9 Rejab 1433H. [MOD] -
ALOR SETAR: Hotel-hotel penginapan dan 'homestay' di sekitar Alor Setar, Kedah kebanyakannya sudah habis ditempah sempena Himpunan HIjau ke Putrajaya, 1 Jun ini.
Namun, ketiadaan tempat penginapan bukanlah menjadi masalah utama bagi ahli-ahli PAS bagi membuktikan kesungguhan mereka untuk menawan Putrajaya.
"Pengalaman membuktikan, ahli-ahli PAS tidak kisah untuk berehat di masjid, surau dan markaz-markaz parti, khususnya mereka yang datang sendiri tanpa keluarga. Dan kesungguhan inilah yang biasa terpamer di wajah mereka," kata Pengarah Program Himpunan Hijau Menuju Putrajaya, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.
Beliau percaya kesukaran mendapatkan hotel penginapan di saat akhir, tidak menghalang program ini dijayakan dan bakal melakar sejarah dalam arena politik tanahair.
Dalam pada itu, Naib Presiden PAS itu juga meminta ahli-ahli PAS yang akan menghadiri program ini memastikan kesihatan masing-masing dalam keadaan baik.
"Pastikan anda mendapatkan rehat yang cukup, berhati-hati ketika memandu. Saya yakin akan berlaku kesesakan di lebuh-lebuh raya. Berhenti rehat jika mengantuk bagi memastikan anda sampai ke destinasi dengan selamat," pinta beliau.
Tambahnya lagi, setiap pemandu perlu ingat jalan raya yang dilalui bukan hanya digunakan mereka, sebaliknya turut digunakan oleh orang lain.
Atas sebab itu, katanya sikap bertimbang-rasa dan bertolak-ansur perlu ditanamkan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan