9 Rejab 1433H. [MOD] -
KUANTAN - Seorang warga emas bingung dan kesal kerana bekalan elektrik rumahnya tetap dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika dia dan ahli keluarganya tiada di rumah pada 16 Mei lalu.
Dalam kejadian tersebut kira-kira jam 11.30 pagi, Ng Moi Ying, 68 dan lima lagi ahli keluarganya tidak berada di rumah di Lorong Indera Mahkota Dua di sini dan sebaik pulang mendapati bekalan elektrik telah dipotong.
Menurutnya, dia terkejut dengan tindakan pihak terbabit kerana tetap memotong bekalan elektrik tanpa kehadiran mereka dan mendakwa tidak pernah menerima dua notis iaitu notis kuning dan merah sebelum itu.
“Kami hanya mendapat notis terbabit yang diselitkan di pintu pagar rumah dan sepatutnya pelanggan perlu mendapat notis terbabit sebelum tindakan pemotongan dilakukan.
“Sebaliknya ia tidak berlaku dan terpaksa membayar sebanyak RM2,691.85 dan hairan kerana menerima jumlah amaun yang perlu dibayar berbeza setiap kali notis diterima,” dakwanya.
Dia ditemui ketika sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Kuantan di sini, semalam. Hadir sama, Pegawai Khas Ahli Parlimen, Sim Chon Siang dan Norbaini Abu Bakar.
Sebelum itu, Ng Moi Ying, 68 dari Lorong Indera Mahkota 2,di sini pernah mendapat dua notis pemotongan bekalan elektrik iaitu kali pertama pada 5 Januari dan 27 Februari tahun ini kerana tunggakan bayaran.
Warga emas terbabit juga berdepan kes akibat pengusikan meter pada Disember 2010 hasil pemeriksaan Jangka Tenaga (KWH) yang merekodkan penggunaan elektrik di rumahnya telah diusik.
Berikutan kes tersebut, Moi Ying mendapatkan khidmat guaman pada Ogos tahun lalu dan satu notis telah dihantar kepada TNB untuk menjelaskan warga emas terbabit adalah pelanggan mereka dan sebarang tindakan seterusnya perlu dirujuk kepada peguam.
Sementara itu Chon Siang memberitahu, pihaknya sudah merujuk kejadian tersebut kepada Suruhanjaya Tenaga di sini kelmarin dan mendapat maklum balas ST akan mendapatkan penjelasan daripada TNB.
Menurutnya, pusat itu juga sudah membantu 20 pengguna di Kuantan berhubung kes pengusikan meter dan dirujuk kepada peguam.
Dalam pada itu Sinar Harian merujuk kes dan kejadian tersebut terhadap TNB dan dimaklumkan akan mendapat penjelasan selanjutnya hari ini.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan