30 Mei 2012

Ibu maut kereta terbabas

9 Rejab 1433H. [MOD] -

MARANG- Seorang ibu maut apabila kereta jenis Proton Wira yang dipandu anak perempuannya hilang kawalan semasa cuba memotong kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dalam satu kejadian kemalangan di Kilometer 11.5, Jalan Kuala Berang-Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa, Samariah Salleh, 50, dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun meninggal dunia dua jam kemudian di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat cedera parah di bahagian tulang belakang.

Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama suaminya, Embong Yusof, 67 dan anaknya, Siti Mazidah Mazlan, 21, dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu anaknya itu yang difahamkan seorang pelatih jururawat gagal mengawal keretanya ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain.

“Pemandu dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum kereta itu melanggar sebuah lampu jalan dan terbalik di laluan bertentangan.

“Kesemua mereka dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya selepas selesai dibedah siasat manakala suami dan anak mangsa hanya cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, yang dihubungi di sini, semalam mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan

Sinar Harian

Tiada ulasan: