163- A, Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini pada jam 12.30 tengah hari, 8 Januari 2012.
Terdahulu, Yusaini yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan kerana dia sudah insaf dengan kesalahan yang dilakukan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam memohon hukuman setimpal yang mampu memberi pengajaran kepada tertuduh serta mengambil kira kesalahan membabitkan dadah semakin berleluasa di negeri ini.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan