26 Jun 2012

Import makanan RM221b

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

MALAYSIA mengimport bahan makanan bernilai RM221.81 bilion sejak 10 tahun lalu, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, kebanyakan komoditi yang diimport tidak ekonomik untuk dihasilkan dalam negara berikutan kos pengeluaran tinggi di samping iklim yang tidak sesuai.

“Kumpulan komoditi makanan yang diimport adalah keluaran bahan makanan diproses, bahan makanan ternakan, buah-buahan iklim sederhana, sayur-sayuran dan bijirin.

“Antara makanan yang kita import ialah koko, kopi, teh, susu, gandum, epal, oren, ubi kentang, salad, beras dan tepung,” katanya ketika menjawab soalan Dr Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja).

Siti Mariah bertanya mengenai jenis dan nilai bahan makanan diimport Malaysia dalam tempoh 10 tahun serta strategi kerajaan bagi memastikan jaminan makanan dan mencapai tahap sara diri.

Mohd Johari berkata, bagi memastikan jaminan makanan, kerajaan melaksanakan beberapa projek impak besar, antaranya Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Zon Industri Akuakultur, Pusat Fidlot Nasional, ladang kontrak, pembangunan usahawan asas tani dan ‘Entry Point Project’ di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara.

“Penyelidikan dan pembangunan ditumpukan kepada peningkatan pengeluaran hasil mampan, antaranya tumpuan terhadap bidang pembangunan varieti dan baka, pengeluaran benih, bioteknologi dan kaji penyakit.

“Kementerian juga akan terus membangunkan sistem rantaian bekalan makanan yang lebih terangkum dan kukuh membabitkan kerajaan, swasta, petani, penternak dan nelayan bagi menghubungkan pengeluaran dan permintaan pasaran, meningkatkan aktiviti nilai tambah serta mengurangkan risiko perniagaan,” katanya.

metro/-

Tiada ulasan: