26 Jun 2012

Aktivis PAS Kuala Terengganu meninggal dunia

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU: PAS Kawasan Kuala Terengganu khususnya Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Wakaf Mempelam kehilangan seorang aktivis parti yang komited.

Mohd Zaki @ Amri Yahya, 47, meninggal dunia setelah diserang penyakit stroke (angin ahmar) kali kedua di rumahnya Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.

Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 6.01 petang semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Solat jenazah allahyarham diimamkan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kaya di sini, jam 11.30 pagi tadi.

Harakahdaily dimaklumkan, Allahyarham Amri merupakan seorang aktivis PAS yang komited dengan perjuangan parti hingga akhir hayatnya.

Semasa hayat, allahyarham merupakan Setiausaha Kerja PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, Ketua Penerangan Dun, bekas Penyelaras Unit Pembangunan Insan (UPI) ketika kerajaan PAS Terengganu dan mantan Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Kuala Terengganu.

Abangnya, Hanafi Yahya, 58, redha dengan pemergian allahyarham yang lebih dikenali sebagai Amri setelah 11 bulan terkena angin ahmar.

Menurut beliau, allahyarham mula diserang stroke pada bulan Ogos 2011 dan kali keduanya pada malam 25 Jun lalu.

“Semalam, dia (allahyarham) tiba-tiba mengalami muntah-muntah, kekejangan anggota badan dan pada keesokan hari (25 Jun) kami terus membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Antara pimpinan PAS yang hadir menziarahi allahyarham ialah Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dan mantan Adun Batu Burok, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong.

Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut tidak dapat hadir kerana berada di Kuala Lumpur menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan diwakili isterinya, Wan Fatimah Wan Abdullah.

Harakah Daily

Tiada ulasan: