26 Jun 2012

JPJ tahan kereta disyaki curi

6 Syaaban 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Sebuah kereta jenis Toyota Wish disyaki kenderaan curi antara yang ditahan dalam satu operasi khas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Timur, Jalan Kuala Krai, di sini, malam kelmarin.

Pengarahnya, Abd Ghani Che Kasim berkata, hasil siasatan mendapati, cukai kereta berkenaan palsu setelah ia dikesan berbeza daripada yang asal.

“Selepas membuat siasat, kereta itu disyaki dicuri dan pihak kami menghubungi pihak polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan bagi membolehkan siasatan lanjut.

“Pemilik kenderaan ini ditahan JPJ di bawah Seksyen 108 kerana memalsukan cukai jalan dan menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada polis,” katanya selepas operasi tersebut.

Operasi berkenaan dijalankan dari jam 8 malam hingga 11 malam dengan kekuatan 25 anggota penguat kuasa JPJ Kelantan dan berjaya memeriksa 542 kenderaan yang melalui jalan itu.

Abd Ghani berkata, dalam operasi itu pihaknya mengeluarkan 94 saman dengan pelbagai kesalahan termasuk 70 kes bagi kesalahan lesen memandu tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

“Bagi kes cukai jalan tamat tempoh dan tiada cukai jalan sebanyak 18 kes dan bagi lain-lain kes seperti cermin gelap melibatkan 19 kes dan tiga kesalahan nombor plat.

“Selain itu, sebuah kereta jenis Perodua Kancil disita akibat diubahsuai melampau seolah olah Daihatsu Mira,” katanya.

Menurutnya, daripada operasi tersebut, tujuh kenderaan disita termasuk tiga kereta, empat daripadanya motosikal dan kes disiasat di bawah Akta JPJ 1987.

Sinar Harian

Tiada ulasan: