9 Rejab 1433H. [MOD] -
TELOK KEMANG – Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini maut selepas dilanggar kereta pacuan empat roda ketika menunda motosikalnya yang rosak, malam kelmarin.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 11.30 malam di kilometer 15.4 Jalan Pantai menyebabkan mangsa, Mohd Zaiful Amri Adnan, 17, maut ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan kecemasan kecemasan ke Hospital Port Dickson atas bantuan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.
Bapa mangsa, Adnan Che Lah, 49, ketika ditemui berkata, dia menerima berita mengenai kejadian itu jam 12 tengah malam.
Menurutnya, sebaik menerima berita itu dia sekeluarga dari Kedah terus bertolak ke Port Dickson dan kira-kira jam 2 pagi mereka menerima berita kematian anak ketiganya itu.
"Mohd Zaiful tinggal bersama kakak sulungnya di Rumah Rakyat Telok Kemang sejak sesi persekolahan Januari lalu dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Baru.
"Kira-kira dua bulan lalu, ketika saya dimasukkan ke Hospital Sultanan Bahiyah, Alor Setar kerana menjalani pembedahan di bahu kanan, arwah mengambil cuti sekolah hampir dua minggu untuk menjaga saya di hospital," katanya.
Adnan berkata, anaknya itu seorang anak yang baik dan menghormati orang tua.
"Malah kali terakhir kami berhubung adalah melalui telefon seminggu lalu dan kami berborak seperti biasa," katanya.
Sementara abang ipar mangsa, Mohd Emizal Rosli, 30, berkata, dia dan mangsa keluar makan bersama seorang rakannya di sebuah kedai makan di Taman Anika.
Namun menurutnya, ketika hendak pulang, motosikal mengalami masalah dan perlu menundanya.
"Walau bagaimanapun secara tiba-tiba ada sebuah kereta datang dari arah belakang dan melanggar kami.
"Kejadian begitu pantas dan kami tidak dapat berbuat apa-apa," katanya yang turut mendapat rawatan di Hospital Port Dickson sebagai pesakit luar berikutan mengalami kecederaan di kaki kanannya.
Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang membonceng motosikal bersama abang iparnya menunda motosikal dibantu seorang lagi rakannya berikutan motosikal mereka kehabisan minyak.
Menurutnya, mangsa bersama abang ipar dan rakannya berada di laluan tepi jalan Pasir Panjang-Telok Kemang.
“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta jenis pacuan empat roda dipandu seorang wanita berusia 44 tahun keluar dari selekoh di Hotel Thistle dan terus membelok ke Telok Kemang sebelum melanggar mangsa.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke hospital oleh orang awam,” katanya.
Mangsa kemudian dituntut keluarga dan dibawa ke kampung halamannya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggo Besi, Pendang, Kedah.
Ketua Polis Daerah Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Kes kemudian disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan