6 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengumumkan akan mengusahakan Misi Kemanusiaan ke Arakan secepat mungkin.
Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, maklumat yang diperolehi secara langsung dari Arakan mendapati keadaan semakin tidak reda malah terus meruncing.
Menurutnya, penangkapan, pembunuhan warga Rohingya Muslim serta pembakaran perkampungan dan masjid semakin meningkat manakala pelarian Rohingya yang cuba menyeberang ke Bangladesh walaupun dihalau oleh pihak keselamatan Bangladesh, mencecah puluhan ribu.
Katanya, dalam suatu angka yang tidak rasmi warga Rohingya yang terbunuh mencecah anggaran 20,000 orang manakala yang ditahan adalah 5,000 orang sejak 3 Jun lalu.
Jelasnya lagi, kebuluran berlaku yang mengakibatkan ramai yang mati kerana terputus bekalan makanan sema ada kerana terpaksa melarikan diri mahupun yang terperangkap di dalam rumah selama berhari-hari apabila polis dan tentera menembak mereka yang cuba keluar dari rumah.
“Mapim tidak punyai pilihan kerana kerajaan Myanmar sehingga kini nampaknya membiar keganasan oleh esktrimis Rakhine terus menyerang warga Rohingya,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Lebih malang, ujarnya agensi antarabangsa seperti PBB, OIC dan Asean tidak mengambil sebarang langkah untuk menyelamatkan warga Rohingya yang menjadi mangsa pembunuhan etnik oleh gabungan esktrimis Rakhine, polis dan tentera Myannmar.
“Mapim juga kecewa terhadap semua pemimpin negara Asean yang tidak menunjukkan sebarang keprihatinan terhadap nasib warga Rohingya yang disembelih dengan kejam sehingga kini,” ujarnya lagi.
Tambahnya, tidak ada seorangpun pemimpin Asean setakat ini yang mengambil initiatif untuk berhubung langsung dengan kerajaan Myanmar agar pemangsaan etnik Rohingya dihentikan.
Sehingga hari ini, jelasnya Mapim telah menulis surat rayuan dan bantahan kepada Presiden Myanmar Thien Sien, Aung San Suu Kyui, Setiausaha Agung Asean, Dr. Surin Pitsawan dan Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon.
Manakala di tanah air, katanya Mapim menghantar surat kepada Perdana Menteri, Menteri Luar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Membiarkan pembunuhan secara extra-judicial (di luar pembicaraan Mahkamah) di Arakan oleh tentera dan polis yang membantu esktremis Rakhine, ditambah tidak ada sebarang agensi kemanusiaan dibenarkan masuk ke dalam Arakan, menyebabkan Mapim bertekad untuk merancang masuk Arakan bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan tetapi juga untuk menuntut kerajaan Myanmar menghentikan pembunuhan etnik yang sudah mengambil puluhan ribu nyawa warga Rohingya,” katanya.
Menurutnya, Mapim akan mencuba semua laluan sama ada dari laut, darat mahupun udara untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Mapim juga, ujarnya mengambil kira bahawa usaha masuk ke Arakan berkemungkinan akan dihalang oleh kerajaan Myanmar, namun segala saluran rasmi sama ada melalui undang-undang antarabangsa mahupun atas nama agensi serantau akan diguna supaya bantuan dapat disampaikan.
“Bantuan yang akan dibawa adalah makanan, ubatan dan alat khemah. Mapim belum pasti berapa kuantiti yang akan dibawa kerana ia bergantung kepada berapa banyak sumbangan akan dapat diperolehi dari penyumbang,” katanya lagi.
Orang ramai boleh menyumbang kepada Akaun SEKRETARIAT HIMPUNAN ULAMA RANTAU ASIA (SHURA) BIMB 12047010-03-7282 yang telah mewujudkan Tabung Bantuan Mustadh'afin Rohingya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan