30 Mei 2012

'Itu pandangan saya sebagai rakyat biasa' - Nizar

9 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin berkata pandangan beliau berhubung isu bidaan nombor pendaftaran WWW1 oleh Sultan Johor hanya pandangan peribadi seorang rakyat biasa.

Menurutnya, beliau tidak bermaksud untuk mempertikaikan tindakan Sultan Ibrahim Ismail menawarkan bidaan tertinggi sebanyak RM520,000 sebaliknya kenyataan itu dibuat secara umum.

“Itu hanya pandangan saya sebagai rakyat biasa yang melihat senario di negara ini bahawa masih ramai yang hidup dalam kesempitan dan memerlukan perhatian,” katanya kepada akhbar Sinar Harian yang menghubungi beliau semalam.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak menjelaskan, teguran dalam hal yang sama tetap akan diberikan beliau kepada lain-lain pemimpin.

“Mungkin kerana bidaan tertinggi dibuat Baginda Tuanku, jadi orang katakan tindakan saya itu cuba menghina Sultan, sedangkan bukan itu maksud saya,” katanya.

Tambahnya, beliau kesal dengan tuduhan yang diberikan kepadanya bawaha beliau menghina Sultan Johor.

“Jika ada yang menuduh saya menghina Sultan, itu sudah keterlaluan, kerana saya tiada niat untuk berbuat demikian.

“Jika ada mana-mana pihak yang terguris hati dengan mesej Twitter itu, saya mohon maaf, “ jelasnya.

Sementara itu, Polis Johor mengesahkan sedang menyiasat kenyataan dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu di bawah Akta Hasutan.

Harakah Daily

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam YB., Teman rasa dinegara kita dah takde lagi ruang untuk bersuara. Sesiapa yang menyuarakan kebenaran akan dituduh penghasut, sebaliknya sesiapa yang menjadi pengampu akan dikurniakan dengan bermacam macam kurniaan. Kadang-kadang terfikir adakah kita masih berada di zaman raja mendeliar atau zaman sikitul ? para-para pengampu yang membawa rebah sahaja yang mendapat tempat sedangkan rakyat jelata tidak berhak menyuarakan pendapat walaupun pendapat yang diberikan tu lebih membina

Tanpa Nama berkata...

Aii itu pun nak dakwa bawah Akta Hasutan???

Tanpa Nama berkata...

alangkah indahnya zaman khulafah ar-rasyidin saidina umar al-khatab......