26 Jun 2012

PKR Dakwa PM Campur Tangan Tender Projek LRT

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 26 JUN : PKR mendakwa wujud campurtangan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam pemberian tender kerja projek tambahan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang.

Projek ini dianugerahkan kepada konsortium yang diterajui oleh George Kent Berhad.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara berkenaan mengesahkan persepsi masyarakat bahawa berlaku campur tangan dan penyelewengan yang serius melibatkan anugerah projek-projek awam di bawah pentadbiran beliau(Najib) yang sering melaungkan janji untuk berlaku telus dan adil.

Rafizi merujuk kepada satu laporan yang disiarkan oleh Business Times bertarikh 22 Jun lalu yang menyebut sumber-sumber yang rapat dengan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengesahkan sebuah konsortium yang diketuai oleh George Kent akan dianugerahkan kontrak bernilai RM960 juta.

“PKR mendapat maklumat yang rapat dengan kerajaan bahawa Najib sendiri campur tangan di dalam hal ini untuk memastikan kontrak tersebut dianugerahkan kepada George Kent.

“Sedangkan beliau pernah berjanji untuk berlaku telus dan memastikan semua kontrak besar dijalankan secara tender terbuka,” kata Rafizi dalam kenyataan media.

Rafizi mendedahkan bahawa George Kent bukanlah konsortium yang terpilih bagi projek tersebut setelah melalui proses tender terbuka yang dijalankan oleh Prasarana.

Hal ini disahkan oleh surat bertarikh 12 Disember 2011 daripada Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Shahril Mokhtar, kepada Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa Konsortium PDA dipilih sebagai kontraktor terbaik bagi projek tersebut.

Shahril Mokhtar menulis kepada Najib sendiri untuk mendapatkan kelulusan mengeluarkan ‘Surat Tuju Terima’ kepada Konsortium PDA.

“Perkembangan terbaru seperti yang dilaporkan oleh Business Times mengesahkan bahawa Najib bertindak menukar keputusan Prasarana dan menolak proses tender terbuka dalam projek mega yang melibat berbilion wang rakyat,” katanya.

Tegas Rafizi, PKR akan melakukan pendedahan setiap dua hari mengenai skandal yang bakal menguji komitmen Najib Razak kepada usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

“Pendedahan-pendedahan ini adalah juga balasan dari saya kerana tindakan jijik Umno di bawah kepimpinan beliau memutar belitkan keputusan saya menarik diri dari Kerajaan Selangor untuk menumpukan perhatian merancang strategi pilihanraya PKR.

“Saya betul-betul menasihati Najib supaya menangani skandal ini dengan baik demi menjaga imej pentadbiran beliau,” ujarnya.

selangorku/-

Tiada ulasan: