26 Jun 2012

Ranking bukan keutamaan

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KEMEROSOTAN ranking dunia Datuk Lee Chong Wei ke tangga kedua langsung tidak memberi kesan kepada jaguh badminton negara itu dalam persediaan rapi bagi memastikan sasaran menggenggam emas pertama negara di Olimpik London bermula Julai depan, tercapai.

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock menyifatkan ranking bukan lagi keutamaan kerana sudah menjangka ia akan berlaku berikutan anak didiknya gagal menyertai kejohanan antarabangsa sejak mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika menyertai kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China pada 22 Mei lalu.

Dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa, juara Seluruh England 2011 itu akhirnya terpaksa berundur ke tangga kedua dan menyerahkan gelaran pemain nombor satu dunia kepada pemain handalan China, Lin Dan.

"Chong Wei juga tidak tertekan dengan kedudukan ranking kerana keutamaan sekarang Olimpik dan pastikan emas pertama negara dapat direalisasikan," katanya sambil menyifatkan Chong Wei mempunyai peluang cerah untuk menggenggam emas pertama berdasarkan format baru berkumpulan yang baru diperkenalkan dalam saingan temasya sukan dunia kali ini.

Yakin dengan kemampuan anak didiknya, beliau mengakui format kali ini memberi kelebihan kepada pemain-pemain utama dunia sebagai aksi pemanas badan di peringkat kumpulan sebelum turun dalam pusingan sebenar di penentuan kejuaraan.

"Dengan 16 pasukan, peluang untuk semua pasukan hampir sama dan ia juga membantu Chong Wei untuk melakukan persediaan dengan bermain bersama pemain dari negara lain yang mendapat wildcard ke Olimpik," katanya.

Mengakui gusar dengan kecederaan Chong Wei yang masih belum pulih sepenuhnya, beliau berkata, persediaan mental kini menjadi keutamaan bagi mengelakkan fobia dan mengembalikan semula momentum sebenar dapat dipamerkan dalam saingan sebenar nanti.

"Bukan senang bagi seorang pemain yang jarang dilanda kecederaan yang tiba-tiba cedera dan mahu kembali semula di atas gelanggang dengan momentum yang sama," katanya.

Sinar Harian

Sumpah Mursi kepada Mesir

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Presiden baru Mesir, Mohammed Mursi bersumpah menjadi seorang pemimpin untuk semua rakyat dengan membawa transformasi berpaksikan ajaran Islam selepas memenangi pemilihan kerusi presiden di negara Arab yang paling ramai penduduknya susulan penggulingan Hosni Mubarak awal tahun lalu.

Mursi, pemimpin pertama Mesir yang dilantik sejak pemberontakan berdarah terhadap penyingkiran Mubarak, memenangi 51.73 peratus undi (13 juta undi) berbanding lawannya juga pernah menjadi perdana menteri semasa pemerintahan Mubarak iaitu Ahmed Shafiq, hanya mengaut 48.27 peratus undi.

"Saya berjanji menjadi seorang presiden untuk semua rakyat Mesir. Apa yang saya harapkan, kita semua dapat mengukuhkan perpaduan negara yang tercinta ini kerana perpaduanlah satu-satunya jalan keluar pergolakan yang sedang berlaku," katanya sejurus diisytiharkan memenangi pemilihan presiden kelmarin.

Mursi yang melepaskan jawatannya dari Ikhwanul Muslimin demi menggalas tugas sebagai presiden turut menyuarakan rasa terima kasih kepada pejuang atau rakyat yang terbunuh demi agama sehingga membuahkan hasil yang lumayan.

"Kita akan terus melaksanakan revolusi," katanya.

Jurutera berumur 60 tahun itu, turut berjanji akan menghormati perjanjian-perjanjian antarabangsa kerana Mesir adalah negara Arab pertama yang menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1979.

Keputusan pemilihan pusingan kedua ini diumumkan kira-kira dua minggu selepas Mubarak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan hampir seminggu selepas pihak pemerintah tentera mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada presiden baru, tetapi mengekalkan beberapa kuasa penting di pihak mereka.

Sinar Harian

Kanak-kanak jatuh flat

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun mengalami kecederaan serius setelah terjatuh dari tingkat tiga flat Perumahan Awam Seri Pahang, Bangsar di sini, kelmarin.

Kanak-kanak itu, Muhammad Syahfariz Saiful Nizam, patah tulang bawah mata kanan, rahang sebelah kiri, tangan kanan dan mengalami pendarahan di belakang mata kanan.

Bapa kanak-kanak tersebut, Saiful Nizam, 29, berkata, anaknya kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kini berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan.

Menurutnya yang juga seorang orang kurang upaya (OKU) bisu, dalam kejadian jam 2 petang kelmarin, anaknya itu dipercayai sedang bermain dan memanjat di bahagian balkoni sebelum terjatuh di atas atap balkoni tingkat dua seterusnya jatuh terus ke bawah flat.

“Saya terkejut selepas dimaklumkan jiran kerana ketika itu saya sedang bekerja,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, isterinya, Norshidah, 33, yang juga OKU bisu berada di rumah bersama anak yang lain.

Agency

Suasana tegang di hadapan pejabat SUK

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Suasana tegang di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pagi ini apabila kumpulan menyokong royalti bertembung dengan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).

Kumpulan menyokong tuntutan royalti berpuluh kali ganda daripada MTRK.

Seorang penyokong menuntut royalti dicedera di muka dipercayai ditumbuk oleh penyokong Umno.

Ketika pemimpin tuntutan royalti berucap, kumpulan satu lagi memasang kaset dikir barat.

Ramai anggota polis berkawal di situ dan memberitahu kedua-dua pihak mendapat keizinan polis.

Ssementara itu, jalan raya sesak kerana kehadiran orang ramai semakin bertambah.

Semalam, aktivis Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti), Jeming Hassan berkata, perhimpunan pihak tertentu dikatakan didalangi Tukar dan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan.

“Perhimpunan dianjurkan Royalti (R) mendapat kelulusan polis bagi menyokong titah baginda Sultan mendaratkan gas di Kelantan.

“Sedangkan satu lagi didalangi Tukar dan MTRK yang cuba menyaingi perhimpunan anjuran Royalti. Jadi saya mahu Ulama Muda Umno, Ustaz Fathul Bari menjelaskan perhimpunan yang mana haram,” katanya

Harakah Daily

Rakaman manifesto: SPR jangan main wayang

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersungguh mahu memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan yang telus dan bersih.

Ini ekoran kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof yang mahu setiap parti politik yang ingin membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) hanya dibenarkan berbuat demikian secara rakaman dan bukannya secara langsung.

“Tindakan SPR seperti mahu meneruskan sikap berat sebelah dan zalim pemerintahan Umno BN selama ini,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor.

Menurutnya, meskipun mahu dilihat keluar dari persepsi buruk rakyat terhadap mereka dengan tanggapan SPR adalah ‘budak suruhan’ BN, tindakan SPR terbaru ini menunjukkan mereka masih lagi dipengaruhi oleh kuasa politik.

Justeru, ujarnya DPPM merasa curiga mengapa SPR masih tidak membenarkan siaran secara langsung kepada parti politik bagi membentangkan manifesto mereka.

Katanya, apa yang amat dibimbangi oleh SPR sehingga tidak berani menyiarkannya secara langsung dan adakah SPR bertindak sedemikian bagi memastikan BN berada dalam zon selamat.

Beliau berkata, rancangan secara rakaman dikhuatiri akan berlaku suntingan terhadap mana-mana slot penting yang perlu diketahui oleh rakyat.

Riduan menambah, slot yang seharusnya berlangsung dalam satu masa tertentu akan dipendekkan mengikut selera penerbit.

Tambahan lagi, ujar beliau slot yang diberikan kepada Pakatan Rakyat mungkin akan diberikan bukan di waktu kemuncak, dan hanya disiarkan ketika rakyat sudah lena di waktu malam.

“Yang lebih dibimbangkan adalah jika berlaku penyuntingan di mana-mana slot sehingga ia dimanipulasi menjadi kempen negatif pula kepada Pakatan Rakyat.

“Ia pula berlangsung di saat akhir berkempen, di mana sukar bagi Pakatan Rakyat untuk menjawabnya,” katanya.

Setakat ini, ujar beliau lagi tiada jaminan jika suntingan tidak dibuat dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ini semua, katanya kemungkinan akan berlaku sekiranya ianya hanya berbentuk rakaman dalam media.

Oleh yang demikian, ujar Riduan DPPM meminta SPR agar tidak ‘bermain wayang’ dengan kelonggaran parti-parti politik untuk mengutarakan manifesto di TV, namun hakikatnya masih dalam ruang yang sempit.

“DPPM menegaskan, sekiranya SPR benar-benar mahu menjadi pengadil yang adil, SPR perlu berlepas diri dari pengaruh mana-mana parti politik.

“Benarkan siaran langsung kepada semua parti politik dan pemimpinnya untuk menampilkan manifesto mereka tanpa tapisan atau dibuat secara rakaman,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Apa langkah kementerian pulih imej polis ganas

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh kementerian bagi mengembalikan keyakinan awam terhadap imej PDRM yang tercemar berikutan perilaku ganas sebahagian anggotanya yang bertugas ketika Perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) mengemukakan pertanyaan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli parlimen PAS yang turut mengemukakan soalan bagi jawab lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Muhammad Husain [ Pasir Puteh ] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan:-
(a) jumlah pengeluaran tahunan produk tembakau sejak tahun 2001 hingga sekarang; dan
(b) sumbangan pengeluaran tembakau tempatan berbanding yang diimport untuk pengeluaran berkenaan.

Datuk Dr.Mohd Hayati Othman [ Pendang ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan jumlah import bahan makanan ke dalam negara sepanjang 5 tahun kebelakangan ini dan apakah jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini.

Che Uda Che Nik [ Sik ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan terdapat juga golongan yang mendesak supaya PPSMI ini diteruskan, Kerajaan didapati tidak bertegas dengan golongan ini. Apakah Kerajaan akan memenuhi tuntutan golongan ini selepas PRU-13 nanti.

Mohd. Nasir Zakaria [ Padang Terap ] minta PERDANA MENTERI menyatakan daripada sumber manakah 'durian runtuh' sebanyak RM15 ribu kepada peneroka hasil penyenaraian Felda Global Ventures Holding Berhad ke Bursa Malaysia, sedangkan penyenaraian belum pun berlaku.

Dr. Siti Mariah Mahmud [ Kota Raja ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah perancangan Kementerian bagi mewajibkan subjek Agama Islam sebagai subjek teras untuk menjadi syarat lulus di dalam semua peperiksaan utama sekolah rendah dan menengah untuk murid-murid beragama Islam.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [ Kota Bharu ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan perkembangan terkini pembinaan bangunan-bangunan tambahan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Dr. Che Rosli Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan peranan dan sumbangan besar yang diberikan oleh Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan dalam membangun kerjaya guru selaras dengan keperluan semasa.

Mohd Firdaus Jaafar [ Jerai ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian bagi mengembalikan keyakinan awam terhadap imej PDRM yang tercemar berikutan perilaku ganas sebahagian anggotanya yang bertugas ketika Perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [ Rantau Panjang ] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk mengatasi masalah kadar penceraian yang semakin meningkat di seluruh negara dan apakah punca permasalahan ini berlaku.

Dr. Dzulkefly Ahmad [ Kuala Selangor ] minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan apakah kritera syarikat-syarikat dan mereka yang bakal menerima saham bumiputera yang akan diagihkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) (11.5% terbitan bersamaan dengan 420 juta saham).

Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta PERDANA MENTERI menyatakan tentang kekerapan Jawatankuasa Antara Agama bermesyuarat sejak awal tahun 2012, dan jika ada apakah ketetapan penting yang dibuat.

Datuk Mahfuz Omar [ Pokok Sena ] minta PERDANA MENTERI menyatakan:-
(a) adakah bayaran durian runtuh sebanyak RM1.68 bilion telah dibayar kepada peneroka FELDA; dan
(b) nyatakan nama syarikat perunding yang dilantik bagi tujuan menasihati FELDA dalam hal penyenaraian FGVH dan berapakah jumlah bayaran yang perlu dibayar kepada perunding tersebut.

Datuk Taib Azamudden Md Taib [ Baling ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan atas kegiatan memfitnah dan mendedahkan aib seseorang secara terang-terangan dalam media cetak dan elektronik mutakhir ini.

Nasharudin Mat Isa [ Bachok ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah tindakan yang bakal diambil bagi mengatasi permasalahan lebihan bilangan murid di dalam satu kelas di kebanyakan sekolah-sekolah harian.

Salahuddin Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan berapakah jumlah pampasan Kerajaan kepada kesemua pemegang konsesi lebuhraya dari tahun 2000 hingga 2011 mengikut pecahan pemegang konsesi.

Harakah Daily

Mangsa ISA diugut edar gambar bogel di internet

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini mendesak agar Menteri Dalam Negeri (KDN) segera memberi maklum balas atas kejadian mogok lapar tahanan ISA yang telah pun berlangsung selama enam hari.

(GMI menunjukan butir-butir penyeksaan Sami Hammd seperti yang diceritakan kepada peguam. Turut hadir ialah ibu bapa tahanan Mohamad Fadzullah [Hadijah – dua dari kiri dan Abd Razak – mendukung bayi])

Dalam sidang medianya, GMI menuntut agar kesemua tahanan ISA dibebaskan dengan kadar segera; Menteri Dalam Negeri diminta menjawab segera tuntutan tahanan ISA; dan menuntut jawapan segera isu penderaan tahanan ISA.

Tuntutan ini berikutan kempen bebaskan 45 tahanan yang masih berada di Kem Kamunting (Kemta) dan sehingga kini tiada tanda-tanda mereka akan dibebaskan.

Dalam sidang media ini juga, peguam Farhana Abdul Halim dan Fadiah Nadwa Fikri mendedahkan keterangan yang diberi oleh Sami Hammd, salah seorang tahanan ISA yang kini mengadakan mogok lapar.

Sami Hammd berasal dari Iraq telah ditangkap pada 21 Januari 2011. Beliau ditahan atas pertuduhan pemerdagangan manusia.

Sami disoal siasat di PRC selama 20 hari dan di Bukit Aman selama 39 hari, kemudiannya ditahan di Kemta pada 18 Mac 2011.

Dalam pertemuannya dengan peguam, Sami menceritakan penderaan fizikal dan mental yang diterimanya.

Antara bentuk penderaan fizikal yang dikenakan termasuklah dipukul dengan paip getah, dibogelkan dan gambarnya diambil dan diugut akan disebarkan diinternet.

Badan beliau juga dibasahkan dengan air sejuk kemudian diletakkan di dalam bilik kecil yang suhunya paling rendah, dan sepanjang masa tangannya digari.

Selain itu, Sami turut ditumbuk dan ditendang oleh anggota penyiasat berulang kali, dicabut bulu dada, dicucuh puntung rokok, dipaksa memakan cili kisar beberapa lagi jenis penderaan.

Sehingga kini Sami masih tidak berganjak dan tidak mengaku akan pertuduhan yang dikenakan kepadanya.

Tahanan beliau dilanjutkan sehingga Mac 2013. Semua butiran tersebut dinyatakan dalam pertemuannya dengan peguam pada 22 Jun 2012 di bawah pengawasan Pegawai Kemta.

Dalam pada itu, Pengerusi GMI bimbang dengan nasib tahanan yang melakukan mogok lapar tersebut.

Beliau menggesa agar KDN bertindak segera sebelum berlaku kematian atau sebagainya.

Merujuk kepada isu penderaan terhadap tahanan sama ada yang masih ditahan atau pun yang telah dibebaskan.

“Kebanyakan tahanan menghadapi trauma sehingga mereka tidak tampil menceritakan kisah sebenar walaupun lebih setahun telah berlaku,” ujar Syed Ibrahim.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, Peguam yang bertemu dengan Sami Hammd iaitu Farhana dan Fadiah Nadwa serta keluarga tahanan Mohamad Fadzullah Abdul Razak.

Harakah Daily

Haram jadah: Najib enggan minta maaf

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui jawapan bertulisnya enggan memohon maaf serta menarik balik kata-kata kasar 'haram jadah' yang dikeluarkan sebelum ini.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli yang memohon agar Perdana Menteri memohon maaf serta menarik balik kata-kata tersebut yang dihemburkan dalam ucapan beliau di Felda Jengka 8 pada 8 Mei lalu.

Najib melalui jawapannya menjelaskan soal permohonan maaf tidak timbul memandangkan kata-kata tersebut diungkapkan sebagai eskpresi kolokial (colloquial expression) semata-mata tanpa ditujukan kepada mana-mana individu.

Jelas, Dr Mohd Hatta apa yang dinyatakan oleh Najib melalui jawapannya itu tidak benar dan beliau perlu tampil memohon maaf bukannya cuba mengelakkan.

"Secara jelas kita lihat kata-kata haram jadah yang dikeluarkan oleh Najib itu ditujukan kepada peneroka yang menentang penyenaraian Felda.

"Dan perkara itu berlaku ketika beliau mengumumkan pemberian RM15 ribu kepada setiap peneroka," jelasnya.

Katanya lagi, mana mungkin beliau mengatakan tidak ditujukan kepada mana-mana individu sedangkan jelas ia dilemparkan kepada peneroka-peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian Felda serta kepada mereka yang membawa Felda ke mahkamah.

"Najib menghina mereka yang dianggap menentang supaya tidak diberikan bantuan RM15,000 iaitu kumpulan 'haram jadah' jadi ianya bukan satu ekspresi kolokial yang begitu umum tetapi tuju khas kepada pihak-pihak yang mencabar Felda.

"Kita mahukan Najib tampil memohon maaf jika beliau ingin memulihkan imejnya sebagai Perdana Menteri," jelasnya.

Dr Mohd Hatta menegaskan Najib perlu meminta maaf dan kenapa perlu takut untuk mengaku salah.

Harakah Daily

Kalau hina Hindu, kami pertama bantah - DHPP

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mempertahankan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bahawa beliau tidak berniat menghina agama Hindu dan penganutnya dan jika dia menghina Hindu, pihaknya yang pertama membuat bantahan.

(Salahudin dalam sidang media bersama DHPP dan anggota Parlimen India)

Timbalan Pengerusi DHPP N. Balasubramaniam berkata, apa yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian itu langsung tidak membawa apa-apa masalah di kalangan kaum India yang majoriti penganut agama Hindu.

"Orang India masih aman di Malaysia, dalam isu ini tidak ada bawa apa-apa masalah," katanya dalam sidang media.

Sebelum ini, Ketua Pemuda MIC T Mohan meminta Salahuddin mohon maaf kepada masyarakat India di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan menyamakan perarakan sempena Thaipusam dengan demonstrasi jalanan.

Menurut Bala, kenyataan Salahuddin dalam Debat Sinar Harian pada 19 Jun lalu sengaja diputar belitkan oleh MIC untuk menimbulkan persepsi negatif kepada kaum India.

"Jika benar ada penghinaan kepada penganut Hindu kami sendiri pun boleh tegur. Nampaknya MIC sengaja cari pasal. Kenyataan Salahuddin cukup jelas," katanya.

Bala turut percaya Salahuddin tidak akan mengeluarkan kenyataan menghina kaum dan agama lain kerana agama Islam tidak mengajar untuk berbuat begitu.

Ahli Parlimen Batu Kawan P. Ramasamy juga menyifatkan MIC ketandusan modal politik sebab itu mereka sengaja putar belit kenyataan.

"Saya ada baca dalam akhbar Tamil tuduhan terhadap Salahuddin, tidak ada bukti beliau hina kaum India," katanya dalam sidang media yang sama.

P. Ramasamy turut mempertikaikan di mana kelantangan MIC apabila Umno pernah menimbulkan isu bebaur perkauman dan memperlekehkan kaum India.

"Umno pernah guna isu paria. MIC mendiamkan diri. Tapi berbeza dengan Salahuddin yang jelas tidak hina agama kami," katanya.

Begitu juga ketika penyokong Umno mengarakkan kepala lembu ke bangunan SUK Selangor yang memang jelas cuba menghina orang Hindu.

Salahuddin mengulangi penegasanya beliau tidak berniat untuk menghina penganut agama Hindu dan mereka perlu dengar serta faham konteks ayat yang diperdebatkan dalam debat itu.

Harakah Daily

Jangan guna saya pertahan Lynas - Dr Che Rosli

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat memberi amaran agar tidak menggunakan nama beliau untuk mempertahankan projek Lynas atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Beliau yang berkata pada sidang media di Parlimen, tidak pernah ada mana-mana pihak meminta keizinan darinya untuk terus menggunakan nama beliau serta kenyataannya di Parlimen bagi menyatakan loji Lynas selamat didirikan di Kuantan.

"Secara jelas saya nyatakan bahawa kenyataan saya sebelum ini hanya merangkumi satu bahagian sahaja tetapi jika melibatkan keseluruhan operasi Lynas secara terus terang ia tidak selamat untuk beroperasi.

"Selain itu juga, saya tidak membenarkan mana-mana pihak cuba menggunakan nama saya bagi menunjukkan saya menyokong pembinaan loji tersebut," katanya.

Tambahnya lagi, jika perkara ini berterusan beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan dari sudut undang-undang kerana menggunakan nama tanpa izin.

"Sebelum ini Perdana Menteri dalam kenyataannya telah membabitkan nama saya yang turut menyatakan bahawa Lynas itu selamat dibangunkan.

"Saya tidak pernah mengizinkan nama serta kenyataan saya digunakan untuk menyokong pembinaan loji tersebut, Lynas bagi saya tetap merbahaya dan Najib perlu peka dalam soal ini kerana membabitkan saya tanpa sebarang kebenaran," tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam kenyataannya memberitahu PAS mendengar pandangan yang dikemukakan oleh pakar-pakar namun dalam masa yang sama faktor dari sudut lain juga turut diambil kira.

"PAS mengambil kira setiap pandangan pakar tentang isu Lynas seperti mana yang dinyatakan oleh Dr Che Rosli sebelum ini tetapi dari faktor lain kita juga turut mengambil perhatian.

"Secara jelas beliau menyatakan Lynas ini tetap merbahaya dan kepada mana-mana pihak tolong hentikan menggunakan nama beliau dalam mencari sokongan pembinaan loji tersebut jika tidak mahu tindakan undang-undang diambil," katanya.

Harakah Daily

Presiden ziarahi timbalan Mursyidul Am

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

BANGI: Perkara pertama yang dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebaik saja tiba dari luar negara adalah menziarahi Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Ustaz Hadi tiba dari Abu Dhabi dalam rangka lawatan kerjanya ke luar negara termasuk menemui pemimpin Ikhwanul Muslimin yang baru menang pilihan raya.

Beliau menziarahi Dr Haron Din yang mula sihat selepas menjalani pembedahan jantung kali ke 5 di Amerika.

Walaupun belum dapat memenuhi apa-apa program di luar, Dr Haron yang merupakan Timbalan Pengerusi Harakah kelihatan ceria.

Beliau memohon maaf kepada semua ahli dan pemimpin PAS kerana masih belum dapat memenuhi sebarang undangan majlis di luar.

Harakah Daily

Cubaan ceroboh kem

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Dua lelaki berusia 35 tahun dan 37 tahun yang menyamar sebagai pegawai tentera ditangkap sepasukan anggota Risik 10 Briged Para, Kem Terendak, di sini, selepas menyedari gerak geri mereka mencurigakan, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, dua lelaki terbabit menaiki kereta jenis Mercedes Benz memasuki kem berkenaan melalui pintu masuk utama.

Seorang daripada mereka berpakaian seragam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan rakannya pula hanya memakai seluar celoreng dan baju T, yang mendakwa dirinya berpangkat Kapten.

Pegawai Risik 10 Briged Para, Mejar Abd Razak Sipit berkata, pengawal bertugas mengarahkan kedua-dua mereka melaporkan diri di Balai Pengawal hadapan untuk pengesahan identiti serta tujuan sebenar mereka masuk ke dalam kawasan kem.

“Lelaki yang memakai pakaian seragam mengaku berpangkat Kapten dan bertugas di Kem TLDM, Sabah.

“Setelah pemeriksaan tapisan keselamatan dilakukan ke atas mereka, didapati pengesahan identiti sebenar mereka tidak dapat dibuktikan sebelum mereka beredar menuju ke arah lapang sasar lebih kurang 600 meter dari lokasi diperiksa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, semalam.

Menurutnya, tindakan mereka yang mencurigakan menyebabkan dua askar mengekori kereta lelaki terbabit.

“Mereka yang menyedari diekori bertindak memecut kereta menuju ke arah pintu utama tetapi kami berjaya menghalang mereka dan menjalankan soal siasat.

“Ketika diperiksa, kami menemui dua pas keselamatan milik Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Abd Razak berkata, selepas disoal siasat mereka mengaku sebagai orang awam dan pemeriksaan sekali lagi menemui sejumlah senjata api termasuk bom asap, pistol dan alat komunikasi tentera turut ditemui dalam but kereta terbabit.

“Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Masjid Tanah kira-kira jam 8.45 malam sebelum di serah ke IPD Alor Gajah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asistan Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah mengesahkan kini kedua-dua suspek ditahan.

“Dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Alor Gajah di rumah suspek kira-kira jam 8.30 malam semalam, kami turut menemui pelbagai peralatan askar termasuk pakaian, replika senjata api yang menyerupai senjata sebenar dan pingat pangkat disimpan di rumah suspek di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung semua penemuan barangan tersebut dan motif sebenar suspek menyimpannya.

Sinar Harian

Empat bangunan tinggi diiktiraf terbaik

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

INDAH...Menara Absolute di Mississauga, Kanada dipilih sebagai bangunan tinggi terbaik di benua Amerika.

CANGGIH...Menara Al Bahar di Abu Dhabi diiktiraf sebagai bangunan tinggi paling inovatif di dunia.

LONDON: Bangunan pencakar langit di Kanada, Qatar, Australia dan Itali dinamakan sebagai bangunan tinggi terbaik di dunia pada tahun ini oleh Majlis Bangunan Tinggi dan Penempatan Bandar (CTBUH).

Empat pemenang mewakili benua itu termasuk Menara Absolute di Mississauga, Kanada (Amerika), 1 Bligh Street, Sydney, Australia (Asia dan Australia), Palazzo Lombardia, Milan, Itali (Eropah) dan Menara Doha /BurjQatar, Doha, Qatar (Timur Tengah dan Afrika).

Menara Al Bahar di Abu Dhabi memenangi anugerah inovasi pertama CTBUH untuk projek hebat skrin pelindung mentari kawalan komputernya.

Sementara Palazzo Lombardia adalah bangunan tinggi pertama di Itali yang mendapat pengiktirafan CTBUH, 1 Bligh pula menjadi bangunan pertama di Australia yang memperoleh penghargaan. Bilangan menara lebih tinggi daripada 200 meter disiapkan pada tahun lalu yang direkodkan adalah 88 berbanding 32 pada 2005. Sebanyak 96 lagi dijangka siap pada tahun ini.

Pemenang keseluruhan untuk “Bangunan Tinggi Terbaik di Seluruh Dunia” akan dinamakan pada majlis makan malam dan upacara Anugerah Tahunan ke-11 CTBUH di Institut Teknonogi Illinois pada 18 Oktober depan.

Anugerah Bangunan Tinggi Terbaik CTBUH adalah kajian bebas projek terbaru, diadili oleh panel eksekutif industri itu. Projek diiktiraf berdasarkan sumbangan luar biasa bagi kemajuan bangunan tinggi dan persekitaran bandar serta pencapaian mapan pada tahap terbesar.

Tahun ini Lembaga Pemegang Amanah CTBUH turut menganugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Lynn S Beedle kepada Helmut Jahn, arkitek yang dikenali dengan rekaan ringkas dan elegannya.

Majlis itu menerima 78 penyertaan dari seluruh dunia untuk anugerah Bangunan Tinggi Terbaik. Majoriti penyertaan adalah dari Asia, disusuli oleh Timur Tengah.

Bilangan penyertaan dari benua Amerika terus menurun, menunjukkan kesan kemelesetan global, baru-baru ini. Pemenang dan finalis adakan dipaparkan dalam Buku Anugerah CTBUH, yang diterbitkan bersama oleh penerbit utama dunia dan diedarkan ke seluruh dunia setiap tahun. - DM

Import makanan RM221b

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

MALAYSIA mengimport bahan makanan bernilai RM221.81 bilion sejak 10 tahun lalu, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, kebanyakan komoditi yang diimport tidak ekonomik untuk dihasilkan dalam negara berikutan kos pengeluaran tinggi di samping iklim yang tidak sesuai.

“Kumpulan komoditi makanan yang diimport adalah keluaran bahan makanan diproses, bahan makanan ternakan, buah-buahan iklim sederhana, sayur-sayuran dan bijirin.

“Antara makanan yang kita import ialah koko, kopi, teh, susu, gandum, epal, oren, ubi kentang, salad, beras dan tepung,” katanya ketika menjawab soalan Dr Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja).

Siti Mariah bertanya mengenai jenis dan nilai bahan makanan diimport Malaysia dalam tempoh 10 tahun serta strategi kerajaan bagi memastikan jaminan makanan dan mencapai tahap sara diri.

Mohd Johari berkata, bagi memastikan jaminan makanan, kerajaan melaksanakan beberapa projek impak besar, antaranya Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Zon Industri Akuakultur, Pusat Fidlot Nasional, ladang kontrak, pembangunan usahawan asas tani dan ‘Entry Point Project’ di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara.

“Penyelidikan dan pembangunan ditumpukan kepada peningkatan pengeluaran hasil mampan, antaranya tumpuan terhadap bidang pembangunan varieti dan baka, pengeluaran benih, bioteknologi dan kaji penyakit.

“Kementerian juga akan terus membangunkan sistem rantaian bekalan makanan yang lebih terangkum dan kukuh membabitkan kerajaan, swasta, petani, penternak dan nelayan bagi menghubungkan pengeluaran dan permintaan pasaran, meningkatkan aktiviti nilai tambah serta mengurangkan risiko perniagaan,” katanya.

metro/-

Presiden baru Mesir mula tugas

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

MOHAMED Morsi (kiri) menunggu di Ibu Pejabat Televisyen Mesir sebelum siaran langsung ke seluruh negara, semalam.

KAHERAH: Presiden Mesir yang baru dilantik, Mohammed Morsi berpindah ke pejabat yang pernah diduduki pemimpin yang digulingkan, Hosni Mubarak untuk memulakan rundingan mengenai pembentukan pasukannya dan sebuah kerajaan baru, kata seorang pembantu.

Morsi kelmarin, diisytiharkan pemenang pertama pilihan raya bebas presiden Mesir dalam sejarah modennya, berikutan pertandingan sengit dengan Perdana Menteri di bawah Mubarak, Ahmed Shafiq.

Kebanyakan mereka yang menyokong Morsi menganggap beliau sebagai wakil kebangkitan yang menumbangkan rejim lama dan satu peluang untuk mencabar tentera.

Kemenangan Morsi, presiden awam pertama untuk mengambil alih jawatan tertinggi negara itu adalah pencapaian terbaik bagi kumpulan Islam yang bertahan bagi lapan dekad disasarkan oleh rejim.

Beliau berikrar akan menjadi ‘presiden untuk semua rakyat Mesir.”

Sementara itu, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah semalam mengucapkan tahniah kepada Mohamed Morsi berikutan kemenangan beliau dalam pilihan raya presiden Mesir, lapor agensi berita SPA.

“Kami menghargai pilihan ini dan berharap Tuhan akan memberikan kejayaan dan membimbing anda mengikut ajaran Islam dan berkhidmat untuk Mesir dan rakyatnya,” kata laporan yang memetik raja itu.
Lima negara Teluk lain, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Bahrain, Oman dan Qatar turut menyambut baik kemenangan Morsi selepas pengumuman kemenangannya.

Presiden Barack Obama turut mengucapkan tahniah kepada Mesir atas kemenangan Mohamed Morsi melalui satu panggilan telefon kelmarin dan berikrar sokongan Amerika Syarikat terhadap perubahan Mesir ke arah demokrasi, kata White House.

“Beliau menekankan kepentingan untuk bekerjasama dengan Presiden Morsi yang baru dilantik atas dasar saling menghormati, berkongsi kepentingan antara Mesir dan Amerika Syarikat,” kata White House.

Obama juga menggesa Ahmed Shafiq, calon yang tewas dalam pilihan raya presiden 16-17 Jun lalu dan menggalakkan bekas perdana menteri itu meneruskan peranan dalam politik Mesir dengan menyokong proses demokrasi dan bekerja sama untuk penyatuan negara.

Bagaimanapun Israel menyatakan kebimbangan Morsi dipilih sebagai presiden Mesir, di mana media dan pegawai memberi amaran mengenai kesukaran terhadap realiti baru itu.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengeluarkan satu kenyataan berhati-hati selepas Morsi diumumkan sebagai perdana menteri yang baru dilantik secara demokrasi.

“Israel menghargai proses demokratik di Mesir dan menghormati keputusan pilihan raya presiden,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

China juga mengucapkan tahniah kepada presiden Mesir yang baru dilantik itu dengan mengatakan Beijing menghormati pilihan rakyat Mesir. – AP