26 Jun 2012

Prandelli: Kami berhak ke separuh akhir

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

JURULATIH Itali, Cesare Prandelli berkata tiada siapa boleh mempertikaikan kemenangan pasukannya ketika mengalahkan England 4-2 dalam penentuan penalti untuk melengkapkan slot separuh akhir Euro 2012.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Olimpik Kiev awal pagi semalam, Azzurri mendominasi sebahagian besar permainan dengan melancar beberapa serangan berbahaya, namun gagal menemui sentuhan pemusnah sepanjang 120 minit perlawanan.

Bagaimanapun, Itali akhirnya berjaya menyempurnakan empat daripada lima percubaan penalti dengan pemain gantian, Alessandro Diamanti meledak gol kemenangan Azzurri.

Menanti Itali di separuh akhir ialah pasukan Jerman yang cemerlang membenam cabaran Greece 4- 2, minggu lalu. "Itali memiliki beberapa peluang namun jentera serangan gagal memanfaatkannya. Kami terpaksa menanti hingga ke penentuan penalti, mujur pemain mampu menyerap tekanan selepas sepakan kedua Riccardo Montolivo tersasar.

"Pemain juga menunjukkan semangat luar biasa. Sepanjang perlawanan kami tidak memberi banyak peluang kepada England menguasai bola dan melancarkan serangan. "Menuju babak terakhir perlawanan, mereka semakin tertekan dan cuba bermain hantaran jauh tapi ia tidak menjadi," katanya.

Kini, Itali mempunyai tempoh dua hari bagi merangka strategi untuk memusnahkan Jerman yang dilihat sebagai calon pilihan beraksi di final.

Sinar Harian

Tiada ulasan: