6 Syaaban 1433H. [MOD] -
ALOR GAJAH - Dua lelaki berusia 35 tahun dan 37 tahun yang menyamar sebagai pegawai tentera ditangkap sepasukan anggota Risik 10 Briged Para, Kem Terendak, di sini, selepas menyedari gerak geri mereka mencurigakan, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, dua lelaki terbabit menaiki kereta jenis Mercedes Benz memasuki kem berkenaan melalui pintu masuk utama.
Seorang daripada mereka berpakaian seragam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan rakannya pula hanya memakai seluar celoreng dan baju T, yang mendakwa dirinya berpangkat Kapten.
Pegawai Risik 10 Briged Para, Mejar Abd Razak Sipit berkata, pengawal bertugas mengarahkan kedua-dua mereka melaporkan diri di Balai Pengawal hadapan untuk pengesahan identiti serta tujuan sebenar mereka masuk ke dalam kawasan kem.
“Lelaki yang memakai pakaian seragam mengaku berpangkat Kapten dan bertugas di Kem TLDM, Sabah.
“Setelah pemeriksaan tapisan keselamatan dilakukan ke atas mereka, didapati pengesahan identiti sebenar mereka tidak dapat dibuktikan sebelum mereka beredar menuju ke arah lapang sasar lebih kurang 600 meter dari lokasi diperiksa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, semalam.
Menurutnya, tindakan mereka yang mencurigakan menyebabkan dua askar mengekori kereta lelaki terbabit.
“Mereka yang menyedari diekori bertindak memecut kereta menuju ke arah pintu utama tetapi kami berjaya menghalang mereka dan menjalankan soal siasat.
“Ketika diperiksa, kami menemui dua pas keselamatan milik Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
Abd Razak berkata, selepas disoal siasat mereka mengaku sebagai orang awam dan pemeriksaan sekali lagi menemui sejumlah senjata api termasuk bom asap, pistol dan alat komunikasi tentera turut ditemui dalam but kereta terbabit.
“Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Masjid Tanah kira-kira jam 8.45 malam sebelum di serah ke IPD Alor Gajah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asistan Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah mengesahkan kini kedua-dua suspek ditahan.
“Dalam operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Alor Gajah di rumah suspek kira-kira jam 8.30 malam semalam, kami turut menemui pelbagai peralatan askar termasuk pakaian, replika senjata api yang menyerupai senjata sebenar dan pingat pangkat disimpan di rumah suspek di Kuala Lumpur,” katanya.
Menurutnya, pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung semua penemuan barangan tersebut dan motif sebenar suspek menyimpannya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan