26 Jun 2012

Enam penyelam hilang di Pulau Tioman tiba di darat

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

ROMPIN – Kesemua enam penyelam yang dilaporkan hilang di perairan 0.2 batu nautika Utara Pulau Chebeh Pulau Tioman, di sini, selamat dibawa pulang menaiki Bot PA 52 Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Kuantan, di sini, 12.30 tengah malam semalam.

Kesemua mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini, tiba di Jeti Penumpang Tanjung Gemok, dekat sini, pada jam 12.30 tengah malam semalam ditemani 13 ahli keluarga mangsa yang lain serta turut disertai pegawai dan kakitangan agensi penguat kuasa laut itu.

Pegawai Penyelaras Tugas SAR PPM Wilayah 3 Kuantan, Inspektor Mohd Armi Alpaka berkata, kesemua mangsa ditemui jam 9 pagi kelmarin itu dilaporkan sihat dan tidak menghadapi masalah kesihatan.

“Semua mangsa yang menjalani pemeriksaan kesihatan dilaporkan stabil dan hanya terdapat beberapa kesan luka ringan yang dialami sebilangan mangsa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ditanya mengenai kelewatan misi penghantaran mangsa ke darat sebaik saja selesai menjalani proses dokumentasi, Mohd Army memberitahu keadaan air surut di Kuala Sungai Endau dan Mersing menyebabkan operasi membawa mereka pulang terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam.

“Kita terpaksa bertolak pada jam 11 malam tadi (semalam) dari Kampung Salang, Pulau Tioman memandangkan dua lokasi utama iaitu di Mersing dan Tanjung Gemok tidak boleh dilalui disebabkan keadaan air surut,” katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk menemu bual mangsa menemui jalan buntu apabila kesemua mangsa enggan memberikan kerjasama sambil menegaskan tidak mahu diganggu.

Semalam, akhbar ini melaporkan seramai enam penyelam yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Chebeh, ditemui jam 9 pagi semalam kira-kira 20 batu nautika Utara Pulau Tulai.

Empat rakyat negara ini dilaporkan hilang, termasuk dua wanita iaitu Leong Li Kar, 26, dan Maggie Lim, 27, serta dua lelaki tempatan iaitu, Yang Jia Xing, 26, dan Lim Kong Hooi, 27.

Sementara seorang lagi mangsa lelaki warganegara Singapura iaitu Hu Jin Jie, 25, dan seorang lagi dari China, Xu Zhiming, 33.

Sinar Harian

Tiada ulasan: