9 Rejab 1433H. [MOD] -
SEREMBAN – Dipercayai bermotifkan dendam, lima sekeluarga diserang dua lelaki bersenjatakan pedang samurai dan sabit yang menyerbu masuk rumah mereka.
Kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang, Ahad lalu di Ladang Kirby Carotina, Labu, dekat sini apabila keluarga berkenaan termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun sedang berehat di ruang tamu.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba didatangi dua lelaki dikenali mereka yang bertindak menyerbu masuk dalam rumah.
Menceritakan detik cemas itu, salah seorang ahli keluarga berusia 25 tahun yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku begitu pantas serta menakutkan.
Menurutnya, dua lelaki terbabit terus bertindak meluru dan melibas anak saudaranya yang berada berhampiran pintu tanpa belas kasihan.
“Kemudiannya, lelaki itu mula menyerang empat ahli keluarga lain termasuk saya dan dua lagi abang saya menyebabkan kami cedera di muka, kepala dan tangan," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hospital swasta di sini, semalam.
Menurutnya, kedua-dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletakkan di depan rumah.
Akibat kejadian itu, katanya, anak saudaranya yang cedera parah pada muka dan mata dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.
Manakala, empat yang lain dirawat di sebuah hospital swasta, di sini.
Berikutan kejadian itu, mereka membuat laporan di Balai Polis Jalan Campbell, dekat sini.
"Kami memang kenal seorang daripada suspek dan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, kami bernasib baik kerana serangan itu tidak melibatkan kehilangan nyawa," katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan