6 Syaaban 1433H. [MOD] -
PARLIMEN memperakukan laporan jawatankuasa kajian atas bahan radio aktif nadir bumi dalam projek Lynas di Gebeng adalah rendah dan tidak mengancam keselamatan rakyat.
Justeru projek Lynas boleh diteruskan.
Saya pernah menyentuh hal keselamatan ini dalam Facebook betapa semua pihak mesti cemburu tentang bahasa nadir bumi itu sekali pun ancaman terhadap keselamatan penduduk ada rendah.
Saya setuju dengan pandangan Khalid Samad di Parlimen bahawa keselamatan penduduk mesti diutamakan sebelum projek yang ada unsur radio aktif hendak diteruskan. Bukan kerana semuanya anti pembangunan tetapi semua pembangunan mestilah yang tidak risiko.
Apa pun pembesar UMNO/BN termasuk Dr. Mahathir tidak menentang projek itu kerana rendahnya risiko ancaman keselamatan itu.
Jika ia tiada apa-apa maka Dr. Mahathir, Perdana Menteri Najib dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob mestilah tampil meyakinkan rakyat bahawa nadir bumi di Gebeng itu adalah selamat.
Caranya ialah masing-masing membina rumah di Gebeng dan pindah ke situ. Mungkin Datuk Najib tidak dapat pindah ke situ kerana kediaman Perdana Menteri adalah di Putrajaya.
Tetapi ikhtiarkan keluarga terdekat Datuk Najib atau keluarga isterinya Datin Seri Rosmah Mansor tinggal di situ sementara dia bersara. Lepas itu boleh ajak bondanya Tun Rahah pindah ke Gebeng.
Datuk Seri Adnan boleh pindah ke Gebeng sekarang. Mungkin Kuantan lebih dekat dengan pejabat Menteri Besar, tetapi demi meyakinkan rakyat bahawa keselamatan tidak terancam, maka mereka patut pindah ke Gebeng yang tidaklah jauh sangat dengan pejabat MB.
Dr. Mahathir pula patut jadikan Gebeng rumah kedua. Jika sekarang dia berulang alik ke Langkawi, maka sekarang jadikan Gebeng rumah ketiga yang kehadirannya ke situ dari semasa ke semasa. Dalam sebulan dia patut sekurang-kurangnya tinggal seminggu di kediaman Gebeng.
Tunjukkan kepada rakyat kalau Lynas itu projek membunuh manusia, maka biar mereka mati dulu. Jika mereka dapat menunjukkan contoh, maka barulah orang ramai boleh bebas dari kebimbangan.
Kita boleh mengambil contoh dari persetujuan Rasulullah SAW dalam perjanjian Hudaibiyah dengan kafir Quraisy. Perjanjian itu dirasakan oleh para sahabat sebagai berat sebelah.
Sebelum rombongan umrah baginda berangkat pulang ke Madinah setelah menangguh umrah kali itu baginda memerintahkan sekaliannya bercukur atau memotong rambut. Ia syarat bagi mengakhiri ibadat itu sekali pun ia ditunda.
Sekalian anggota rombongan enggan melaksanakan perintah Nabi SAW itu. Baginda yang terharu atas reaksi jamaah lalu masuk ke khemah dengan penuh pilu. Isteri baginda bertanya tentang kepiluan itu. Baginda menjelaskannya.
Isterinya mencadangkan supaya baginda keluar khemah dan bercukur di depan orang ramai. Nescaya sekalian tidak seronok itu akan ikut apa yang baginda lakukan. Maka baginda pun melakukannya. Ia diikut oleh semua.
Jika Dr. Mahathir, Najib dan Datuk Adnan dan kalau boleh Sultan Pahang pun ikut sama pindah, maka orang pun akan hilang kebimbangan.
Bukan sekadar mereka saja pindah ke situ. Malah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berpakat menjadikan Gebeng pusat bandar baru dengan semua kemudahan sehingga ia didiami oleh ratus ribu manusia dan jadi pusat komersial yang penting di sebelah menyebelah dengan kilang Lynas, maka akan hilang segala syak dan waham orang yang anti Lynas.
Jika boleh tawarkan kepada diplomat asing masing-masing ada rumah rihat di situ.
Demikian ikhtiar bagi menghilang cemburu orang atas tahan keselamatan itu.
Nampaknya orang kita terutama orang Melayu tidak tinggi rasa cemburu atas bahan berbahaya itu. Asal ada jaminan ia tidak apa-apa maka mereka pun tidak apa-apa. Tidak setinggi rasa cemburu orang-orang barat.
Semua negara barat cemburu atas projek nuklear Iran. Sekalipun Iran mengaku dan bersumpah bahawa ia tidak akan membina senjata nuklear dan memberi hujah bahawa Islam mengharamkan pembinaan senjata pemusnah seperti itu, mereka tetap cemburu Iran akan sekadar menggunakan loji nuklear itu untuk keperluan tenaga saja.
Kita tidak gembira atas buruk sangka barat itu tetapi itu kuatnya rasa cemburu mereka atas apa yang mereka bimbang.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan